jump to navigation

Defisit belanjawan negara membelon, GST kaedah baru penyangak. Ogos 18, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
trackback

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, MIER : Perubahan cukai perlu dijadualkan sekarang.

Tabung Kewangan Antarabangsa, IMF : Malaysia perlu melaksanakan cukai baru.

Nampaknya dua pihak ini punya fikiran yang sebulu. Satu berada jauh nun di USA sana, satu lagi di KL saja. Kedua-dua suka kalau kerajaan laksanakan cukai baru, iaitu yang dicadangkan Cukai Perkhidmatan Kerajaan, GST dan Cukai Nilai Tambah, VAT.

Macam berada di negara Eropah pula, ada cukai-cukai yang merimaskan hidup. Bayangkan hidup apabila cukai sebegini dikenakan. Beli Super Big Gulp dari 7-Eleven, harga dipaparkan RM2.10 tidak termasuk GST dan VAT yang berjumlah 10% daripada pembelian. Jadi harga yang perlu dibayar adalah RM2.10 + RM0.21 = RM2.30 (1 sen ditolak, jimat dan senang kira).

Bayangkan pula jumlahnya jika pembelian di pasaraya besar Carrefour, atau gedung perabot Ikea. Pasti jumlah tambahan itu lebih dahsyat kan?

Nasib baik saya bukan pelajar ekonomi, jika tidak saya juga akan dimomokkan dengan mentaliti malaun-malaun dari MIER, IMF dan Bank Dunia, yang suka memeras rakyat marhaen. Saya pelajar kejuruteraan yang diajar untuk memikirkan cara untuk memudahkan urusan dan pergerakan rakyat.

Sebelum Najib PM terus menerima cadangan dari MIER untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2010, saya harus bertindak segera untuk mengajukan cadangan saya ke blog 1Malaysia beliau. Diharapkan beliau mendengar dan membaca, walaupun saya bukanlah penyokong beliau.

Cadangan Langkah-Langkah Untuk Mengurangkan Defisit Belanjawan 2010 Dengan Prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” oleh Firdaus Rosli, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, KLIUC

Saya datang dengan cadangan-cadangan langkah yang boleh Tuan laksanakan untuk menstabilkan keadaan kewangan negara, dan pada masa yang sama mengekalkan kebajikan rakyat, menjaga perasaan mereka agar mereka tidak ke jalanan lagi mengadakan perhimpunan membantah kerajaan Tuan.

1) Pengurangan Kos Pendidikan Tinggi

Diharap Tuan tidak salah sangka dengan tajuk cadangan pertama ini, kerana saya tidak akan mencadangkan Tuan mengurangkan pengambilan pelajar, atau membekukan sebarang geran untuk penyelidikan. Memandangkan pendidikan tinggi adalah antara komponen terbesar perbelanjaan kerajaan Tuan, saya ingin mencadangkan mekanisme untuk membantu Tuan.

UiTM adalah sebuah IPTA terbesar di negara ini, dengan pelajar 100% Bumiputera, punya cawangan di setiap negeri di Malaysia. Untuk kursus Diploma Insurans misalnya, yuran dikenakan adalah RM430 untuk satu semester. Tuan boleh bandingkan bayaran tersebut dengan jumlah kos yang terpaksa kerajaan Tuan keluarkan untuk membolehkan universiti ini menyediakan kursus tersebut.

Lawatan saya ke UiTM Shah Alam antara bulan November ke Disember 2008 memperlihatkan jumlah pelajar yang agak ramai yang berkemampuan memandu kenderaan yang berharga tinggi, pergi berlibur di kelab-kelab terkemuka di Bukit Bintang, dan juga melancong ke luar dan dalam negara bersama rakan-rakan dan buah hati.

Graduan UiTM menjadi buruan industri, tanda keunggulan taraf dunia mereka.

Graduan UiTM menjadi buruan industri, tanda keunggulan taraf dunia mereka.

Saya boleh memberi andaian bahawa mereka berasal daripada kalangan keluarga berada dan mampu menghantar anak-anak ke universiti luar negara, namun yakin dengan kualiti yang ada pada UiTM sebagai sebuah IPTA terkemuka bertaraf dunia.

Dengan kecintaan mereka yang mendalam kepada UiTM, mereka telah bersabung nyawa di jalanan Shah Alam, berhadapan dengan pasukan FRU yang “ramai”, untuk menentang cadangan Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor untuk membuka ruang 10% kemasukan UiTM kepada bukan Bumiputera. Mereka bukan setakat mencintai UiTM sebagai alma mater mereka, malah menyayangi bangsa Melayu dan menjunjung tinggi agama Islam.

Oleh kerana itu, saya mencadangkan agar Tuan menguatkuasakan untuk pelajar UiTM dengan pendapatan ibu bapa melepasi angka RM8,000 sebulan agar membayar sepenuhnya kos pengajian mereka dengan kerajaan menghentikan subsidi kos pengajian kepada kelompok ini.

Misalnya jika kos pengajian keseluruhan satu semester adalah RM3000, mereka tidak boleh lagi membayar hanya RM430, tetapi membayar jumlah keseluruhan RM3000.

Manakala bagi pelajar dengan pendapatan ibu bapa di bawah RM8,000 sebulan, subsidi kos pengajian bolehlah diteruskan seperti biasa.

Selamatkan UiTM, sumbangkan wang anda untuk bayar yuran sepenuhnya, tanpa subsidi kerajaan.

Pihak pengurusan UiTM juga boleh mengadakan Kempen “Sayangi UiTM, Pelihara Hak Melayu, Bayar Yuran Pengajian Sepenuhnya Bagi Memelihara Hak Ini”, bagi pelajar-pelajar lainnya yang pendapatan ibu bapa berada di bawah paras RM8,000 sebulan. Diharapkan dengan kempen ini, pelajar-pelajar dapat menzahirkan kecintaan kepada UiTM dan bangsa Melayu dengan berkorban dari segi kewangan untuk membantu bangsa sendiri.

Saya memilih UiTM, oleh kerana mereka adalah sebuah universiti yang ditubuhkan dengan semangat bangsa yang berkobar-kobar. Sejajar dengan Bulan Kemerdekaan, kita dapat menerapkan semangat patriotik dan cintakan bangsa dalam kalangan pelajar UiTM, dengan mendidik mereka berkorban demi bangsa, mengenangkan usaha tokoh-tokoh yang bersabung nyawa menentang pengganas komunis di hutan belantara.

Langkah ini dijangkakan dapat menjimatkan berbilion-bilion ringgit wang kerajaan, dan dizahirkan pada defisit belanjawan yang lebih rendah untuk tahun 2010.

2) Melaksanakan peraturan mengehadkan bonus kepada eksekutif syarikat-syarikat Malaysia.

Kenangan Cristiano Ronaldo di Manchester United, kelab bola sepak tajaan AIG, sebuah syarikat insurans yang diselamatkan Kerajaan Amerika Syarikat.

Kenangan Cristiano Ronaldo di Manchester United, kelab bola sepak tajaan AIG, sebuah syarikat insurans yang diselamatkan Kerajaan Amerika Syarikat.

Meneladani peraturan yang telah dilaksanakan di Amerika Syarikat oleh Presiden Barack Obama, yang mana mengehadkan pemberian bonus oleh bank-bank dan syarikat automotif yang diselamatkan oleh kerajaan Amerika kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarahnya, saya membayangkan kemungkinan untuk kerajaan Tuan melakukan perkara serupa.

Hal ini kerana banyak syarikat Malaysia yang bergantung harap kepada projek-projek kerajaan Tuan, misalnya dari RMK-9 atau Pakej Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua. Oleh kerana kebergantungan mereka yang sangat tinggi kepada kontrak-kontrak daripada kerajaan, mereka tidak jauh bezanya dengan bank-bank dan syarikat automotif Amerika yang terpaksa diselamatkan oleh kerajaan Amerika dalam Pakej Rangsangan Ekonomi mereka.

Laksanakan juga pengehadan jumlah ahli lembaga pengarah syarikat gergasi Malaysia, supaya jumlah keuntungan tidak begitu banyak dibazirkan. Misalnya Malayan Banking Berhad, Maybank yang pernah memiliki sehingga 23 Ahli Lembaga Pengarah, dan kini dikecilkan kepada 11 sahaja.

Usaha-usaha ini akan meningkatkan kemandirian syarikat-syarikat gergasi ini, agar mereka lebih berdikari dan berjaya menjunjung nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia. Selain itu, ahli lembaga pengarah syarikat dapat dididik untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dengan lebih ikhlas dan cemerlang.

Diharapkan, jumlah bonus yang ingin diberi boleh diserahkan kepada kakitangan peringkat lebih rendah, yang akan membelanjakan wang bonus ini bagi menggerakkan ekonomi negara, seterusnya meningkatkan kutipan cukai kerajaan.

Kesimpulan

Dua langkah yang saya cadangkan ini bukan sahaja dapat menjaga kantung kewangan kerajaan, malah dapat menggembirakan rakyat, selain meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar UiTM yang akhirnya bakal menjadi eksekutif dalam syarikat-syarikat gergasi, agar sanggup berkorban demi bangsa dan negara.

Inilah cara kita untuk berjasa kepada negara, bukan hanya dengan menjadi polis, tentera mahupun menyertai Program Latihan Khidmat Negara, tapi pulang dengan semangat dan jiwa yang kosong. Sesiapa sahaja boleh berbuat jasa dengan cara mereka yang tersendiri, agar akhirnya kita menjadi satu masyarakat yang teguh dan utuh.

About these ads

Komentar»

1. Aizuddin Rosli - Ogos 18, 2009

Hurm, pasal pelajar yang mempunyai ibu bapa yang bergaji lebih RM 8000 tu, kena ambil kira bilangan anak yang sedang mengaji juga, ok? Masukkan sekalilah point tu.

Firdaus Rosli - Ogos 18, 2009

Hurm..perlukah? Lagipun kan dah ada PTPTN untuk sediakan pinjaman.

2. Aizuddin Rosli - Ogos 18, 2009

Pasal yuran UiTM tu kan, rasanya kena ambil kira bilangan anak dalam Universiti jugak.

Firdaus Rosli - Ogos 18, 2009

Gaji sebanyak RM8000 sebulan, bersamaan RM96000 setahun, setaraf pendapatan negara maju.

Lebih baik mereka yang sudah dikurniakan rezeki ini menzahirkan kesyukuran dengan membantu rakan-rakan Melayu lain untuk memajukan diri.

Apabila UiTM mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan berdikari daripada bantuan kerajaan, inilah simbol kekuatan umat Melayu yang sebenarnya.

Persoalannya, sayang wang atau sayang bangsa?

3. cacinster - Ogos 19, 2009

dik,
“Oleh kerana itu, saya mencadangkan agar Tuan menguatkuasakan untuk pelajar UiTM dengan pendapatan ibu bapa melepasi angka RM8,000 sebulan agar membayar sepenuhnya kos pengajian mereka dengan kerajaan menghentikan subsidi kos pengajian kepada kelompok ini.”

untuk pengesahan pendapatan, biasanya akan diajukan pada majikan. so, kalau akak tak mau bayaq yuran penuh, akak boleh ja mengaku yg akak surirumah. borang peribadi pelajar sewaktu melapor diri pun akan tercatat bahawa akak surirumah..jadi, rasanya cara tu mungkin berkesan bagi sesetengah ibubapa yang jujur, dan langsung tidak berkesan bagi keseluruhan ibubapa yang kedekut dan tak kisah pun kalau anaknya belajar tak berkat.

apa komen u?

Firdaus Rosli - Ogos 19, 2009

Ini ujian baik untuk menentukan, benarkah mereka “sayang bangsa”?

I doubt that.

Mereka pasti sayang akan wang dan kedudukan sahaja.
Jika benar mereka ini sayang akan bangsa, mereka pasti akan membantu semula alma mater mereka apabila mendapat kekayaan yang besar.

Pastikan UiTM boleh berdiri sendiri, itu barulah simbol keagungan bangsa Melayu.

Cuba bandingkan kita dengan MCA yang walaupun lemah, ada universiti mereka sendiri iaitu UTAR dan Wawasan Open University.
Mereka memang sangat berdikari

4. Firdaus Rosli - Ogos 19, 2009

Jika saya Menteri Pengajian Tinggi, saya akan jadikan UiTM sebuah universiti yang betul-betul berdikari dengan dananya hanya daripada usahawan-usahawan dan teknokrat beragama Islam (setiap orang Islam boleh digelar Melayu).

Hanya itu sahaja cara untuk mengekalkan UiTM itu hak dan milik bangsa Melayu sepenuhnya, bukannya dengan mengemis dana kerajaan dan berkata “itu hak kami”. Itu sikap ala-parasit dan tidak bermaruah di mata dunia.


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: