jump to navigation

Jalanraya kita sesak? Fikirkan kembali. Ogos 26, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Berita yang saya peroleh dari China, begitu mengejutkan. Lebuhraya Beijing-Tibet menyaksikan kesesakan lalu lintas sepanjang 100km, dan berlanjutan sehingga 9 hari. Punca kepada kesesakan tersebut, adalah kerana kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan kebanjiran lori-lori pengangkut barang yang semakin bertambah.

Teringat saya kepada situasi di Malaysia, yang mana turut menghadapi kesesakan lalu lintas di kebanyakan jalan-jalan dan lebuhraya, terutamanya apabila musim perayaan tiba. Ketika itulah, kesabaran para pengguna jalan raya bakal diuji, terutamanya yang berpuasa.

Imej paling epik kesesakan lalu lintas di Malaysia. Berlaku pada zaman Pak Lah, di mana semua jalan ke Parlimen disekat untuk menghalang seorang pemimpin pembangkang memasukinya.

Keadaan bakal dikeruhkan lagi apabila cuaca menjadi terlalu panas, menyebabkan enjin sebilangan kenderaan panas, memaksa mereka berhenti di tepi jalan. Perkara ini kadangkala menyebabkan kesesakan menjadi bertambah teruk.

Kebiasaannya, tiba waktu petang selepas panas yang membahang, hujan lebat pula silih berganti. Keadaan jalan menjadi sesak, pandangan kabur, semuanya bergerak perlahan. Pemandu bakal diselubungi rasa mengantuk, bosan dan pening dengan pengelap cermin kereta yang berputar berulang-ulang.

Mengapakah tiba-tiba saya menjelaskan keadaan yang merimaskan ini?

Hal ini sebenarnya kerana Kelapa Muda telah kemalangan jalan raya. Hal ini berlaku 15 Ogos lalu, pada hari Ahad. Kereta yang setia menemani, koyak kulit bahagian kanan hadapannya, kini masih tersadai di bengkel panel insurans.

InsyaAllah kereta akan siap menjelang masuk bulan September, dan kini melalui proses-proses akhir kerja baik pulih.

Biarlah saya ceritakan lebih mengenai kemalangan tersebut, agar ianya menjadi teladan kepada rakan-rakan di luar sana yang turut bergelar pemandu.

Ketika itu, jam 4.00 petang, 15 Ogos. Saya bergerak ke KL Sentral untuk mengambil seorang kenalan. Ibu saya menghubungi sebelum perjalanan, dan saya memberitahu bahawa saya akan memandu sebentar lagi. Saya memberitahu ibu, gelap di KL sana. Hujan lebat.

Saya terus memberitahu kenalan, bahawa saya akan sedikit lambat kerana tidak berani memandu laju sebab hujan. Jadi, kelajuan kereta saya kekalkan kepada hanya 80 km/j, memandangkan keadaan jalan yang tidak meyakinkan.

Saya baru melakukan servis ke atas kereta saya pada minggu sama sebelum itu, dan mekanik telah memberitahu bahawa ada bahagian yang perlu saya tukar. Bahagian tersebut disebutnya sebagai “chamber”, yang mana ditemui tidak betul kedudukannya ketika proses alignment & balancing dijalankan.

Saya tidak berhasrat untuk menukar bahagian itu lagi, kerana mahu menunggu gaji seterusnya. Namun, kerosakan bahagian itu telah mengakibatkan bunga tayar semakin haus di bahagian belakang.

Mungkin perkara itu yang menjadi punca kemalangan saya. Namun, saya belum cukup yakin memandangkan odometer baru sahaja mencecah 20,000 kilometer, yang mana dianggap sebagai tiada keperluan segera untuk pertukaran tayar dilakukan lagi.

Saya melalui Lebuhraya Besraya, kerana ianya adalah jalan yang paling lengang antara Kajang dan Kuala Lumpur.

Perkara seterusnya, adalah keadaan jalan. Kemalangan berlaku di kilometer 8.2 lebuhraya Sungai Besi (Besraya), di selekoh 90 darjah berhampiran PPR Raya Permai dan LRT Sungai Besi.

Carian internet menunjukkan bahawa terdapatnya beberapa isu di kawasan tersebut:-

  • Ketiadaan hubungan terus antara PPR Raya Permai dan LRT Sungai Besi, menyebabkan penduduk terpaksa menyeberang lebuhraya Besraya untuk berhubung antara kedua-dua tempat ini.
  • Selekoh tajam yang banyak di sepanjang lebuhraya tersebut, menyebabkan pengguna yang tidak biasa dengannya menghadapi risiko kemalangan jalanraya.

Artikel Utusan Malaysia mengenai masalah PPR Raya Permai, boleh dibaca di sini.

Artikel forum Cari, dipetik dari Berita Harian mengenai masalah PPR Raya Permai.

Pendek kata, saya berada di tempat yang salah, pada masa yang salah, malah dengan cara yang salah.

Saya mengambil lorong paling kanan, yang paling mudah terbabas ke pembahagi jalan jika jalan licin. Gambar-gambar pastinya dapat membantu anda memahami bahaya yang dihadapi.

Cadangan saya, jika anda ingin lebih selamat, elakkan lebuhraya Besraya pada waktu hujan, memandangkan kualiti jalannya yang licin seperti simen lantai rumah apabila hujan, dan selekoh tajam yang banyak dan merbahaya.

Pesanan dari Kelapa Muda, bersabarlah dalam menghadapi kesesakan di Hari Raya ini, bersyukurlah walaupun perlu membayar tol mahal dan sukar untuk ke tandas yang sesak di Kawasan Rehat dan Rawat. Anda belum menghadapi situasi di China yang amat merimaskan itu.

Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi, semoga kadar kemalangan kali ini dapat dikurangkan ke tahap minima, supaya tangisan kesedihan dapat dikurangkan dengan sedikit sahaja kadar kematian di Hari Raya ini.

Kemalangan pasti akan berlaku saban tahun, jadi, elakkannya.

Selamat datang ke SKVE. Julai 12, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
8 comments

Saya sudah menulis mengenai SKVE di kala ianya sedang giat dibina menjelang tarikh akhir pembinaan yang mana dapat memastikan ianya dibuka pada penghujung Jun 2010. Berlalu bulan Jun, akhirnya SKVE Fasa 1B telah dibuka kepada pengguna, yang mana menghubungkan Putrajaya dengan Bandar Saujana Putra dari tarikh 2 Julai 2010.

Satu kelegaan kepada mereka yang sudah rimas melihat jalan mati di persimpangan B15-LDP yang sudah wujud sekian lama, juga turut memudahkan perjalanan dari Kajang/Bangi/Putrajaya/Cyberjaya ke arah Putra Heights/Subang Jaya/Shah Alam.

Namun, beberapa aspek yang dapat dilihat, mampu menjejaskan operasi lebuhraya baru bernombor E26 ini dan juga keberkesanannya dalam menghubungkan Kajang dengan Pelabuhan Klang di masa akan datang. Satu cadangan untuk penambahbaikan untuk operasi yang lebih lancar dan terjamin kelancarannya.

1) Hanya dua lorong sehala.

Mungkin kerana bekas lombong di sebelah, SKVE hanya mampu membina dua lorong sehala.

Trafik yang bakal melalui SKVE di masa akan datang amatlah sukar untuk dijangka jumlahnya, namun pada peringkat awal pembukaan, saya lihat ianya lebih sibuk berbanding ketika lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) baru dibuka.

Akan tetapi, LEKAS mempunyai 3 lorong sehala berbanding SKVE yang hanya mempunyai dua. Diharapkan untuk masa terdekat seperti enam bulan atau setahun akan datang, kajian trafik dapat dijalankan ke atas jajaran sedia ada iaitu 1A dan 1B, dan juga kawasan Teluk Panglima Garang, Pulau Indah, Putrajaya, Kajang dan Bangi. Sudah tentu kebarangkalian untuk mereka menggunakan SKVE begitu tinggi, lebih-lebih lagi apabila ianya dibuka sepenuhnya dalam masa dua tahun lagi.

Ihsan dari Blog Persatuan Pendudu BSP (Bandar Saujana Putra)

2) Ketiadaan jambatan di bulatan selepas keluar tol ELITE Saujana Putra sebagai penghubung terus ke SKVE.

Bandar Saujana Putra berpotensi untuk terus berkembang di masa akan datang berikutan kewujudan SKVE. Namun dengan bulatan yang pastinya bakal sesak tidak lama lagi selepas tol ELITE, penjimatan masa yang diwar-warkan tidak dapat dirasai sepenuhnya. Saya lihat memang ruangan untuk dibina sebuah jambatan telah disediakan, dan sewajarnya pembinaan jambatan flyover tersebut diperlukan segera sebelum kesesakan timbil di masa depan.

Di tengah-tengah Putrajaya, namun ini bukanlah Taman Putra Perdana yang saya maksudkan. Diharap namanya dapat ditukar bagi mengelak kekeliruan.

3) Tiadanya persimpangan untuk ke Taman Putra Perdana, Puchong.

Sebenarnya Taman Putra Perdana ada dua, yang pertama di ceruk bandar Puchong, dan yang kedua di tengah-tengah Bulatan Putrajaya.

Sewajarnya tempat ini kita panggil Bandar Putra Perdana kerana keluasan yang lebih besar daripada taman perumahan.

Ketika SKVE masih dibina, namun malangnya tiada persimpangan untuk memasukinya dengan mudah.

Sebuah kawasan perumahan yang terletak di tepi lebuhraya ELITE dan SKVE, namun tiada hubungan terus dengan kedua-dua lebuhraya, menyebabkan penghuni di sana terpaksa melalui jalan lama Puchong, untuk keluar ke Puchong melalui Bandar Bukit Puchong, manakala ke Putrajaya melalui Pulau Meranti. Saya masih memikirkan bagaimana penduduk Putra Perdana dapat bertahan selama ini dengan kekurangan jalan penghubung.

Gambar Ihsan SKVE. Klik gambar untuk ke laman web SKVE.

4) Kewujudan terlalu banyak plaza tol di pintu keluar persimpangan.

Lebih banyak plaza tol turut bermakna lebih banyak staf diperlukan untuk menjaga setiap satu. Namun, lebih banyak plaza tol turut boleh membawa lebih banyak masalah trafik apabila semua plaza tol tidak menggunakan sistem tiket transit, kerana masa yang lama untuk mengeluarkan wang bayaran.

Namun, mungkin ini sudah ditetapkan sebagai sistem pembayaran bagi SKVE, jadi tidak banyak yang boleh dilakukan. Cadangan saya, dengan mewujudkan lebih banyak lorong Touch N’Go, iaitu secara idealnya 2 di setiap arah Plaza Tol, serta 3 lorong Smart TAG di setiap arah Plaza Tol.

Selain itu, setiap plaza tol di SKVE juga sewajarnya dilengkapkan kemudahan menambah nilai kad Touch N’Go supaya penggunaan kad elektronik tersebut dapat digalakkan lagi bagi mengelakkan kesesakan masa depan.

Akhir kata, Selamat Datang ke SKVE, bakal penghubung utama Selatan Lembah Kelang!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.