jump to navigation

Hari Tanpa Kereta, berkesankah? September 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Kepada rakan-rakan pembaca yang memandu kereta, sejauh manakah anda boleh hidup tanpa kereta?

Persoalan ini juga saya tujukan kepada diri sendiri, memandangkan sudah hampir 2 tahun saya memandu kereta. Boleh dikatakan saya tidak mampu hidup tanpa si “kura-kura comel” Proton Savvy. Perkara tersebut terbukti pada Ramadhan tahun 2010 lepas, di mana saya tidak dapat memandu gara-gara kereta terlibat kemalangan.

Biarlah saya berterus terang, saya bekerja di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Persiaran Institusi Bandar Baru Bangi. Untuk ke sana, tiada sebarang bas yang disediakan, hatta dari stesen KTM Serdang, mahupun dari pekan Kajang. Para pelajar yang ke sini untuk praktikal (kebanyakannya perempuan, comel-comel belaka), juga memandu kereta, malah ada yang lebih mewah lagi dari saya yang bekerja.

Rupa-rupanya bukan hanya saya, malah lebih ramai lagi pemandu yang bersama-sama bersesak di lebuhraya Kajang SILK, kebanyakannya ke Putrajaya, yang juga tiada bas hubungan terus dari Kajang.

Di manakah silapnya?

Apakah kerana tiada koordinasi antara PBT dan Prasarana yang mengendalikan bas-bas RapidKL? RapidKL mula beroperasi pada 2006, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika itu di bawah tadbiran Barisan Nasional, yang mana mereka daripada pihak pentadbir yang sama. Untuk bekerjasama sekarang tentunya lebih payah kerana kini MPKj dibawah Pakatan Rakyat.

Adakah kerana penumpuan terlalu mendalam kepada industri kereta nasional? Jika dilihat harga kereta di Malaysia, ianya sudah tidak menarik lagi.

2008, diperkenalkan Proton Saga BLM dengan harga bermula dari RM33,500.

2009, harga dinaikkan sebanyak RM3000, kepada RM36,500.

2010, diperkenalkan pula Saga FL, juga berlaku kenaikan harga ke atas varian asas yang kini hampir mencecah RM40,000 sebuah.

Jika mengikut contoh ini, harga kereta nasional juga meningkat, sewajarnya mengurangkan permintaan terhadap kereta nasional.

Namun, pada 2011, Proton Saga muncul kembali sebagai kereta paling laris jualannya di Malaysia, di sebalik kenaikan harga dan “facelift” yang dilakukan bagi menaikkan harga.

Berbalik kepada Hari Tanpa Kereta, apakah ianya berbaloi untuk diraikan serta dimeriahkan jika pusat pentadbiran negara di Putrajaya sendiri tiada pengangkutan awam ke bandar berdekatan?

Kebanyakan bas hampir tiada penumpang, kerana ramai yang memandu sendiri.

Apakah gunanya Nadi Putra jika hanya berpusing-pusing di Putrajaya dengan kekurangan penumpang? Sewajarnya dipertimbangkan laluan baru, walaupun dari luar kawasan Putrajaya.

Salah satu usaha kerajaan adalah dengan memulakan pembinaan Mass Rapid Transit atau MRT, seperti di Singapura. Projek ini merupakan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah, yang rata-ratanya meragui keberkesanannya.

Adakah dengan kehadiran projek ini, rakyat dapat dipujuk bagi meninggalkan kereta di ruangan letak kereta yang sudah tentunya kurang selamat dengan ancaman kecurian?

Adakah dengan adanya MRT, penggunanya dapat tiba lebih cepat dari destinasi berbanding memandu sendiri?

Adakah dengan adanya MRT, belanja perjalanan dapat dikurangkan dengan drastik bagi mengurangkan beban kewangan?

Tidak dinafikan, peningkatan rangkaian pengangkutan awam memang diperlukan, kerana kawasan Lembah Kelang semakin sempit, dan dipadatkan dengan banyaknya kenderaan persendirian. Tetapi dengan besarnya belanja yang dikeluarkan, projek tersebut haruslah dipastikan berbaloi dan memenuhi keperluan seramai mungkin warga.

Sementara menunggu MRT siap, entah berapa tahun lagi, tumpuan harus diberikan kepada rangkaian bas. Pembelian 150 buah bas baru oleh RapidKL, pastinya dapat meningkatkan kekerapan bas di laluan sedia ada, dan mengurangkan risiko kelewatan akibat kerosakan bas. Tetapi, pengwujudan laluan baru juga perlu diperluaskan dengan lebih agresif, terutamanya di kawasan Persiaran Institusi Bangi, yang benar-benar memerlukan pengangkutan awam.

Semoga Hari Tanpa Kereta di tahun mendatang dapat kita sambut dan meriahkan dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien di masa depan.

Mengapakah pengangkutan awam kita tidak cekap? Januari 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

Saya terbaca tulisan seorang penulis blog yang menceritakan dilema hidupnya yang terpaksa berpindah ke sebuah bandar yang tidak lengkap pengangkutan awam-nya di Kuala Lumpur. Beliau telah memaparkan gambar skrin dari Wikipedia yang menunjukkan senarai 10 bandar paling ramai penduduk di Malaysia.

Sebenarnya kedudukan bandar paling ramai penduduk kini bukan lagi dikuasai Kuala Lumpur, tetapi Subang Jaya! Tidak menghairankan jika melihat kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warganya setiap hari, memang tersangat teruk.

Ada beberapa bandar mengalami pertambahan penduduk luar biasa, jauh di luar jangkaan. Lihat Subang Jaya.

Mari kita rujuk Subang Jaya misalnya, antara 1991-2000, terdapat pertambahan penduduk sebanyak lebih 5 kali ganda. Manakala bagi tempoh 2000-2010, pertambahan penduduk terus berganda sehingga lebih 3 kali ganda.

Kadangkala kita hairan, adakah pihak penguasa kita tidak melihat trend pertambahan penduduk luar biasa ini? Keadaan sebegini sudah kelihatan sejak tahun 1991, di mana Malaysia mula merangka Wawasan 2020 bagi menjadi negara perindustrian yang maju.

Entah berapa lagi jambatan yang perlu dibina di Subang Jaya?

Selain itu, terdapat juga petanda kenaikan harga minyak yang semakin berganda pada dekad pertama abad ke-21, dengan kesukaran mencari sumber petroleum baharu yang semakin mencengkam. Sehinggakan satu tahap, kerajaan sedia memberikan subsidi berterusan kepada harga minyak, sehingga ianya mencecah kemuncak pada 2008, iaitu sebanyak RM27 bilion semata-mata untuk subsidi harga minyak.

Dengan keadaan sebegini, sewajarnya bandar-bandar seperti Subang Jaya, Klang dan Shah Alam sepatutnya sudah memiliki sistem pengangkutan awam yang teratur dan menghubungkan seluruh bandar.

Mengapakah itu tidak berlaku? Fikirkan projek kereta nasional ilham Dr. Mahathir. Bagi menampung pertambahan kenderaan daripada program ini, banyak lebuhraya dibina.

Jumlah lebuhraya yang berganda, apakah muslihatnya?

Merata-rata kita dapat lihat lebuhraya, misalnya jika mahu keluar dari Puchong, hanya Jalan Klang Lama dan Lebuhraya Bukit Jalil yang tidak dikenakan tol.

Banyak bandar yang laluan masuknya disekat dengan pembinaan plaza tol, antaranya Bandar Mahkota Cheras yang menjadi isu suatu masa dahulu.

Dr. Mahathir, kini masih penasihat Proton.

Jika anda merupakan seorang pemuja Dr. Mahathir, fikirkanlah kembali, apakah ini berbaloi? Kita menjadi denyut nadi kepada bukan setakat industri automotif yang dibangunkannya, malah menjadi sumber pendapatan bagi pelbagai syarikat konsesi lebuhraya yang dikuasai kroni-kroni utama.

Mujurlah, penyelesaian yang kini sedang dilaksanakan dengan secepat boleh, merangkumi:-

  • Hubungan yang lebih baik bagi kawasan-kawasan padat penduduk di Subang Jaya, dengan sambungan Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang sehingga ke Puchong dan Putra Heights, yang terletak dalam kawasan majlis perbandaran Subang Jaya.
  • Laluan baru MRT antara Sungai Buloh-Kajang, turut terletak dalam kawasan-kawasan yang tidak diliputi pengangkutan rel menyeluruh seperti Damansara, Bandar Utama, Cheras, Seri Kembangan dan Kajang.

    Jika kerajaan negeri punya RM9 bilion untuk beli syarikat bekalan air, agaknya mampukah mereka untuk membina satu sistem pengangkutan awam yang cekap di Klang? Harap impian ini jadi nyata.

Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Dalam senarai 20 bandar paling padat penduduk, juga terdapat bandar seperti Klang, yang diketahui memang cukup sesak dan padat.

Johor Bahru yang kini memiliki Iskandar Malaysia, pusat pertumbuhan baru selatan. Ipoh pula, hanya boleh berbangga dengan ETS KTM yang menjadikannya antara stesen utama, namun keadaan bandar yang luas dan sesak.

Shah Alam pula, kian berkembang pesat terutamanya di kawasan Setia Alam dan Puncak Alam di sebelah utaranya, yang hanya disediakan satu laluan bas utama RapidKL, iaitu U90. Bandar Baru Bangi, hanya mempunyai bas mini, selain satu laluan RapidKL bas tempatan.

Apakah kita perlu kesesakan lalu lintas berskala Subang Jaya, baru kelam kabut mahu membina pengangkutan awam yang berkesan? Lagipun pelaburan untuk pengangkutan awam, bukanlah untuk penyelesaian masalah jangka pendek, tetapi bagi menyelesaikan masalah jangka panjang.

Pastinya ini semua hanyalah satu angan-angan, selagi wujudnya satu industri digelar sebagai industri kereta nasional. Sudah banyak wang rakyat yang dilaburkan bagi menyokongnya: dari bayaran cukai, jumlah pembelian kenderaan, kos membina lebuhraya, pembelian bahan api, selain sokongan kepada pelbagai industri sampingan automotif.

Pelancaran Proton Saga, 25 tahun lalu.

Jika dikira secara teliti, rasanya berapakah yang sudah dikeluarkan selama 25 tahun wujudnya kereta nasional Malaysia? Adakah sudah melebihi RM100 bilion? Tidak mustahil.

Masihkah kita mampu mempertahankannya, tentunya tidak lagi. Diharapkan pelan kereta global Proton akan berhasil, lantas membebaskan rakyat daripada beban pengorbanan berbilion wang ringgit mempertahankannya.

Bas RapidKL Wanita: Pendedahan masalah sebenar pengangkutan awam. Disember 7, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Bagi bulan Disember 2010, RapidKL memulakan percubaan bagi perkhidmatan bas khas untuk wanita. Laluan terlibat, dan masa perjalanan bas khas ini seperti di bawah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laluan-laluan yang dipilih adalah berdasarkan kepada kadar penggunaannya oleh penumpang wanita. Apa kata kita selidik maklumat daripada FAQ RapidKL berkenaan Bas Wanita ini.

Apakah faedah kepada pengenalan Rapid Bas Wanita ini?

Faedah-faedah yang boleh dinikmati oleh penumpang-penumpang wanita adalah:

i.      Mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku;

ii.      Mengelak ketidakselesaan kerana bersentuhan dengan penumpang yang berlainan jantina; dan

iii.      Lebih menjamin keselamatan sepanjang perjalanan kerana Rapid Bas Wanita ini dipandu oleh pemandu terlatih kami;

 

Sebenarnya, semua masalah yang diutarakan di atas telah dan sedang dihadapi bukan sahaja penumpang wanita, malah lelaki juga. Terutama isu keselamatan, adakah wanita sahaja yang perlu akan keselamatan perjalanan?

Pengasingan jantina mengikut bas juga dilakukan di Israel, gambar ini serupa seperti bas RapidKL bukan?

Kita masih beruntung, kerana tempoh percubaan ini hanyalah bagi waktu awal pagi dan lewat petang sahaja. Diharapkan konsep bas sebegini tidak akan diamalkan sepanjang masa, kerana sebab-sebab berikut:-

i. Ada laluan RapidKL yang tidak dilalui oleh syarikat bas lain, misalnya Pasar Seni – Shah Alam/Alam Megah. Kewujudan bas wanita sepanjang masa pastinya menyebabkan penumpang lainnya terpaksa menunggu bas seterusnya (kononnya 5-7 minit, hakikatnya bas seterusnya hanya akan bergerak selepas lebih 30 minit, bergantung kepada pelbagai faktor).

Agaknya beranikah rakan-rakan wanita untuk beramai-ramai dalam bas yang terbakar tanpa lelaki?

ii. KTMB juga telah memulakan perkhidmatan koc khas wanita, dan polisi ini kelihatan lebih adil kerana kedua-dua lelaki dan wanita dapat menaiki keretapi yang sama dan tiba pada waktu sama. Mungkin RapidKL boleh mencuba untuk mewujudkan dua kawasan dalam bas, iaitu kawasan lelaki dan wanita.

Akhir kata, mungkin juga, pengwujudan konsep pengangkutan awam khas wanita ini mahu memberi satu mesej khas bagi lelaki: Gunakan pengangkutan lain, anda tidak dialu-alukan bagi pengangkutan awam.

Sudah masanya, kaum lelaki memberi ruang kepada wanita menggunakan pengangkutan awam, dan masing-masing boleh memandu motosikal yang ada, dan kereta jika ada. Tak bujang-lah naik pengangkutan awam!

Jika begini, sehingga bilakah pengangkutan awam kita akan maju dan jadi pilihan utama? Mungkin tidak, sampai bila-bila.

Kampus besar, pengangkutan awam tiada. (Kemas kini: RapidKL U90 kini beroperasi Hentian Bandar Shah Alam – UiTM Puncak Alam) Disember 3, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , ,
2 comments

Saya dihubungi oleh seorang rakan, yang selalu tidak sependapat, namun kerap kali meminta bantuan dari saya apabila memerlukannya. Seperti biasa, orang lurus bendul seperti saya akan membantu, sedaya mampu. Walau apa pun, beliau memang sahabat yang baik biar pun kerap bertelagah.

Apakah bantuan yang dia perlukan kali ini? Jawapannya, menghantarnya ke UiTM kampus Puncak Alam. Fikirkan saya yang tinggal di Kajang, dan beliau yang tinggal di Putrajaya.

Seperti biasa, bantuan Google memang diperlukan. Hasil carian: perjalanan berjumlah 80km dari Kajang ke Putrajaya dan ke UiTM Puncak Alam.

Saya memberitahu beliau untuk menaiki bas RapidKL dari Putrajaya ke Pasar Seni (E1), kemudian dari Pasar Seni ke Hentian Bandar Shah Alam (U80), kemudian bas ke Puncak Perdana (U605).

Tunggu sebentar, Puncak Perdana dengan Puncak Alam, bunyinya seperti dekat. Namun, kedua-dua kampus ini dipisahkan dengan perjalanan hanya 5km. Malang sekali, bas Shah Alam-Puncak Perdana tidak disambung ke Puncak Alam.

Kepada mereka yang ingin mengetahui, UiTM Puncak Alam merupakan sebuah kampus baharu, yang mampu menampung sebanyak 20,000 pelajar, di samping 5000 staf, majoritinya Bumiputera.

Kampus yang diberi julukan “Kampus Pintar” ini dibuka pada tahun 2008, menempatkan Fakulti Farmasi, Sains Kesihatan, serta Pengurusan Pejabat dan Teknologi.

Baru sahaja dirasmikan pada 12 Februari 2010. PM kita tak ada idea untuk tanda tangan ke? Ringkas betul.

Kampus yang kini siap, baru berada pada fasa 1. Pasti banyak lagi fasa pembinaannya lagi, yang bakal menjadikannya kampus induk UiTM di masa hadapan.

Kedudukannya yang jauh dari bandar, memberikannya satu persekitaran yang mesra alam, dan begitu tenang dari hiruk-pikuk kota. Malangnya, kedudukan sedemikian juga menyebabkan para pelajar mengalami sedikit kesukaran untuk ke kampus tersebut.

Carian di internet memaparkan bahawa tiada perkhidmatan bas henti-henti dari bandar Puncak Alam, apatah lagi kampus UiTMnya untuk ke bandar-bandar terdekat. Mungkin ada teksi, tetapi tambangnya anda boleh bayangkan sendiri.

 

Pastinya pelajar UiTM Puncak Alam memerlukan bas untuk ke bandar terdekat. Diharap mereka akan dapat memperolehnya di semester akan datang.

Diharapkan pihak UiTM dan RapidKL dapat memperoleh penyelesaian kepada masalah ini bukan sahaja untuk pelajar UiTM, malah penduduk bandar Puncak Alam, dan juga waris dan kenalan para pelajar kampus tersebut.

Pastinya dengan sedikit sahaja perubahan, kampus UiTM Puncak Alam ini dapat memberikan keselesaan menyeluruh kepada para pelajarnya.

 

Nota Tambahan:

Rentetan daripada tulisan ini, saya telah mendapat maklumat mengenai laluan bas yang sebenarnya sudah wujud antara UiTM Puncak Alam ke Hentian Bandar Shah Alam.

RapidKL U90: Hentian Bandar Shah Alam – Klang Sentral – UiTM Puncak Alam.

Terima kasih dan harap maaf kepada pemberi maklumat yang tulisannya mungkin agak memarahi saya. Maklum sahaja, maklumat ini tidak wujud di laman web rasmi RapidKL.

Maklumat ini juga akan saya sampaikan kepada rakan yang meminta bantuan saya tadi, supaya saya tidak perlu melakukan perjalanan jauh ke Puncak Alam.

Ulasan: Keretapi ETS terbaru dari KTMB. Ogos 21, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Memandangkan kereta saya sudah kemalangan pada Ahad, 15 Ogos 2010 lalu, saya terpaksa bergantung seketika kepada perkhidmatan pengangkutan awam. Pastinya perkhidmatan kegemaran saya adalah rel, yang dapat memastikan penumpang tiba lebih cepat ke destinasi berbanding bas henti-henti.

Malam Isnin 16 Ogos, saya ke Batu Gajah untuk berehat selepas mengalami kejutan daripada kemalangan tersebut. Seperti yang ramai warga Perak (saya bukan warga Perak ya!) ketahui, KTMB sudah sekian lama menyediakan perkhidmatan keretapi shuttle antara KL Sentral dan Ipoh, yang berhenti di beberapa stesen utama sepanjang laluan tersebut.

Kini, terdapatnya pilihan baharu bermula dari 12 Ogos lalu, iaitu keretapi ETS.

ETS merupakan kependekan kepada Electric Train Service (Dalam BM: Perkhidmatan Keretapi Elektrik). Infrastruktur untuk keretapi elektrik sudah lama disediakan, iaitu sejak awal tahun 2009 lagi.

Namun, tren ETS ini sebenarnya sesuatu yang baru untuk rangkaian keretapi antarabandar Malaysia. Jadi, persediaan secukupnya diperlukan untuk memastikan operasi lancar dan selesa. Kini, terdapat 5 perjalanan ulang alik yang disediakan menerusi ETS.

4 perjalanan pergi-balik antara KL Sentral dan Ipoh, manakala satu perjalanan ke Seremban. Di masa akan datang, KTMB merancang untuk menambah lagi 3 perjalanan pergi-balik menggunakan ETS.

Keadaan ini bermakna terdapatnya sekurang-kurangnya 12 perjalanan antara Ipoh dan Kuala Lumpur. Alangkah bertuahnya warga negeri Perak kerana memperoleh perkhidmatan keretapi sebegini kerap.

Antara perkara yang ingin saya ulas mengenai ETS:-

1) Tambang RM30 KL-Ipoh.

Benar, tambangnya sama dengan perjalanan menaiki bas, dan perjalanannya jauh lebih cepat dan selamat berbanding menggunakan bas ekspres.

Namun, pengurusan ETS haruslah menyedari satu perkara, bahawa kesetiaan pengguna kepada perkhidmatan KTMB walaupun seperlahan atau selambat mana pun keretapi tiba, tetap berterusan dan kekal.

Mengapakah ramai masih setia? Jawapannya: Tambang Murah!

Bayangkan perjalanan dari Gurun, Kedah ke KL Sentral yang hanya berharga RM21 sehala, amat murah berbanding bas ekspres yang berharga RM45 bagi perjalanan sama. Pengguna tetap setia walaupun naik pada 8 malam dan tiba 8 pagi keesokan harinya.

Dengan tambang ETS sehingga RM30, pengguna akan terus setia dengan keretapi Ekspres Senandung yang perlahan itu, mahupun Keretapi Shuttle yang tiba lambat sedikit.

Diharapkan pihak pengurusan ETS KTMB dapat menyemak semula tambang, dan menjadikannya setara dengan kelas Superior agar ETS dapat menjadi pilihan utama, dan terus kompetitif berbanding bas ekspres.

2) Kelajuan tren tidak seperti dijangka.

Laman web ETS KTMB menunjukkan bahawa kelajuan tren adalah 140 km/j. Saya tidak pasti adakah ini kelajuan purata, namun itu adalah andaian yang ramai pengguna akan berikan, satu manifestasi keyakinan kepada tren ETS.

Saya dapat berkesempatan melihat bahagian kokpit (?) pemandu, dan dapat melihat tren hanya dapat bergerak antara 120km/j hingga 145 km/j, dan nampaknya kelajuan purata 140km/j pastinya sukar dicapai. Namun kemudiannya, pemandu menutup ruang tingkap kokpitnya yang terbuka untuk saya lihat pada awalnya.

Mungkin oleh kerana perkhidmatan ini masih baharu, jadi menyebabkan pemandu tidak cukup yakin untuk memandu dengan kelajuan menghampiri maksimum, iaitu 160 km/j.

Diharapkan kelajuan tren dapat dipertingkatkan, agar sasaran perjalanan Ipoh-KL kurang dari 2 jam dapat dicapai, lantas menambahkan keyakinan ramai kepada ETS.

3) Tren Ipoh-Seremban tidak berhenti di Kajang.

Seperti yang ramai sedia maklum, Kajang merupakan sebuah bandar yang hampir dengan Bangi, yang menempatkan pelbagai institusi pendidikan dan penyelidikan. Sewajarnya tren Ipoh-Seremban boleh berhenti seketika di Kajang, memandangkan saiz stesen yang agak besar.

Mungkin pihak pengurusan ETS tidak mahu penumpang tanpa tiket menaiki tren mereka, seperti mana yang berlaku kepada perkhidmatan shuttle Kajang-Ipoh sebelum ini. Jika begitulah sebabnya, kita terima sahaja.

Lagipun tidak mengapa, kerana perkhidmatan KTM Komuter kian cekap sejak kebelakangan ini. Tahniah kita ucapkan.

4) Perkhidmatan nilai tambah.

Dalam bahasa Inggeris, ianya dipanggil “Value-Added Service”. Jika ETS berhasrat mengekalkan struktur tambang sedia ada, bagi saya tidak mengapa jika perkhidmatan nilai tambah ini disediakan dalam setiap tren mereka:-

  • Akses Internet Wi-Fi: Idea ini sebenarnya pernah diutarakan setahun sebelum pengenalan ETS. Ini merupakan idea yang sangat bagus untuk dijadikan kenyataan, memandangkan kebosanan penumpang dapat dikurangkan apabila mereka boleh berhubung menerusi facebook, mahupun dapat menonton siaran video YouTube.
  • Kemudahan tempahan mudah: Dengan kewujudan perbankan dalam talian, wajar untuk tiket ETS untuk lebih mudah dibeli menerusi internet, dengan tiket boleh dicetak sendiri seperti yang dilakukan para pelanggan AirAsia.
  • Tempat menunggu lebih selesa: Seperti tren ERL ke KLIA yang menyediakan ruangan menunggu khas dan selesa untuk para penumpangnya, KTMB juga boleh menyediakan yang serupa, khas buat para penumpang ETS yang membayar tambang lebih untuk perjalanan mereka.

Sekadar sedikit ulasan dan cadangan daripada pelanggan yang punya impian untuk perkhidmatan keretapi lebih cekap dan selesa di masa akan datang.

KTMB, teruskan perbaiki mutu perkhidmatan. Disember 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

Bagi mereka yang kerap menaiki KTM Komuter, pasti akan menyedari iklan yang diletakkan oleh pihak pengurusan mereka di stesen-stesen yang terlibat dengan perkhidmatan tren setiap 15 minit yang telah dimulakan. Saya sendiri belum mencuba, namun iklan sedemikian membayangkan aspirasi tinggi KTM Berhad untuk menyediakan perkhidmatan keretapi Komuter yang lebih menepati masa sejajar keperluan rakyat.

Tetapi bukan cerita Komuter yang saya mahu lontarkan di sini. Tulisan saya lebih bertumpu kepada perkhidmatan tren Shuttle KL-Ipoh dan Kajang-Ipoh yang sudah sekian lama wujud, dan mendapat perhatian kerana tambang yang berpatutan dan ketepatan masa yang lebih baik berbanding Komuter dan juga bas ekspres, selain menyediakan perkhidmatan di kawasan yang tidak mempunyai bas ekspres ke Kuala Lumpur, misalnya pekan-pekan di Perak seperti Batu Gajah dan Kampar.

Kelas Superior KTMB

Pada permulaan perkhidmatan, tambang RM10 sehala ditawarkan untuk perjalanan 3 jam dari KL Sentral ke Ipoh untuk kelas ekonomi, manakala tambang RM18 ditawarkan untuk kelas Superior bagi perjalanan serupa.

Sejak menggunakan perkhidmatan ini, saya melihat beberapa perubahan yang dilakukan oleh KTMB ke atas perkhidmatan ini, ada antaranya yang bagus, ada juga yang mungkin kurang bagus pada pandangan saya dan anda.

1) Kenaikan tambang sejak Ramadhan lalu.

Tambang kelas ekonomi dinaikkan kepada RM12 sehala, dan kelas Superior dinaikkan kepada RM21 sehala, kenaikan antara RM2 hingga RM3 yang boleh dikatakan munasabah untuk tujuan pembiayaan kos. Namun perubahan yang seterusnya pasti menyakitkan hati.

2) Kekurangan tempat duduk untuk kelas ekonomi.

Sama ada jumlah penumpang yang semakin meningkat, ataupun jumlah koc kelas ekonomi yang dikurangkan pihak KTMB, saya merasakan keadaannya makin sukar untuk saya memperoleh tempat duduk kelas ekonomi setiap kali menaiki tren Shuttle. Apabila dilihat, kadangkala hanya satu koc digunakan untuk kelas ekonomi, berbanding koc selebihnya (antara 3 hingga 4 buah) yang menyediakan tempat duduk Superior yang memerlukan saya mengeluarkan lebih RM9 dari poket, namun tempat duduk empuk lagi selesa.

Nampaknya KTMB juga mungkin ingin mencuba strategi AirAsia yang mengenakan harga tiket hampir percuma kepada beberapa penumpang yang menempah awal, seterusnya kadar harga menegak kepada penumpang yang menempah lewat. Bezanya, hanya ada dua jenis kadar tambang di tren Shuttle KTMB

3) Keadaan tidak selesa di kelas ekonomi.

Tempat duduk kelas ekonomi. Apakah pendapat anda tentang keadaannya?

Tidak pasti pula, mungkinkah saya terlalu terbiasa dengan kelas Superior? Namun sukar diterima jika melihat pintu kaca kedap bunyi yang tidak dapat ditutup gara-gara kerosakan, di mana ini menyebabkan bunyi yang kuat dari luar mengganggu penumpang yang tidak memiliki sistem audio peribadi seperti Sony Ericsson G705 =).

Selain itu, keadaan pintu yang tidak dapat ditutup juga menyebabkan pengudaraan tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya. Sistem penyaman udara dalam koc tidak dapat memastikan penumpang merasa sejuk, malah kepanasan menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang yang tidak disediakan tempat duduk empuk dan berusaha menjimatkan kos perjalanan dengan memilih koc kelas ekonomi.

4) Sambungan beberapa tren ke Kajang.

Memandangkan saya salah seorang penghuni bandar Kajang, pastinya saya merasa gembira dengan sambungan ini, namun malangnya ketidaksesuaian masa selalunya memerlukan saya menaiki tren dari KL Sentral, yang mana tiada masalah bagi saya kerana KL Sentral mempunyai kawasan meletak motosikal yang banyak dan tersusun, seterusnya dijaga dengan rapi oleh pasukan polis bantuan Semasa Sentral.

Sambungan Kajang ini kelihatan berguna apabila saya perlu meninggalkan motosikal di Sri Ros untuk pulang ke Kedah untuk cuti panjang, yang saya tidak rasa ingin lakukan dalam masa terdekat. Lagipun saya punya banyak komitmen, serta kekurangan dana untuk perjalanan yang jauh, yang mana perlu menaiki bas ekspres menghala Alor Setar yang mana tambangnya kini RM45 dari Hentian Kajang.

Paling penting, sambungan Kajang ini membuatkan Batu Gajah terasa amat dekat kerana ianya perjalanan yang tidak memerlukan pertukaran kenderaan yang kerap, seterusnya tidak dipengaruhi keadaan kesesakan trafik lebuhraya setiap kali musim perayaan.

Diharap keadaan yang tidak memuaskan di koc kelas ekonomi kebelakangan ini, dapatlah diperbaiki, agar seia dan sekata dengan tulisan di bahagian atas tiket: 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Jangan benarkan rakyat menjadi meluat dengan slogan tersebut.

Aerorail Melaka, selamat ke? September 15, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
3 comments

Saya hari ini melawat laman web Jabatan Keretapi Malaysia, kerana ingin melihat pelan jajaran untuk sambungan sistem LRT Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang, yang mana kedua-dua laluan ini bakal bertemu di Putra Heights, sebuah projek perumahan baru Sime Darby Property di pinggir Subang Jaya.

Maklumat belum dipaparkan lagi di laman web tersebut, namun ada sesuatu perkara yang menarik perhatian saya, iaitu bahagian maklumbalas awam bagi projek Aerorail Melaka.

Saya membaca pautan tersebut lebih lanjut untuk memperoleh latar belakang projek, jarak laluan, teknologi yang digunakan, dan butir-butir lain yang penting dalam projek ini.

Seterusnya, saya mencari lebih lanjut di Google, dan nampaknya tidak ketemu dengan Aerorail, membayangkan satu inovasi pertama dunia yang mungkin akan muncul di Melaka.

Rupa-rupanya tren yang disebut Aerorail itu sebenarnya dipanggil sebagai Aerobus, nama yang digunakan pada sebuah syarikat bas ekspres yang mengangkut penumpang antara LCCT KLIA di Sepang dan Stesen Sentral Kuala Lumpur.

Untuk maklumat, Aerobus adalah satu sistem keretapi yang melalui kabel yang digantung sepanjang laluannya, dan telah digunakan di Amerika Syarikat dan Eropah, terutama di resort ski di Switzerland.

Berikut adalah kelebihan Aerobus dari segi kos berbanding sistem-sistem rel lain:-

Boleh membawa 3,000 hingga 20,000 penumpang sejam sehala pada kos 60% lebih murah daripada monorel.

Kos pembinaan lebih murah per batu berbanding sistem pengangkutan rel lain, iaitu AS$15 juta hingga 30 juta per batu. Untuk makluman, sistem LRT akan memakan kos antara AS$100 juta hingga AS$150 juta per batu, manakala monorel memakan kos AS$75 juta hingga AS$100 juta per batu.

Namun, melihatkan kebiasaan Aerobus ini yang digunakan di resort ski, saya meragui keberkesanannya di Melaka, memandangkan Melaka adalah sebuah bandar yang menghadapi kesesakan lalu lintas yang perlu diatasi bagi memastikan kunjungan pelancong yang berterusan.

Sistem Aerobus pada saya, hanya sesuai untuk tujuan pelancongan, iaitu bagi membawa penumpang antara lokasi-lokasi utama di Bandar Melaka. Seharusnya jika boleh, laluan keretapi harus bermula di luar Bandar Melaka, di kawasan seperti Ayer Keroh supaya dapat benar-benar memanfaatkan untuk rakyat Melaka seluruhnya.

Tidak mengapa, ini hanya pandangan awal saya, kita tunggu dan lihat sahaja apakah nasib projek ini nanti. Diharapkan sistem pengangkutan awam yang akan disediakan nanti dapat memenuhi janji untuk memberikan perkhidmatan yang efisien bagi manfaat rakyat dan pelancong Melaka.

Aduan kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Ogos 27, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , ,
51 comments
Complaint No.: A60089
Date: 27/08/2009
Status: CASE UNDER INVESTIGATION
Subject: IRRESPONSIBLE KTMB STAFF, ACTION NEEDED
Details of Complaint:
On 4.30pm 23/8/2009, I go to Kajang KTM Station to purchase train ticket for a journey from Batu Gajah to Butterworth on 18/9/2009,2 days before Hari Raya. When I asked the KTM ticket clerk,she said all tickets for journeys on 18/9/2009 are sold out,and recommends me to take ticket for same journey on 19/9 instead, which departs on 11.11pm, arrived on 4.40am 20/9, which would be Hari Raya.

I purchased the ticket finally, as there are no other options left. My relative who lives in Batu Gajah was sympathetic, as I would need to endure a journey on the Hari Raya Eve. But I don’t mind, since I consider myself lucky for being given a chance to go back for Hari Raya to my hometown near to Butterworth.

She tried to solve the problem by trying to purchase the ticket at the KTM Batu Gajah for the journey for the date that I desired, 18/9. Eventually, she succeeded,contrary to what has been said by the KTM ticket clerk in Kajang.

This attitude frustrates me, as there would be other people who in dire need for tickets for such journey, who would be cheated by this KTM Kajang ticket clerk which embarrassed the company. Overall, I am happy with the company’s service even though they raised ticket price recently,since their train services are reliable,compared to express buses.

According to a visit on KTM website on the night of 23/8, there are 20 tickets still available for such journey.

Here are the details for my ticket.
Ticket Number: S 0070749
Train: Ekspres Langkawi (EL8)
Class: Ekonomi (CMB)
Origin: Batu Gajah, To: Butterworth
Departs: 19/9/2009 23:11, Arrives: 20/9/2009 4:39
Coach: R2, Place: 4D
Fare: RM12.00
Numbers written at the below side of the ticket:
092040001-00403893-1 23/08/2009 16:49 UserID:065061SR/20400/1

Nombor Aduan: A60089
Tarikh: 27/08/2009
Status: KES DALAM SIASATAN
Subjek: STAF KTMB TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, TINDAKAN DIPERLUKAN
Butir-butir Aduan:
Pada 4.30petang 23/8/2009,saya ke stesen KTM Kajang untuk membeli tiket keretapi untuk perjalanan dari Batu Gajah ke Butterworth pada 18/9/2009, 2 hari sebelum Hari Raya. Ketika saya bertanya kerani tiket wanita KTM tersebut, beliau berkata bahawa tiket untuk semua perjalanan 18/9/2009 habis dijual, dan mencadangkan saya mengambil tiket untuk perjalanan yang sama, tetapi pada 19/9, yang berlepas pada jam 11.11 malam, tiba pada 4.40 pagi 20/9, iaitu pada Hari Raya Pertama.

Saya membeli juga tiket tersebut, melihatkan tiadanya pilihan lain. Saudara saya (wanita) yang tinggal di Batu Gajah bersimpati, kerana saya perlu menempuh perjalanan pada malam Hari Raya. Namun saya tidak kisah, kerana saya menganggap diri saya bertuah kerana diberi peluang untuk pulang berhari raya di kampung yang berdekatan Butterworth.

Beliau cuba menyelesaikan masalah saya dengan cuba membeli tiket tersebut di stesen KTM Batu Gajah. Tiket masih ada, berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh kerani tiket KTM di Kajang.

Sikap ini mengecewakan saya, kerana mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan tiket untuk perjalanan sedemikian yang ditipu oleh kerani tiket KTM Kajang ini yang telah memalukan syarikatnya. Secara keseluruhan, saya gembira dengan perkhidmatan syarikat ini walaupun mereka baru sahaja menaikkan kadar tambang, kerana perkhidmatan keretapi mereka boleh dipercayai, berbanding bas ekspres.

Berdasarkan lawatan saya ke laman web KTM pada malam 23/8 terdapat 20 tiket yang masih ada untuk perjalanan serupa.

Berikut adalah butir-butir tiket saya.

Nombor Tiket: S 0070749
Tren: Ekspres Langkawi (EL8)
Kelas: Ekonomi (CMB)
Dari: Batu Gajah, Ke: Butterworth

Berlepas: 19/9/2009 23:11, Tiba: 20/9/2009 4:39
Koc: R2, Tempat: 4D
Tambang: RM12.00
Nombor yang tertulis di bahagian bawah tiket:
092040001-00403893-1 23/08/2009 16:49 UserID:065061SR/20400/1

Aduan asal adalah dalam Bahasa Inggeris, supaya tindakan diambil lebih pantas. Di bahagian bawah adalah terjemahan yang saya lakukan untuk memudahkan pemahaman para pembaca. Jika ingin pergi ke laman web Biro Pengaduan Awam, anda boleh klik di sini.

Saya kecewa dengan sikap kerani tiket KTM Kajang yang disebutkan (namanya di pakaian seragam adalah “Sara”, manis orangnya), kerana beliau tidak mengamalkan etika kerja yang mesra pelanggan, sehinggakan sanggup menipu pelanggan mengenai tiket yang dicari.

Adakah kerana malas untuk memeriksa pangkalan data tiket?

Atau terlalu banyak pelanggan untuk perkhidmatan KTM Komuter yang memerlukan perhatian? Ini mungkin jawapannya, menurut kata hati saya.

Saya membayangkan bahawa para kerani tiket di Stesen KTM Kajang menghadapi tekanan hebat, kerana pelanggan yang sangat ramai jumlahnya untuk kedua-dua perkhidmatan Antarabandar dan Komuter.

Lebih-lebih lagi dengan tren “shuttle” yang semakin banyak, seperti laluan KL Sentral – Ipoh yang kebetulan dipanjangkan laluannya ke Kajang untuk dua perjalanan pagi dan petang.

Jika itu dikenal pasti sebagai puncanya, kita sama-samalah berharap agar stesen KTM Kajang dapat diperbesarkan lagi, dan ditambah bilangan kaunter tiket daripada dua sedia ada, kepada empat atau lima kaunter untuk menampung jumlah pelanggan, bukan hanya ditumpukan kepada perniagaan tapak letak kereta semata-mata.

Pada masa yang sama, saya juga berharap agar laluan pejalan kaki antara stesen KTM Kajang dan Jalan Reko diperbaiki supaya lebih selamat dan selesa. Laluan yang akan dibina haruslah luas dan lebar, dan juga cerah untuk penglihatan yang mudah di waktu malam. Sambungan yang mudah ini seterusnya dapat memudahkan penumpang KTM untuk diambil oleh rakan-rakan dan keluarga di Jalan Reko, mahupun menaiki bas RapidKL dan Road Liner sedia ada.

Selepas perkara ini dilakukan, KTMB boleh menumpukan kepada pembangunan seterusnya stesen KTM Kajang yang kebetulan terletak di lokasi yang amat strategik dan punya tapak yang luas, sekarang ini menjadi ruang meletak kenderaan.

Antara pembangunan yang akan memberikan pulangan berbaloi kepada KTMB dan pengguna adalah pusat komersil, yang mana akan menyediakan ruang niaga lebih luas dan tersusun kepada para peniaga yang “bersepah” bertaburan sekitar kawasan stesen KTM, ruang letak kenderaan yang lebih banyak dan selesa (mampu mengurangkan masalah tempat letak kenderaan di Pekan Kajang), selain akses mudah dari Jalan Reko dan Jalan Bukit yang mampu menyelesaikan masalah trafik di Jalan Bukit yang menempatkan sekolah menengah dan Kolej New Era.

Akhirnya bolehlah tempat itu nanti dipanggil Kajang Rail Mall. Macam cantik juga nama tersebut.

Saya kini tinggal di Kajang, dan saya amat menyayangi tempat ini. Mari kita doakan agar bandar Kajang kita lebih berjaya di masa akan datang, dan keluar daripada segala masalah yang membelenggunya.

Kenapa tiada terminal bas baru untuk ke Utara? Jun 4, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
7 comments

Saya menonton Edisi 7, jam 7 malam tadi. Ada satu laporan berita, tentang pengakuan kesilapan oleh Menteri di JPM, Nazri Aziz yang menarik balik katanya bahawa terminal bas baru di Bandar Tasik Selatan atau BTS akan digunakan untuk perjalanan bas ekspres ke semua kawasan. Beliau menjelaskan bahawa terminal BTS hanya akan digunakan untuk perjalanan bas ekspres ke selatan Semenanjung, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Terminal bas BTS juga akan dilengkapi 21 ruang untuk perlepasan bas, 18 ruang ketibaan bas, 31 ruang untuk teksi  jarak jauh dan 1372 ruang meletak kereta. Terminal bas BTS ini juga unik kerana terletak berdekatan dengan stesen KTM Komuter, LRT Aliran Ampang, dan KLIA Transit, menjadikannya lokasi yang sangat strategik untuk dibina sebuah stesen bas ekspres.

Apabila terminal baharu BTS itu siap kelak, jumlah bas ke Puduraya akan dikurangkan sebanyak 500 buah bas sehari. Terminal baharu untuk perjalanan ke Pantai Timur pula akan dibina di Gombak, manakala terminal baharu untuk perjalanan bas ke utara masih di peringkat cadangan dan proses melobi sedang dilakukan untuk dibina di Selayang.

Pada saya, perjalanan bas ke Pantai Timur tidak ada banyak masalah. Hentian Putra terletak berdekatan dengan Stesen KTM Komuter Putra, dan stesen LRT PWTC, manakala perjalanan ke Pahang pula di Hentian Pekeliling, yang juga terletak berdekatan stesen LRT dan Monorel Titiwangsa. Hentian Pekeliling tidaklah sesak, cuma jalan Tun Razak disebelahnya yang bermasalah kesesakan setiap hari.

Bagaimana pula dengan perjalanan ke Utara? Perjalanan ke Utara berkemungkinan akan terus menggunakan Hentian Puduraya dan Hentian Duta. Mungkin Puduraya akan kelihatan lebih tenang apabila bas-bas menuju arah selatan dipindahkan ke BTS. Itu merupakan suatu petanda yang baik, namun bas-bas yang kami akan naiki atau turun di Puduraya akan melalui kesesakan teruk sebelum berjaya tiba ke Puduraya. Keluar dari Puduraya pula, bas tetap akan mengharungi kesesakan sebelum dapat keluar dari Kuala Lumpur. Perjalanan untuk ke Utara tetap akan tergendala.

Hentian Duta pula, saya lihat tidak strategik langsung, kecuali kepada orang yang tinggal berdekatan. Saya juga terfikir, mengapakah hentian tersebut dibina di situ, jauh daripada laluan LRT/Komuter mahupun sebarang bas henti-henti? Saya fikir ianya idea yang tersangat tidak bijak ketika itu. Bersorak gembiralah para pemandu teksi dengan terbinanya terminal Hentian Duta ini.

Jika terminal ke Utara dibina di Selayang, diharapkan ianya dapat membantu penumpang bas sampai ke sana dengan mudah, jika boleh menggunakan LRT atau KTM Komuter. Jika ianya suatu lokasi yang jauh dari dua jenis pengangkutan awam ini, lebih baik gunakan saja Hentian Duta yang ada. Kesukaran pihak kerajaan sekarang mencari lokasi sesuai untuk terminal ke Utara amatlah dikesali, kerana ianya gara-gara perancangan tergopoh-gapah kerajaan terdahulu, yang kurang bijak apabila memilih lokasi seperti Hentian Duta untuk dibina perhentian bas.

Kesimpulannya, orang-orang Utara mungkin tidak mendapat terminal baharu, kerana kerajaan sangat lambat dalam menjalankan rundingan ke arah itu.

Plaza Rakyat....Terbengkalai begitu sahaja.

Plaza Rakyat....Terbengkalai begitu sahaja.

Entah sampai kiamat pun Puduraya takkan jadi seperti lukisan iti!

Entah sampai kiamat pun Puduraya takkan jadi seperti lukisan ini!

Jangan kata projek baru, projek lama Plaza Rakyat sebelah Puduraya “dah berjanggut” kita tunggu. Mahu tunggu Pakatan Rakyat berkuasa agaknya??

Berita gembira buat rakyat Sungai Petani, Kedah Mac 22, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , ,
6 comments

Sebuah terminal bernilai Rm10 juta akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah untuk kegunaan penduduk Sungai Petani. Diharapkan terminal ini dapat menyelesaikan masalah pengangkutan awam di bandar tersebut, sejajar dengan kemajuan yang dialami di Sungai Petani.bus

Ini adalah gambaran terminal bas baru Sungai Petani, yang dinamakan Dataran Usahawan.sp02kq3wu_011

Semoga terminal baru ini dapat membawa keselesaan dan memudahkan semua pihak.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.