jump to navigation

Belanjawan 2012: Pandangan yang diperoleh. Oktober 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Sudah seminggu Belanjawan 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri, kini masa cukup sesuai bagi rakyat membincangkannya bagi mengamalkan kebebasan bersuara masing-masing.

Sudah tentu, pandangan masing-masing bercampur-baur mengenai langkah-langkah yang diambil, dan kaedah bagi melaksanakan matlamat-matlamat yang digariskan dalam belanjawan ini.

Apakah ini yang akan berlaku di tahun 2020?

1) Umur persaraan 60 tahun, kerajaan dan swasta.

Perkara ini dibincangkan dengan cukup meluas dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Pelajar universiti dan kakitangan bawahan: Membantah, kurang kekosongan jawatan baharu, dan perubahan kepimpinan atasan sukar untuk dilakukan kerana umur persaraan dilambatkan.

Kerajaan: Mengoptimumkan perkhidmatan setiap kakitangan ke umur semaksima boleh.

Kelapa Muda: Bantah, kerana profesional yang bersara dari kerajaan masih boleh berkhidmat secara kontrak di organisasi lain jika khidmat masih diperlukan. Serahkanlah jawatan tersebut kepada mereka yang lebih muda dan mempunyai idea baru.

2) Peningkatan had pinjaman perumahan Skim Rumah PertamaKu kepada RM400,000.

Mampukah dibayar?

Pemaju perumahan: Sokong, kerana mampu meningkatkan kemampuan generasi muda untuk membeli rumah.

Kerajaan: Sokong, generasi muda wajar memiliki rumah sendiri.

Kelapa Muda: Bantah, kerana pastinya tidak ramai yang berkemampuan membayar pinjaman sebanyak itu, dan langkah ini tidak pun bertujuan menyelesaikan masalah harga hartanah yang meningkat mendadak.

“Rumah itu hak asasi rakyat, bukan sumber keuntungan.”

3) Pemberian baucar buku dan wang bantuan kepada pelajar sekolah dan Universiti, bantuan keluarga RM500.

Rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi: Terima kasih kerajaan kerana prihatin.

Kerajaan: Bantuan ini tanda keprihatinan kami.

Kelapa Muda: Takkan tiap-tiap tahun bantuan ini mahu diberikan? Masalah peningkatan kos tidak ditangani sebaiknya dengan langkah yang lebih menyeluruh dari sekadar menaburkan wang. Itu Kelapa Muda sendiri pun boleh lakukan.

4) Bonus setengah bulan gaji untuk kakitangan kerajaan di akhir tahun.

Kakitangan kerajaan: Terima kasih, bonus berpatutan.

Kakitangan swasta: Barang akan naik, tapi kami tiada bonus.

Kelapa Muda: Kalau untuk bos besar syarikat, bonus berbulan-bulan gaji diberi. Bagaimana dengan kakitangan yang berhempas pulas bekerja? Majikan swasta wajar bertimbang rasa, dan kerajaan perlu pastikan ketidakadilan ini ditangani.

Lebih banyak hibrid mewah akan dibawa masuk bagi memanfaatkan pengecualian cukai.

5) Pengecualian cukai diteruskan bagi kenderaan hibrid.

Pemain industri automotif: Langkah kerajaan mesra alam.

Kerajaan: Inilah bukti kami menjaga alam sekitar.

Kelapa Muda: Orang kaya akan bergembira kerana boleh tunjuk “mesra alam” tanpa bayar cukai, menyesakkan lagi jalan raya. Kenapa tidak diperkasakan pengangkutan awam demi mesra alam?

6) Pengecualian cukai untuk teksi baru individu, cukai jalan percuma bagi teksi individu.

Pemandu teksi: Terima kasih, tapi adakah permohonan permit teksi individu akan dipermudahkan?

Kelapa Muda: Ini langkah tanda kerisauan terhadap Ketua Pembangkang yang sudah mendekati pemandu teksi, sedangkan syarikat pemegang permit teksi dikuasai elit-elit parti pemerintah.

Belanjawan untuk pilihanraya.

Belanjawan bernilai RM232 bilion, sedangkan hasil kerajaan RM180 bilion.

Sumber lebih RM40 bilion lagi tidak dinyatakan.

Mari kita bayangkan dari mana kerajaan akan memperoleh dana:-

  • KWSP: Sumber popular untuk kerajaan meminjam. Dana pencen Top 10 Dunia. Sumbangan majikan ditingkatkan kepada 13% berdasarkan belanjawan 2012
  • Pinjaman asing: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir anti-IMF dan anti-Bank Dunia. Apakah kita akan jadi seperti Amerika yang akan minta bantuan China untuk membeli matawang dan bon kerajaan?
  • GST: Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kini perlahan-lahan dilaksanakan, kes paling jelas ketika pembekal telekomunikasi mahu mengenakan 6% kepada pelanggan prabayar.
  • Petronas: Sumbangan kepada kerajaan dihadkan kepada RM26 bilion setahun, tetapi dengan pasukan pengurusan yang begitu pro-Kerajaan, mungkin semuanya boleh diubah “demi negara”.
  • Bank Negara Malaysia: Boleh menentukan hala tuju matawang Ringgit, dan juga mempunyai kuasa untuk mencetak wang tunai. Persoalannya bolehkah institusi ini dimanipulasi?

Terus terang Kelapa Muda nyatakan, belanjawan kali ini tiada rasa tanggungjawab terhadap memperkukuhkan kewangan kerajaan dan rakyat dalam menghadapi pelbagai lagi krisis yang bukan lagi datang 10 tahun sekali, tetapi kini setiap tahun.

Kebanyakannya tertumpu kepada pengagihan wang ke sana dan ke sini, tanpa usaha kukuh bagi meningkatkan kecekapan kerajaan menggunakan sumber kewangan yang kian terhad.

Penglibatan dalam F1, siapa kata tak bagus? April 8, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Blog berita automotif terkenal Paul Tan melaporkan mengenai petrol terbaru daripada Petronas, yang turut dipaparkan dalam pelbagai iklan tatkala demam F1 melanda Malaysia.

Petrol tersebut akan menggunakan nama Primax 95 Xtra, yang dikatakan dapat memberikan keseimbangan antara prestasi enjin dan penjimatan minyak. Keseimbangan tersebut sedikit sebanyak merupakan hasil daripada kerjasama dan perkongsian teknologi menerusi sukan F1.

Perkembangan ini sudah tentunya berita baik untuk rakyat Malaysia yang kebanyakannya cenderung mengejar masa dengan memandu pada kelajuan tinggi, pada masa yang sama kesempitan wang untuk membayar harga bahan api.

Menjelang GP Malaysia Ahad ini, kita diperkenalkan kepada 3 pasukan F1 yang mengiktiraf Malaysia sebagai antara rumah mereka. Mereka beranggapan sedemikian kerana menerima penajaan dan penglibatan syarikat gergasi negara kita.

Lotus Renault GP menerima penajaan secara tidak langsung dari Proton yang memiliki Group Lotus UK. Manakala Team Lotus menerima tajaan dari Tune Group dan Kumpulan Naza.

Masih hebat memandu jentera F1.

Manakala Mercedes-Benz bergabung dengan syarikat minyak kebangsaan, Petronas membentuk Mercedes GP Petronas yang turut dianggotai oleh bekas juara, Michael Schumacher sebagai pelumba utama.

Penglibatan syarikat Malaysia dalam F1 terus membuahkan hasil apabila Proton, pengeluar kereta nasional mula menunjukkan potensi bagi menjadi pengeluar berstatus global menerusi kerjasama dengan gabungan Renault-Nissan yang terbukti berjaya di peringkat antarabangsa.

 

Maaf, tawaran sudah tamat. Saya juga tak sempat beli tiket murah ini. Harap tahun depan ada lagi.

Pengurusan Sepang F1 Circuit pula harus diberikan pujian ke atas penawaran harga tiket yang cukup berpatutan, iaitu RM30 untuk tempat duduk bukit (hillstand) bagi pembelian awal.

Difahamkan harga sedemikian adalah yang terendah di dunia bagi siri perlumbaan F1. Tiket untuk kawasan duduk yang sama masih boleh diperoleh pada harga RM60 sehingga hari perlumbaan.

Menarik lihat jentera F1 bergelut dalam hujan bukan?

Akhir sekali, harapan semua adalah supaya sistem saliran di Litar F1 Sepang dapat berfungsi dengan baik supaya perlumbaan dapat diteruskan walaupun hujan melanda.

Pada pandangan Kelapa Muda, kejadian sedemikian pastinya akan menjadi lebih menarik di kaca TV jika perlumbaan tidak terganggu.

 

 

Tabik kepada Ku Li, Kuli Rakyat Yang Sejati! Mac 13, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Sejak kerajaan Kelantan pimpinan PAS mempersoalkan isu royalti minyak, salah seorang yang giat memperjuangkan

Ketika membantah pindaan perlembagaan 1993 oleh pentadbiran Mahathir.

hak tersebut ialah seorang yang tidak asing lagi dalam politik Malaysia, malah begitu hampir dengan kerusi Perdana Menteri suatu ketika. Namun akhirnya beliau dipinggirkan dalam parti yang beliau cinta, terpaksa menubuhkan Semangat 46 untuk mengembalikan parti tersebut kepada asal usulnya.

Satu demi satu tokoh pengasas Semangat 46 pergi ke rahmatullah, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Nasib parti beliau dalam pilihanraya 1990 dan 1995 amat malang sekali, sehingga akhirnya diterima semula memasuki UMNO Baru pada 1996. Sekian lama di dalam bidang politik, beliau pernah menjawat jawatan dalam pelbagai agensi kerajaan dan juga sebagai menteri kabinet.

Beliau adalah antara peneraju Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang mewujudkan Petronas, syarikat yang kini berada pada tahap global. Akta tersebut juga bertujuan membela negeri-negeri pengeluar petroleum supaya dapat memperoleh hasil royalti, dalam semangat Persekutuan yang dibina sejak merdeka.

Selama umur saya hampir 20 tahun, tidak pernah saya terdengar sedikit pun cerita kurang enak tentang tokoh ini. Nama beliau harum di mata rakyat, bukan semata-mata atas kedudukan sebagai kerabat diraja, malah juga atas perjuangan beliau dalam memastikan negara kita kembali ke asas penubuhannya, parti UMNO untuk kembali ke landasan perjuangannya selepas kedua-duanya terpesong jauh dalam kesesatan.

Biar terpinggir, beliau masih setia. Kerana beliau mengetahui bahawa parti itulah asas kepada perjuangan membina negara dan bangsa Malaysia keseluruhannya, bukan hanya untuk kepentingan sempit suatu kaum sahaja, malangnya sudah diperalatkan sewenang-wenangnya dengan dijadikan medium perkauman dan medan untuk mengumpul kekayaan peribadi.

Berapa batu nautika yang dimahukan? Terengganu pun boleh dapat walau kawasan minyak lebih jauh ke laut.

Tergamak sebilangan pimpinan partinya, mengecam beliau gara-gara muncul dalam acara-acara ceramah menuntut royalti minyak Kelantan, mempertikaikan kesetiaan beliau kepada UMNO, sedangkan pemimpin-pemimpin sedemikian entah lebih teruk mengkhianati kaum dan partinya, dengan gelagat korup dan nepotisme. Walaupun nasib beliau malang dengan berada sebumbung dengan golongan sebegini, beliau tidak mengeluh mahupun patah semangat, malah masih terus punya harapan.

Minggu-minggu kebelakangan, ramai tokoh Pakatan Rakyat cuba meraih perhatian Tengku Razaleigh Hamzah, agar berada bersama mereka menentang BN, memandangkan kumpulan mereka yang semakin mengecil akibat melompat parti dan tidak tahan dengan godaan duniawi. Spekulasi juga kian kedengaran, bahawa beliau mahu meninggalkan UMNO sekali lagi.

Hari ini 13 Mac, beliau muncul dengan menyatakan, “Saya tetap bersama UMNO”.

Saya tabik beliau atas pendirian ini. Kepada yang kerap membaca tulisan saya, jangan salah sangka. Saya tidak pun melompat ke parti UMNO. Apa kata saya jelaskan mengapa Tengku Razaleigh Hamzah perlu untuk terus bersama dengan UMNO, parti yang telah beliau perjuangkan sekian lama.

1) Suara beliau yang kian terhad dapat didengari.

Memandangkan beliau sebahagian daripada UMNO, pastinya pimpinan sekarang akan kerap bertemu beliau demi memastikan kesetiaan beliau terjaga, selain untuk mendapatkan pandangannya dalam isu-isu semasa seperti royalti minyak Kelantan, malah juga isu pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Dalam keadaan seperti sekarang, UMNO pastinya mahu untuk memiliki moral setinggi boleh dengan mengelakkan konflik daripada tercetus.

2) Untuk memastikan Pakatan Rakyat terus melakukan proses pembersihan dan perpaduan.

Harus diakui, Pakatan Rakyat masih belum cukup utuh bila memperlihatkan semakin ramai yang keluar parti tiba-tiba dengan alasan yang direka-reka. Namun apabila terdapatnya keberanian besar untuk mengeluarkan dalang perpecahan seperti Zulkifli Noordin, saya harus berkata bahawa Pakatan Rakyat serius dalam melaksanakan agenda perubahan tanpa sebarang dolak dalih atau tolak ansur.

Selain itu, gabungan yang masih muda ini perlu diperkukuhkan hubungan antara komponennya. Sebilangan pemimpin DAP dan PAS, serta PKR belum cukup sebulu sesama mereka. Itu belum termasuk lagi krisis-krisis kecil di peringkat dalaman setiap parti komponen, seperti yang dihadapi Khalid Ibrahim di PKR Cabang Kuala Selangor, yang mana dengan mudahnya boleh dimanipulasi oleh UMNO. Kita tidak boleh mempersalahkan UMNO jika mereka mengambil peluang yang terhidang di depan mata.

Kasihanilah Ku Li yang semakin berusia, kerana beliau sudah pasti tidak mahu menyertai Pakatan Rakyat jika pemimpinnya masih bercakaran sesama sendiri. Beliau sudah terlalu berusia untuk memikul beban sebagai orang tengah antara pelbagai kumpulan bertelagah. Malah, cuba yakinkan Ku Li lagi, supaya suatu hari nanti, beliau akhirnya bersama kita di Pakatan Rakyat.

3) Supaya beliau dapat memperbetulkan UMNO ke asalnya.

Pastinya perkara ini berkemungkinan besar tidak akan berlaku. Namun, apabila Ku Li terus melakukan seperti sekarang, mendedahkan kepincangan dalam UMNO dan kerajaan, sudah pasti rakyat yang bijaksana akan menolak pentadbiran sedemikian rupa. Penolakan rakyat yang seterusnya, akan memberi tamparan hebat kepada UMNO supaya sedar diri mereka bahawa mereka juga Kuli Rakyat, bukan Tuan kepada rakyat. Mereka fikir Ku Li saja yang jadi Kuli?

4) Perjuangan Ku Li memang berasaskan kepada bangsa Melayu, berbanding Pakatan Rakyat yang kelihatan lebih universal.

Tiada masalah menjadi universal, dan tiada juga masalah untuk memperjuangkan bangsa yang memang telah meneroka negara ini. Melihatkan kepada Pakatan Rakyat, mereka tiada batasan perkauman dalam perjuangan, dan sudah sepakat bahawa yang memimpin negara datang daripada kalangan orang Islam, tak mengira kaum.

Pada masa yang sama, Tengku Razaleigh datang daripada kalangan kerabat diraja, yang memang sekian lama berkuasa di negara ini, terutamanya negeri Kelantan. Walaupun perjuangan Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan kuasa institusi diraja, beliau masih belum meyakininya, dan pasti kita tidak boleh menyalahkan beliau untuk keadaan sedemikian.

Akhir kata, tidak perlulah kita bersikap seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang tak habis-habis menarik tokoh itu dan ini untuk menyertai mereka, seperti yang diceritakan Mufti Perak Ustaz Harussani Zakaria, yang kecewa PAS bersama DAP membentuk kerajaan negeri Perak, yang akhirnya digulingkan jua, seolah-olah tidak mengetahui bahawa PAS pernah dipermainkan oleh UMNO pada masa dahulu. PKR juga, jika tiada perubahan ke arah kebaikan, berpotensi untuk berkubur, senasib dengan Semangat 46 yang akhirnya kembali bersama UMNO.

Kita buktikan keupayaan untuk memimpin dan merobah negara ini, nescaya kemudian satu demi satu insan hebat dan berbakat akan menyertai kita untuk meneruskan usaha murni ini. Semoga usaha kita diredhai, dan niat wakil-wakil rakyat kita tidak terpesong dengan godaan duniawi.

Bantu rakan senegara, atau tingkatkan penjenamaan? Disember 23, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
1 comment so far

Baca tajuk. Begitulah yang masing-masing kita fikirkan mengenai Petronas, sebuah syarikat pengeluar minyak yang kini berskala global apabila dibicarakan soal penajaan untuk Formula 1 musim 2010.

Sebuah pasukan baru sahaja diwujudkan iaitu Lotus F1 yang dimiliki oleh Tony Fernandes, usahawan penerbangan yang memiliki AirAsia. Tony dipetik sebagai berkata bahawa beliau amat seronok jika Petronas, sebuah syarikat petroleum milik kerajaan Malaysia sudi memberikan penajaan kepada pasukan yang baru ingin bertapak itu.

Namun beberapa hari lalu, Petronas telah bersetuju menjadi penaja kepada pasukan Mercedes Grand Prix, nama baru kepada Brawn GP, pasukan juara F1 2009. Tajaan bernilai AS$43 juta akan diberi Petronas kepada Mercedes GP untuk tahun 2010. Lantas respon daripada orang-orang penting dalam Lotus F1 jelas mencerminkan kekecewaan mereka ke atas keputusan Petronas tersebut.

Salah seorangnya Alex Yoong, bekas pelumba F1 Minardi dan A1 Malaysia. Beliau meluahkan rasa malu terhadap keputusan Petronas untuk menaja Mercedes daripada pasukan yang baru diterajuinya sebagai Pengarah Pembangunan Pemandu iaitu Lotus F1Malaysia.

Tambah Alex lagi, seharusnya Petronas memilih Lotus F1Malaysia kerana apa yang dilakukan pasukan Lotus telah mencipta satu sejarah baru buat industri automotif negara.

Pada saya, Petronas tidak harus dibebankan lagi dengan tanggungjawab untuk menaja sebuah pasukan F1 baru dari Malaysia, memandangkan pasukan Lotus F1Malaysia sudah pun memperoleh penajaan daripada pelbagai syarikat berkaitan kerajaan yang turut memiliki kedudukan kewangan yang baik, itu sudah pun mencukupi.

Nama Petronas terpampang besar pada badan kereta F1 sebuah pasukan juara dunia.

Petronas dalam hal lain, adalah sebuah syarikat global yang memang setaraf dengan syarikat gergasi lain di dunia, yang mana memerlukan usaha gigih untuk pengiklanan produk mereka. Petronas sudah menyatakan bahawa mereka kini menguasai 2% daripada pasaran minyak pelincir di dunia, dan berharap agar penajaan kepada Mercedes GP akan membantu usaha mereka untuk menguasai pasaran, memandangkan nama Petronas juga akan turut diserapkan ke dalam pasukan tersebut, menjadikan nama pasukan itu sekarang Mercedes Petronas GP.

Selain itu, iklan Petronas juga akan diletakkan dengan saiz yang besar di badan kereta sebuah pasukan juara dunia, dan akan mendapat liputan kamera yang lebih kerap, kerana selalu mendahului perlumbaan. Dua perkara ini penting untuk impak iklan lebih berkesan. Bukankah itu lebih baik untuk Malaysia, di mana ada dua pasukan yang membawa nama negara Malaysia dalam sukan Formula 1.

Kepada pasukan Lotus F1Malaysia, lakukanlah yang terbaik di musim 2010 ini, supaya pasukan anda dapat memperoleh lebih banyak peluang penajaan. Jangan jadi terlalu manja.

Minta Shell Malaysia menawarkan V-Power Racing di lebih banyak stesen. November 6, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
5 comments

Sebagai seorang penunggang motosikal, saya telah mencuba pelbagai jenama minyak petrol untuk kegunaan perjalanan

Honda Wave 100R, motosikal saya.

motosikal saya, yang kini sudah berjumlah 32,500 kilometer sejak bapa saya membelinya pada Julai 2007 dua tahun lalu. Sudah merata tempat saya pergi dengan menunggang motosikal saya ini, untuk bertemu rakan-rakan dan menikmati keindahan alam di tempat-tempat yang jauh dari hiruk-pikuk kota raya Kuala Lumpur atau Lembah Klang.

Stesen minyak yang saya kerap kunjungi adalah Shell, saya tidak pasti mengapa sebenarnya. Saya memiliki kad BonusLink dan menggemari nozel pam minyak di Shell yang sangat mudah ditekan, seperti pistol rupanya. Saya teramat rimas dengan Petronas yang kerap bertukar kad kesetiaan pengguna, mula-mula Kad Mesra lama, seterusnya RealRewards, dan kini mereka mengeluarkan pula Kad Mesra baharu yang tidak mempunyai rakan niaga lain.

Jadi senang cerita, saya adalah seorang pengguna setia Shell yang wujud di setiap pekan kecil kecuali di Yan, kampung halaman saya yang telah didominasi oleh StesenKu (satu cabang Esso) dan Petronas. Caltex di sana pula, baru sahaja dibuka dan tidak menawarkan program kesetiaan pengguna.

Tengah tidur pun boleh turunkan harga minyak serta defisit belanjawan. Agaknya bagaimana hebat negara kita ini jika Pak Lah lebih rajin dan sempat bangun dari tidur?

Semenjak kali terakhir petrol diturunkan harga oleh pentadbiran Abdullah Badawi kepada Rm1.80 seliter, Shell telah mula mempromosikan minyak V-Power Racing mereka dengan menawarkan 3 kali ganda mata ganjaran BonusLink untuk setiap isian minyak V-Power Racing. Jadi saya pun mencuba, dan hasilnya saya dapat merasakan kuasanya, walaupun motosikal saya hanya berkapasiti 100cc. Mata ganjaran BonusLink saya juga turut bertambah.

Penggunaan minyak juga jauh lebih jimat, jadi saya memutuskan untuk setia menggunakannya, lebih-lebih lagi apabila Shell terus menggiatkan promosi dengan menurunkan harga V-Power Racing kepada RM2.15 seliter, seterusnya RM2.05 seliter berbanding harga asal RM2.25 seliter.

Pasti beliau akan lebih pening kepala untuk uruskan ekonomi jika kegawatan ekonomi dunia berulang lagi dalam masa terdekat. Sudah RM77 bilion beliau belanjakan sejak jadi Menteri Kewangan, masih tiada pertumbuhan.

Memandangkan kerajaan Najib Razak pula meningkatkan harga minyak RON97 (V-Power adalah RON98) sebanyak 25 sen dan menawarkan RON95 sebagai gred utama, V-Power Racing juga mengalami peningkatan harga, iaitu kepada RM2.25 semula, seperti harga asal sebelum promosi. Jadi boleh kita katakan bahawa sebenarnya V-Power Racing tidak terjejas dengan kenaikan harga oleh kerajaan Najib ini.

Namun, jumlah stesen yang menawarkan V-Power Racing telah dikurangkan untuk memberi ruang kepada RON95 sebagai gred utama. Kini hanya 111 stesen yang menawarkannya di seluruh negara, berdasarkan kenyataan Shell bertarikh 14 September 2009.

Antara bandar yang tidak ada V-Power Racing di Shell mereka (mengikut turutan abjad negeri) adalah

  • seluruh Johor (kecuali Muar, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru),
  • seluruh Kedah (kecuali R&R Gurun arah Selatan),
  • seluruh Kelantan (kecuali Chicha dan Jalan Pengkalan Chepa),
  • seluruh Melaka (kecuali Bukit Katil),
  • seluruh Negeri Sembilan (kecuali R&R Seremban dan Plaza Tol Senawang),
  • seluruh Pahang (kecuali Kuantan),
  • seluruh Perak (kecuali Ipoh, Taiping dan jajaran Lebuhraya PLUS),
  • seluruh Pulau Pinang (kecuali Perai, George Town, Bayan Lepas dan jajaran Lebuhraya PLUS),
  • seluruh Terengganu (kecuali Batu Buruk),
  • seluruh Perlis,
  • seluruh Sabah,
  • seluruh Sarawak,
  • seluruh Selangor (kecuali 34 stesen, semuanya di Lembah Klang)

Minta Shell bawa pam ini ke lebih banyak bahagian di Malaysia.

Mengapakah V-Power Racing hanya ditawarkan di bandar-bandar besar, dan penduduk bandar kecil tidak dapat menikmatinya? Pada saya, V-Power Racing adalah satu produk petrol yang amat cemerlang daripada Shell, dan tidak pun dinaikkan harga seperti RON97.

Saya sekarang ingin mencadangkan kepada Shell supaya menyediakan V-Power Racing sekurang-kurangnya di sebuah stesen di sebuah bandar utama Malaysia supaya manfaat V-Power Racing dapat disebarkan lebih meluas kepada rakyat Malaysia yang kini berusaha gigih mencarinya, tidak kira sama ada yang memandu kereta, mahupun motosikal seperti saya.

Kemas kini 3 Ogos 2010: Kini Shell Malaysia telah memperkenalkan petrol RON97 baharu, iaitu Shell V-Power 97. Harga seperti petrol RON97 lain, iaitu RM2.10 seliter.

Shell V-Power Racing kekal pada harga yang dikemaskini Januari lalu, iaitu RM2.48 seliter.

Untuk mengelakkan kekeliruan apabila anda mengisi minyak di stesen Shell, berikut merupakan jenis petrol dan warna nozel mereka yang tersendiri.

1) Shell V-Power Racing (RM2.48/liter) – Merah.

2) Shell V-Power 97 (RM2.10/liter) – Hijau.

3) Shell FuelSave 95 (RM1.90/liter) – Kuning.

Shell V-Power 97 dan FuelSave 95 boleh diperolehi di kebanyakan stesen Shell, manakala V-Power Racing hanya boleh diperolehi di stesen-stesen terpilih. Layari www.shell.com.my.

Tahniah kepada BN. Pas perlu lakukan “post-mortem”. Oktober 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Selepas seminggu parti bertanding, BN dan Pas berkempen untuk meraih undi masyarakat Bagan Pinang, keputusan telah dibuat oleh para pengundi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa Abdul Samad menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan memperoleh undi 8013 berbalas 2578.

Majorti diperoleh Isa:- 5435 undi.

Apakah yang akan berlaku seterusnya?

1) Dengan populartiti sedemikian besar Isa kepada UMNO Negeri Sembilan, pastinya pengaruh Menteri Besar sekarang Dato’ Seri Mohamad Hasan telah menjunam. Jika sebelum pemilihan calon Bagan Pinang, UMNO Teluk Kemang mengugut untuk memboikot pilihanraya kecil ini jika Isa tidak dicalonkan, mungkin MB sekarang akan menjadi mangsa boikot para penyokong Isa yang pasti mahukan Isa naik semula kedudukannya dalam UMNO.

Harus kita ingat, bahawa pada pemilihan Naib Presiden UMNO 2004, Isa memperolehi undi tertinggi, mengatasi Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan juga Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Isa adalah mangsa kepada percaturan UMNO ketika itu, yang menyebabkan penggantungan beliau daripada parti, walaupun rasuah turut berleluasa dalam kalangan calon-calon UMNO lain. Jika peristiwa itu tidak berlaku, kemungkinan Isa boleh menjadi TPM sekarang.

Hasan punya pelbagai sebab untuk merasa rendah diri. Bandingkan sahaja majoriti undi yang diperolehnya pada pilihanraya umum ke-12 dengan majoriti undi Isa pada pilihanraya kecil ini. Di N27 Rantau, Hasan memperoleh 7739 undi mengatasi calon PKR yang memperoleh 3956 undi. Majoriti lebih kecil, hanya sebanyak 3783 undi.

2) Post-mortem menyeluruh akan dilakukan oleh Pas untuk mengenalpasti punca kekalahan besar. Buat kali pertamanya dalam pilihanraya kecil pasca PRU-12, Pas tewas. Dan kali ini dengan majoriti yang sangat besar, yang mana memerlukan usaha luar biasa untuk memulihkan kembali reputasi yang tercalar dengan kekalahan ini.

Peratus undi diperoleh Pas hanyalah 24.3%, paling rendah dalam mana-mana pilihanraya kecil. Antara punca kekalahan Pas pada saya adalah:-

- calon bukan orang tempatan Bagan Pinang

- propaganda “pengkhianat Melayu”

- sokongan kepada calon BN yang juga seorang bekas MB

- kehilangan undi daripada masyarakat India, yang kelihatan kembali kepada BN

- kelemahan jentera Pas sedia ada di kawasan Bagan Pinang dan negeri-negeri bukan tradisi

Demikianlah antara kelemahan yang saya lihat, yang mana setiap daripadanya perlu ditangani dengan sebaiknya untuk pilihanraya kecil yang lain, tidak kira di mana pun lokasinya.

3) Pindaan perlembagaan parti UMNO yang berusaha untuk meningkatkan jumlah yang boleh mengundi jawatan-jawatan tinggi dalam pemilihan UMNO 4 tahun lagi. Diharapkan pindaan ini dapat membantu dalam mengekang aktiviti rasuah yang menjadi duri dalam daging, dan sudah menjadi amalan tradisi dalam parti tersebut, sehinggakan dikatakan sebagai satu kesalahan “teknikal” oleh Perdana Menteri kita.

Itu adalah jangkaan tentang perkara yang akan berlaku, namun apakah pula yang telah berlaku di Bagan Pinang ini?

Satu perkara yang jelas kelihatan, adalah penerimaan masyarakat Bagan Pinang kepada politik wang. Bukan menyalahkan mereka, namun jelas terbukti bahawa politik berteraskan materialisme lebih berakar di hati masyarakat di kawasan Bagan Pinang.

Keadaan ini berlaku kerana masyarakat lebih melihat kepada jasa, bukti pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai di Port Dickson di bawah pentadbiran UMNO/BN. Pinggirkan soal projek terbengkalai, kerana memang rakyat di sana yang suka rela memutuskan untuk menjual tanah yang dimiliki kepada para pemodal industri pelancongan.

Justeru itu, satu usaha pembangunan yang gigih harus direncanakan dalam kalangan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Memang akauntabiliti menjadi keutamaan kerajaan, namun pembangunan material harus juga diberikan perhatian, misalnya usaha menarik pelabur asing untuk sektor perindustrian, bantuan untuk aktiviti pertanian dan penyediaan pekerjaan yang mencukupi.

Dengan semua ini berlaku di bawah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang stabil kewangannya, seperti di Pulau Pinang dan Selangor, limpahan pembangunan bolehlah dialirkan ke negeri Kedah dan Kelantan dengan pengwujudan industri hiliran atau IKS untuk menyokong industri yang lebih berat dan besar di Pulau Pinang dan Selangor.

Lagipun kita tidak boleh terlalu mengharapkan kepada kerajaan Persekutuan yang semakin kesuntukan wang dan idea, serta kurang kompeten untuk merencanakan pembangunan seterusnya yang memanfaatkan rakyat. Lihatlah sahaja defisit belanjawan, kejatuhan daya saing dan amalan rasuah yang berleluasa yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Persekutuan untuk terus relevan.

Oleh kerana kerajaan Persekutuan bersikap berpilih dalam mengagihkan pembangunan, Pakatan Rakyat di 4 negeri boleh dimaafkan untuk tempoh ini jika mereka melakukan perkara serupa, misalnya meminggirkan negeri-negeri lain yang di bawah BN dalam prosedur pemilihan kontraktor untuk projek-projek, mahupun dalam pemilihan kilang-kilang pembekal.

Ini mungkin satu idea yang masih “mentah”, dan boleh diperhalusi lagi untuk penambahbaikan. Yang penting, akhirnya kita akan dapat menyampaikan mesej bahawa Pakatan Rakyat boleh membangunkan 4 negeri dengan lebih cemerlang, dan sudah bersedia untuk menjadi kerajaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Selangor telah merintis jalan dengan usaha-usaha menarik pelabur, menambahkan peluang pekerjaan dan membuka tapak-tapak industri baharu. Diharapkan langkah sedemikian dapat dicontohi Pakatan Rakyat di 3 negeri lain, supaya kempen-kempen pilihanraya selepas ini, Pakatan Rakyat juga boleh menunjukkan dan membuktikan keupayaan dalam mentadbir negeri, walau dengan kuasa dan sumber terhad.

Semoga rakyat mampu memperoleh yang terbaik dengan persaingan sihat daripada dua gabungan, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam usaha membangunkan rakyat dan negara ke mercu yang lebih cemerlang.

Teringat pula projek-projek mega yang pernah negara kita lakukan seperti Menara Petronas, mahupun Terowong SMART. Dalam projek sebegini, dua pasukan pembina diwujudkan untuk menggalakkan persaingan bagi memberikan yang terbaik untuk projek yang dibina. Benar, cabaran dihadapi dua pasukan yang bersaing itu pastinya berbeza, seperti mana yang kita pernah tonton dalam rancangan TV di Discovery atau National Geographic.

Namun, begitulah juga dengan dunia politik sistem dwi-parti ala Amerika Syarikat, di mana adat berpasukan, yang mana dipenuhi dengan ahli yang punya falsafah berbeza. Yang penting, pasukan yang berjaya pastinya yang boleh menerima perbezaan dan membicarakannya secara matang untuk hasil terbaik dinikmati oleh rakyat yang akan diutamakan dalam setiap perancangan.

Perbandingan pekerjaan: PM Malaysia dan Civil Engineer warga Malaysia Ogos 5, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
8 comments

Gambar Hiasan. Terima Kasih Pak Lah, kerana bekerja keras untuk kami selama 5 tahun!

Gambar Hiasan. Terima Kasih Pak Lah, kerana bekerja keras untuk kami selama 5 tahun!

Ramai rakan-rakan saya yang membayangkan, bahawa menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah satu pekerjaan yang sangat susah.

Kata mereka, PM bekerja sangat keras, tak cukup tidur untuk memastikan kebahagiaan rakyat dan pembangunan negara berjalan dengan teratur dan lancar. PM berhempas pulas, bangun dari awal sebelum Subuh, dan tidur selepas solat Tahajud.

Jadi untuk membandingkan pekerjaan dengan PM Malaysia, berkemungkinan seorang jurutera awam atau civil engineer sesuai untuk dijadikan contoh perbandingan. Masing-masing berpelajaran tinggi dan profesional.

1)Beban kerja

PM: Memantau dan memastikan Jemaah Menteri dan Parti politik diwakili berada dalam keadaan teratur, bagi mendapatkan sokongan rakyat yang lebih mantap. Untuk memberikan setiap ucapan, ada penulis ucapan untuk memberikan impak ucapan yang lebih hebat untuk imej lebih gempak. (Contoh Dr. Munawwar Anees, penulis ucapan untuk Anwar Ibrahim, walaupun beliau belum lagi jadi PM pun…)

Civil Engineer: Perlu memantau dengan teliti setiap projek yang ditugaskan, agar perlaksanaan projek berjalan seperti dijadualkan. Selain itu, juga perlu melakukan pengukuran teliti menggunakan theodolite untuk memastikan struktur dibina tepat pada kedudukan seperti dirancang, agar struktur dapat bertahan lama. Misalnya salah satu menara daripada Menara Berkembar Petronas punya kadar kesilapan 0.01mm, terpaksa dibuat pengubahsuaian pada tingkat-tingkat terakhir untuk mengurangkan kesan kesilapan tersebut.

2) Ekonomi

PM: Mempunyai sepasukan pakar ekonomi, dari Unit Perancang Ekonomi JPM untuk memikirkan strategi dan perancangan masa hadapan ekonomi. Di samping itu, mereka akan melakukan pelbagai kajian keberkesanan dan kemunasabahan kos untuk sesuatu projek kerajaan.

KDNK tinggi ketika ekonomi bagus, sumber cukai yang berterusan, kutipan hasil keuntungan daripada Petronas dalam jualan minyak dan gas asli menjadi sumber-sumber pendapatan untuk digunakan bagi menjana ekonomi negara dan menjalankan projek-projek untuk rakyat.

Civil Engineer: Untuk meningkatkan sumber ekonomi, beliau sendiri perlu melakukan inisiatif tersendiri, antaranya mendapatkan projek yang lebih banyak untuk diuruskan, meningkatkan pengalaman dan mempunyai kenalan-kenalan yang berpengaruh dalam bidang pembinaan. Walaupun ini dilakukan, tidak banyak tambahan pendapatan yang diperolehi, kecuali increment sebanyak dalam beberapa peratus setiap setahun atau setengah tahun.

Jika seorang Civil Engineer adalah sebuah negara, beliau adalah sebuah negara dengan peningkatan pendapatan/KDNK yang sangat sedikit, misalnya hanya 2% ke 5% berbanding negara Malaysia yang mendapat KDNK yang lebih gempak di kala ekonomi bagus.

3) Tanggungjawab

Mesyuarat Jemaah Menteri

Mesyuarat Jemaah Menteri

PM: Bertanggungjawab kepada setiap rakyat, dan juga ahli-ahli parti politik diwakili. Harus mendengar rintihan dan keluhan daripada rakyat, dan memanggil ketua-ketua jabatan/Jemaah Menteri untuk duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut dalam masa singkat. Kemudian, orang-orang bawahan akan melaksanakan perubahan atau tuntutan yang dibuat dengan kelulusan diberi.

Jika peruntukan sudah habis, boleh sediakan pakej rangsangan ekonomi bernilai berbilion-bilion ringgit menggunakan wang rakyat yang tidak perlu dibayar menggunakan kocek sendiri, mahupun menjadi penjamin kepada pinjaman tersebut yang diperoleh dari Bank Negara atau Petronas.

Civil Engineer: Bertanggungjawab kepada majikan dan bakal penghuni atau pemilik struktur dibina. Misalnya jika membina jambatan, beliau bertanggungjawab besar agar pemandu kenderaan dapat menggunakan jambatan tersebut dengan selesa dan tenang, tanpa ancaman kepada keselamatan diri dan keluarga. Selain itu, turut bertanggungjawab kepada anak isteri dan ibu bapa di kampung, untuk membantu setakat termampu.

Jika perlu meminjam, misalnya mahu membeli sebuah kereta untuk memuatkan empat orang anak dan seorang SAHAJA isteri, harus mencari kereta yang sesuai seperti Proton Exora atau Mitsubishi Grandis dengan kadar faedah yang berpatutan. Pinjaman harus dibayar sendiri, dan penjamin juga harus dicari agar kita dapat melangsaikan hutang tersebut dengan bertanggungjawab.

Sekian sahaja perbandingan. Kini penjelasan.

Namun di kubur nanti, fahamilah sendiri siapa yang harus menjawab soal siasat daripada Polis yang lebih kejam berbanding dalam video ini.

“Polis” tersebut adalah malaikat Munkar dan Nakir yang akan mempersoalkan perbuatan kita sepanjang di dunia. Sebagai Civil Engineer, beliau perlulah bersih daripada sumber-sumber kewangan yang tidak halal, misalnya rasuah daripada syarikat pembinaan untuk mengurangkan kos pada cara yang boleh membahayakan pengguna infrastruktur dibina, misalnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

Walaupun wang rasuah tersebut digunakan untuk membayar wang pendahuluan Mitsubishi Grandis, bukankah lebih berkat apabila menggunakan hanya Proton Exora tanpa mengambil rasuah daripada sesiapa? Pesanan untuk diri saya juga, bakal Civil Engineer pada tahun 2012 nanti, Insya Allah.

Perdana Menteri pula, harus sangat berhati-hati. Jika di dunia ini anda berkata bahawa anda gigih membuat kerja, walaupun hasil tidak sehebat mana, semua itu akan dipersoal dengan teliti, lebih teliti dari SPRM menyoal siasat Teoh Beng Hock sehingga jam 3 pagi, sehingga orang macam saya mungkin tersangat lapar dan terus menyambar hidangan sarapan pagi KFC di Drive Thru Kajang dari jam 4 pagi.

Teoh Beng Hock baru disoal siasat sehebat itu kerana peruntukan bernilai hanya RM10,000 kepada wakil rakyat DAP,

Takziah kepada keluarga dan bakal isteri Teoh Beng Hock.

Takziah kepada keluarga dan bakal isteri Teoh Beng Hock.

misalnya Teresa Kok yang menggunakannya untuk membeli pembesar suara untuk Masjid di Kinrara, walaupun dituduh sebahagian rakyat “penagih tegar Utusan Malaysia” bahawa beliau menghalang laungan azan.

Bayangkan sahaja bagaimana seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri di dunia, disoal siasat oleh dua malaikat tersebut di akhirat? Lihat sahaja pengeluaran wang yang dibuat: Pakej rangsangan ekonomi bernilai berbilion, Pembinaan sebuah bandar yang sangat mahal sehingga tidak digunakan sebaiknya sehingga sekarang dan cuma jadi simbol kehebatan kejuruteraan, Projek hentian bas moden untuk rakyat, namanya gempak Plaza Rakyat (ini Anwar Ibrahim kena jawab, dia Menteri Kewangan ketika itu) dan pelbagai lagi perkara-perkara yang boleh dipertikaikan terutama di Terengganu.

Semoga artikel ini dapat menjawab persoalan dari ramai, dan ramai memahami isu yang saya keluarkan ini. Sesungguhnya menjadi Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab, memang mudah.

Namun Malaikat Munkar dan Nakir tidak toleran seperti rakyat marhaen yang “memahami beban kerja” Perdana Menteri. Jadi, selepas “main goreng” sahaja jawapan kepada rakyat, cuba “goreng” sehebat itu dengan Malaikat Munkar dan Nakir. Lihat sahaja berapa hasta anda akan dipukul jatuh.

RON95 belum dipasarkan menyeluruh, ramai yang semakin risau. Julai 2, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Sudah beberapa bulan minyak petrol RON95 dilancarkan di Putrajaya, namun setakat ini hanya 2 stesen Petronas di Presint 9 yang menjualnya kepada rakyat di sana. Stesen-stesen lain masih menjual minyak gred biasa, iaitu RON97.

Keadaan ini meragukan kita semua, kerana kita dapat melihat seperti stesen-stesen minyak di Malaysia belum bersedia untuk menjadikan RON95 sebagai gred minyak petrol yang utama. Keadaan ini jelas kelihatan dengan warna nozel pam dan papan tanda gred minyak yang belum ditukar-tukar lagi.

Kenaikan harga petrol RON97 akan bermula pada 1 September 2009, kurang 2 bulan dari sekarang. Jika dilengah-lengahkan lagi, keadaan kelam kabut pasti berlaku pada tarikh tersebut, jadi saya minta penjualan RON95 diperluaskan segera ke seluruh negara, kerana rakyat akan mendapat manfaat lebih menyeluruh, dan tidak terus berada dalam kekeliruan.

Ada rakan saya yang memberitahu, bahawa sebenarnya kerajaan sedang menggunakan pengenalan RON95 sebagai muslihat untuk menaikkan harga petrol secara keseluruhan. Apabila papan tanda dan warna nozel tidak ditukar, sudah tentu minyak yang dikeluarkan oleh nozel tersebut daripada gred yang sama, iaitu RON97, yang akan dinaikkan harga kepada RM2 seliter pada 1 September.

Logik juga maklumat daripada rakan saya itu, namun saya masih menaruh sedikit keyakinan kepada kerajaan bahawa mereka tidak akan melakukan kerja bodoh sebegini. Mereka tidak lagi mendapat sokongan majoriti rakyat pada masa sekarang, dan sebarang langkah membebankan rakyat pasti akan jadi satu bentuk “suicide commit” kepada mereka.

Atau, adakah mereka sudah tahu bahawa rakyat akan menolak mereka pada pilihanraya ke-13 nanti? Mungkin juga, oleh kerana itu, mungkin mereka akan cuba sedaya upaya untuk terus memeras rakyat dalam tempoh singkat ini? Bukan prejudis, namun segalanya mungkin pada masa sekarang. Sebagai rakyat yang bijak, marilah kita terus memantau apa yang politikus kita sedang lakukan sekarang, terutama dalam keadaan ekonomi sebegini buruk.

Telefon ini sangat teruk, setahun setengah saya guna, macam-macam rosaknya.

Semalam, seorang kontraktor dari TM memasang talian telefon di rumah baru saya di Taman Sepakat Indah, untuk saya terus menggunakan Streamyx, dan tiba-tiba memberi telefon talian tetap percuma. Sedangkan, yang rosak adalah telefon bimbit saya, Sony Ericsson W660i yang “sengal” tu. Sudah setahun saya guna talian tetap TM, saya sudah pun ada sebuah telefon talian tetap.

Sesiapa mahu tukarkan telefon bimbit mereka dengan telefon “fixed line” baru saya???

Apa yang akan berlaku apabila RON 95 diperkenal nanti? Mei 13, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
4 comments
Menteri PDN & HEP, Ismail Sabri Yaakob melancarkan petrol RON95

Menteri PDN & HEP, Ismail Sabri Yaakob melancarkan petrol RON95

Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan minyak petrol jenis baharu, iaitu RON 95. Petrol RON 95 ini akan menggantikan RON 92, iaitu petrol yang selalu diletakkan nozel berwarna merah di kebanyakan stesen minyak (kecuali V-Power Shell). Berdasarkan pelancaran semalam di Presint 9 Putrajaya, nozel untuk petrol RON 95 adalah berwarna kuning.

Pengenalan awal ini bertujuan untuk mengelakkan keadaan kelam kabut di stesen minyak apabila harga RON 97 dinaikkan ke paras RM2.00 seliter pada 1 September nanti. Untuk permulaan, dua stesen servis Petronas di Putrajaya akan menjual RON 95 pada harga RM1.75 seliter. Subsidi sebanyak 3 sen seliter diberikan oleh kerajaan untuk menetapkan harga RON 95 ini.

Seorang pekerja stesen servis Petronas yang baik hati membantu mengisi petrol RON 95 ke tangki sebuah kereta.

Seorang pekerja stesen servis Petronas yang baik hati membantu mengisi petrol RON 95 ke tangki sebuah kereta.

Menurut Ismail, petrol RON 95 ini popular di beberapa negara maju iaitu di Amerika Syarikat, Jepun dan zon Eropah. RON 95 juga sesuai untuk digunakan oleh semua jenis kereta dan motosikal, termasuk yang berstatus mewah. Ini ditunjukkan oleh Ismail ketika mengisi petrol RON 95 ke tangki sebuah Mercedes Benz di Putrajaya semalam.

Untuk makluman, petrol RON 97 akan dijadikan produk premium, di mana harganya tidak akan dikawal oleh kerajaan.

Petrol RON 95 akan menggantikan RON 92 yang dianggap minyak lama oleh orang-orang yang tidak arif

Petrol RON 95 akan menggantikan RON 92 yang dianggap "minyak lama" oleh orang-orang yang tidak arif

Maksudnya, keadaan ini mungkin membuka ruang untuk persaingan harga di antara syarikat-syarikat pengeluar minyak.

Hasilnya, pengguna akan mendapat lebih pilihan, daripada minyak petrol RON 95 dan minyak petrol RON 97 yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat pengeluar minyak yang pastinya punya ciri-ciri dan keistimewaan berbeza. Umpamanya, petrol Infiniti dari BHPetrol yang punya ciri tersendiri, selain pelbagai lagi jenis minyak petrol RON 97 yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain.

Kesimpulannya, pengenalan petrol RON 95 adalah satu perkara yang baik, di samping kelonggaran terhadap harga petrol RON 97 kepada para syarikat minyak. Tidak perlulah kita terpengaruh dengan andaian sesetengah pihak bahawa ianya adalah satu usaha untuk mengaut lagi wang rakyat. Sebagai rakyat yang bijak, kita harus membezakan setiap perbuatan oleh para pemimpin dalam menentukan kesesuaiannya kepada rakyat.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.