jump to navigation

Jalanraya kita sesak? Fikirkan kembali. Ogos 26, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Berita yang saya peroleh dari China, begitu mengejutkan. Lebuhraya Beijing-Tibet menyaksikan kesesakan lalu lintas sepanjang 100km, dan berlanjutan sehingga 9 hari. Punca kepada kesesakan tersebut, adalah kerana kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan kebanjiran lori-lori pengangkut barang yang semakin bertambah.

Teringat saya kepada situasi di Malaysia, yang mana turut menghadapi kesesakan lalu lintas di kebanyakan jalan-jalan dan lebuhraya, terutamanya apabila musim perayaan tiba. Ketika itulah, kesabaran para pengguna jalan raya bakal diuji, terutamanya yang berpuasa.

Imej paling epik kesesakan lalu lintas di Malaysia. Berlaku pada zaman Pak Lah, di mana semua jalan ke Parlimen disekat untuk menghalang seorang pemimpin pembangkang memasukinya.

Keadaan bakal dikeruhkan lagi apabila cuaca menjadi terlalu panas, menyebabkan enjin sebilangan kenderaan panas, memaksa mereka berhenti di tepi jalan. Perkara ini kadangkala menyebabkan kesesakan menjadi bertambah teruk.

Kebiasaannya, tiba waktu petang selepas panas yang membahang, hujan lebat pula silih berganti. Keadaan jalan menjadi sesak, pandangan kabur, semuanya bergerak perlahan. Pemandu bakal diselubungi rasa mengantuk, bosan dan pening dengan pengelap cermin kereta yang berputar berulang-ulang.

Mengapakah tiba-tiba saya menjelaskan keadaan yang merimaskan ini?

Hal ini sebenarnya kerana Kelapa Muda telah kemalangan jalan raya. Hal ini berlaku 15 Ogos lalu, pada hari Ahad. Kereta yang setia menemani, koyak kulit bahagian kanan hadapannya, kini masih tersadai di bengkel panel insurans.

InsyaAllah kereta akan siap menjelang masuk bulan September, dan kini melalui proses-proses akhir kerja baik pulih.

Biarlah saya ceritakan lebih mengenai kemalangan tersebut, agar ianya menjadi teladan kepada rakan-rakan di luar sana yang turut bergelar pemandu.

Ketika itu, jam 4.00 petang, 15 Ogos. Saya bergerak ke KL Sentral untuk mengambil seorang kenalan. Ibu saya menghubungi sebelum perjalanan, dan saya memberitahu bahawa saya akan memandu sebentar lagi. Saya memberitahu ibu, gelap di KL sana. Hujan lebat.

Saya terus memberitahu kenalan, bahawa saya akan sedikit lambat kerana tidak berani memandu laju sebab hujan. Jadi, kelajuan kereta saya kekalkan kepada hanya 80 km/j, memandangkan keadaan jalan yang tidak meyakinkan.

Saya baru melakukan servis ke atas kereta saya pada minggu sama sebelum itu, dan mekanik telah memberitahu bahawa ada bahagian yang perlu saya tukar. Bahagian tersebut disebutnya sebagai “chamber”, yang mana ditemui tidak betul kedudukannya ketika proses alignment & balancing dijalankan.

Saya tidak berhasrat untuk menukar bahagian itu lagi, kerana mahu menunggu gaji seterusnya. Namun, kerosakan bahagian itu telah mengakibatkan bunga tayar semakin haus di bahagian belakang.

Mungkin perkara itu yang menjadi punca kemalangan saya. Namun, saya belum cukup yakin memandangkan odometer baru sahaja mencecah 20,000 kilometer, yang mana dianggap sebagai tiada keperluan segera untuk pertukaran tayar dilakukan lagi.

Saya melalui Lebuhraya Besraya, kerana ianya adalah jalan yang paling lengang antara Kajang dan Kuala Lumpur.

Perkara seterusnya, adalah keadaan jalan. Kemalangan berlaku di kilometer 8.2 lebuhraya Sungai Besi (Besraya), di selekoh 90 darjah berhampiran PPR Raya Permai dan LRT Sungai Besi.

Carian internet menunjukkan bahawa terdapatnya beberapa isu di kawasan tersebut:-

  • Ketiadaan hubungan terus antara PPR Raya Permai dan LRT Sungai Besi, menyebabkan penduduk terpaksa menyeberang lebuhraya Besraya untuk berhubung antara kedua-dua tempat ini.
  • Selekoh tajam yang banyak di sepanjang lebuhraya tersebut, menyebabkan pengguna yang tidak biasa dengannya menghadapi risiko kemalangan jalanraya.

Artikel Utusan Malaysia mengenai masalah PPR Raya Permai, boleh dibaca di sini.

Artikel forum Cari, dipetik dari Berita Harian mengenai masalah PPR Raya Permai.

Pendek kata, saya berada di tempat yang salah, pada masa yang salah, malah dengan cara yang salah.

Saya mengambil lorong paling kanan, yang paling mudah terbabas ke pembahagi jalan jika jalan licin. Gambar-gambar pastinya dapat membantu anda memahami bahaya yang dihadapi.

Cadangan saya, jika anda ingin lebih selamat, elakkan lebuhraya Besraya pada waktu hujan, memandangkan kualiti jalannya yang licin seperti simen lantai rumah apabila hujan, dan selekoh tajam yang banyak dan merbahaya.

Pesanan dari Kelapa Muda, bersabarlah dalam menghadapi kesesakan di Hari Raya ini, bersyukurlah walaupun perlu membayar tol mahal dan sukar untuk ke tandas yang sesak di Kawasan Rehat dan Rawat. Anda belum menghadapi situasi di China yang amat merimaskan itu.

Semoga kita semua selamat sampai ke destinasi, semoga kadar kemalangan kali ini dapat dikurangkan ke tahap minima, supaya tangisan kesedihan dapat dikurangkan dengan sedikit sahaja kadar kematian di Hari Raya ini.

Kemalangan pasti akan berlaku saban tahun, jadi, elakkannya.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.