jump to navigation

Penglibatan dalam F1, siapa kata tak bagus? April 8, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Blog berita automotif terkenal Paul Tan melaporkan mengenai petrol terbaru daripada Petronas, yang turut dipaparkan dalam pelbagai iklan tatkala demam F1 melanda Malaysia.

Petrol tersebut akan menggunakan nama Primax 95 Xtra, yang dikatakan dapat memberikan keseimbangan antara prestasi enjin dan penjimatan minyak. Keseimbangan tersebut sedikit sebanyak merupakan hasil daripada kerjasama dan perkongsian teknologi menerusi sukan F1.

Perkembangan ini sudah tentunya berita baik untuk rakyat Malaysia yang kebanyakannya cenderung mengejar masa dengan memandu pada kelajuan tinggi, pada masa yang sama kesempitan wang untuk membayar harga bahan api.

Menjelang GP Malaysia Ahad ini, kita diperkenalkan kepada 3 pasukan F1 yang mengiktiraf Malaysia sebagai antara rumah mereka. Mereka beranggapan sedemikian kerana menerima penajaan dan penglibatan syarikat gergasi negara kita.

Lotus Renault GP menerima penajaan secara tidak langsung dari Proton yang memiliki Group Lotus UK. Manakala Team Lotus menerima tajaan dari Tune Group dan Kumpulan Naza.

Masih hebat memandu jentera F1.

Manakala Mercedes-Benz bergabung dengan syarikat minyak kebangsaan, Petronas membentuk Mercedes GP Petronas yang turut dianggotai oleh bekas juara, Michael Schumacher sebagai pelumba utama.

Penglibatan syarikat Malaysia dalam F1 terus membuahkan hasil apabila Proton, pengeluar kereta nasional mula menunjukkan potensi bagi menjadi pengeluar berstatus global menerusi kerjasama dengan gabungan Renault-Nissan yang terbukti berjaya di peringkat antarabangsa.

 

Maaf, tawaran sudah tamat. Saya juga tak sempat beli tiket murah ini. Harap tahun depan ada lagi.

Pengurusan Sepang F1 Circuit pula harus diberikan pujian ke atas penawaran harga tiket yang cukup berpatutan, iaitu RM30 untuk tempat duduk bukit (hillstand) bagi pembelian awal.

Difahamkan harga sedemikian adalah yang terendah di dunia bagi siri perlumbaan F1. Tiket untuk kawasan duduk yang sama masih boleh diperoleh pada harga RM60 sehingga hari perlumbaan.

Menarik lihat jentera F1 bergelut dalam hujan bukan?

Akhir sekali, harapan semua adalah supaya sistem saliran di Litar F1 Sepang dapat berfungsi dengan baik supaya perlumbaan dapat diteruskan walaupun hujan melanda.

Pada pandangan Kelapa Muda, kejadian sedemikian pastinya akan menjadi lebih menarik di kaca TV jika perlumbaan tidak terganggu.

 

 

Peraturan beg udara, mungkinkah terlalu lewat? Januari 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Cara beg udara melindungi daripada impak perlanggaran.

Kementerian Pengangkutan Malaysia sudah menetapkan bahawa pada tahun 2012, semua pengeluar kereta diwajibkan memasang beg udara pada setiap kereta, termasuklah kereta-kereta nasional Proton dan Perodua.

Beg udara sudah pun menjadi satu kewajipan kepada kereta-kereta yang dijual di negara-negara maju, oleh kerana keupayaannya mengurangkan impak hentakan apabila kemalangan berlaku.

Semua versi model Toyota Vios yang telah dinaik taraf (facelift) kini dilengkapi beg udara, selain pelbagai ciri keselamatan asas Toyota.

Di Malaysia, pengeluar kereta nasional selama ini hanya memasang beg udara pada model-model taraf tinggi dan yang berharga tinggi. Manakala pengeluar kereta bukan nasional pula, semuanya telah pun menjadikan beg udara sebagai komponen wajib, kecuali Toyota Vios J model sebelum tahun 2010.

Saga FL, juga dilengkapkan beg udara untuk setiap versi.

Perbezaan taraf ini menyebabkan hanya sejumlah kecil daripada kereta baru di Malaysia mempunyai beg udara, oleh kerana harga yang dijual lebih murah berbanding versi dengan beg udara. Namun, pujian boleh kita beri kepada pengeluar kereta nasional Proton yang kini mengeluarkan 100% model kereta dengan beg udara, dengan pengenalan versi baru model Saga FL.

Lokasi pretensioner tali pinggang keledar.

Peraturan ini masih belum diperjelaskan, diharapkan para pemilik kereta sedia ada turut dapat memperoleh manfaat daripada peraturan baru ini, terutamanya yang tidak memiliki pre-tensioner tali pinggang keledar.

Diharapkan juga, pemilik-pemilik kereta model terkini versi tanpa beg udara dapat memperoleh pemasangan mandatori daripada pengeluar:- misalnya bagi pemilik sedia ada model Perodua Viva, Perodua MyVi, Toyota Vios J, Proton Gen.2, Proton Saga BLM dan Proton Savvy, yang mana pengeluar telah pun memperoleh keuntungan besar hasil jualan model tanpa beg udara.

Lokasi biasa titik ISOFIX.

Hal ini juga, bagi memastikan para pengeluar kereta bagi versi Malaysia mengutamakan keselamatan penggunanya dengan ciri-ciri keselamatan tambahan yang boleh ditambahkan secara sukarela tanpa perlu menunggu peraturan-peraturan baharu diperkenalkan. Mereka wajib “ditakutkan” dengan cadangan-cadangan peraturan keselamatan baharu, misalnya pemasangan pre-tensioner tali pinggang keledar mahupun titik ISOFIX bagi memudahkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Mungkin juga kerajaan boleh juga menimbangkan program subsidi/pelepasan cukai bagi pemasangan beg udara dan pre-tensioner tali pinggang keledar bagi menggalakkan pemilik meningkatkan ciri keselamatan aktif kepada kereta masing-masing.

Diharapkan dengan pengenalan-pengenalan peraturan keselamatan baharu bakal menjadikan jalan raya di negara kita ini lebih selamat untuk digunakan, dan kereta serta pengangkutan lain di Malaysia dalam keadaan terbaik untuk mengharungi pelbagai jenis perjalanan.

Masih belum terlewat untuk berubah, demi keselamatan jalan raya.

Mengapakah pengangkutan awam kita tidak cekap? Januari 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

Saya terbaca tulisan seorang penulis blog yang menceritakan dilema hidupnya yang terpaksa berpindah ke sebuah bandar yang tidak lengkap pengangkutan awam-nya di Kuala Lumpur. Beliau telah memaparkan gambar skrin dari Wikipedia yang menunjukkan senarai 10 bandar paling ramai penduduk di Malaysia.

Sebenarnya kedudukan bandar paling ramai penduduk kini bukan lagi dikuasai Kuala Lumpur, tetapi Subang Jaya! Tidak menghairankan jika melihat kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warganya setiap hari, memang tersangat teruk.

Ada beberapa bandar mengalami pertambahan penduduk luar biasa, jauh di luar jangkaan. Lihat Subang Jaya.

Mari kita rujuk Subang Jaya misalnya, antara 1991-2000, terdapat pertambahan penduduk sebanyak lebih 5 kali ganda. Manakala bagi tempoh 2000-2010, pertambahan penduduk terus berganda sehingga lebih 3 kali ganda.

Kadangkala kita hairan, adakah pihak penguasa kita tidak melihat trend pertambahan penduduk luar biasa ini? Keadaan sebegini sudah kelihatan sejak tahun 1991, di mana Malaysia mula merangka Wawasan 2020 bagi menjadi negara perindustrian yang maju.

Entah berapa lagi jambatan yang perlu dibina di Subang Jaya?

Selain itu, terdapat juga petanda kenaikan harga minyak yang semakin berganda pada dekad pertama abad ke-21, dengan kesukaran mencari sumber petroleum baharu yang semakin mencengkam. Sehinggakan satu tahap, kerajaan sedia memberikan subsidi berterusan kepada harga minyak, sehingga ianya mencecah kemuncak pada 2008, iaitu sebanyak RM27 bilion semata-mata untuk subsidi harga minyak.

Dengan keadaan sebegini, sewajarnya bandar-bandar seperti Subang Jaya, Klang dan Shah Alam sepatutnya sudah memiliki sistem pengangkutan awam yang teratur dan menghubungkan seluruh bandar.

Mengapakah itu tidak berlaku? Fikirkan projek kereta nasional ilham Dr. Mahathir. Bagi menampung pertambahan kenderaan daripada program ini, banyak lebuhraya dibina.

Jumlah lebuhraya yang berganda, apakah muslihatnya?

Merata-rata kita dapat lihat lebuhraya, misalnya jika mahu keluar dari Puchong, hanya Jalan Klang Lama dan Lebuhraya Bukit Jalil yang tidak dikenakan tol.

Banyak bandar yang laluan masuknya disekat dengan pembinaan plaza tol, antaranya Bandar Mahkota Cheras yang menjadi isu suatu masa dahulu.

Dr. Mahathir, kini masih penasihat Proton.

Jika anda merupakan seorang pemuja Dr. Mahathir, fikirkanlah kembali, apakah ini berbaloi? Kita menjadi denyut nadi kepada bukan setakat industri automotif yang dibangunkannya, malah menjadi sumber pendapatan bagi pelbagai syarikat konsesi lebuhraya yang dikuasai kroni-kroni utama.

Mujurlah, penyelesaian yang kini sedang dilaksanakan dengan secepat boleh, merangkumi:-

  • Hubungan yang lebih baik bagi kawasan-kawasan padat penduduk di Subang Jaya, dengan sambungan Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang sehingga ke Puchong dan Putra Heights, yang terletak dalam kawasan majlis perbandaran Subang Jaya.
  • Laluan baru MRT antara Sungai Buloh-Kajang, turut terletak dalam kawasan-kawasan yang tidak diliputi pengangkutan rel menyeluruh seperti Damansara, Bandar Utama, Cheras, Seri Kembangan dan Kajang.

    Jika kerajaan negeri punya RM9 bilion untuk beli syarikat bekalan air, agaknya mampukah mereka untuk membina satu sistem pengangkutan awam yang cekap di Klang? Harap impian ini jadi nyata.

Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Dalam senarai 20 bandar paling padat penduduk, juga terdapat bandar seperti Klang, yang diketahui memang cukup sesak dan padat.

Johor Bahru yang kini memiliki Iskandar Malaysia, pusat pertumbuhan baru selatan. Ipoh pula, hanya boleh berbangga dengan ETS KTM yang menjadikannya antara stesen utama, namun keadaan bandar yang luas dan sesak.

Shah Alam pula, kian berkembang pesat terutamanya di kawasan Setia Alam dan Puncak Alam di sebelah utaranya, yang hanya disediakan satu laluan bas utama RapidKL, iaitu U90. Bandar Baru Bangi, hanya mempunyai bas mini, selain satu laluan RapidKL bas tempatan.

Apakah kita perlu kesesakan lalu lintas berskala Subang Jaya, baru kelam kabut mahu membina pengangkutan awam yang berkesan? Lagipun pelaburan untuk pengangkutan awam, bukanlah untuk penyelesaian masalah jangka pendek, tetapi bagi menyelesaikan masalah jangka panjang.

Pastinya ini semua hanyalah satu angan-angan, selagi wujudnya satu industri digelar sebagai industri kereta nasional. Sudah banyak wang rakyat yang dilaburkan bagi menyokongnya: dari bayaran cukai, jumlah pembelian kenderaan, kos membina lebuhraya, pembelian bahan api, selain sokongan kepada pelbagai industri sampingan automotif.

Pelancaran Proton Saga, 25 tahun lalu.

Jika dikira secara teliti, rasanya berapakah yang sudah dikeluarkan selama 25 tahun wujudnya kereta nasional Malaysia? Adakah sudah melebihi RM100 bilion? Tidak mustahil.

Masihkah kita mampu mempertahankannya, tentunya tidak lagi. Diharapkan pelan kereta global Proton akan berhasil, lantas membebaskan rakyat daripada beban pengorbanan berbilion wang ringgit mempertahankannya.

Mahu kereta stok 2010? Tawaran sempena Tahun Baru. Januari 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
1 comment so far

 

Sudah bayar ke belum? Bayar sebelum 28 Februari bagi mengelakkan senarai hitam.

Mungkin ada di antara para pembaca yang memasang angan-angan untuk membeli kereta baru, sempena tahun baru. Sudah tentunya bukan saya, memandangkan kereta sedia ada baru menghampiri usia setahun, dan terdapatnya saman PDRM yang saya perlu lunaskan.

Sekadar melihat-lihat mengenai tawaran-tawaran terbaru daripada pengeluar kereta, saya ingin mengetahui jika mereka mempunyai stok keluaran tahun 2010 yang masih belum terjual, dan ditawarkan dengan harga diskaun sempena tahun baru.

Tahun lalu, saya telah mendapat manfaat daripada jualan stok tahun 2009, iaitu diskaun sebanyak RM7000 bagi kereta baru. Ketika itu, ekonomi negara baru sahaja pulih, dan terdapat banyak stok kereta 2009 yang tidak terjual.

Tahun ini mungkin stok yang ada tidak sebanyak tahun lalu, kerana kadar jualan kereta yang bakal mencatatkan rekod tertinggi, melepasi setengah juta kereta setahun.

Bagi membantu para pembaca, di sini saya sampaikan tawaran-tawaran kereta baharu stok 2010, rujukan dari bilik pameran maya (virtual showroom) laman BuyProtonCars.com milik seorang wakil jualan dari Sri Rampai, Kuala Lumpur serta laman wakil jualan Naza Kia di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

1) Proton Saga BLM

Saga BLM versi asal, masih nampak cantik.

Memandangkan Proton kini mengeluarkan varian baru Saga FL, versi BLM asal kini sedang melalui proses penghabisan stok, di mana anda boleh memperolehi diskaun antara RM750 hingga RM2400, bergantung kepada jenis model. Kadar faedah juga masih seperti tahun lalu, 3.75% bagi pinjaman 9 tahun.

2) Naza Forte

Tawaran insurans percuma bernilai RM2200 dan kadar faedah berpatutan hanya 2.7%. Berbaloi untuk kereta premium seperti ini. Terdapat juga model Naza lain yang ditawarkan pada diskaun istimewa yang hanya boleh diketahui jika anda menghubungi nombor telefon wakil penjual, rujuk laman web mereka.

3) Proton Exora

Ini pastinya MPV yang lebih baik daripada pengeluar kereta nasional yang satu lagi tu.

MPV pertama Malaysia kini turut datang dengan diskaun menarik. Exora model asal ditawarkan pada diskaun antara RM3000-RM4000 bagi versi M-Line dan H-Line, manakala Exora MC dengan diskaun antara RM888-RM2000.

4) Proton Gen.2

Diskaun RM4000 bagi setiap model Gen.2 keluaran 2010.

5) Proton Persona

Diskaun antara RM1000-RM2000 bergantung kepada model.

6) Proton Satria Neo

Diskaun antara RM888-RM2000 bergantung kepada model.

7) Proton Savvy

Setiap Savvy baru kini datang dengan bodykit percuma seperti ini, sebagai tambahan kepada diskaun menarik.

Dikhabarkan bahawa model ini tidak lagi dikeluarkan mulai tahun 2010, bermakna 2009 adalah tahun terakhir pengeluarannya. Yang lebih menghairankan lagi, versi H-Line yang dikatakan sudah tiada stok masih wujud. Kini masih antara model paling jimat minyak di Malaysia.

Jika anda berminat untuk membeli, dinasihatkan untuk bertanya terlebih dahulu kepada wakil penjual. Mahu lebih kepastian, bertanyalah dengan pihak Proton Edar sendiri. Jika benar ada versi 2010, pada saya ianya memang pilihan bagus, lebih-lebih lagi jika ditawarkan dengan diskaun RM8888.

Senarai-senarai tawaran harga di atas, bukannya bertujuan untuk menjual kereta, tetapi hanya bagi memastikan para pembaca tidak terpedaya dengan tindakan sesetengah wakil jualan yang ingin memperoleh keuntungan ekstra dengan menawarkan diskaun yang amat sedikit berbanding yang sebenar, seperti yang saya hampir alami tahun lalu.

Pastikan anda memperoleh tawaran terbaik bagi kereta yang anda inginkan. Tawaran bagi model Proton adalah bagi yang didaftarkan antara 1 hingga 31 Januari 2011.

P/S: Jangan lupa sebutkan nama blog Kelapa Muda jika anda bakal membeli. Manalah tahu jika saya dapat angpow percuma dari pengedar kereta =P

Suzuki Alto, kereta import paling murah di Malaysia. Januari 4, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
9 comments

Saya menulis bukanlah bagi mewakili Suzuki Malaysia Automobile, tetapi bagi

Agaknya apakah yang diberi Suzuki kepada juara piala AFF ini? Kalau dapat Alto sebuah seorang, boleh peroleh publisiti percuma. Khairul Fahmi pun masih dengan Perodua Kancil.

menyampaikan maklumat mengenai kereta baru mereka, yang maklumatnya kini sudah boleh diperoleh di laman web Suzuki Malaysia Automobile.

Safee Sali menjaringkan gol di hadapan kereta Suzuki Alto. Gol!

Malah, Suzuki Malaysia juga sewajarnya diberi pujian kerana bukan sekadar menawarkan maklumat mengenai kelebihan kereta yang dijual, juga butiran mengenai kos penyelenggaraan mengikut kekerapan.

Kos penyelenggaraan Suzuki Alto memang cukup menjimatkan, malah lebih murah dari Proton. Maklumatnya boleh dilihat di sini.

Pencarian maklumat saya berterusan, namun sudah pastinya hati kita lebih puas dan yakin jika dapat melihat maklumat mengenai sesuatu produk, dari syarikat yang mengeluarkannya sendiri.

 

Siapa berani naik bas ekspres bila melihat perkara seumpama ini?

Ramai pengguna kereta kecil di Malaysia merungut mengenai kualiti kereta yang dimiliki, ketahanannya menghadapi pelbagai keadaan dan bagi bertahan untuk digunakan dalam jangka masa panjang.

Dengan kadar kemalangan yang kian meningkat di jalan raya, serta ketakutan masyarakat terhadap pengangkutan bas ekspres yang sebelum ini begitu popular, serta kesedaran terhadap alam sekitar dan penjimatan minyak, selain kehidupan sosial yang menggalakkan golongan muda bersiar-siar dengan kereta, menyukarkan bakal pembeli kenderaan untuk membuat pilihan yang sesuai, lebih-lebih lagi jika bajet mereka kecil dan baru memulakan kerjaya mahupun masih belajar di IPT.

Mungkin saya boleh berikan analisis terhadap model Suzuki Alto ini bagi memudahkan para pembaca.

Model ini ditawarkan dengan hanya satu jenis enjin – 1.0 liter dengan transmisi automatik dan manual. Ini bermakna dari segi prestasi enjin, ianya setaraf dengan Perodua Viva, namun lebih rendah berbanding Hyundai i10.

Beg udara kini menjadi kemestian bagi pengeluar luar negara. Proton dan Perodua masih ketinggalan.

Dari segi keselamatan, ianya dilengkapi dengan dua beg udara, sama dengan Hyundai i10. Untuk pengetahuan, Perodua Viva tidak memiliki beg udara termasuk dalam Edisi Eksklusif-nya. Struktur badan yang kukuh, mengurangkan daya ketika perlanggaran, dan melindungi pengguna ketika berlaku perkara tidak dijangka.

Sistem brek anti-kunci (ABS) hanya boleh didapati dalam dua varian lebih tinggi. Varian asas juga tidak dilengkapi tingkap kuasa di bahagian hadapan, yang mungkin menyukarkan jika pemandu membayar tol menggunakan Touch n’Go mahupun tunai.

Dari segi penjimatan petrol, ianya merupakan yang terbaik kerana menggunakan hanya 4.8liter/100km, (maklumat terbaru NRMA Australia) berbanding Hyundai i10 yang menggunakan 5liter/km. (Untuk makluman, Proton Savvy pula 5.5liter/km)

Nampaknya perbezaan yang agak ketara, pastinya menarik perhatian golongan pencinta alam sekitar yang kian ramai di negara kita, serta mereka yang ingin lebih nilai untuk perbelanjaan minyak mereka.

Perkara paling penting yang saya tertinggal, harga bagi varian-varian Suzuki Alto:-

Versi GA (manual):- RM44,888

Versi GLX (automatik):- RM49,888

Versi GXS (automatik):- RM54,888

Sebagai rujukan dan perbandingan, pesaing terdekatnya adalah Hyundai i10 yang ditawarkan pada harga yang rendah sedikit. Harus dipertimbangkan, bahawa Alto merupakan keluaran import sepenuhnya dari India, dan merupakan model terlaris di sana, malah mengatasi jualan untuk Tata Nano, kereta paling murah di dunia.

Maklumat tambahan: Kini Suzuki Swift muncul dengan trim baru, GX yang lebih murah. Harga bermula dari RM64,014.50. Klik untuk muat turun brochure iklan.

Savvy dengan enjin CamPro?? (Laman web Proton Edar kini sudah dikemas kini agar lebih tepat) Disember 13, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , ,
1 comment so far

Jika anda kerap melawati laman web Proton Edar, mereka kini telah mengemaskinikannya kepada reka bentuk baharu yang jelas nampak segar dan selesa untuk dilawati.

Namun saya terkejut dengan spesifikasi Proton Savvy di laman web tersebut.

 

Cuba lihat dengan teliti? Nampaknya terkejut besar para pemilik Savvy.

Zoom lebih dekat lagi.

Spesifikasi powertrain Proton Savvy ditulis sebagai dilengkapi enjin CamPro 1597cc, iaitu standard kepada enjin 1.6 liter. Manakala output maksima dan tork juga ditulis dengan tidak tepat, iaitu 110hp@6000rpm dan 148Nm/4000rpm.

Berikut adalah spesifikasi sebenar Proton Savvy, dari Wikipedia.

Jauh bezanya bukan? Jika benar spesifikasi enjin Savvy benar-benar seperti di dalam laman web Proton itu, sudah pasti para penggemar kereta sport berpusu-pusu membelinya.

Manakala mengenai kapasiti tangki bahanapi Proton Savvy, saya yakin ianya jauh lebih rendah daripada 50 liter, yang bermaksud pengisian penuh RON97 memerlukan kos sejumlah RM115.

Saya yang memandu Savvy juga mengetahui betapa kecilnya saiz tangkinya, yang selalunya sudah penuh sebelum cukup isian RM60. Sedikit kecewa dengan kesilapan maklumat ini, memandangkan saya juga pemandu Proton Savvy.

Diharapkan kesilapan maklumat ini dapat diperbetulkan sebelum lebih ramai berbicara tentangnya.

Kemas kini: Maklumat mengenai Proton Savvy telah pun diperbetulkan di laman web Proton Edar. Hanya satu jenis Savvy yang masih dijual iaitu M-Line. Kini pada harga diskaun menarik, rujuk BuyProtonCars.com

KL International Motor Show, tak cukup “international” lagilah! Disember 12, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

5 Disember, saya berkesempatan mengunjungi Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS ’10). Pada hari tersebut, sebenarnya ada beberapa acara lagi yang berlangsung. MAHA Antarabangsa 2010 juga berakhir pada hari sama, selain ada perhimpunan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menuntut hak air untuk rakyat di Masjid Negara.

Perjalanan dihiasi dengan tindakan PDRM yang “kacau daun”. Saya ke Banting untuk mengambil teman untuk dibawa bersama, jadi ianya merupakan satu perjalanan amat jauh, iaitu dari Kajang ke Banting, seterusnya ke Bukit Jalil untuk meletak kenderaan dan seterusnya menaiki LRT ke PWTC.

Rumit bunyinya bukan? Kerumitan itu ditambah lagi dengan sekatan jalan raya oleh PDRM. Sekatan pertama, di Sungai Ramal Dalam. Hanya 1 lorong dibuka. Sekatan kedua, di Jalan Banting-Dengkil, menuju ke Dengkil. Sekatan ketiga, di Sijangkang, Jalan Banting-Klang. Sekatan keempat, Lebuhraya KESAS, berhampiran Bukit Rimau.

Sekatan oleh PDRM ini telah berjaya mengganggu urusan ramai warga Lembah Klang yang mahu menghadiri tiga acara utama ini. Tahniah diucapkan kepada mereka, kerana berjaya menimbulkan kebencian rakyat yang mula berputik kembali cintanya kepada kerajaan.

Jadi, ketibaan agak lewat ke PWTC, iaitu lebih kurang jam 12.30 tengahari, namun sudah ramai yang beratur di kaunter-kaunter tiket dan pintu masuk. Difahamkan KLIMS kali ini mencatatkan rekod kehadiran tertinggi. Namun, apakah kehadiran ini menunjukkan standard pameran yang kian meningkat?

Bezza, masa hadapan Perodua.

Para pengunjung menyeberang jejambat merentasi sungai, dan disambut dengan Perodua Bezza, mungkin percubaan mereka bagi menembusi pasaran dikuasai Proton.

Lambat lagi ke bateri nak penuh ni?

Seterusnya ruang pameran terbesar yang dikuasai Proton, yang menampilkan pelbagai inovasi terbaharu seperti kereta mesra alam dan model-model masa hadapan.

Dewan seterusnya, dihiasi oleh Chery yang kenderaannya dilihat masih belum mencapai standard. Manakala Nissan punya banyak model berpotensi, tetapi tidak berjaya diketengahkan oleh pengedarnya di Malaysia, Edaran Tan Chong.

PDRM di mana jua. Selain sekatan jalan, juga kaunter saman.

Terdapat juga model-model pikap dari Isuzu, selain kaunter saman PDRM. Mungkin diskaun saman dari mereka ada kena-mengena dengan pameran ini. Chevrolet membawakan model Camaro dari filem Transformers, juga kereta vintaj milik almarhum Tunku Abdul Rahman dan model global mereka Cruze yang mencatatkan jualan memberangsangkan.

Kembali ke bangunan utama PWTC, dewan pameran dikuasai kumpulan Naza. Terdapat model Kia baharu, Sorento. Model paling menarik hati, Kia Koup. Terdapat juga kereta-kereta mewah Naza World.

Rupa depan cantik, ciri-ciri lengkap. Cuma pintu yang sedikit rapuh. Tak percaya, lihat sendiri di bilik pameran.

Satu-satunya jenama Eropah yang ditampilkan adalah Peugeot, yang juga diedarkan oleh kumpulan Naza. Saya terkejut apabila membuka pintu 207 yang nipis seakan-akan Perodua Viva, yang saya akan ulas dalam tulisan berikutnya. Model Pug lain, tidak menghampakan.

Tingkat berikutnya, dihiasi oleh jenama Hyundai dan Mitsubishi. Pajero V6 memang mengagumkan, terus mengekalkan prestij yang menjadi trademark kepada model Pajero sejak dahulu lagi.

Dewan Merdeka, merupakan tempat kepada tiga pemain utama pameran ini, Honda, Lexus dan Toyota. Masing-masing menonjolkan model-model hibrid terbaharu. Paling mencuri perhatian, Honda Insight, kereta hibrid termurah, dengan tanda harga RM98,000.

Cantik kan?

Jika ditanya siapakah yang paling cantik pada pameran kali ini? Jawapannya ialah Julie Woon, yang menyampaikan persembahan bagi kenderaan mobiliti masa hadapan Honda.

Mengapa saya menyimpulkan pameran ini sebagai tidak cukup “international”?

Sebab pertama, ke manakah perginya pengeluar-pengeluar Jerman? Pastinya kita ingin melihat kenderaan-kenderaan terbaharu dari Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen, Porsche dan Audi.

Mereka pastinya mempunyai pelbagai inovasi baru yang boleh dipaparkan, selain pasaran kereta mewah Malaysia yang kian berkembang pesat. Ketidakhadiran mereka boleh kita persoalkan dalam satu pameran yang sebesar ini.

Sebab kedua, mengapakah tumpuan hanya kepada kereta? Pemain segmen kenderaan berat amatlah sedikit, iaitu seperti Isuzu dan Weststar. Sewajarnya inovasi dalam kenderaan berat boleh juga ditunjukkan seperti model-model terbaru lori dan bas.

Sebab ketiga pameran ini tidak dapat melepasi piawaian saya, adalah kerana kekurangan model-model yang bertaraf antarabangsa. Wajah-wajah model yang mengambil bahagian kelihatan keletihan dan tidak bermaya, yang mana turut memberikan gambaran imej negara kita yang tidak bermaya dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Nampaknya, anda sekalian mungkin sudah muak mendengar kritikan saya.

Kini masanya untuk cadangan membina.

Pertama, venue lebih besar dan mudah dilawati mampu menarik lebih ramai pengunjung. Misalnya Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) jika digunakan sepenuhnya boleh menampung jumlah peserta yang lebih ramai.

Masalah pengangkutan wajar diatasi bagi membolehkannya menjadi satu kejayaan lebih gemilang. Putrajaya menawarkan tempat letak kenderaan yang banyak, mungkin bas pengantara perlu disediakan dengan kuantiti besar bagi mengangkut pelawat pameran. Selain itu, pelbagai acara permotoran boleh diadakan di kawasan-kawasan berhampiran seperti di Boulevard Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Kedua, penggalakan lebih banyak peserta automotif bagi mengambil bahagian. Jika cadangan pertama menjadi kenyataan, ruang pameran yang luas boleh dijadikan sebagai daya penarik kepada para peserta bagi menggunakan ruang yang ada semaksimanya dengan kreativiti masing-masing.

Ketiga, penyertaan agensi modeling dalam pameran edisi seterusnya. Agensi di Malaysia boleh menawarkan model-model terbaik mereka selain pengeluar antarabangsa yang boleh membawa model mereka sendiri sebagai penyambut tetamu di kawasan pameran masing-masing. Dengan ini, terserlahlah imej negara yang lebih segar dan bersemangat dalam menjayakan pameran permotoran yang mampu menjadi antara yang terbesar di dunia.

Penganjuran edisi 2010 membuktikan industri permotoran mempunyai penyokong yang amat ramai di negara kita, walau berapa mahal pun yuran masuk yang dikenakan.

Pastinya Malaysia layak untuk mengharapkan penganjuran yang lebih baik dan cemerlang di edisi seterusnya, tahun 2012.

 

Inspira, keluaran terbaru Proton. Oktober 15, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
1 comment so far

Pada 14 Oktober, Proton sudah mula melancarkan jualan untuk model terbarunya Inspira.

Seperti yang ramai sedia maklum, Inspira merupakan model yang diinspirasikan oleh Mitsubishi Lancer, model yang sudah lama menjadi idaman ramai rakyat Malaysia.

Harga bermula dari RM79,888 di atas jalan bagi versi 1.8 liter manual, dan versi taraf paling tinggi akan diletakkan harga tidak melebihi RM95,000.

Jika dibandingkan dengan harga Mitsubishi Lancer 2.0GT, iaitu RM123,980 dan Lancer 2.0 EX iaitu RM120,980, sebenarnya harga bagi Proton Inspira hanya lebih murah sebanyak 23% daripada model yang berlogo Mitsubishi.

Hal ini berkemungkinan disebabkan model-model versi pertama yang sebahagian besar komponennya diimport. Keluaran pertama hanya memiliki 26% kandungan keluaran tempatan, yang mana dapat kita lihat antaranya gril hadapan dan rekabentuk rim tayar. Bahagian dalaman, masih lagi menjadi tanda tanya.

Proton merancang untuk meningkatkan peratusan kandungan tempatan bagi Proton Inspira, iaitu kepada 40% dalam beberapa bulan mendatang, dan akhirnya kepada 65% selepas setahun dibina di kilang MVF Shah Alam.

Jadi kepada mereka yang tidak meyakini para vendor-vendor tempatan, yang menjadi punca kritikan terhadap mutu Proton, tempahlah sekarang sementara stok awal masih ada.

Mungkin ada yang menjangkakan harga Proton Inspira bakal turun apabila kandungan tempatan meningkat? Jangan bermimpi di siang hari, kerana Proton tidak mensasarkan jumlah jualan tinggi bagi Inspira, sasarannya hanya kurang dari 2000 unit sebulan.

Kepada yang sedang mencari kereta sedan baru pada julat harga RM70,000 hingga RM120,000, mari saya senaraikan harga model-model keluaran syarikat lain bagi dijadikan rujukan.

1) Naza Forte 2.0SX – RM93,800, juga terdapat versi 1.6 liter, semua transmisi automatik.

2) Honda Civic 1.8S - RM114,980, juga terdapat versi 2.0 liter.

3) Hyundai Avante 2.0 – RM95,301.

4) Mazda3 1.6 – RM111,249.

5) Chevrolet Cruze 1.8 – RM98,766.

6) Toyota Corolla Altis 1.8E – RM112,900. Juga terdapat versi 1.6 liter.

7) Toyota Vios 1.5 - dari RM70,783 hingga RM90,819.

8) Ford Fiesta Sedan 1.6 – RM79,888.

9) Mazda2 Sedan 1.5 – RM80,122.

10) Honda City 1.5S – RM85,480.

Tawaran menarik, servis percuma untuk 2 tahun. Cuba cari pengeluar lain yang mungkin memberi tawaran lebih menarik.

Banyak pilihan, pelbagai jenis tawaran disediakan. Pada saya, pembaca yang mahu membeli Proton Inspira pastinya akan mempertimbangkan tawaran daripada pengeluar lain juga.

Dengan peruntukan yang cukup, anda bebas membuat pilihan sendiri. Anda memang golongan yang sangat beruntung.

Promosi Proton: Merdeka ke-53 + Aidilfitri 1431H. Ogos 11, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Sempena perayaan Bulan Kemerdekaan dan Aidilfitri yang bakal menjelma, Proton sudah tampil dengan promosi agresif mereka: Drive for Celebration.

Antara ganjaran yang ditawarkan kepada pemilik sedia ada dan bakal pemilik Proton ialah baucer servis, diskaun upah untuk servis, insurans kemalangan peribadi percuma, dan yang paling menarik, peluang untuk memenangi Proton Persona Edisi Khas Ulang Tahun ke-25 Proton.

Klik gambar untuk imej lebih jelas.

Yang menarik perhatian saya ialah promosi khas Savvy, yang mana ditawarkan untuk Savvy keluaran 2010 yang didaftarkan dari 1 – 31 Ogos 2010.

Ya, saya ulang sekali lagi, Savvy keluaran 2010.

Saya lega apabila membaca mengenai promosi ini kerana rupa-rupanya Savvy masih dikeluarkan pada tahun ini, dan menafikan dakwaan bahawa ianya sudah diberhentikan pengeluaran kerana permintaan terhadapnya yang dikatakan rendah.

Antara ganjaran yang diperoleh dengan setiap pembelian Savvy 2010 Manual dan AMT:-

  • bayaran ansuran percuma 3 bulan pertama untuk pembeli yang mendapat pinjaman Proton Commerce dan AmBank.
  • diskaun harga RM1500 bagi yang memperoleh pinjaman daripada bank-bank lain.
  • percuma yuran pendaftaran dan cukai jalan.
  • percuma premium insurans.
  • percuma baucer servis untuk setahun bernilai RM1000.
  • percuma Touch N’Go (bernilai sepatutnya hanya RM10 tetapi ditulis RM100 dalam iklan).
  • percuma SmartTAG (bernilai RM120).
  • kad hadiah Petronas bernilai RM200.

Keseluruhan nilai ganjaran ialah RM4300. Kebiasaannya wakil penjual akan menawarkan ganjaran masing-masing juga. Itu terpulang kepada kemampuan anda tawar-menawar dengan jurujual Proton anda.

Bagi saya, ganjaran yang diberikan memang berbaloi serta berdaya saing. Diharapkan pemilik Savvy bakal bertambah dengan lebih banyak melalui promosi sebegini.

Sekadar makluman, adalah apa yang saya perolehi ketika membeli Savvy keluaran tahun 2009 yang didaftarkan di awal tahun 2010:-

  • diskaun RM7000 daripada harga kereta.
  • baucer filem penapis haba bernilai RM200.
  • keahlian percuma Daring Club Proton.
  • baucer servis 1000km dan 10,000km untuk pengecualian upah servis.

Boleh dikatakan keseluruhan diskaun yang saya perolehi adalah lebih kurang RM7500.

Promosi belian baru sahaja tidak cukup.

Seterusnya yang perlu ditumpukan oleh Proton, ialah terhadap rangkaian servisnya. Diharap keyakinan pengguna bukan hanya terhad ke atas jenama kereta Proton, yang saya akui makin meningkat dari segi kualiti. Keyakinan tersebut haruslah juga dipanjangkan ke atas rangkaian servis Proton, tidak kira wakil servis mahupun Pusat Servis milik Proton Edar dan EON sendiri.

1) Kualiti perkhidmatan servis.

Sewajarnya, ini haruslah dijadikan keutamaan bagi wakil servis. Kerana, “servis” itu sendiri merujuk kepada proses memperbaiki kenderaan dan memanjangkan tempoh hayatnya selama yang mungkin.

Jika selepas servis, kerosakan semakin teruk hasil darinya, apakah itu benar-benar dikatakan “servis”?

2) Harga perkhidmatan.

Seperti yang pernah dimaklumkan kepada saya, caj servis di Pusat Servis milik Proton Edar/EON lebih tinggi daripada wakil servis mahupun pusat servis yang biasa. Untuk satu servis biasa di Pusat Servis, boleh mencecah lebih RM100 hanya untuk upah servis.

Sewajarnya servis haruslah lebih murah, sejajar dengan matlamat Proton mengeluarkan kenderaan mampu dimiliki dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

3) Keselesaan di pusat servis.

Ada sebilangan pusat servis yang tidak menyediakan ruang mencukupi bagi pelanggan berehat sambil memerhatikan kereta diservis, contohnya Servis Mesra Petronas Seksyen 4 Bangi.

Sewajarnya, ruang lebih besar perlu disediakan sekurang-kurangnya bagi pelanggan berehat dan santai ketika menunggu siapnya kerja servis.

Akhir kata, buatlah pilihan yang bijak. Inilah masa terbaik untuk membeli kenderaan baru atau menggantikan kereta anda yang sedia ada. Juga, masa yang bagus untuk servis kereta anda menjelang perjalanan penuh ranjau pulang berhari raya.

Savvy: Apa yang menarik saya? Februari 21, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
2 comments

Pasti ramai yang tertanya-tanya, mengapa saya tertarik dengan kereta ini, sehinggakan setiap kali saya keluar darinya,

Beginilah rupa Savvy saya, kecuali gril hadapan.

saya akan pandang semula dua hingga tiga kali. Ada banyak sebenarnya sebab saya menyukai kereta ini, yang mana sebahagiannya saya sudah mengetahui sebelum memiliki, selain sebahagiannya yang saya rasai sendiri selepas memiliki.

1) Tawaran diskaun RM7000 dari Proton Edar.

Mungkin ini adalah “pull factor” untuk saya membuat keputusan memilih. Di mana lagi untuk memperoleh tawaran sebegini. Saya harus mendapatkan data jualan Savvy dalam tempoh promosi Drive for Prosperity, yang saya pasti amat berjaya dan mungkin akan diteruskan untuk perayaan lain seperti Merdeka dan Aidilfitri.

2) Khabar angin pemberhentian pengeluaran Savvy dari Proton.

Terdapat khabar angin sebegini yang saya sebenarnya tidak percaya. Namun jika benar apa salahnya, lagipun jumlah pemilik Savvy sekarang bersesuaian untuk pengeluaran aksesori oleh pengeluar tempatan, selain juga cukup untuk dijadikan simpanan untuk masa depan, mungkin Savvy boleh menjadi aset berharga di tahun 2030 nanti. Lagipun badannya kukuh, diharapkan enjin dan juga aksesori dalamannya juga begitu.

Untuk pengetahuan, kerjasama Proton dan Italdesign dalam pengeluaran kereta konsep, bukan bertujuan untuk menggantikan Savvy. Boleh dikatakan Savvy masih menjadi antara model Proton yang mencatatkan jualan konsisten, walaupun tidak setinggi Myvi.

Enjin Renault D4F-nya masih relevan, malah saya rasa lebih relevan daripada CamPro (sebelum pengenalan IAFM dan CPS), masih digunakan untuk Clio dan Twingo keluaran Renault Perancis. Jika benar sekalipun, hasilnya tidak akan lebih baik daripada Savvy. Hal ini kerana harga kereta hibrid yang pasti di luar kemampuan majoriti warga kita.

3) Penjimatan minyak.

Rekod penjimatan minyak, dari Malaysia Book of Records.

Ini memang diakui oleh kebanyakan, termasuk yang hanya pernah mendengar mengenainya. Hasil daripada Rekod Penjimatan Minyak Malaysia yang dicatatkan pada tahun 2007 lalu, Savvy dikenali sebagai “kereta penjimat minyak”. Imej ini bukan sekadar diketahui di Malaysia, malah di negara-negara eksport termasuk di Australia dan United Kingdom.

Untuk pengetahuan, penggunaan minyak saya untuk perjalanan Kajang-Shah Alam-Batu Gajah-Taiping-Kota Kuala Muda-Yan hanyalah RM60, menggunakan Shell V-Power Racing. Ini bersamaan 25 liter, yang mana mungkin sedikit tinggi jika menggunakan RON97 biasa atau RON95, namun saya pasti lebih murah jika menggunakan RON97 (RM2.05 seliter) berbanding V-Power yang terlalu mahal (RM2.38 seliter), mahupun RON95 yang membahayakan enjin (RM1.80 seliter).

4) Kemudahan servis.

Terdapat pelbagai pilihan untuk tempat servis bagi Proton Savvy, iaitu pusat servis Proton Edar serta EON, selain pusat servis kereta milik persendirian seperti RS Auto di Puchong, yang terkenal sebagai pakar membaiki Savvy. Kos alat ganti yang kini lebih rendah, membantu menarik saya menggunakan Savvy yang dahulunya saya tidak gemari. Pusat servis kegemaran saya, tentunya Servis Mesra Petronas Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.

5) Keselesaan pemanduan.

Ini hanya saya rasai apabila memperoleh kereta ini dari bilik pameran Proton. Saya tidak terlalu kisah dengan keselesaan, memandangkan badan saya kecil dan boleh memasuki setiap jenis kereta dengan selesa. Gear manual-nya dirasakan lebih “masuk” berbanding gear Myvi transmisi manual.

Pusat graviti yang rendah membantu pemanduan yang penuh adrenalin, enjin yang ditala untuk kuasa tinggi juga membantu memberikan lebih pecutan bagi kereta ini. Pemberian percuma bodykit membantu meningkatkan ciri aerodinamik, seterusnya meningkatkan penjimatan bahanapi.

Ibu dan adik saya turut bersetuju, menyatakan keselesaan kereta ini setanding dengan Vios yang berharga dua kali ganda. Mereka telah duduk di kerusi belakang Savvy, dan sangat seronok dengan sistem suara 4 pembesar suara Clarion yang dilengkapkan bersama kereta ini.

6) Pengesan undur yang peka, tetapi tidak terlalu bising.

Ciri ini saya baru sedari selepas menggunakannya, dengan perbandingan bersama model Toyota Vios, Perodua Myvi dan juga Proton Wira. Pengesan undur paling teruk adalah pada Toyota Vios, sangat mengganggu tumpuan ketika meletak kereta.

7) Prestasi enjin yang mengagumkan.

Walaupun tidak sepantas Satria Neo yang boleh mencecah 210 km/j bagi versi enjin CamPro CPS, Savvy masih boleh dikatakan pantas sambil menjimatkan bahanapi pada masa yang sama. Selesa dipandu pada 140 km/j dengan 4500 pusingan enjin seminit, saya boleh tiba ke Gurun, Kedah dalam masa 3 jam jika konsisten dengan kelajuan tersebut, selain papan pemuka kereta yang stabil tanpa gegaran jika tidak melebihi 4500 rpm.

Ya, benar. Ini harga Filet-O-Fish hidangan saiz sederhana pada waktu tengahari. Sedapnya...

(Namun saya masih punya akal yang sihat. Rehat penting untuk keselamatan perjalanan, dan keselamatan kereta serta perut yang kian membuncit ini walaupun hanya diisi Filet-O-Fish McDonald’s ketika waktu rehat.)

8) Tempat duduk belakang boleh diturunkan 90 darjah.

Ciri ini memaksimumkan muatan jika hanya 2 orang di dalam kereta, menjadikannya hampir berfungsi seperti sebuah MPV, dengan saiz lebih kecil dan kos bahanapi lebih rendah.

Teringin untuk mendapatkan Savvy, mahupun sebarang model Proton lain dari bilik pameran ibu pejabatnya?

Hantarkanlah komen anda, mahupun e-mel kepada saya beserta maklumat peribadi untuk dihubungi.Akan saya panjangkan kepada Uncle Ridhwan Hadi dari Bilik Pameran Kristal, Pusat Kecemerlangan Proton Edar, Subang Jaya.

Setiap hasil jualan yang saya peroleh (jika ada), akan digunakan untuk pembangunan masa hadapan Kelapa Muda.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.