jump to navigation

Hari Tanpa Kereta, berkesankah? September 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Kepada rakan-rakan pembaca yang memandu kereta, sejauh manakah anda boleh hidup tanpa kereta?

Persoalan ini juga saya tujukan kepada diri sendiri, memandangkan sudah hampir 2 tahun saya memandu kereta. Boleh dikatakan saya tidak mampu hidup tanpa si “kura-kura comel” Proton Savvy. Perkara tersebut terbukti pada Ramadhan tahun 2010 lepas, di mana saya tidak dapat memandu gara-gara kereta terlibat kemalangan.

Biarlah saya berterus terang, saya bekerja di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Persiaran Institusi Bandar Baru Bangi. Untuk ke sana, tiada sebarang bas yang disediakan, hatta dari stesen KTM Serdang, mahupun dari pekan Kajang. Para pelajar yang ke sini untuk praktikal (kebanyakannya perempuan, comel-comel belaka), juga memandu kereta, malah ada yang lebih mewah lagi dari saya yang bekerja.

Rupa-rupanya bukan hanya saya, malah lebih ramai lagi pemandu yang bersama-sama bersesak di lebuhraya Kajang SILK, kebanyakannya ke Putrajaya, yang juga tiada bas hubungan terus dari Kajang.

Di manakah silapnya?

Apakah kerana tiada koordinasi antara PBT dan Prasarana yang mengendalikan bas-bas RapidKL? RapidKL mula beroperasi pada 2006, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika itu di bawah tadbiran Barisan Nasional, yang mana mereka daripada pihak pentadbir yang sama. Untuk bekerjasama sekarang tentunya lebih payah kerana kini MPKj dibawah Pakatan Rakyat.

Adakah kerana penumpuan terlalu mendalam kepada industri kereta nasional? Jika dilihat harga kereta di Malaysia, ianya sudah tidak menarik lagi.

2008, diperkenalkan Proton Saga BLM dengan harga bermula dari RM33,500.

2009, harga dinaikkan sebanyak RM3000, kepada RM36,500.

2010, diperkenalkan pula Saga FL, juga berlaku kenaikan harga ke atas varian asas yang kini hampir mencecah RM40,000 sebuah.

Jika mengikut contoh ini, harga kereta nasional juga meningkat, sewajarnya mengurangkan permintaan terhadap kereta nasional.

Namun, pada 2011, Proton Saga muncul kembali sebagai kereta paling laris jualannya di Malaysia, di sebalik kenaikan harga dan “facelift” yang dilakukan bagi menaikkan harga.

Berbalik kepada Hari Tanpa Kereta, apakah ianya berbaloi untuk diraikan serta dimeriahkan jika pusat pentadbiran negara di Putrajaya sendiri tiada pengangkutan awam ke bandar berdekatan?

Kebanyakan bas hampir tiada penumpang, kerana ramai yang memandu sendiri.

Apakah gunanya Nadi Putra jika hanya berpusing-pusing di Putrajaya dengan kekurangan penumpang? Sewajarnya dipertimbangkan laluan baru, walaupun dari luar kawasan Putrajaya.

Salah satu usaha kerajaan adalah dengan memulakan pembinaan Mass Rapid Transit atau MRT, seperti di Singapura. Projek ini merupakan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah, yang rata-ratanya meragui keberkesanannya.

Adakah dengan kehadiran projek ini, rakyat dapat dipujuk bagi meninggalkan kereta di ruangan letak kereta yang sudah tentunya kurang selamat dengan ancaman kecurian?

Adakah dengan adanya MRT, penggunanya dapat tiba lebih cepat dari destinasi berbanding memandu sendiri?

Adakah dengan adanya MRT, belanja perjalanan dapat dikurangkan dengan drastik bagi mengurangkan beban kewangan?

Tidak dinafikan, peningkatan rangkaian pengangkutan awam memang diperlukan, kerana kawasan Lembah Kelang semakin sempit, dan dipadatkan dengan banyaknya kenderaan persendirian. Tetapi dengan besarnya belanja yang dikeluarkan, projek tersebut haruslah dipastikan berbaloi dan memenuhi keperluan seramai mungkin warga.

Sementara menunggu MRT siap, entah berapa tahun lagi, tumpuan harus diberikan kepada rangkaian bas. Pembelian 150 buah bas baru oleh RapidKL, pastinya dapat meningkatkan kekerapan bas di laluan sedia ada, dan mengurangkan risiko kelewatan akibat kerosakan bas. Tetapi, pengwujudan laluan baru juga perlu diperluaskan dengan lebih agresif, terutamanya di kawasan Persiaran Institusi Bangi, yang benar-benar memerlukan pengangkutan awam.

Semoga Hari Tanpa Kereta di tahun mendatang dapat kita sambut dan meriahkan dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien di masa depan.

Tiada lagi diskaun tol musim perayaan, kadar tol sedia ada dikekalkan. Januari 28, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Bermula musim Tahun Baru Cina 2011, PLUS Expressways tidak lagi memberikan diskaun tol sempena musim perayaan, mahupun diskaun perjalanan tengah malam.

Namun, berita gembira kepada pengguna, apabila kadar tol sedia ada dikekalkan selama 5 tahun sehingga 2015. Manakala program rebat tol bagi pengguna kerap lebuhraya, iaitu rebat 20% oleh kerajaan Persekutuan dan program khas bagi pengguna kerap PLUS, iaitu PLUSmiles dan program serupa di Lebuhraya Damansara-Puchong diteruskan.

Rebat tol yang sudah lama saya tidak peroleh, kerana kurang menggunakan lebuhraya.

Bagi Kelapa Muda, mujurlah program diskaun tengah malam tidak diteruskan, memandangkan sebenarnya perjalanan pada waktu tersebut lebih merbahaya daripada waktu lain. Ketika itulah pemandu kereta bakal bergelut dengan perasaan mengantuk, selain lebuhraya yang dibanjiri kenderaan berat seperti treler dan bas ekspres.

Pihak pengendali lebuhraya juga tidak akan dilihat sebagai mengutamakan keuntungan dengan menggalakkan perjalanan di waktu tengah malam yang kurang trafiknya, semata-mata bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja dan lebuhraya tanpa menghiraukan keselamatan pengguna lebuhraya.

Namun, bagi musim perayaan pula, mungkin ketiadaan diskaun bakal mengecewakan pengguna lebuhraya serba sedikit, namun itu dikira sudah memadai apabila memikirkan kadar tol lebuhraya yang sepatutnya dinaikkan 10% tahun ini.

Walaupun dengan diskaun tol yang agak banyak sepanjang tahun lalu, PLUS masih mencatatkan keuntungan memberangsangkan sepanjang tahun 2010. BursaNews.com melaporkan keuntungan PLUS untuk suku pertama 2010 (1Q10) meningkat kepada RM299.13 juta. Manakala bagi suku kedua 2010 (2Q10) meningkat lagi kepada RM319.56 juta.

Masalah kesesakan tetap tidak akan selesai jika begini rupanya jalan apabila keluar dari Plaza Tol Damansara NKVE.

Bayangkan keuntungan sebanyak itu, yang mana mampu melepasi angka RM1 bilion bagi keseluruhan tahun. Namun, harus juga dipertimbangkan adalah projek-projek terbaru PLUS seperti pembinaan lorong keempat di seksyen yang mendapat trafik tinggi seperti Shah Alam – Jalan Duta, Shah Alam – Rawang dan Nilai Utara – Seremban.

Projek-projek naik taraf sebegini amatlah digalakkan bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar sepanjang lebuhraya PLUS, dan diharapkan lebih banyak kawasan yang akan dibina lorong ketiga bagi menampung trafik yang lebih banyak, dan juga bagi memberikan ruang kepada kenderaan ringan yang laju dan juga yang perlahan bagi bergerak dengan lebih mudah dan selamat.

 

Trafik di LDP teramat teruk kerana terlalu terbuka, dengan terlalu banyak jalan keluar seperti di Bandar Sunway.

Berdasarkan sedikit pemahaman dalam kejuruteraan trafik, yang saya masih pelajari ketika ini, aliran (flow) trafik yang terlalu banyak dan dengan kepadatan (density) yang terlalu melampau, akan menjejaskan purata kelajuan sehingga mencecah sifar (0 km/j), iaitu kesesakan total yang mana ianya tidak jauh bezanya dengan di kawasan letak kereta.

Dengan sistem tol tertutup Juru - Sungai Dua, pengguna lebuhraya PLUS ke Pulau Pinang hanya perlu membayar tol di plaza tol ini tanpa perlu membayar di Juru/Sungai Dua.

Bagi mengatasi masalah ini, sewajarnya lebih banyak lebuhraya, dan seksyen-seksyen di lebuhraya haruslah dibina dengan sistem tol tertutup, yang mana aliran trafik dapat dikawal ke tahap yang sesuai bagi mencapai kepadatan trafik yang sesuai tanpa menjejaskan keadaan trafik. Sistem tol sebegini digunakan di Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya SKVE.

Berdasarkan pemerhatian, sistem terbuka di seksyen Juru – Sungai Dua, Pulau Pinang di Lebuhraya PLUS telah menyebabkan kesesakan teruk di kawasan tersebut, memandangkan pengguna terpaksa melalui 3 kawasan plaza tol yang sesak sehingga ke persimpangan:- Juru, Jambatan Pulau Pinang, Sungai Dua.

 

Trafik lebih lancar antara Juru - KL, kerana tidak perlu melalui 2 plaza tol di Ipoh. Alangkah bagus jika perkara ini boleh diaplikasikan antara Juru - Sungai Dua.

Bagi melancarkan aliran trafik di kawasan lebuhraya PLUS dan Jambatan Pulau Pinang, sewajarnya sistem tol di dua lebuhraya tersebut boleh diintegrasikan dan seksyen tersebut perlu mengaplikasikan sistem tol tertutup seperti yang sedang digunakan di seksyen Ipoh Utara – Ipoh Selatan yang terbukti berkesan mempercepatkan perjalanan di sepanjang Lebuhraya PLUS.

Jika sistem sebegini akan diaplikasikan di seksyen Juru - Sungai Dua, dimanakah ruang untuk jalan tempatan (local road) dibina?

Bagi berbicara memang mudah, namun untuk mengaplikasikan idea ini menjadi satu cabaran amat hebat, dengan ruang untuk naik taraf yang sempit, polisi keterbukaan kerajaan negeri Pulau Pinang, serta risiko untuk kesesakan trafik luar biasa sepanjang pembinaan, tetapi masih boleh direalisasikan.

Alangkah bagusnya jika mesin ini wujud di hentian-hentian rehat lebuhraya.

Selain itu, kempen penggalakan pembayaran tol elektronik wajar diteruskan. Ketika ini, kelihatan banyak kaunter tambah nilai dibuka di hentian rehat, dan mungkin PLUS boleh mengadaptasi sistem yang diwujudkan oleh RapidKL, iaitu kiosk tambah nilai (ARK) bagi memudahkan proses tambah nilai TnG tanpa perlu melalui lorong tambah nilai manual.

 

Bas RapidKL Wanita: Pendedahan masalah sebenar pengangkutan awam. Disember 7, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Bagi bulan Disember 2010, RapidKL memulakan percubaan bagi perkhidmatan bas khas untuk wanita. Laluan terlibat, dan masa perjalanan bas khas ini seperti di bawah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Laluan-laluan yang dipilih adalah berdasarkan kepada kadar penggunaannya oleh penumpang wanita. Apa kata kita selidik maklumat daripada FAQ RapidKL berkenaan Bas Wanita ini.

Apakah faedah kepada pengenalan Rapid Bas Wanita ini?

Faedah-faedah yang boleh dinikmati oleh penumpang-penumpang wanita adalah:

i.      Mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa gangguan seksual dan penyeluk saku;

ii.      Mengelak ketidakselesaan kerana bersentuhan dengan penumpang yang berlainan jantina; dan

iii.      Lebih menjamin keselamatan sepanjang perjalanan kerana Rapid Bas Wanita ini dipandu oleh pemandu terlatih kami;

 

Sebenarnya, semua masalah yang diutarakan di atas telah dan sedang dihadapi bukan sahaja penumpang wanita, malah lelaki juga. Terutama isu keselamatan, adakah wanita sahaja yang perlu akan keselamatan perjalanan?

Pengasingan jantina mengikut bas juga dilakukan di Israel, gambar ini serupa seperti bas RapidKL bukan?

Kita masih beruntung, kerana tempoh percubaan ini hanyalah bagi waktu awal pagi dan lewat petang sahaja. Diharapkan konsep bas sebegini tidak akan diamalkan sepanjang masa, kerana sebab-sebab berikut:-

i. Ada laluan RapidKL yang tidak dilalui oleh syarikat bas lain, misalnya Pasar Seni – Shah Alam/Alam Megah. Kewujudan bas wanita sepanjang masa pastinya menyebabkan penumpang lainnya terpaksa menunggu bas seterusnya (kononnya 5-7 minit, hakikatnya bas seterusnya hanya akan bergerak selepas lebih 30 minit, bergantung kepada pelbagai faktor).

Agaknya beranikah rakan-rakan wanita untuk beramai-ramai dalam bas yang terbakar tanpa lelaki?

ii. KTMB juga telah memulakan perkhidmatan koc khas wanita, dan polisi ini kelihatan lebih adil kerana kedua-dua lelaki dan wanita dapat menaiki keretapi yang sama dan tiba pada waktu sama. Mungkin RapidKL boleh mencuba untuk mewujudkan dua kawasan dalam bas, iaitu kawasan lelaki dan wanita.

Akhir kata, mungkin juga, pengwujudan konsep pengangkutan awam khas wanita ini mahu memberi satu mesej khas bagi lelaki: Gunakan pengangkutan lain, anda tidak dialu-alukan bagi pengangkutan awam.

Sudah masanya, kaum lelaki memberi ruang kepada wanita menggunakan pengangkutan awam, dan masing-masing boleh memandu motosikal yang ada, dan kereta jika ada. Tak bujang-lah naik pengangkutan awam!

Jika begini, sehingga bilakah pengangkutan awam kita akan maju dan jadi pilihan utama? Mungkin tidak, sampai bila-bila.

Kampus besar, pengangkutan awam tiada. (Kemas kini: RapidKL U90 kini beroperasi Hentian Bandar Shah Alam – UiTM Puncak Alam) Disember 3, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , ,
2 comments

Saya dihubungi oleh seorang rakan, yang selalu tidak sependapat, namun kerap kali meminta bantuan dari saya apabila memerlukannya. Seperti biasa, orang lurus bendul seperti saya akan membantu, sedaya mampu. Walau apa pun, beliau memang sahabat yang baik biar pun kerap bertelagah.

Apakah bantuan yang dia perlukan kali ini? Jawapannya, menghantarnya ke UiTM kampus Puncak Alam. Fikirkan saya yang tinggal di Kajang, dan beliau yang tinggal di Putrajaya.

Seperti biasa, bantuan Google memang diperlukan. Hasil carian: perjalanan berjumlah 80km dari Kajang ke Putrajaya dan ke UiTM Puncak Alam.

Saya memberitahu beliau untuk menaiki bas RapidKL dari Putrajaya ke Pasar Seni (E1), kemudian dari Pasar Seni ke Hentian Bandar Shah Alam (U80), kemudian bas ke Puncak Perdana (U605).

Tunggu sebentar, Puncak Perdana dengan Puncak Alam, bunyinya seperti dekat. Namun, kedua-dua kampus ini dipisahkan dengan perjalanan hanya 5km. Malang sekali, bas Shah Alam-Puncak Perdana tidak disambung ke Puncak Alam.

Kepada mereka yang ingin mengetahui, UiTM Puncak Alam merupakan sebuah kampus baharu, yang mampu menampung sebanyak 20,000 pelajar, di samping 5000 staf, majoritinya Bumiputera.

Kampus yang diberi julukan “Kampus Pintar” ini dibuka pada tahun 2008, menempatkan Fakulti Farmasi, Sains Kesihatan, serta Pengurusan Pejabat dan Teknologi.

Baru sahaja dirasmikan pada 12 Februari 2010. PM kita tak ada idea untuk tanda tangan ke? Ringkas betul.

Kampus yang kini siap, baru berada pada fasa 1. Pasti banyak lagi fasa pembinaannya lagi, yang bakal menjadikannya kampus induk UiTM di masa hadapan.

Kedudukannya yang jauh dari bandar, memberikannya satu persekitaran yang mesra alam, dan begitu tenang dari hiruk-pikuk kota. Malangnya, kedudukan sedemikian juga menyebabkan para pelajar mengalami sedikit kesukaran untuk ke kampus tersebut.

Carian di internet memaparkan bahawa tiada perkhidmatan bas henti-henti dari bandar Puncak Alam, apatah lagi kampus UiTMnya untuk ke bandar-bandar terdekat. Mungkin ada teksi, tetapi tambangnya anda boleh bayangkan sendiri.

 

Pastinya pelajar UiTM Puncak Alam memerlukan bas untuk ke bandar terdekat. Diharap mereka akan dapat memperolehnya di semester akan datang.

Diharapkan pihak UiTM dan RapidKL dapat memperoleh penyelesaian kepada masalah ini bukan sahaja untuk pelajar UiTM, malah penduduk bandar Puncak Alam, dan juga waris dan kenalan para pelajar kampus tersebut.

Pastinya dengan sedikit sahaja perubahan, kampus UiTM Puncak Alam ini dapat memberikan keselesaan menyeluruh kepada para pelajarnya.

 

Nota Tambahan:

Rentetan daripada tulisan ini, saya telah mendapat maklumat mengenai laluan bas yang sebenarnya sudah wujud antara UiTM Puncak Alam ke Hentian Bandar Shah Alam.

RapidKL U90: Hentian Bandar Shah Alam – Klang Sentral – UiTM Puncak Alam.

Terima kasih dan harap maaf kepada pemberi maklumat yang tulisannya mungkin agak memarahi saya. Maklum sahaja, maklumat ini tidak wujud di laman web rasmi RapidKL.

Maklumat ini juga akan saya sampaikan kepada rakan yang meminta bantuan saya tadi, supaya saya tidak perlu melakukan perjalanan jauh ke Puncak Alam.

Ingin tambah nilai Touch N’Go? Tak perlu lagi beratur di lorong tambah nilai, atau kaunter plaza tol. Oktober 9, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
8 comments

Tinggal di Lembah Kelang dan memandu kereta, membuatkan anda sukar untuk lari dari satu perkara: Plaza Tol.

Boleh dikatakan kebanyakan laluan yang disediakan, mengenakan tol kepada kenderaan yang melaluinya, dan sudah tentu anda tidak mahu beratur panjang di lorong tunai setiap kali melalui plaza tol.

Mula diperkenalkan sejak 1996, Touch N’Go merupakan sistem pembayaran tol tanpa tunai untuk lebuhraya di Malaysia. Statistik Bank Negara Malaysia mendapati, 70% transaksi tanpa tunai di Malaysia adalah menggunakan Touch N’Go.

Populariti Touch N’Go mungkin disebabkan faktor-faktor berikut:-

1) Penerimaan menyeluruh untuk pembayaran-pembayaran ringkas.

Semua lebuhraya menerima pembayaran menerusi Touch N’Go. Selain itu, RapidKL kini hanya menggunakan sistem Touch N’Go untuk RapidPass mereka yang boleh digunakan secara harian, mingguan mahupun bulanan.

Malah, kebanyakan tempat letak kereta di pusat-pusat membeli-belah menerima Touch N’Go sebagai kaedah pembayaran dengan caj yang minimum.

2) Lebih mudah untuk mengawal perbelanjaan dan merancang perjalanan.

Nilai simpanan yang dimasukkan dalam Touch N’Go dapat memastikan penggunanya merancang perjalanan dengan lebih baik, berdasarkan kepada baki yang tinggal di dalam kad.

Hal ini juga disebabkan kemudahan tambah nilai yang terhad dan agak sukar pada waktu puncak.

3) Rebat tol 20% setiap bulan.

Jika anda menggunakan Touch N’Go untuk pembayaran tol, dan penggunaan sebanyak 80 kali dalam sebulan, anda akan menerima rebat sebanyak 20% daripada jumlah penggunaan yang akan dikreditkan dalam Touch N’Go anda.

Rebat ini merupakan sebahagian daripada program kerajaan untuk menggalakkan penggunaan sistem elektronik untuk pembayaran tol, selain daripada mengurangkan beban kewangan bagi mereka yang kerap melalui plaza tol.

Kini, lebih mudah untuk anda menambah nilai Touch N’Go walaupun ketika kaunter tambah nilai ditutup.

CIMB Bank kini mengecualikan caj tambah nilai Touch N’Go kepada pelanggan-pelanggannya yang menambah nilai menerusi mesin ATM CIMB.

Jika anda menemui mesin ATM CIMB dengan pelekat “Tambah Nilai Touch N’Go Di Sini”, anda boleh menambah nilai kad tanpa caj. Tambah nilai minima menerusi ATM adalah RM50, dan boleh dilakukan pada bila-bila masa (kecuali jika mesin ATM tersebut tergendala seketika antara 12 tengah malam hingga 2 pagi).

Diharapkan CIMB Bank dapat menambahkan bilangan mesin ATM dengan pengimbas kad Touch N’Go, agar kemudahan ini lebih mudah diperolehi.

Selain itu, diharapkan jumlah tambah nilai minima dapat dikurangkan, agar pengguna-pengguna LRT atau bas RapidKL dapat turut sama memanfaatkan kemudahan tambah nilai ini. Minima RM30, mungkin lebih sesuai kepada pengguna yang cenderung mengawal penggunaan dan perjalanan masing-masing.

 

 

 

Aerorail Melaka, selamat ke? September 15, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
3 comments

Saya hari ini melawat laman web Jabatan Keretapi Malaysia, kerana ingin melihat pelan jajaran untuk sambungan sistem LRT Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang, yang mana kedua-dua laluan ini bakal bertemu di Putra Heights, sebuah projek perumahan baru Sime Darby Property di pinggir Subang Jaya.

Maklumat belum dipaparkan lagi di laman web tersebut, namun ada sesuatu perkara yang menarik perhatian saya, iaitu bahagian maklumbalas awam bagi projek Aerorail Melaka.

Saya membaca pautan tersebut lebih lanjut untuk memperoleh latar belakang projek, jarak laluan, teknologi yang digunakan, dan butir-butir lain yang penting dalam projek ini.

Seterusnya, saya mencari lebih lanjut di Google, dan nampaknya tidak ketemu dengan Aerorail, membayangkan satu inovasi pertama dunia yang mungkin akan muncul di Melaka.

Rupa-rupanya tren yang disebut Aerorail itu sebenarnya dipanggil sebagai Aerobus, nama yang digunakan pada sebuah syarikat bas ekspres yang mengangkut penumpang antara LCCT KLIA di Sepang dan Stesen Sentral Kuala Lumpur.

Untuk maklumat, Aerobus adalah satu sistem keretapi yang melalui kabel yang digantung sepanjang laluannya, dan telah digunakan di Amerika Syarikat dan Eropah, terutama di resort ski di Switzerland.

Berikut adalah kelebihan Aerobus dari segi kos berbanding sistem-sistem rel lain:-

Boleh membawa 3,000 hingga 20,000 penumpang sejam sehala pada kos 60% lebih murah daripada monorel.

Kos pembinaan lebih murah per batu berbanding sistem pengangkutan rel lain, iaitu AS$15 juta hingga 30 juta per batu. Untuk makluman, sistem LRT akan memakan kos antara AS$100 juta hingga AS$150 juta per batu, manakala monorel memakan kos AS$75 juta hingga AS$100 juta per batu.

Namun, melihatkan kebiasaan Aerobus ini yang digunakan di resort ski, saya meragui keberkesanannya di Melaka, memandangkan Melaka adalah sebuah bandar yang menghadapi kesesakan lalu lintas yang perlu diatasi bagi memastikan kunjungan pelancong yang berterusan.

Sistem Aerobus pada saya, hanya sesuai untuk tujuan pelancongan, iaitu bagi membawa penumpang antara lokasi-lokasi utama di Bandar Melaka. Seharusnya jika boleh, laluan keretapi harus bermula di luar Bandar Melaka, di kawasan seperti Ayer Keroh supaya dapat benar-benar memanfaatkan untuk rakyat Melaka seluruhnya.

Tidak mengapa, ini hanya pandangan awal saya, kita tunggu dan lihat sahaja apakah nasib projek ini nanti. Diharapkan sistem pengangkutan awam yang akan disediakan nanti dapat memenuhi janji untuk memberikan perkhidmatan yang efisien bagi manfaat rakyat dan pelancong Melaka.

Selamat menyambut September. Anda rasa didahulukan?? Ogos 31, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Bulan September selalunya akan menjadi satu bulan yang amat menarik. Kenapa?

Pada saya, September membawa seribu makna, yang indah dan juga tidak indah.

September 2001:

Pusat Dagangan Dunia, New York ketika 11 September 2001.

Pusat Dagangan Dunia, New York ketika 11 September 2001.

Ketika saya berusia 11 tahun, saya tergamam melihat dua menara berkembar runtuh hanya kerana dilanggar oleh kapal terbang pada 11 September.

September 2003:

Saya sekeluarga baru berpindah ke Kedah dari KL. Teruja saya dengan sebuah sekolah indah yang terletak di tengah-tengah sawah padi, yang saya masuki antara tingkatan dua hingga empat iaitu SMK Dulang.

September 2004:

Bersedia untuk peperiksaan PMR 2004, ada rakan ketika itu yang sudah hilang semangat dan hilang dalam senarai kedatangan yang perlu saya pantau sebagai ketua kelas ketika itu.

September 2005:

Hangat menikmati percintaan pertama dalam hidup dengan seorang gadis dari Langkawi. Ketika itu saya di Tingkatan 4 MRSM Langkawi.

September 2006:

Beginilah yang berlaku kepada rakan-rakan ketika itu. (Gambar hiasan)

Beginilah yang berlaku kepada rakan-rakan ketika itu. (Gambar hiasan)

Ramai rakan-rakan yang bakal mengambil percubaan SPM 2006 dilanda wabak demam campak. Wabak tersebut menyebabkan keputusan percubaan kami hanya di kedudukan keempat terbaik antara MRSM, namun meningkat kepada kedua terbaik untuk peperiksaan SPM 2006.

September 2007:

Rasa agak “lampi” gara-gara 10 bulan bercuti daripada pelajaran kerana menunggu kemasukan ke Sunway University College dengan tajaan MARA. Nasib baik ada seorang insan yang begitu menyayangi saya ketika itu, menjadi pendorong saya untuk tabah menghadapi hidup keseorangan di Petaling Jaya.

Air Terjun Sagil, Gunung Ledang

Air Terjun Sagil, Gunung Ledang

September 2008:

Pertama kali mengunjungi negeri Johor. Tempat mana yang saya pergi? Jawapannya ialah Segamat. (Taklah menarik macam Johor Bahru kan? Nasib baik ada air terjun Sagil.) Ini kerana saya menunjungi insan yang saya kenali pada September tahun lalu yang telah belajar di UiTM cawangan sana.

Pada masa yang sama, Anwar Ibrahim pula dikatakan akan menjadi Perdana Menteri baru apabila dikatakan telah menarik seramai 30 Ahli Parlimen BN untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat, sehingga memaksa mereka untuk dibawa ke “lawatan sambil belajar” ke China (yang tidak sempat mendapatkan visa, lalu dialihkan ke Taiwan).

Apa yang menanti untuk September 2009?

1) Kenaikan harga minyak. RM1.80 untuk RON95, RM2.05 untuk RON97.

Berdasarkan penggunaan buat kali pertama, prestasi motosikal saya tidak terjejas walaupun menggunakan RON95, masih laju dan bertenaga walau hanya berkapasiti 100cc. Ketika itu saya menggunakan minyak Synergy 5000 RON95 dari Esso.

Tiada kenaikan sebenarnya pun, kerana gred RON95 dijadikan gred utama di semua stesen minyak. Itu kata Ismail Sabri bapa kepada Dafi.

Sebenarnya ramai pembaca blog automotif Paul Tan yang melaporkan bahawa “mileage” dan kuasa yang diperolehi daripada RON95 adalah lebih rendah berbanding RON97, yang mana sebenarnya meningkatkan kos perjalanan, terutama jarak jauh. Kritikan paling buruk dilemparkan kepada minyak RON95 dari Shell.

Diharapkan stesen minyak menyediakan bekalan RON95 yang mencukupi supaya pengguna tidaklah berada dalam keadaan “terpaksa menggunakan RON97 yang dinaikkan harga”.

2) Kenaikan tambang perkhidmatan bas, ekspres dan henti-henti.

Surcaj perkhidmatan bas ekspres yang dikenakan mulai musim perayaan tahun 2008 iaitu sebanyak 30% telah ditukarkan menjadi kenaikan tambang kekal mulai Ogos lalu.

Agak pelik juga kerana syarikat penerbangan seperti AirAsia dan MAS telah memansuhkan surcaj walaupun dalam persekitaran industri penerbangan yang mencabar. Adakah sektor bas ekspres tidak dapat membuat keuntungan jika tiada surcaj 30% yang dijadikan kenaikan tambang kekal itu?

Tiket Sepadu RapidKL, tinggal kenangan. Kini setiap perjalanan perlu dibayar jika tiada RapidPass Pas Bulanan.

Tiket Sepadu RapidKL, tinggal kenangan. Kini setiap perjalanan perlu dibayar jika tiada RapidPass Pas Bulanan.

Manakala penyedia bas henti-henti utama di Lembah Klang, RapidKL akan mengenakan caj tambang mengikut zon perkhidmatan untuk setiap perjalanan berbanding kaedah sebelum ini yang berdasarkan kepada jenis perkhidmatan bas yang dicajkan secara harian.

Pihak RapidKL memberitahu, struktur tambang baru ini adalah bertujuan untuk menyelaraskan kadar tambang dengan syarikat-syarikat penyedia bas henti-henti yang lain di Lembah Kelang, dan juga untuk menggalakkan penggunaan kad perjalanan bulanan yang dipanggil RapidPass.

3) Kenaikan kadar tambang untuk KTM Antarabandar.

Tambang untuk Tren Shuttle KL-Ipoh dan yang baru diperkenalkan, Kajang-Ipoh telah dinaikkan antara RM1 hingga RM2 mengikut kelas yang dinaiki. Diharapkan dengan kenaikan ini, KTM dapat memanfaatkannya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter dan ketepatan perjalanan untuk tren-tren antarabandar.

Konklusi: Nampaknya bulan ini bakal menjadi September yang tidak menarik buat saya apabila

Adakah hanya retorik semata?

Adakah hanya retorik semata?

melihatkan tiga cerita ini. Semakin terasa terhimpit hidup kita. Diharapkan September untuk tahun-tahun mendatang tidak menjadi sebosan ini lagi.

Ingatlah slogan keramat ini; 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Nilaikannya sebaiknya.

Aduan kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Ogos 27, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , ,
51 comments
Complaint No.: A60089
Date: 27/08/2009
Status: CASE UNDER INVESTIGATION
Subject: IRRESPONSIBLE KTMB STAFF, ACTION NEEDED
Details of Complaint:
On 4.30pm 23/8/2009, I go to Kajang KTM Station to purchase train ticket for a journey from Batu Gajah to Butterworth on 18/9/2009,2 days before Hari Raya. When I asked the KTM ticket clerk,she said all tickets for journeys on 18/9/2009 are sold out,and recommends me to take ticket for same journey on 19/9 instead, which departs on 11.11pm, arrived on 4.40am 20/9, which would be Hari Raya.

I purchased the ticket finally, as there are no other options left. My relative who lives in Batu Gajah was sympathetic, as I would need to endure a journey on the Hari Raya Eve. But I don’t mind, since I consider myself lucky for being given a chance to go back for Hari Raya to my hometown near to Butterworth.

She tried to solve the problem by trying to purchase the ticket at the KTM Batu Gajah for the journey for the date that I desired, 18/9. Eventually, she succeeded,contrary to what has been said by the KTM ticket clerk in Kajang.

This attitude frustrates me, as there would be other people who in dire need for tickets for such journey, who would be cheated by this KTM Kajang ticket clerk which embarrassed the company. Overall, I am happy with the company’s service even though they raised ticket price recently,since their train services are reliable,compared to express buses.

According to a visit on KTM website on the night of 23/8, there are 20 tickets still available for such journey.

Here are the details for my ticket.
Ticket Number: S 0070749
Train: Ekspres Langkawi (EL8)
Class: Ekonomi (CMB)
Origin: Batu Gajah, To: Butterworth
Departs: 19/9/2009 23:11, Arrives: 20/9/2009 4:39
Coach: R2, Place: 4D
Fare: RM12.00
Numbers written at the below side of the ticket:
092040001-00403893-1 23/08/2009 16:49 UserID:065061SR/20400/1

Nombor Aduan: A60089
Tarikh: 27/08/2009
Status: KES DALAM SIASATAN
Subjek: STAF KTMB TIDAK BERTANGGUNGJAWAB, TINDAKAN DIPERLUKAN
Butir-butir Aduan:
Pada 4.30petang 23/8/2009,saya ke stesen KTM Kajang untuk membeli tiket keretapi untuk perjalanan dari Batu Gajah ke Butterworth pada 18/9/2009, 2 hari sebelum Hari Raya. Ketika saya bertanya kerani tiket wanita KTM tersebut, beliau berkata bahawa tiket untuk semua perjalanan 18/9/2009 habis dijual, dan mencadangkan saya mengambil tiket untuk perjalanan yang sama, tetapi pada 19/9, yang berlepas pada jam 11.11 malam, tiba pada 4.40 pagi 20/9, iaitu pada Hari Raya Pertama.

Saya membeli juga tiket tersebut, melihatkan tiadanya pilihan lain. Saudara saya (wanita) yang tinggal di Batu Gajah bersimpati, kerana saya perlu menempuh perjalanan pada malam Hari Raya. Namun saya tidak kisah, kerana saya menganggap diri saya bertuah kerana diberi peluang untuk pulang berhari raya di kampung yang berdekatan Butterworth.

Beliau cuba menyelesaikan masalah saya dengan cuba membeli tiket tersebut di stesen KTM Batu Gajah. Tiket masih ada, berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh kerani tiket KTM di Kajang.

Sikap ini mengecewakan saya, kerana mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan tiket untuk perjalanan sedemikian yang ditipu oleh kerani tiket KTM Kajang ini yang telah memalukan syarikatnya. Secara keseluruhan, saya gembira dengan perkhidmatan syarikat ini walaupun mereka baru sahaja menaikkan kadar tambang, kerana perkhidmatan keretapi mereka boleh dipercayai, berbanding bas ekspres.

Berdasarkan lawatan saya ke laman web KTM pada malam 23/8 terdapat 20 tiket yang masih ada untuk perjalanan serupa.

Berikut adalah butir-butir tiket saya.

Nombor Tiket: S 0070749
Tren: Ekspres Langkawi (EL8)
Kelas: Ekonomi (CMB)
Dari: Batu Gajah, Ke: Butterworth

Berlepas: 19/9/2009 23:11, Tiba: 20/9/2009 4:39
Koc: R2, Tempat: 4D
Tambang: RM12.00
Nombor yang tertulis di bahagian bawah tiket:
092040001-00403893-1 23/08/2009 16:49 UserID:065061SR/20400/1

Aduan asal adalah dalam Bahasa Inggeris, supaya tindakan diambil lebih pantas. Di bahagian bawah adalah terjemahan yang saya lakukan untuk memudahkan pemahaman para pembaca. Jika ingin pergi ke laman web Biro Pengaduan Awam, anda boleh klik di sini.

Saya kecewa dengan sikap kerani tiket KTM Kajang yang disebutkan (namanya di pakaian seragam adalah “Sara”, manis orangnya), kerana beliau tidak mengamalkan etika kerja yang mesra pelanggan, sehinggakan sanggup menipu pelanggan mengenai tiket yang dicari.

Adakah kerana malas untuk memeriksa pangkalan data tiket?

Atau terlalu banyak pelanggan untuk perkhidmatan KTM Komuter yang memerlukan perhatian? Ini mungkin jawapannya, menurut kata hati saya.

Saya membayangkan bahawa para kerani tiket di Stesen KTM Kajang menghadapi tekanan hebat, kerana pelanggan yang sangat ramai jumlahnya untuk kedua-dua perkhidmatan Antarabandar dan Komuter.

Lebih-lebih lagi dengan tren “shuttle” yang semakin banyak, seperti laluan KL Sentral – Ipoh yang kebetulan dipanjangkan laluannya ke Kajang untuk dua perjalanan pagi dan petang.

Jika itu dikenal pasti sebagai puncanya, kita sama-samalah berharap agar stesen KTM Kajang dapat diperbesarkan lagi, dan ditambah bilangan kaunter tiket daripada dua sedia ada, kepada empat atau lima kaunter untuk menampung jumlah pelanggan, bukan hanya ditumpukan kepada perniagaan tapak letak kereta semata-mata.

Pada masa yang sama, saya juga berharap agar laluan pejalan kaki antara stesen KTM Kajang dan Jalan Reko diperbaiki supaya lebih selamat dan selesa. Laluan yang akan dibina haruslah luas dan lebar, dan juga cerah untuk penglihatan yang mudah di waktu malam. Sambungan yang mudah ini seterusnya dapat memudahkan penumpang KTM untuk diambil oleh rakan-rakan dan keluarga di Jalan Reko, mahupun menaiki bas RapidKL dan Road Liner sedia ada.

Selepas perkara ini dilakukan, KTMB boleh menumpukan kepada pembangunan seterusnya stesen KTM Kajang yang kebetulan terletak di lokasi yang amat strategik dan punya tapak yang luas, sekarang ini menjadi ruang meletak kenderaan.

Antara pembangunan yang akan memberikan pulangan berbaloi kepada KTMB dan pengguna adalah pusat komersil, yang mana akan menyediakan ruang niaga lebih luas dan tersusun kepada para peniaga yang “bersepah” bertaburan sekitar kawasan stesen KTM, ruang letak kenderaan yang lebih banyak dan selesa (mampu mengurangkan masalah tempat letak kenderaan di Pekan Kajang), selain akses mudah dari Jalan Reko dan Jalan Bukit yang mampu menyelesaikan masalah trafik di Jalan Bukit yang menempatkan sekolah menengah dan Kolej New Era.

Akhirnya bolehlah tempat itu nanti dipanggil Kajang Rail Mall. Macam cantik juga nama tersebut.

Saya kini tinggal di Kajang, dan saya amat menyayangi tempat ini. Mari kita doakan agar bandar Kajang kita lebih berjaya di masa akan datang, dan keluar daripada segala masalah yang membelenggunya.

Tutup premis, selesai masalah? Ianya tak sebegitu mudah. Ogos 10, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
5 comments

Semakin banyak cawangan pejabat, sekolah dan IPT yang ditutup akibat wabak Influenza A H1N1 yang makin menggila. Dikatakan tujuan penutupan adalah untuk mengekang wabak ganas ini daripada terus menular.

UiTM misalnya, diberikan amaran oleh penguasa kesihatan bahawa jika jumlah pelajar positif H1N1 melebihi 20 orang, semua kampus UiTM akan ditutup dan para pelajar perlu sambung semester depan.

Selamatkan UiTM dari H1N1!

Membazir setengah tahun. Belajar tak dapat. Bagaimana dengan Hak Melayu?

Benar, tak kiralah apa pun yang pelajar UiTM fikirkan dan demo-kan tahun lalu (walaupun fikiran saya tidak sebulu), paling penting mereka pastinya tidak mahu sambung semester, kerana sudah membazir masa pengajian.

Mungkin inilah yang difikirkan oleh Tun Mahathir ketika membina Koridor Raya Multimedia dahulu. Dah lupa tentang “Virtual Learning”? Kelas dalam rumah, guna sidang video.

Namun, Internet di negara kita ini, guna webcam pun imej tersekat-sekat, bagaimana mahu belajar dari rumah? Jangan ceritalah tentang jalur lebar atau saya sebut “Beruk-Band”, semuanya tidak berjaya membawa manfaat kepada rakyat kebanyakan.

Sebagai tambahan, virus H1N1 sudah jadi gejala yang melanda 1 Malaysia. Adik saya, pelajar MRSM PDRM Kulim yang berjaya dengan projek “Wireless Electric Supply” juga terpaksa bercuti di rumah gara-gara virus ini, namun seperti pelajar MRSM lainnya, timbunan tugasan dan kerja rumah diberikan untuk skor semaksimumnya pada SPM tahun hadapan.

Adakah adik saya dijamin selamat daripada virus ini jika tinggal di rumah keluarga di Yan? Pastinya tidak.

Nampaknya kerajaan seolah ambil jalan mudah untuk kawal kerosakan. Harus kita akui, H1N1 adalah wabak global yang kita tidak dapat lari, namun harus dihadapi dengan bertanggungjawab dan berhemah, bukan dengan tindakan melulu.

Langkah yang seharusnya diambil, ini mungkin akan memakan kos yang agak banyak, boleh jadi sehingga Najib PM terpaksa mengumumkan pakej rangsangan ekonomi ke-3.

  • Wajibkan pemakaian topeng muka di tempat sensitif seperti stesen keretapi, lapangan terbang, sekolah dan IPT.
    Ini bukan Adawiyah rakan saya. Tapi, alangkah cantiknya...

    Ini bukan Adawiyah rakan saya. Tapi, alangkah cantiknya...

    Adawiyah, anda sudah pakai hijab, tak perlu topeng muka. =)

  • Janganlah lokek untuk beramal jariah, terutama ketika bulan Ramadhan menjelma ini. Janganlah melampau sehingga topeng muka berharga 80 sen dinaikkan harga menjadi RM1.50, seperti dilakukan sebuah IPT di Kajang. Jual pada harga munasabah, harga kos jika boleh. H1N1 perlu dihadapi dengan bertanggungjawab, bukan dengan mengambil kesempatan.
  • Kurangkan penggunaan penyaman udara, sediakan lebih banyak kipas di tempat-tempat berpotensi kepanasan seperti bilik kelas di IPT untuk ganti penyaman udara. Persekitaran dingin memudahkan penyebaran virus H1N1.
  • Berikan amaran kepada pelancong asing untuk mematuhi langkah pencegahan, agar mereka tidak menyebarkan virus kepada kita mahupun kembali ke negara asal.
  • Tingkatkan kekerapan perkhidmatan bas dan rel untuk mengurangkan kesesakan yang berpotensi menyebarkan virus H1N1. RapidKL, KTM, Metrobus, jangan pentingkan keuntungan semata-mata.
  • Galakkan jualan Hari Raya secara online dari laman web seperti Lelong.com.my atau EBay.com.my untuk mengurangkan kesesakan di pusat-pusat beli belah, dan juga untuk boikot peniaga Masjid India dan Jalan TAR yang tuntut sampai RM200 juta dari GMI.
  • Solat. Tiang agama yang runtuh jika kita abaikannya.

    Solat. Tiang agama yang runtuh jika kita abaikannya.

    “Divine Intervention” adalah diharapkan, jadi minta dibuat solat hajat setiap kali selepas solat terawih di surau-surau dan masjid di bulan Ramadhan, berdoa agar Allah ampunkan dosa seluruh umat dan hentikan wabak H1N1. Penganut agama lain juga diminta untuk berdoa dengan cara masing-masing.

  • Untuk keseluruhan tahun, perhimpunan yang tidak penting boleh kita tunda (mungkin sambutan Merdeka ke-52), seperti konsert-konsert mega, untuk kita beri waktu bertenang untuk kurangkan penyebaran wabak H1N1.
  • GSC, Cathay dan TGV Cinemas boleh galakkan jualan DVD untuk kurangkan kekerapan menonton wayang, salah satu cara untuk kurangkan risiko jangkitan.
  • Promosi lebih agresif dari MangkukTingkat.com untuk jualan hidangan berbuka puasa secara online, kurangkan kunjungan ke Bazaar Ramadhan. (Pasti YDP PMI KLIUC akan marah saya, sebab kami akan buat Bazaar Ramadhan di kolej sana tahun ini)
  • Kuatkuasakan Car-Pooling untuk kurangkan kepadatan
    Janganlah sampai jadi begini...

    Janganlah sampai jadi begini...

    tren-tren LRT, Komuter dan bas-bas RapidKL di waktu puncak. Diskaun tol 50% untuk kereta yang dipenuhi penumpang, macam sempoi juga kan?

Langkah-langkah di atas akan berkesan hanya untuk jangka pendek. Ini langkah jangka panjang.

  • Tingkatkan infrastruktur jalur lebar negara, kenakan harga berpatutan untuk menggalakkan “virtual classroom” yang membolehkan pelajar dikuarantin terus mengikuti kelas. Seminar juga boleh diikuti secara video call. Transaksi dalam talian juga menjadi lebih pantas, tak perlu ke MidValley atau 1Utama untuk beli-belah.
  • Percepatkan penghantaran tren-tren baharu LRT Kelana Jaya Line dan KTM Komuter, jika boleh awal tahun 2010 untuk bantu tingkatkan kekerapan tren, memastikan tren tidak terlalu sesak. Sekarang zaman kegawatan ekonomi, syarikat yang membina gerabak keretapi pastinya perlukan kontrak-kontrak baru dengan segera. Inilah peluangnya.
  • Latih lebih ramai pemandu bas untuk RapidKL dan syarikat bas henti-henti, supaya kekerapan dapat ditingkatkan di waktu puncak, kurangkan kesesakan dalam bas. Scomi perlu lebih pantas bina bas. Jika tidak, beli bas Higer secara terus dari China, jangan benarkan Scomi ambil untung atas angin.
  • Kuatkuasakan peraturan dan polisi kekang jualan kereta, seperti ditulis oleh Basuh Baju, untuk galakkan perkongsian kereta ke tempat kerja. Misalnya dengan naikkan kadar faedah untuk pinjaman (dengan syarat langkah secukupnya sudah diambil untuk mantapkan pengangkutan awam). Tentang Proton dan Perodua, jangan risau kerana pasaran baru sedang diteroka dengan cukup agresif, mereka tidak akan rugi.
  • Kesian budak-budak ni, terlena mendengar ucapan Pengetua.

    Kesian budak-budak ni, terlena mendengar ucapan Pengetua.

    Kurangkan perhimpunan yang membosankan dan tidak bererti seperti setiap hari Isnin di sekolah, atau perhimpunan pekerja sektor awam mendengar ucapan ketua jabatan yang suka meleret-leret. Buang masa dan berpotensi sebarkan virus. Gunakan video, YouTube untuk sampaikan ucapan. Cuba lihat betapa sedikitnya views yang akan diperolehi ketua-ketua jabatan ini.

Diharapkan perbincangan ini dapat semarakkan pertukaran pendapat, dan dapat menyedarkan orang-orang yang berkuasa untuk lebih bertanggungjawab ke atas rakyat. H1N1 semakin menular, kita harus berani dan bijak menghadapinya.

Bulan Ramadhan bulan berkat, diharap kita mendapat rahmat, dan diselamatkan dari wabak H1N1.

H1N1, apa lagi selepas ini? Jun 25, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
3 comments

Sebanyak 80 kes telah dilaporkan yang disyaki dijangkiti virus H1N1 influenza A di seluruh negara. Peningkatan kes pada minggu ini adalah sebanyak 400% berbanding minggu lalu. Justeru, kerajaan telah menggerakkan semua agensi berkaitan untuk bekerja semaksimanya untuk mengekang penularan virus berbahaya ini.

Sebanyak 4 sekolah telah ditutup untuk seminggu, dengan beberapa pertubuhan telah mula menunjukkan muka dengan sumbangan topeng muka, yang jumlahnya tidak seberapa pun kepada pelajar-pelajar sekolah.

Pengesan haba selalunya sukar untuk berkesan, kerana virus H1N1 mengambil masa untuk kesannya kelihatan.

Berita-berita utama melaporkan butir teperinci tentang pesakit, antaranya pesawat yang dinaiki dan nombor tempat duduk. Di setiap pintu masuk utama negara, pengesan haba dipasang agar pesakit yang mengalami suhu badan yang panas dapat dikesan dan diuji jangkitan H1N1.

Poster filem Transformers: Revenge of The Fallen, mula tayangan 24 Jun.

Proses kuarantin pesakit diadakan secara cukup terperinci, dengan mereka tidak dibenarkan melakukan aktiviti seharian seperti membeli belah, menonton filem Transformers: Revenge of The Fallen yang baharu saja muncul di pawagam, ataupun pergi ke kelas tuisyen untuk cuba mendapat 21 1A pada peperiksaaan SPM yang terakhir diadakan dengan sistem terbuka.

Dalam keadaan seperti ini, virus H1N1 mudah untuk tersebar.

Keadaan bas ini sangatlah sesak, amat berbahaya dari segi penularan penyakit.

Kementerian Kesihatan meminta agar sesiapa yang mempunyai kaitan dengan pesakit H1N1, seperti berada dalam satu kapal terbang, rakan sekelas, atau sama-sama berhimpit dalam bas RapidKL U40 ke Kajang, agar tampil ke hadapan untuk diuji jangkitan virus H1N1.

Pasti, tiada siapa pun yang sanggup untuk tampil ke hadapan, kerana tidak sanggup duduk diam dalam kuarantin tanpa melakukan aktiviti seharian.

Untuk menghadapi mereka yang mementingkan diri sendiri ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran keras kepada sesiapa yang tidak bertindak mengelakkan orang lain daripada dijangkiti virus H1N1 yang berbahaya ini.

Semestinya amaran sebegini tidak akan berkesan.

Langkah yang lebih efektif perlulah dilakukan, selain daripada mengugut rakyat tak sudah-sudah.

Mahu berdemo, diugut.

Nak nyalakan lilin, pun diugut.

Mahu cipta rekod 21 1A dalam SPM pun diugut juga. Macam mana mahu hidup?

Cadangan saya begini:

  • Elaun harian diberikan kepada pesakit H1N1 yang dikuarantin, selain daripada makanan percuma dalam hospital. RM100 seharusnya okey.
  • Calon peperiksaan yang terpaksa dikuarantin ketika tahun perperiksaan mendapat sedikit keistimewaan pemarkahan dalam peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM.

    Kasihanilah pelajar yang sudah terbeban dengan PPSMI, lalu H1N1 pula mengganggu tumpuan.

  • Sepanjang kuarantin, pesakit perlu diberikan akses kepada kemudahan hiburan yang mencukupi. Antaranya konsol Playstation 3 atau Nintendo Wii, DVD filem terbaru yang boleh diperolehi dari peniaga DVD haram, siaran Astro (semua saluran) dan bahan bacaan/tontonan khas bagi yang sudah dewasa (faham sendiri).
  • Telefon dengan penggunaan tanpa had bagi pesakit menghubungi orang tersayang dan juga untuk mengganggu orang yang dibenci.
  • Akses internet supaya pesakit yang bekerja dapat berkerja dari dalam sel kuarantin tanpa menjejaskan punca pendapatan mereka.

Jika ada cadangan tambahan, boleh kemukakan kepada saya.

10 cadangan terbaik, saya akan hantarkan e-mel kepada Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai.

Itu pun, jika dapat komen-komen mencukupi dari anda sekalian, para pembaca.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.