jump to navigation

Laporan Seminar Halatuju PPSMI 14/3/2009 Mac 16, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , ,
trackback

Seminar diadakan di Dewan Teater KUIS, malangnya kehadiran agak mengecewakan bila dibandingkan dengan kualiti para ahli panel yang dijemput. Sasaran 200 orang audiens tidak dapat dicapai, mungkin kerana:-

  • Kekurangan hebahan kepada masyarakat. Seharusnya seminar ini mampu menarik audiens yang amat ramai, terutamanya selepas Himpunan Mansuhkan PPSMI pada 7 Mac yang dihadiri lebih 100,000 orang.
  • Lokasi seminar yang agak jauh iaitu di Bandar Seri Putra, Bangi. Seharusnya seminar diadakan di kawasan Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan. Punca ini juga berkait rapat dengan punca pertama kerana apabila kurangnya hebahan, digabungkan dengan lokasi yang jauh, menyebabkan ramai yang jauh hati untuk hadir.
  • Kesibukan kelompok pendidik dan pelajar, terutamanya untuk menganalisis keputusan peperiksaan SPM, dan banyak kolej dan universiti yang memberikan tugasan kepada para pelajar pada waktu ini, dan ada juga yang mengadakan peperiksaan akhir, seperti KLIUC.

Namun, tidak mengapa. Saya berikan catatan yang telah saya tulis sepanjang seminar. Gambar tidak diambil, kerasony_ericsson_w660i_cellphone_zoomna telefon bimbit saya, iaitu Sony Ericsson W660i tidak dapat hasilkan imej yang berkualiti tinggi, kameranya hanya 2.0 megapiksel, membuatkan saya berasa agak malu untuk mengambil gambar menggunakan telefon tersebut.

Cukuplah saya melalut di sini, di bawah ini adalah laporan rasmi saya mengenai Seminar Halatuju PPSMI Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Ucaptama dimulakan oleh Dr. Tajul Ariffin Nordin, YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Dalam ucapan tersebut, beliau memberikan ramalan sendiri tentang keadaan di masa akan datang jika PPSMI diteruskan juga. Antaranya, tamadun Melayu yang mempunyai kekayaan ilmu akan hilang, kerana Bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa penting dalam pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, generasi muda akan mula mengabaikan peranan perlembagaan dan akan mula mengabaikannya. Hal ini kerana PPSMI terang-terangan melanggar perlembagaan Malaysia, perkara 152 yang menjelaskan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akhir sekali, PPSMI membuatkan ramai yang akan berilusi bahawa sistem ini telah mencapai kejayaan, dengan keputusan SPM yang diturunkan grafnya.

Kemudian, sesi pertama dimulakan oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaludin bertajuk Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: Konflik Antara Dua Darjat. Beliau menghubungkan antara bahasa dan minda manusia di mana terdapatnya “pusat bahasa” di dalam minda yang mampu memahami dan mengeluarkan perkataan. Lebih mudah ilmu itu diproses, pemahaman kepada ilmu tersebut akan menjadi lebih mudah. Itulah yang diperlukan dalam proses pembelajaran sesuatu ilmu, justeru itu bahasa yang digunakan adalah perkara yang amat penting, dalam isu ini bahasa ibunda adalah bahasa yang paling mudah diproses oleh otak seseorang. Perkara ini dinamakan sebagai “Teori Relevans”.

Beliau turut mengemukakan hasil kajian yang telah dijalankan pada 2004, 2005, dan 2006 kepada guru-guru Sains dan Matematik yang mengajar di dalam Bahasa Inggeris. Hasilnya jelas, PPSMI bukan sahaja menyebabkan pembaziran dana, malah pembaziran masa pemahaman para pelajar, dan pengurangan silabus pembelajaran dalam kedua-dua subjek tersebut.

Seterusnya, sesi pertama diteruskan dengan pembentangan kertas kerja oleh Prof. Dr. Abdul Aziz Bari bertajuk “Dasar PPSMI Dari Sudut Undang-undang dan Perlembagaan. Beliau turut menyelitkan mengenai isu-isu semasa, terutama tentang pergolakan politik di negeri Perak, di mana kelihatan pihak berkuasa turut melanggar perlembagaan dan undang-undang negara. Dalam isu PPSMI, beliau menegaskan bahawa institusi kehakiman juga bersifat berat sebelah dalam menangani isu PPSMI yang telah diperjuangkan sejak perlaksanaannya pada 2003 di mana kes mengenainya telah dibawa ke mahkamah pada tahun sama.

Pembentangan terakhir pada sesi pertama telah dilakukan oleh Prof. Dr. Shahrir Mohd Zain bertajuk “Implementasi Bahasa dalam Sains dan Teknologi”. Beliau menjelaskan bahawa istilah-istilah dalam Bahasa Melayu lebih rapat dengan asal-usul sesuatu ilmu, malahan Bahasa Inggeris banyak mencedok perkataan daripada pelbagai bahasa dalam bidang Sains dan Matematik. Jadi Bahasa Inggeris tidak wajar dijadikan rujukan utama, apatah lagi bahasa pengantar dalam menyampaikan ilmu sains dan Matematik. Pelaksanaan PPSMI juga merencatkan peningkatan penggunaan Bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa ketiga paling meningkat penggunaannya, dan terus digunakan oleh 300 juta penutur di seluruh dunia.

Pada sesi petang, pembentangan diteruskan oleh Prof. Dr. Mat Rofa Ismail bertajuk “Benarkah PPSMI memartabatkan Pendidikan Negara?” Beliau menjelaskan mengenai penyebaran budaya melalui ilmu dan bahasa, di mana ilmu dan bahasa adalah medium terbaik untuk menyebarkan sesuatu budaya.

Selepas itu, pembentangan dilakukan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang bertajuk “Bukan Sekadar Bahasa”. Beliau menggunakan peluang di dalam seminar ini untuk menjelaskan mengenai matlamat Gabungan Mansuhkan PPSMI dan rasional bantahan GMP kepada polisi PPSMI.

Akhir sekali, pembentangan oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad bertajuk “Nasionalisme dan Perjuangan Bahasa”. Dalam pembentangan tersebut, beliau juga menyelitkan maklumat terkini mengenai isu PPSMI, perancangan seterusnya GMP, dan tindakan undang-undang yang berpotensi untuk dihadapi oleh tokoh-tokoh GMP.

Sesi seminar diakhiri dengan tayangan filem pendek mengenai perjuangan GMP dalam memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Komen-komen»

1. Bayan - Mac 17, 2009

Terima kasih encik atas laporan yang ringkas dan padat ini. Semoga kuasa ‘cakap-cakap’ para intelek kita boleh memecah tembok kuasa kapitalis.

2. Abjamal - Mac 17, 2009

Askm,

Adalah tidak berlebihan jika dinyatakan bangsa Melayu kini menghadapi krisis identiti yang teruk. Keperluan bahasa didalam mengekalkan budaya san jatidiri telah tidak dihayati lagi. Sedih melihat bangsa Melayu tidak berasa apa-apa lagi melihat kaum asing dibumi Melayu yang tidak menghormati bahasa Melayu sedangkan dibumi Melayu inilah mereka mendapat rezeki. Inilah kesan dari dasar pendidikan kerajaan selama yang yang terlalu mengejar materialistik.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: