jump to navigation

Komunisme, masihkah ada ancaman besar? Mei 30, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
trackback
Chin Peng, kini uzur dan sudah dimamah usia.

Chin Peng, kini uzur dan sudah dimamah usia.

Kebelakangan ini, terdapatnya perdebatan yang kerap tentang seorang tua yang sudah uzur dan tidak berdaya yang ingin pulang ke Malaysia, kembali ke pangkuan keluarga dan sanak saudara. Yang lebih menghairankan, perdebatan ini hanya tertumpu kepada 2 parti yang merupakan komponen kepada sebuah parti induk. Ya, mereka adalah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perdebatan bermula apabila seorang pemimpin GERAKAN meminta Kerajaan Malaysia membenarkan seorang bekas pemimpin komunis, Chin Peng untuk kembali ke Malaysia dan tinggal di Malaysia. UMNO dan pelbagai pertubuhan pro-UMNO menyanggah permintaan tersebut dan meminta supaya semua orang mengingati semula kezaliman oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang dikatakan telah membunuh ramai orang, termasuk sebilangan askar-askar Melayu dan anggota polis.

Perdana Menteri pula memberikan respons, bahawa tiada siapa yang dibenarkan kembali membawa ideologi komunisme di negara ini, dan menjadikan negara kita sebuah negara komunis, seperti cita-cita PKM suatu ketika dahulu. Persoalannya, masihkah ada ancaman besar daripada ideologi ini kepada negara kita? Jika ditanyakan kepada saya, jawapannya tidak ada ancaman pun. Baca huraian jawapan saya di bawah.

1) Kebanyakan negara yang mengamalkan ideologi komunisme ini sudah membuka pintu mereka kepada keterbukaan dan liberalisasi. Lihat sahaja China yang sangat berkuasa sekarang, sehingga Amerika Syarikat turut bergantung kepada China untuk membeli bon-bon Amerika Syarikat yang digunakan untuk pakej rangsangan ekonomi mereka yang bernilai melebihi satu trilion dolar.

Selain itu, lawatan Najib Tun Razak ke China juga mengiyakan jawapan saya ini. Jika benar komunisme itu sangatlah merbahaya, pastinya bapanya, Tun Razak 35 tahun dahulu tidak pergi ke China untuk memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, lebih-lebih lagi ketika itu China belum lagi mengamalkan keterbukaan. Ketika itu Beijing hanyalah sebuah kota raya yang serabut dan miskin, namun kini ibu kota penting yang pernah menganjurkan Sukan Olimpik paling mewah dalam sejarah.

Pastinya, apa yang membezakan Chin Peng dan China di mata para pemimpin Malaysia, adalah kekuatan kewangan yang ada pada negara China, yang masih utuh ekonominya di kala kegawatan glokal (meminjam sebutan Najib Tun Razak, kerana beliau sendiri mengakui negara kita sudah tidak terkecuali daripada kegawatan global), sedangkan Chin Peng hanyalah seorang tua yang hidup sederhana dalam buangan dan tidak mampu membawa manfaat ekonomi pun jika dibenarkan kembali.

Berbeza dengan Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh, Chin Peng adalah seorang Cina, yang diterima oleh negara lain untuk tinggal, namun Rashid dan Shamsiah berbeza, kerana mereka mungkin orang berbangsa Melayu, dan punya hak istimewa untuk kembali ke negara yang pernah digelar “Tanah Melayu” suatu ketika dahulu.

Pada saya, kejahatan tetap kejahatan. Jika mahu dikatakan komunis, PKM itu jahat, kita harus konsisten dalam memberitahu tentang perkara tersebut kepada rakyat, dengan tidak memberikan pengampunan kepada setiap anggota PKM tidak kira bangsa atas “kejahatan” mereka itu. Jika dibenarkan bekas ahli-ahli PKM itu kembali, seharusnya Chin Peng diberikan peluang serupa, walau mungkin tidak diberikan kerakyatan atau pemastautin tetap.

2) Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah melawat Cuba, sebuah negara yang terang-terang sekali komunis dan mengadakan kerjasama dengan Cuba dalam pelbagai bidang, terutamanya perubatan di mana Cuba memang hebat, dan memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat, termasuk pendidikan dalam bidang perubatan.

Di sini kita dapat lihat sisi baik komunisme atau sosialis, di mana rakyat mendapat hak yang serupa dan sama rata. Konsep ini hampir cuba diamalkan oleh Tun Razak ketika perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), di mana rakyat-rakyat di desa dan estet mengalami kemiskinan, dan nasib mereka cuba diubah oleh Tun Razak.

Namun, DEB ini berubah menjadi satu dasar yang menguntungkan golongan peniaga, kontraktor dan

Projek gajah putih bernilai RM12 bilion, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)

Projek gajah putih bernilai RM12 bilion, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ)

para politikus parti pemerintah. Contoh paling mudah, skandal RM12 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), di mana terdapatnya kerjasama erat antara kapitalis Melayu dan Cina dalam mengaut wang rakyat sewenang-wenangnya, lalu dihalalkan atas dasar permuafakatan sesama bangsa.

3) Kita harus lihat juga apakah yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya dalam perjuangan mereka. Mereka sebenarnya turut membantu dalam proses mencapai kemerdekaan, di mana mereka mahu akan sebuah negara merdeka dengan cara mereka sendiri. Bersama pejuang kemerdekaan lain, mereka menentang kuasa British yang dilihat terlalu lambat dalam memberikan kemerdekaan kepada negara, kerana kepentingan ekonomi mereka yang masih banyak di negara ini. Sebelum itu, PKM turut berjuang bersama pasukan Force 136 yang membantu melenyapkan kuasa Jepun di negara ini dengan perjuangan gerila mereka, namun kemudiannya British menguatkuasakan undang-undang tentera untuk merampas semula negara ini untuk dijadikan wilayah jajahan mereka.

Ketika mahu memberikan kemerdekaan, British ingin memastikan bahawa walaupun mereka tidak lagi menaungi atau menjajahi Malaya, warisan pemerintahan British dan kepentingan ekonomi pemodal British akan terus terpelihara. Oleh kerana itu, undang-undang dari zaman British dikekalkan, Perlembagaan Malaysia juga digubal bersama oleh pihak British yang masih menjajah ketika itu. Para bekas pegawai British dilatih untuk menjadi pemimpin negara yang baru, dan mereka mengasaskan parti UMNO dan MCA, supaya mereka dapat tunduk kepada perintah British sebelum kemerdekaan diberi.

Pejuang kemerdekaan yang lain tidak berpuas hati dengan cara ini, kerana terlalu banyak negara antaranya India, Indonesia dan kebanyakan negara Afrika sudah merdeka dan bebas, sedangkan Tanah Melayu masih lagi terjajah, walau Jepun sudah berjanji ketika dahulu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada British, begitu juga PKM dan kemudiannya UMNO yang sudah ditubuhkan pada 1946.

Dan sebenarnya, PKM telah berjuang untuk memastikan pembebasan negara kita yang lebih cepat, daripada kuasa British yang terbukti mementingkan diri sendiri, kerana membiarkan kawasan lain di Tanah Melayu ditawan dengan mudah oleh Jepun, sedangkan kawasan berkepentingan ekonomi seperti Singapura dijaga dengan ketatnya. Tambahan pula, tentera Jepun terbukti bersikap berat sebelah kepada penduduk etnik Cina, kerana permusuhan antara Jepun dan China yang sudah berlarutan sebelum itu, malah sehingga kini.

Walaupun mereka berbeza fahaman dengan kebanyakan kita, iaitu mereka berfahaman komunis, PKM tidak harus dihukum sewenang-wenangnya kerana fahaman mereka itu. Itulah yang difikirkan oleh kerajaan apabila hampir semua bekas komunis kembali tinggal di Malaysia, tanah tumpah darah mereka. Kebetulan, Chin Peng hanyalah seorang daripadanya yang menjadi pemimpin tertinggi.

Seharusnya, kita bersikap berperikemanusiaan kepada orang tua, dan sudi memaafkan kesalahan mereka. Mereka kini, walaupun dahulunya mungkin jahat dan kejam, perlu diberikan peluang untuk hidup sebagai manusia, dan biarkanlah Tuhan sahaja yang berkuasa memberikan hukuman kepada kekejaman yang dilakukannya dahulu. Kita bukan Tuhan yang berkuasa menjatuhkan hukuman, cermin dahulu diri kita, adakah kita ini begitu baik dan tidak zalim?

Adakah kerajaan yang ada kini melayan rakyatnya dengan baik, atau mungkinkah, mereka jauh lebih kejam daripada komunis yang dituduh kejam itu? Jawapannya ada pada kebijaksanaan kita untuk menjawabnya.

Komen-komen»

1. cacinster - Mei 31, 2009

Bro, berapa lama yahudi hidup? dah beratus tahun, kan? ideologi dia masih kuat sehingga kat dalam siri kartun pun, seekor kucing haiwan kesukaan nabi tetap bersifat seperti pembunuh yang kejam..aku nak ko tau, bro..chin peng tak terlibat langsung dgn cepat atau lambat nya merdeka..komunis tetap komunis..Force 136 wujud disebabkan diorg nak tentang jepun yg mmg suka menindas orang cina..CINA YANG JADI KOMUNIS MEMBERONTAK HANYA KERANA JEPUN TINDAS MEREKA, BUKAN SBB MEREKA BETUL2 NAKKAN KEMERDEKAAN BRO..

2. Firdaus Rosli - Mei 31, 2009

Hmm…ada banyak percanggahan dengan pemahaman saya sendiri.

1) Tentang kaum Yahudi. Pada saya, kita tidak boleh sehinggakan membenci sesebuah kaum atau agama lain, hanya kerana perbuatan segelintir penganutnya. Apabila kita berfikir sebegitu, kita sama sahaja dengan sebahagian orang putih yang sudah terjebak dengan Islamophobia. Kita sibuk melaungkan “Hancur Yahudi!” tanpa kita menyedari fakta sebenar bahawa yang melakukan kekejaman kepada orang Palestin itu adalah dikatakan sebagai “orang Yahudi yang sesat” atau lebih tepat lagi penganut fahaman Zionis.

Saya minta akak tonton rancangan Don’t Tell My Mother di National Geographic Channel, 553 Astro episod semalam, jam 8.00 malam. Cuba tengok semula jika ada ulangan.

Pengacara tersebut telah melawat Iran dan pergi ke merata-rata tempat seperti galeri seni, Parlimen Iran dan juga “synagogue” atau rumah ibadat Yahudi.

Beliau telah menemuramah seorang Ahli Parlimen Iran, yang berbangsa Yahudi. (Akak pasti tidak percaya bahawa Iran boleh lantik Yahudi jadi wakil rakyat) Dan beliau bertanyakan soalan-soalan berkaitan Israel pada wakil rakyat tersebut.

Jawapan beliau sangatlah konsisten dan mengejutkan pengacara rancangan tersebut, bahawa orang-orang Yahudi sendiri, kebanyakannya menentang amalan Zionisme yang terbukti kejam, dan menjadi punca pembentukan negara haram Israel, seterusnya mengakibatkan penderitaan yang tidak berkesudahan kepada rakyat Palestin. (Harus diingat, rakyat Palestin ini bukan hanya orang Islam, malah ramai juga beragama Kristian.)

Untuk point pertama saya ini, saya simpulkan bahawa jika kita mahukan orang memandang kita tanpa prejudis, kita juga harus buang prejudis dan juga “generalization” yang telah kita buat kepada sesetengah kaum. Jangan terpedaya dengan amalan Zionisme yang membuat kita beranggapan bahawa kaum kita sendiri lebih mulia daripada yang lainnya.

2) Seterusnya, tentang Chin Peng, Force 136, dan orang Cina. Untuk pengetahuan, kebanyakan orang Cina yang hidup di lombong, hidup mereka juga susah, persekitaran yang kotor dan pelbagai penyakit berjangkit. Saya minta akak cari sebuah filem Malaysia bertajuk “Kinta 1881” yang dahulunya ada ditayangkan di Astro Box Office.

Mereka sudah tertekan di bawah pemerintahan British, begitu juga masyarakat India, lebih-lebih lagi Melayu yang menjadi pemilik asal negara ini. Apabila Jepun datang, mereka telah menjanjikan kemerdekaan buat negara kita, namun pada masa yang sama mereka menumpukan penyiksaan kepada orang-orang Cina.

Jadi, adakah orang-orang Cina menentang Jepun, semata-mata mahu melihat Jepun keluar, dan British masuk semula? Pastinya tidak, kerana British juga dua kali lima dengan Jepun, malah lebih teruk lagi cuma memikirkan kepentingan ekonomi. Oleh kerana itu, PKM telah menetapkan satu hala tuju, iaitu negara komunis Malaya.

Ya benar, negara itu pasti akan jadi seperti China zaman dahulu, di mana terdapat pelbagainya sekatan dan kekangan, namun yang “best”nya, kesamarataan antara rakyat yang akan menghapuskan jurang miskin-kaya. Justeru, hidup semua kaum akan bahagia. Benar, jika ianya terlaksana, semua rakyat adalah istimewa.

Namun, pastinya ini hanyalah “utopia” semata-mata, lihat sahaja China zaman dahulu, di mana kebebasan beragama dihadkan. Malah sekarang, ramai mementang keganasan China di Tibet, lalu membantah larian obor Sukan Olimpik, sehingga China sendiri ketar lutut melihatkan sambutan yang sebegitu tidak mesra. Selain itu, lihatlah sahaja gempa bumi di Sichuan, di mana bangunan tentera berdiri utuh, sedangkan sekolah tempat anak-anak belajar, semuanya roboh dan ranap, membunuh pelajar di dalamnya.

Jadi, kesimpulan saya di sini, masih berkenaan “generalization”, di mana kita tidak boleh prejudis kepada orang dari agama dan kaum berbeza, dan perlu bantu-membantu bersama-sama. Namun, adakah kerajaan kita akan ambil kisah tentang ini? Pada saya bukan setakat hak-hak bangsa lain, malah hak Melayu sendiri pun mereka tidak akan kisah sangat pun. Memetik kata Nik Aziz, “kerajaan kita tak jauh beza dengan komunis.”

3. cacinster - Mei 31, 2009

terima kasih info tu..
tapi pendirian kita tetap berbeza..

4. zaegg - Jun 1, 2009

kepada firdaus rosli…
apsal kau nak putar belitkan pemikiran orang islam???
kenapa fakta2 kau bagi nie berbayangkan kau seorang tak sensitif…???
tolong banyak2 muhasabah diri…
fikir dalam2….
apa juga makna kau bagi….

5. Firdaus Rosli - Jun 1, 2009

Di manakah zaegg, yang kelihatan seolah-olah saya memutarbelitkan pemikiran orang Islam?
Apa yang saya ceritakan adalah berdasarkan fakta yang saya baca dan pemahaman saya.
Jika zaegg ada pemahaman yang berbeza, boleh diceritakan di sini. Saya boleh mengakui kesilapan jika terbukti bahawa saya silap.
Saya ingin cuba menghubungi zaegg, tetapi URL yang ada hanyalah “123456”.
Jika kita boleh berhubung, zaegg sendiri boleh jelaskan lagi tentang kesilapan saya, jika ada.

6. mylivingwall - Jun 4, 2009

Pemikiran yang matang bagi seorang yang muda usianya!

Akan terbitkan semula pos saudara di website kita di http://mylivingwall.com dan paut semula ke blog saudara.

Teruskan berblog.

http://mylivingwall.com

7. shahrulpeshawar - Disember 22, 2009

Bro, bab membenarkan chin peng balik ke Malaysia nie, teruk aku kena belasah. Apapun, aku bukan komunis, aku respek pengorbanan anggota keselamatan tapi aku mahu Chin Peng balik untuk berkongsi kisah sebenar perjuangannya tanpa sebarang tapisan…

Firdaus Rosli - Disember 26, 2009

Tahniah, kerana semakin ramai warga yang berpandangan seperti kita untuk benarkan Chin Peng balik.
Kita mahu maju ke depan, lupakan segala kekeruhan, marilah maaf bermaafan dan bersahabat, termasuk kepada yang pernah berbuat jahat.
Fikirkan bagaimana terbukanya warga Jepun dalam bersahabat dengan Amerika, walaupun dibom nuklear pada WW2.
Hasilnya, negara mereka amat maju dan makmur sekarang.
Diharapkan masa hadapan sedemikian cerah untuk negara kita. Amin=).

8. Pejuang Melayu - Januari 5, 2010

Chin Peng nak balik Malaysia tak ada masalah sebab jangka hayatnya pun dah tak lama jika ikut hukum alam. Yang menjadi persoalannya ialah MEREKA-MEREKA yang berhajat sangat nak bawa balik Chin Peng tu kenapa??????

Fikir-fikirkanlah Bro!! tentu ada agenda tersembunyi dari sudut Politik atau ada maksud yang tersirat.

PKM hanya letak senjata aja tetapi idologinya masih sama.

9. chemamat - Julai 26, 2010

komunisme vs sekularisme…. mana lebih teruk dan mana lebih baik idologi keduanya.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: