jump to navigation

Aku terpedaya! Jun 13, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
trackback

Seminggu di negeri Kedah, bercuti semester, saya sudah merasai betapa lemahnya kita apabila terpaksa bergantung kepada media arus perdana semata-mata. Manakala akhbar alternatif seperti Harakah, Suara Keadilan, dan Siasah hanya bersiaran sekali atau dua kali dalam seminggu, itu pun perlu dibeli pada harga RM 2, yang pada saya agak membebankan kepada masyarakat di Kedah ini.

Keadaan ini menyebabkan isu-isu berbangkit tidak dapat untuk dijawab oleh akhbar-akhbar ini dalam kadar segera, dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

Satu isu yang kecoh diperkatakan adalah isu kerajaan campuran. Media arus perdana bercerita seolah-olah PAS mahu mendekati BN untuk mengadakan kerjasama dan mengadakan gabungan untuk menjadi satu kerajaan orang Melayu. Dalam akhbar-akhbar seperti ini, diletakkan berita utama seperti “Pakatan Retak”, “Pakatan in turmoil” dan pelbagai lagi tajuk yang mengelirukan.

Mereka berjaya, sehinggakan saya yang baru seminggu tidak menggunakan internet pun merasakan bahawa Pakatan Rakyat benar-benar dalam masalah besar dengan apa yang berlaku dalam Muktamar Pas ke-55.

Sekembalinya saya ke Kajang, saya cuba mencari kebenaran mengenai isu kerajaan campuran, atau “kerajaan perpaduan”, yang sebenarnya tidak bersepadu pun, kerana jika ianya benar-benar berlaku, hanya mewakili orang Melayu, dan pasti menimbulkan rasa tidak senang orang lain.

Malah, apabila bertanyakan kepada bapa saudara saya, seorang ahli PAS, beliau tidak bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan ini. Turut bersetuju dengan pendirian beliau adalah datuk saya, seorang penyokong tegar UMNO, yang tidak mahu sebarang dialog atau persetujuan bersama antara UMNO dan PAS.

Lalu saya ketemu dengan blog Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan memuat turun teks ucapan dasar beliau ketika Muktamar PAS ke-55. Untuk memudahkan pembacaan, beliau telah menulis ucapan ini dengan PowerPoint dan kemudiannya dalam bentuk fail Adobe PDF untuk mudah dimuat turun. Jadi, setiap bait-bait ayat beliau dapat difahami dengan lebih mudah. Insya Allah, setiap yang terkeliru dapat memahami pendirian Presiden PAS berhubung dialog perpaduan dengan UMNO dengan klik terus ke teks ucapan ini.

Saya memetik bahagian-bahagian daripada ucapan beliau yang panjang ini, untuk cuba memberikan lebih penjelasan.

Menerusi muktamar tahun lepas, antara keputusan terpenting yang kita setuju ialah : untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, dan PAS mempunyai sikap terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan sesiapa sahaja bagi kepentingan Islam dan seterusnya rakyat di dalam negara kita ini.

Jelas sekarang? Awal-awal sekali persetujuan diberi untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Bukan mahu sertai BN.

Seterusnya:

Islam Memimpin Perubahan

Bersandarkan kepada latar belakang politik negara yang kelam kabut dan iklim dunia yang semakin parah pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan yang hakiki menerusi tema Muktamar kali ini iaitu – Islam Memimpin Perubahan. PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat.

Perubahan ini adalah perlu kerana berlakunya kegagalan sistem politik dan ekonomi dalam dunia hari ini. Hasil dari ketidakadilan dan kegagalan pelbagai sistem, kita menyaksikan semakin bertambahnya politik peras ugut dan perkauman di Malaysia.

Kita pun mula bertanya : bagaimanakah bentuk perubahan yang kita idam-idamkan itu? Pada masa yang sama, kita juga mendengar pelbagai slogan daripada kerajaan pimpinan UMNO dan BN yang kononnya juga mahukan perubahan.

Sepanjang perjalanan sejarah negara, kita bertemu dengan slogan, “Bersih Cekap Amanah”, “Kepimpinan Melalui Teladan”, “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”, terkini meniupkan selogan “Satu Malaysia”. Semuanya adalah bersifat kosmetik dan akhirnya tidak membuahkan apa- apa yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan pembangunan roh dan jasad bagi negara kita. Kerajaan yang ada sekarang ini akan terus hanyut kerana sistem pemerintahan yang ada masih sama.

Kita juga percaya bahawa slogan “Satu Malaysia” juga tidak berupaya mewujudkan suasana negara yang lebih baik kerana dalaman UMNO dan BN sendiri bercelaru dan tidak bersatu. Perjalanan menuju kepada sebuah negara maju bagi Malaysia pula tidak akan ke mana-mana sekiranya demokrasi kita tidak matang, hasil dari peranan UMNO dan BN yang telah memundurkan demokrasi dan rakyat terus menerus dijadikan bahan peras ugut oleh mereka. Istilah demokrasi hanya digunakan untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

Kehebatan dunia pendidikan Islam pula telah dilemahkan oleh dasar pendidikan tajaan UMNO, maka lahirlah pemimpin yang tidak bermoral, yang berkuasa melalui rasuah dan penipuan, rakyatnya pula dibanjiri gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah yang makin merebak, miskin jiwa dan harta, dan akhirnya menjadi pengundi yang boleh ditipu dan dibeli dengan harga yang murah.

Masih tak nampak? Terang-terangan Haji Hadi berceritakan mengenai kerosakan atau kemungkaran yang dilakukan oleh BN selama 52 tahun memerintah. Jelas sekali, Haji Hadi sangat membenci rejim UMNO yang hanya tahu memperbodohkan rakyat semata-mata. Takkan ini tanda PAS nak bekerjasama dengan UMNO? Jangan perasan lah!

Nak lagi?

PAS terus menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal. Maka PAS bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia selepas berlangsungnya pilihan raya umum yang ke 13 nanti, insya Allah.

PAS mahu memimpin perubahan, iaitu lebih tepat lagi penyingkiran UMNO-BN daripada tampuk kuasa. Bukan mahu buat “kerajaan perpaduan”. Dah faham?

Ini pula, jasa PAS kepada Islam, ketika mahu mencapai kemerdekaan dahulu. Ingat UMNO sahaja yang berjasa?

Kewujudan PAS adalah sebagai penerus kesinambungan perjuangan Islam terdahulu di saat tanah air kita masih dijajah. PAS pernah menyumbangkan pemimpin dan pengikut yang ditarbiyah dengan dizalimi dan ditindas dengan pelbagai cara oleh penjajah, kerana kitalah pejuang kemerdekaan yang sebenar, bukan seperti mereka yang pernah mengejar nikmat dunia semata-mata dengan menjadi khadam kepada penjajah, kemudian berkhidmat lagi selepas merdeka untuk meneruskan perancangan penjajah itu.

PAS telah berjaya mendesak bersama NGO Islam di ambang kemerdekaan melalui memorandum kepada Suruhanjaya Reid, mendesak supaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, walau pun Suruhanjaya itu menafsirkan perkataan “Islam” mengikut fahaman sekular yang dianut oleh ahlinya.

Jasa UMNO “mendaulatkan” Bahasa Melayu:

UMNO juga meneruskan sistem yang melemahkan Bahasa Melayu dan peranannya dalam ilmu sejak beberapa dekad, setelah Bahasa Melayu bertulisan jawi menjadi bahasa ilmu di rantau Asia Tenggara. Inilah peranan pemimpin UMNO yang menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan menukar tulisan bagi Bahasa Melayu dari tulisan jawi ke tulisan rumi.

Apabila ianya diaktakan, maka peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit menuju ke penghujung penggunaannya. Tulisan jawi dilemahkan oleh UMNO selepas zaman penjajah asing gagal melemahkannya.

“Jasa” UMNO kepada Bahasa Melayu kini:

Hari ini, UMNO telah sekali lagi mencatatkan satu sejarah baru dengan meneruskan agenda pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk memajukan bangsa, sedangkan pelbagai kajian di peringkat nasional dan antarabangsa yang ada pada masa ini menunjukkan bahawa pembelajaran sains dan matematik di peringkat asas ini mestilah dilaksanakan menerusi bahasa ibunda masing-masing.

Ini penjelasan Haji Hadi mengenai kerjasama dengan parti bukan Islam.

Di masa ini, kita telah berjaya mengadakan hubungan Tahalluf Siyasi dengan parti-parti dan NGO, yang mempunyai titik persamaan dalam menangani isu tertentu, tanpa kita berganjak dari dasar dan matlamat PAS. Seruan kita ialah dengan mengajak kepada Islam, dan seterusnya menolak pemimpin diktator yang berlagak seperti Tuhan. Kita tidak memaksa mereka menganut Islam dalam aspek ibadah, tetapi kita boleh bersatu dengan mereka yang menentang kezaliman dan tidak boleh bersama dengan orang-orang yang zalim.

Ya, ini yang saya paling suka. Saya pernah selitkan tentang ini di hujung tulisan saya pada 4 Jun.

Kita juga menyedari kepentingan negeri Sabah dan Sarawak dalam pembangunan negara Malaysia ini. Kita juga menyaksikan bahawa setelah puluhan tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN, status ekonomi, pendidikan dan pembangunan di Sabah dan Sarawak ini tidak banyak berubah, malah ketinggalan dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Oleh yang demikian, PAS perlu mengambil langkah yang agresif dan tersusun, untuk terus melebarkan sayap ke Sabah dan Sarawak, setelah benihnya ditanam oleh generasi terdahulu yang telah dan sedang berada di sana. Kepimpinan PAS pula akan lebih kerap berkunjung ke sana untuk bertemu masyarakat pelbagai etnik dan seterusnya menjelaskan peranan PAS untuk membantu mereka.

Para pendokong PAS di sana juga perlulah memperkemaskan organisasi, dan seterusnya mempergiatkan langkah-langkah pengilmuan orang Islam yang berada di sana, menerusi majlis ilmu untuk memberi kefahaman serta tasawwur Islam yang sebenar kepada rakyat. PAS juga akan memperkenalkan Islam kepada penduduk peribumi sehingga mereka memahami dan menyokong perjuangan PAS.

Peranan Pemuda juga dititikberatkan:

Marilah kita menyedari bahawa asas perjuangan yang diletakkan oleh generasi yang terdahulu memerlukan golongan ’syabab’ sebagai penerusnya. Golongan pengundi muda ini adalah sangat penting kepada perjuangan PAS, kerana merekalah generasi yang akan mendominasi geopolitik negara di masa yang akan datang.

Berteraskan fenomena inilah, maka Pemuda PAS perlu merangka pelan untuk mengekalkan sokongan orang-orang muda daripada pelbagai latar belakang, kaum, budaya, taraf pendidikan dengan program-program yang bersesuaian, termasuk “mengakhlakkan” aktiviti-aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang selama ini dilihat di luar ruang lingkup aktiviti PAS.

Dewan Pemuda perlu menggiatkan program tarbiyah kepada anak-anak muda untuk mencapai sekurang-kurangnya dua tujuan; pertamanya melahirkan generasi pemimpin yang akan meneruskan perjuangan yang panjang ini dan kedua; melahirkan penyokong dan penggerak yang menghayati perjuangan parti untuk menegakkan Islam.

Selebihnya bacalah sendiri ya. Saya hanya mampu mengambil isi-isi penting dan berkaitan dengan isu semasa.

Kesimpulannya, saya rupa-rupanya telah terpedaya dengan dakyah media arus perdana ini. Takziah! Sekarang baru saya faham apakah yang sebenarnya berlaku, di mana semua gembar-gembur dalam media arus perdana, cuma untuk mengalihkan perhatian dan minat rakyat kepada sebuah parti pejuang rakyat, iaitu PAS.

Komen-komen»

1. Roslan - Mac 7, 2010

Pandai anda menulis, tetapi anda lupa dari sebesar telapak tangan hingga kemenara gading siapa yg membuatkan anda berjaya hingga kini. kerajaan mana yang dpt mengamankan negara hingga kini sampai anda besar panjang, periok nasi ibubapa anda berasap disebabkan siapa. tak kan anda lupa 13 mei . tapi itulah melayu mudah lupa. hingga kini apa dah anda sumbangkan untuk negaea. cukai pendapatan pun anda belum bayar. entah-entah hutang biasiswa dr kerajaan pun anda hendak songlap dan tak mahu bayar. inilah dia bila golongan muda tak tahu menghormati org tua, tak tahu bersyukur, hanya nampak depan hidung, tak tahu susah , tenpat belajar dah disediakan pun nak bising. Ini ke kata-kata seorang pelajar IPTS yg lupa lunas-lunas dlm Islam. Jgn satu dua silap yg lain dah banyak terbukti anda lupa. Melayu mudah lupa

Firdaus Rosli - Mac 7, 2010

Saya akui kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Tunku, Tun Razak memang berjaya dalam usahanya meningkatkan ekonomi seluruh rakyat, mengurangkan kadar kemiskinan dengan drastik.

Namun saya ingin bertanya semula (jika saudara datang ke sini untuk menjawab), apakah kesinambungan yang dapat diberikan oleh UMNO Baru sekarang dalam mengekalkan visi pemimpin zaman awal merdeka? Adakah sosok-sosok pemimpin yang ada dalam UMNO Baru sekarang mampu menggalas cabaran untuk terus menjaga amanah rakyat.

Maaf, saya tidak yakin dengan barisan kepimpinan UMNO sedia ada yang penuh korup, hatta dalam perebutan jawatan parti sendiri sehingga sanggup mengamalkan rasuah tanpa segan silu.

Oleh kerana saya sayang dengan pimpimpin terdahulu yang saya fikir telah melakukan tugas cemerlang untuk mengisi kemerdekaan, saya fikir UMNO sedia ada harus merasa bagaimana kehilangan kuasa, dan dengan cara itu sahaja ianya dapat dibersihkan luar dan dalam daripada nanah sebahagian besar pemimpinnya yang durjana.

Jika saudara Roslan masih ingin bersama mereka, terserah anda, namun jangan dipertikaikan kesyukuran saya kepada nikmat kemerdekaan kurniaan Allah S.W.T.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: