jump to navigation

Bertuahkah kita sebagai rakyat Malaysia? Jun 21, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
trackback

Saya baru sahaja menonton sebuah filem di saluran TV2 semalam, bertajuk John Q. Filem ini ditayangkan di saluran tersebut sempena Hari Bapa pada hari ini. Apa yang berlaku dalam filem ini adalah satu pasangan suami isteri yang bahagia, yang terdesak untuk mendapatkan wang deposit sebanyak 75,000 dolar Amerika untuk semata-mata memasukkan anak mereka dalam senarai pesakit yang memerlukan jantung baharu. Jadi, si bapa, John Archibald (lakonan Denzel Washington) berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan dana yang mencukupi, bekerja dengan gigih, meminta bantuan daripada agensi berkaitan, dan juga menjual segala harta benda yang ada demi mengumpulkan sebanyak 75,000 dolar tersebut.

Malangnya, pada tarikh akhir pembayaran, John Archibald hanya mampu mendapat sebanyak 20,000 dolar, dan pihak hospital telah mengambil tindakan melepaskan anak beliau daripada penjagaan mereka, kerana dikatakan sudah tiada harapan lagi untuk terus bernyawa. Lalu, sebuah misi mustahil dijalankan oleh John Archibald demi anaknya yang tercinta, iaitu dengan melakukan rampasan kuasa kepada Bahagian Kecemasan Hospital Hope Memorial. Beberapa orang pelawat telah dijadikan tebusan, termasuk seorang doktor pakar jantung. John cuba berunding dengan pihak polis untuk membantu anak beliau dan juga tebusan yang berada di dalam hospital.

Seorang pegawai hospital telah dipanggil untuk membantu menyelesaikan krisis, iaitu dengan memberitahu bahawa anak John telah masuk dalam senarai menunggu jantung yang sesuai, sedangkan beliau tidak pun melakukan sedemikian. Juga terdapat seorang wartawan televisyen yang membantu John dengan menyiarkan dialog menyayat hati antara John dengan isteri dan anaknya, tatkala seorang ketua polis daerah yang sombong merancang satu pembunuhan ke atas John. Pembunuhan tersebut gagal, lalu John diangkat sebagai hero masyarakat. Polis dan pegawai hospital semakin tertekan, dan terpaksa menuruti permintaan John. Pada masa yang sama, seorang mangsa kemalangan jalan raya mempunyai jantung yang padan dengan anak John, iaitu Mike Archibald. Akhirnya, Mike berjaya mendapat jantung baharu, dan John pula dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun atas kesalahan menculik.

Saya dapat membayangkan beberapa moral yang diperoleh daripada filem ini:-

  • Syarikat insurans seharusnya lebih bertanggungjawab dalam membantu pelanggan. Dalam kes ini, insurans HMO telah menipu John Archibald kerana meletakkan manfaat beliau dalam kategori pekerja separuh masa, sedangkan beliau bekerja penuh walaupun waktu bekerja dipotong gara-gara kilang besi tempat beliau bekerja mendapat permintaan yang rendah.
  • Pihak industri kesihatan dan kerajaan seharusnya bekerjasama dalam membantu rakyat yang tidak berkemampuan, mungkin boleh diwujudkan satu skim pinjaman untuk membantu mereka mendapatkan rawatan kesihatan yang bermutu tinggi, selain itu bantuan juga harus diberikan dalam bentuk pekerjaan tetap, atau pemberian wang agar tindakan menyelamat pesakit dapat dijalankan dengan lebih pantas.
  • Mungkin ini pengajaran yang pihak RTM mahu beri kepada kita. BERSYUKURLAH SEBAGAI RAKYAT MALAYSIA, KERANA KITA MEMILIKI PERKHIDMATAN KESIHATAN YANG BAIK DAN MAMPU DIMILIKI.

Persoalannya, adakah itu benar? Adakah rakyat di Malaysia lebih bertuah daripada keluarga Archibald dalam filem John Q ini?

Mula-mula sekali, bandingkan pendapatan perkapita antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

Amerika Syarikat: 2005- AS$ 43,560, 2006- AS$ 44,970

Malaysia: 2005: AS$ 4,970, 2006- AS$ 5,490

Walaupun pendapatan kita jauh lebih rendah, namun kita memiliki banyak hospital-hospital kerajaan yang mampu menjalankan pembedahan-pembedahan kritikal.

Itu kata kita, namun yang menjadi masalah, ramai daripada kita yang tidak memiliki polisi insurans untuk melindungi diri dan keluarga. Bayangkan sahaja, satu polisi takaful peribadi dari Etiqa Takaful sahaja mengenakan premium sebanyak RM100 sebulan. Jangan ceritalah bagaimana pula jika mahu melindungi isteri, ibu bapa, ahli keluarga. Pasti lebih banyak lagi wang yang perlu dikeluarkan.

Okey, mungkin para jurujual insurans dan takaful (terutamanya Etiqa) yang bersepah di merata-rata sekarang akan berkata begini:

Walaupun bayaran premium yang dikenakan tinggi, namun ianya berbaloi demi keselamatan hidup, dan ketenangan fikiran diri dan keluarga. Jadi tak salah untuk melaburkan sejumlah wang demi tujuan tersebut.

Biasalah, itu ayat memujuk dan ayat-ayat sebegini sangat penting untuk memastikan wang masuk ke dalam kantung poket para ejen insurans ini. Adakah para ejen insurans ini berani pergi ke tempat-tempat yang terdapatnya ramai orang miskin, dan bercakap tentang perkara serupa? Biasanya mereka akan mengambil tempat di pusat pusat komersial dan juga yang penuh dengan eksekutif-eksekutif muda yang berpendapatan agak tinggi, misalnya di Alamanda Putrajaya. Di situ, rezeki mereka pasti terjamin. Hanya itu yang mereka fikirkan.

Seharusnya pihak pentadbir, kerajaan perlu fikirkan langkah-langkah untuk memastikan bantuan yang diumumkan, sampai dengan kadar segera kepada pihak yang memerlukan. Sebelum ini, kita heboh mendengar Tabung Amanah Pesakit Kronik yang ditubuhkan oleh kerajaan. Namun, cerita tentang tabung tersebut senyap begitu sahaja, dan kita dapat lihat di masjid-masjid kita pada solat fardu Jumaat terdapatnya pelbagai tabung-tabung. Selain daripada tabung masjid, ada juga tabung individu, bertujuan mendapatkan bantuan daripada jemaah masjid. Jika di Masijd KLCC, jangan ceritalah, setiap hari ada sahaja orang yang menunggu kita untuk memberikan derma kepada anak-anak mereka yang sakit tenat.

Yang lebih pelik lagi, mereka yang meminta simpati ini telah menghantar anak-anak ke hospital kerajaan ataupun Institut Jantung Negara untuk mendapatkan rawatan, berdasarkan bil hospital yang mereka sertakan. Mereka ini tidak memilih atau cerewet dengan menghantar pesakit mendapatkan rawatan di hospital swasta yang pasti mengenakan caj puluhan ribu, atau ratusan ribu ringgit.

Mereka ini seharusnya dibantu, dengan kerajaan mengambil langkah untuk membolehkan rakyat membayar caj hospital, antaranya dengan mewujudkan skim insurans atau takaful kepada rakyat yang tidak berkemampuan, atau yang berpendapatan rendah. Saya belum nampak sebarang kerajaan negeri, dari BN atau Pakatan Rakyat yang berhasrat mewujudkan skim bantuan atau insurans sedemikian. Yang paling baik pun, kerajaan Kelantan yang melaksanakan Skim Takaful Kifalah untuk khairat kematian warga tua rakyat Kelantan. Saya berharap skim ini akan menjadi permulaan yang baik kepada skim insurans dan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada rakyat.

Semalam, saya kecewa membaca kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Noor Mohamed Yaakop. Beliau membuat gesaan kepada syarikat swasta untuk menyediakan rawatan berkualiti berkaitan kanser dan onkologi setanding dengan Institut Jantung Negara, dengan tidak menitikberatkan soal kemampuan rakyat untuk membayar perkhidmatan sedemikian. Kata beliau lagi, kerajaan akan membantu memberikan pendapatan tetap kepada mereka dengan menghantar kakitangan kerajaan untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital-hospital swasta ini. Bunyinya seperti konsesi tol yang memberikan pendapatan tetap kepada syarikat pemegang konsesi.

Fikirkanlah lagi, di mana bertuahnya kita sebagai rakyat, jika ada rakan-rakan terpaksa mengemis untuk mengumpulkan wang demi menyelamatkan anak dan saudara tercinta.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: