jump to navigation

Bagaimana untuk satukan Melayu? Jun 25, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
trackback

Dalam siri-siri percubaan untuk menarik sokongan daripada PAS untuk bersama-sama dengan BN, berunding dan seterusnya membentuk kerajaan perpaduan, Najib Razak terus menggunakan modal yang serupa: Perpaduan Melayu dan Islam.

Ada sekelompok masyarakat yang tidak berfikir panjang, terus menyimpulkan bahawa kerajaan perpaduan antara UMNO dan PAS dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat Melayu, dan seterusnya melindungi kaum Melayu daripada ancaman dikuasai oleh bangsa lain di negara ini.

Sangka mereka, Melayu adalah kuasa politik yang kuat, merangkumi 60% dari penduduk Malaysia. Dengan majoriti sebegini, mereka anggap segala usaha dapat dilakukan bagi meningkatkan semula penguasaan orang Melayu dalam bidang-bidang ekonomi, seperti kuota 30% ekuiti dan pelbagai lagi standard-standard yang digunapakai bagi menilai kedudukan ekonomi orang Melayu.

Namun, sepatutnya mereka fikirkan apakah imiplikasi jika “kerajaan perpaduan” ini menjadi kenyataan. Saya buat satu gambaran situasi untuk menunjukkan keadaannya.

(Di bawah hanya cerita fiksyen rekaan saya, sekadar satu bayangan jika kerajaan perpaduan berlaku)

Pada 9 September 2009, dengan semangat bulan Ramadhan dan Aidilfitri, akhirnya Presiden UMNO Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersemuka sesama sendiri di Seri Perdana Putrajaya untuk perbincangan hati-ke-hati mengenai perpaduan Melayu dan Islam.

Selepas berbuka puasa dan solat terawih bersama di Masjid Putra, mereka membuat pengumuman bersama mengenai kerjasama yang akan dimetrai antara UMNO dan PAS. Kedua-dua parti bersetuju untuk meninggalkan parti induk sedia ada, iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sebuah gabungan baru bernama Gabungan Insan akan dibentuk, merangkumi UMNO dan PAS, selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang setia bersama UMNO.

Jumlah kerusi Gabungan Insan setakat ini adalah 116, dijangka akan bertambah dengan keanggotaan daripada parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak. Parti-parti daripada kaum bukan Bumiputera menyatakan kekecewaan terhadap pembentukan Gabungan Insan, dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan semula siri perarakan Reformasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Alor Setar selepas sahur keesokan harinya, dan terus ditahan oleh pasukan polis.

Pihak bukan Bumiputera pula meluahkan kerisauan mengenai keadaan di Malaysia yang kini didominasi sepenuhnya Bumiputera dari segi politik. Para pelabur asing dan tempatan kelam kabut mengeluarkan dana dari Bursa Malaysia, menyebabkan kejatuhan Indeks Komposit sebanyak 1/2 daripada nilainya dalam masa hanya seminggu. Perdana Menteri meminta pelabur untuk bertenang, namun semuanya sudah terlalu lambat untuk dilakukan.

Barisan kabinet baru diumumkan, dengan pembahagian yang adil antara ahli-ahli dalam Gabungan Insan. Ahli-ahli berjanji akan menjaga kepentingan Bumiputera sebaiknya, dengan sebarang cara. Ramai masyarakat bukan Bumiputera yang kecewa, dan mengambil tindakan berhijrah ke negara-negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Australia, UK dan UAE.

Dengan banyak perusahaan milik bukan Bumiputera dan syarikat asing ditutup, orang Melayu yang bergembira dengan pembentukan Gabungan Insan meluahkan kekecewaan kerana kerajaan Bumiputera ini tidak dapat memberikan pekerjaan kepada masyarakat Bumiputera. Kabinet Gabungan Insan mengisytiharkan pembukaan 200,000 jawatan baru dalam sektor awam kepada Bumiputera untuk meredakan keadaan.

Pada pengumuman pindaan Bajet 2010, Perdana Menteri mengumumkan pemotongan peruntukan sebanyak 30% kerana perolehan kerajaan yang merudum hampir setengah daripada tahun sebelumnya. Namun, pemotongan peruntukan ini tidak dapat mengekang defisit bajet negara yang meningkat kepada lebih 20%.

Untuk membantu menyelesaikan masalah yang semakin meruncing ini, Perdana Menteri akhirnya telah menandatangani perjanjian dengan Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn untuk bantuan kewangan bernilai AS$30 bilion.

Indah hidup dengan sebuah kerajaan yang hanya ada kita orang Melayu kan? Kita bebas dan tidak terancam dengan anasir-anasir yang ingin “menghancurkan bangsa kita”. Ekonomi dapat kita kawal dengan bebas, dan orang-orang Melayu mendapat semua keistimewaan daripada kerajaan. Indah ke kalau kita sampai kena pinjam dana dengan IMF akhirnya?

Tolonglah pejuang bangsa Melayu, bukalah fikiran dan cari idea lebih baik untuk memperjuangkan bangsa Melayu. Kerajaan perpaduan 100% bumiputera tidak akan membantu, malah akan merosakkan segala yang dibina selama 52 tahun ini. Orang bukan bumiputera akan ketakutan, dan mereka tidak akan dapat membantu kita dari segi pemberian kerja dan juga hasil cukai.

Harus kita ingat, kerana dasar kependudukan dan juga penjajahan British, yang membuat bangsa Melayu/bumiputera sudah tidak kuat seperti sekarang, dan tidak akan jadi kuat pun jika dasar sekarang ini diteruskan. Bangsa Melayu, akan terus menjadi bangsa yang bergantung banyak kepada kerajaan, yang hasilnya dikutip daripada cukai yang dibayar oleh bukan Bumiputera.

Bukan nak minta anda lupa asal-usul bangsa, lagipun Allah telah menjadikan kita bersuku-suku dan dalam bangsa yang berbeza. Cuma, fikirkanlah lebih banyak tentang cara untuk hidup bersama dalam keadaan yang aman, bukannya buat sesuatu perancangan dengan memikirkan satu bangsa sahaja. Perancangan sedemikian akan gagal.

Cuba fikir di luar kotak, bagaimana jika perpaduan diadakan dengan Islam yang menjadi asasnya? Pasti ianya lebih baik, kerana Islam memang tidak terhad kepada bangsa. Kita perlu ucap terima kasih kepada orang Arab yang menyebarkan Islam ke luar semenanjung Arab.

Jika tidak kerana mereka, kita di sini masih tiada hala tuju, dan hidup secara amimisme. Namun, kita sebagai orang Melayu yang mendapat hidayah Islam, tidak pula mahu menyebarkannya secara damai dengan masyarakat bukan Islam. Malah, kita macam membenci mereka kerana cemburu dengan penguasaan ekonomi yang mereka ada.

Tak patutlah macam itu. Dengan berbaik-baik dan pada masa sama bertegas dengan mereka, kita boleh dapat satu bentuk perpaduan yang lebih meyakinkan. Kita harus gunakan peluang yang ada ini untuk mempromosikan nilai-nilai Islam kepada mereka. Pada diri kita sendiri, kita harus buang sifat prejudis dahulu, kemudiannya buanglah sifat-sifat buruk yang ditegah oleh Islam. Tunjukkan bahawa kita ini satu kumpulan yang bersopan-santun, hormat-menghormati sesama manusia.

Cuba fikirkan cara hidup kita dan pergaulan dengan orang lain, adakah kita hormat kepada rakan serumah kita, atau rakan sekelas? Bagaimana pula dengan orang-orang yang kelihatan lekeh, seperti pengawal keselamatan kolej, atau tukang cuci di tempat kita, adakah kita dengan tidak sengaja ada bertindak seperti menghina mereka.

Kalau diceritakan perbuatan buruk kita, memang banyak kan? Jadi cubalah kurangkannya perlahan-lahan. Jika kita lebih utamakan bangsa sekalipun, tunjukkan bahawa kita ini dari kumpulan bangsa yang bersopan-santun dan berbudi bahasa. Dari situ pun, orang dari agama/bangsa yang berlainan akan nampak keindahan yang ada pada kita.

Dengan perbuatan seperti ini diamalkan, bukan setakat Melayu dapat bersatu, malah seluruh negara dapat bersatu di bawah nilai agama Islam yang sangat mulia. Dengan perpaduan sedemikian, kita pasti akan kuat dan tidak akan dipecahbelahkan oleh unsur perkauman yang semakin ganas sekarang.

Komen-komen»

1. cacinster - Jun 30, 2009

HIDUP YANPA BANGSA LAIN MEMANG INDAH..SEINDAH HIDUP DI ALAM KHAYALAN..
TAKKAN ADA MELAYU YANG SIBUK PERPADUAN..
TAKKAN ADA KUOTA BANGSA LAIN DI IPT..
TAKKAN ADA PERLEMBAGAAN YANG BERTENTANGAN DENGAN SYARAK..

2. killu - Julai 7, 2009

Terlampau ‘safe’ analisa ni.
Cakap je la umno yang membaraikan bangsa melayu sendiri
Liberalisasi..felda, mane nak letak peneroka2 ni bile….lu pikir sendiri lah


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: