jump to navigation

Laporan Program Kembara Dakwah 3-10 Julai 2009 Julai 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
trackback

Saya “hilang” selama seminggu, gara-gara menyertai Program Kembara Dakwah Belia-Belia Malaysia 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program ini diadakan dengan tujuan untuk menyatukan persatuan-persatuan belia di Malaysia dalam menyebarkan dakwah Islamiyah kepada masyarakat dengan kaedah-kaedah yang berkesan.

Antara persatuan dan institusi yang menyertai program ini adalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Kolej Darul Hikmah, Darul Quran, KLIUC, UPM, Persatuan Belia Islam Nasional, Persatuan Belia Masjid Selangor dan juga sebilangan peserta dari JAKIM sendiri.

Hari Pertama

Pendaftaran para peserta dijalankan di foyer Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), diikuti dengan taklimat pertama program pada jam 5.00 petang. Para peserta kemudiannya ditempatkan di Asrama ILIM untuk keseluruhan seminggu tempoh program berlangsung. Jam 9.00 malam, sesi “ice-breaking” diadakan dengan para peserta memperkenalkan diri masing-masing dan persatuan yang diwakili. Sesi berakhir jam 11.00 malam.

Hari Kedua

Para peserta mengadakan aktiviti “senam seni” bersama Ketua Pengarah Operasi JAKIM pada jam 8.00 pagi. Kemudian, Ketua Pengarah Operasi JAKIM melepaskan peserta dalam satu acara simbolik perlepasan para peserta program Kembara Dakwah.

Jam 11.00 pagi, para peserta dibawa ke dua masjid utama di Kuala Lumpur iaitu Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan dengan diiringi pasukan Polis Trafik. Tiba di Masjid Negara, peserta dibawa ke Dewan Persidangan untuk taklimat oleh pihak pengurusan Masjid Negara. Para peserta menikmati makan tengahari sebelum dibawa oleh pemandu pelancong melawat kawasan masjid seperti Dewan Solat Utama dan Makam Pahlawan.

Selepas Solat Zohor di Masjid Negara, para peserta dibawa pula ke Masjid Wilayah Persekutuan. Taklimat diberikan oleh pihak pengurusan masjid, dan sesi tersebut diakhiri dengan pemberian cenderamata istimewa, iaitu senaskhah Al-Quran Mashaf Malaysia untuk setiap seorang peserta Kembara Dakwah. Hidangan minum petang yang enak telah disediakan untuk para peserta.

Kemudian, para peserta dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar masjid seperti Dewan Pernikahan, dataran masjid, dan Dewan Solat Utama. Kami menunaikan Solat Asar di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum kembali ke ILIM untuk aktiviti sebelah malam.

Sebelah malam selepas solat Isyak, aktiviti dalam kumpulan dijalankan, dengan tujuan untuk memantapkan semangat berpasukan antara setiap ahli yang telah dibahagikan kepada 4 kumpulan: I U Islam, Raudhatus Sakinah, Belia 3B dan Salahuddin. Aktiviti berakhir jam 11.00 malam.

Hari Ketiga

Rombongan melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Melut, Dengkil. Pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka dan jamuan makan bersama masyarakat Orang Asli. Petangnya, peserta program menjalankan tugas menghantar bungkusan barang makanan kepada setiap rumah untuk merapatkan hubungan dan mendekatkan masyarakat Orang Asli kepada agama Islam.

Sebelah malam, sesi Iktibar Kehidupan diadakan dengan para peserta dibawa mendalami asal usul kejadian sebagai manusia. Sesi yang penuh emosi ini, berjaya meruntun hati setiap peserta untuk menghargai kejadian sebagai manusia, dan menghargai kesusahan orang lain, iaitu ibu dan bapa dalam membesarkan kita sebagai amanah daripada Allah S.W.T.

Hari Keempat

Jam 8.00 pagi, rombongan memulakan perjalanan menuju Alor Setar, Kedah untuk lawatan ke negeri Kedah Darul Aman. Rombongan singgah di Kawasan Rehat Tapah dan Kawasan Rehat Gunung Semanggol sebelum tiba di Kompleks Hijau Kuning untuk makan tengahari.

Jam 2.30 petang, rombongan dibawa untuk lawatan sosial ke Muzium Padi Gunung Keriang dan kompleks beli-belah Pekan Rabu. Sambil membeli-belah, peserta diberikan tugasan khas untuk berinteraksi dengan para pelawat di sana. Jam 9.00 malam, aktiviti seterusnya diadakan dalam kumpulan yang telah diwujudkan. Tugasan pertama, membentangkan peringkat-peringkat nafsu iaitu Nafsu Amarah, Nafsu Lawammah dan Nafsu Mutmainnah. Tugasan kedua pula, setiap kumpulan harus membina satu pulau dengan ciri-ciri yang diinginkan dalam sebuah negara dan membentangkannya kepada peserta yang lain untuk dibincangkan. Aktiviti berakhir jam 11.00 malam.

Hari Kelima

Rombongan meneruskan perjalanan ke Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (PUSBA), Sungai Petani. Rombongan tiba jam 9.00 malam dan disambut dengan mesra oleh warga PUSBA. Pengetua PUSBA dan pihak urusetia program memberikan ucapan alu-aluan dan diikuti dengan minum pagi. Peserta mengambil peluang beramah mesra dengan pelajar PUSBA yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muallaf yang baru berjinak-jinak dan ingin mendalami agama Islam.

Aktiviti disambung dengan Forum bertajuk “Menjana Insan Gemilang” dengan ahli panel dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Perak. Tamat forum, para hadirin menikmati jamuan makan tengahari dan menunaikan solat di surau PUSBA. Sebelum berangkat pulang, pihak PUSBA berbesar hati menghadiahkan buah tangan berupa gelas minuman kepada setiap peserta Kembara Dakwah. Perjalanan disambung ke ILIM pada jam 2.30 petang. Rombongan singgah di Kawasan Rehat Tapah dan mengharungi kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya ELITE sebelum tiba di ILIM pada jam 8.00 malam.

Jam 9.00 malam, para peserta bersama-sama menarikan “chicken dance” untuk membina keyakinan diri dalam menjalankan aktiviti dakwah Islamiyah. Selepas itu, setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyediakan logo kumpulan, lagu kumpulan dan hukuman untuk setiap kesalahan yang dilakukan dalam aktiviti-aktiviti kumpulan.

Hari Keenam

Perjalanan diteruskan ke Pusat Pemantapan Akidah, Jelebu, dengan melalui kawasan peranginan Sungai Tekala, Semenyih. Rombongan tiba di PPAJ pada jam 10.00 pagi, dan taklimat diberikan oleh pengurusan PPAJ sebelum aktiviti Kembara Minda diadakan. Kembara Minda melibatkan aktiviti fizikal, merentas hutan belantara di luar PPAJ dan menjalankan tugas di setiap “check point” yang ditetapkan.

Petangnya dihiasi dengan aktiviti sukan, iaitu bola tampar dan futsal. Sebelah malam, persembahan kumpulan dan hidangan BBQ. Selain itu, hadiah turut disediakan untuk pemenang setiap aktiviti. Persembahan terbaik dimenangi oleh kumpulan Salahuddin dan kumpulan terbaik aktiviti Kembara Minda dimenangi oleh kumpulan Belia 3B, walaupun kumpulan tersebut paling lewat menamatkan kembara. Para peserta juga diberikan peluang untuk berkaraoke dengan alunan lagu-lagu nasyid.

Hari ketujuh

Peserta bergerak pulang ke ILIM pada jam 9.00 pagi dan tiba lebih kurang jam 11.00 pagi. Tengah hari, aktiviti kumpulan diadakan dengan setiap kumpulan ditugaskan menjalankan analisis SWOT yang merangkumi strength-kekuatan, weakness-kelemahan,  opportunity-peluang, dan threat-ancaman.

Aktiviti petang adalah lawatan sosial ke kompleks beli-belah Alamanda Putrajaya. Setiap kumpulan diberikan sejumlah wang untuk dibelanjakan dan memerhatikan tingkah laku masyarakat di kompleks tersebut. Kami pulang ke ILIM pada jam 6.00 petang.

Sebelah malam, setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyiapkan laporan aktiviti sepanjang Kembara Dakwah untuk diserahkan kepada urusetia program, selain menikmati makanan ringan daripada bungkusan-bungkusan hadiah yang diterima di PPAJ.

Hari kelapan

Perasmian penutup dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim. Sijil penghargaan diberikan kepada setiap peserta program.

Peserta terbaik lelaki dimenangi oleh Mohd Hamdan bin Mohd Sharif dari Persatuan Belia Islam Nasional, manakala peserta terbaik wanita dimenangi oleh Nur Hazwani binti Abdul Rani dari Universiti Putra Malaysia.

Kumpulan Terbaik diangurerahkan kepada kumpulan I U Islam, dan Kumpulan Popular dimenangi oleh kumpulan Salahuddin. Tamat majlis, para peserta beramah mesra dan bertukar-tukar maklumat untuk aktiviti seterusnya di kemudian hari.

Insya Allah, kami akan bersama lagi untuk Kembara Belia MABIMS bulan hadapan, dengan turut disertai rakan-rakan peserta dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura.

Ucapan khas terima kasih dihadiahkan kepada:-

Zas Car Network Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan bas persiaran

Polis Di-Raja Malaysia, penyedia pengiring untuk melancarkan perjalanan kembara

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, penganjur program

Institut Latihan Islam Malaysia, penyedia penginapan untuk peserta program

Pengurusan

  • Masjid Negara
  • Masjid Wilayah Persekutuan
  • Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad
  • Kompleks Sukan Muadzam Shah (Hijau Kuning), Alor Setar
  • Muzium Padi Gunung Keriang, Alor Setar
  • Pekan Rabu, Alor Setar
  • Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (PUSBA), Sungai Petani
  • Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang Sdn Bhd
  • Pusat Pemantapan Akidah, Jelebu
  • Alamanda, Putrajaya

Pengguna lebuh raya dan jalan raya yang terpaksa memberi laluan kepada rombongan kami, kami mohon seribu kemaafan.

Semoga kesusahan yang tuan puan harungi, semoga dibalas dengan kejayaan kami dalam menjadi belia dan remaja yang menyumbang kepada Islam dan negara Malaysia.

(Gambar akan dikepilkan kemudian.)

Komen-komen»

1. Ketua Kumpulan Salahuddin - Julai 11, 2009

salam ukhwah….dengan izinNya dapatlah kita kembali ke tempat masing-masing. syukur alhamdulillah.. namun, perjuangan kita masih belum selesai lagi.

2. Adawiyah Juzailah - Julai 11, 2009

Alhamdulillah. Banyak manfaat saya perolehi dari program ni.

Ketua kumpulan!!! Nama kumpulan!!! Motto kumpulan!!!

Nanti kita boleh amik beberapa idea dari program ni untuk diterapkan dalam orientasi nanti. Hehe. Saya copy paste laporan ni dalam blog saya dan PMI, boleh? Thanks in advance ya. Hehe.

3. al-kandahlawi - Julai 12, 2009

mantappppp..salahuddin!!

hamdan@pembina🙂

nak copy skit laporan enta ni ek..mekaseh~

4. kak aliya - Ogos 16, 2009

Assalamualaikum,
Saya hendak tahu ke mana perginnya Adawiyah Juzailah Martin. pada 5 Ogos di menelefon meminta tolong dan telah saya usahakan agar dia mendapat bantuan yang diingininya. Namun setelah banyak usaha kami untuk membantunya, Adawiyah telah menghilangkan diri tanpa sebarang berita. Blog telah didelete, FB juga tiada lagi. Saya menelefon dia tidak menjawab. Daripada seorang yang beberapa kali menelefon meminta bantuan dll dia tidak langsung menyatakan keadaannya sekarang. Sudahkah dia murtad? Setahu saya dia tidak lagi memakai tudung dan kali terakhir saya baca dalam FB, dia kelihatan gembira dengan bapanya di kedai, sedangkan baru seminggu dia merayu meminta kami menyelamatkan akidahnya. Dia bising tidak mahu membuka tudung.
Tolong kirim salam saya pada Adawiyah jikalau dapat menghubunginya. Katakan padanya jangan sekali-kali bermain-main dengan soal akidah. Pihak NGO Islam dll tidak akan membantunya lagi walaupun dia merayu minta diselamatkan selepas ini. Dia hilang tanpa memberitahu kami tindakan yang menjadi pilihannya, bermakna dia tidak langsung menghargai pihak-pihak yang telah cuba membantunya ketika dia merayu meminta bantuan dahulu. Iman yang flip flop bukan ciri muslimah yang baik. Terima kasih.

5. penjejak - Oktober 31, 2009

dia ada jer kak aliya dh selidik hbs ker….jgnla timbulkan persoalan cmtu kan blh mgundang provokasi….mgkin da mslh len yg kita xtau,mslh dalaman….iAllah akidahnyer msh terjg mgkin da sbb2 tertntu membuatkan dia mghlgkan diri….

Firdaus Rosli - November 6, 2009

Adawiyah masih seorang Islam yang terus mengamalkan ajaran Islam. Saya telah berhubung dengan beliau, dan kini beliau sedang berusaha gigih menjaga hubungan dengan ibu bapa.

Tiada tindakan undang-undang dapat diambil ke atas keluarga mereka. Walaupun pemakaian tudung tidak dibenarkan, Adawiyah dibenarkan oleh keluarga untuk menunaikan solat yang mana ianya adalah tuntutan asas agama Islam.

Adawiyah telah berhubung dengan seorang peguam yang juga Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah, Zulkifli Noordin. Zul memberitahu Adawiyah supaya bersabar dan terus memelihara hubungan baik dengan keluarga untuk kebaikan semua. Beliau akan kembali ke KLIUC untuk semester November 2009.

6. Ariff - Mac 9, 2010

assalamu3alaikum. apa perkembangan terbaru adawiyah? semoga Allah memeliharanya. saya masih ingat dahulu bahawa adawiyah adalah seorang yang tegar pada agama. and i’m hoping that she still is.

7. Perindu Syahid - Mei 5, 2010

Assalamu’alaikum Ariff.

Saya Adawiyah dan alhamdulillah saya masih tegar pada Islam meskipun ditimpa pelbagai dugaan. Lain orang, lain dugaannya. Saya tak kisah kalau orang lain nak bersangka buruk dengan saya mengatakan iman saya flip flop atau tak. Hanya Allah yang berhak mengadili saya. Namun saya akui bahawa saya juga bersalah kerana tidak menghubungi Kak Aliya setelah apa yang berlaku dahulu.

Yang lepas, sudah lepas. Usahlah bersangka buruk tetapi banyakkan berdoa dan bersangka baik. Semua yang berlaku adalah takdir Allah. Dan saya redha ke atas segala dugaanNya kerana saya yakin bahawa setiap yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui sedangkan manusia tidak mengetahui. Apa-apapun, semoga Allah ‘Azza wa Jalla memberkati kalian kerana begitu mengambil berat terhadap keadaan saya. Saya bersyukur bahawa masih wujud orang-orang seperti kalian yang masih sayangkan agama Islam yang benar lagi suci. Allahuakbar~!

Tulus ikhlas daripada saya, Adawiyah Juzailah.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: