jump to navigation

Tahniah kepada BN. Pas perlu lakukan “post-mortem”. Oktober 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
trackback

Selepas seminggu parti bertanding, BN dan Pas berkempen untuk meraih undi masyarakat Bagan Pinang, keputusan telah dibuat oleh para pengundi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa Abdul Samad menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan memperoleh undi 8013 berbalas 2578.

Majorti diperoleh Isa:- 5435 undi.

Apakah yang akan berlaku seterusnya?

1) Dengan populartiti sedemikian besar Isa kepada UMNO Negeri Sembilan, pastinya pengaruh Menteri Besar sekarang Dato’ Seri Mohamad Hasan telah menjunam. Jika sebelum pemilihan calon Bagan Pinang, UMNO Teluk Kemang mengugut untuk memboikot pilihanraya kecil ini jika Isa tidak dicalonkan, mungkin MB sekarang akan menjadi mangsa boikot para penyokong Isa yang pasti mahukan Isa naik semula kedudukannya dalam UMNO.

Harus kita ingat, bahawa pada pemilihan Naib Presiden UMNO 2004, Isa memperolehi undi tertinggi, mengatasi Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan juga Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Isa adalah mangsa kepada percaturan UMNO ketika itu, yang menyebabkan penggantungan beliau daripada parti, walaupun rasuah turut berleluasa dalam kalangan calon-calon UMNO lain. Jika peristiwa itu tidak berlaku, kemungkinan Isa boleh menjadi TPM sekarang.

Hasan punya pelbagai sebab untuk merasa rendah diri. Bandingkan sahaja majoriti undi yang diperolehnya pada pilihanraya umum ke-12 dengan majoriti undi Isa pada pilihanraya kecil ini. Di N27 Rantau, Hasan memperoleh 7739 undi mengatasi calon PKR yang memperoleh 3956 undi. Majoriti lebih kecil, hanya sebanyak 3783 undi.

2) Post-mortem menyeluruh akan dilakukan oleh Pas untuk mengenalpasti punca kekalahan besar. Buat kali pertamanya dalam pilihanraya kecil pasca PRU-12, Pas tewas. Dan kali ini dengan majoriti yang sangat besar, yang mana memerlukan usaha luar biasa untuk memulihkan kembali reputasi yang tercalar dengan kekalahan ini.

Peratus undi diperoleh Pas hanyalah 24.3%, paling rendah dalam mana-mana pilihanraya kecil. Antara punca kekalahan Pas pada saya adalah:-

calon bukan orang tempatan Bagan Pinang

– propaganda “pengkhianat Melayu”

– sokongan kepada calon BN yang juga seorang bekas MB

kehilangan undi daripada masyarakat India, yang kelihatan kembali kepada BN

kelemahan jentera Pas sedia ada di kawasan Bagan Pinang dan negeri-negeri bukan tradisi

Demikianlah antara kelemahan yang saya lihat, yang mana setiap daripadanya perlu ditangani dengan sebaiknya untuk pilihanraya kecil yang lain, tidak kira di mana pun lokasinya.

3) Pindaan perlembagaan parti UMNO yang berusaha untuk meningkatkan jumlah yang boleh mengundi jawatan-jawatan tinggi dalam pemilihan UMNO 4 tahun lagi. Diharapkan pindaan ini dapat membantu dalam mengekang aktiviti rasuah yang menjadi duri dalam daging, dan sudah menjadi amalan tradisi dalam parti tersebut, sehinggakan dikatakan sebagai satu kesalahan “teknikal” oleh Perdana Menteri kita.

Itu adalah jangkaan tentang perkara yang akan berlaku, namun apakah pula yang telah berlaku di Bagan Pinang ini?

Satu perkara yang jelas kelihatan, adalah penerimaan masyarakat Bagan Pinang kepada politik wang. Bukan menyalahkan mereka, namun jelas terbukti bahawa politik berteraskan materialisme lebih berakar di hati masyarakat di kawasan Bagan Pinang.

Keadaan ini berlaku kerana masyarakat lebih melihat kepada jasa, bukti pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai di Port Dickson di bawah pentadbiran UMNO/BN. Pinggirkan soal projek terbengkalai, kerana memang rakyat di sana yang suka rela memutuskan untuk menjual tanah yang dimiliki kepada para pemodal industri pelancongan.

Justeru itu, satu usaha pembangunan yang gigih harus direncanakan dalam kalangan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Memang akauntabiliti menjadi keutamaan kerajaan, namun pembangunan material harus juga diberikan perhatian, misalnya usaha menarik pelabur asing untuk sektor perindustrian, bantuan untuk aktiviti pertanian dan penyediaan pekerjaan yang mencukupi.

Dengan semua ini berlaku di bawah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang stabil kewangannya, seperti di Pulau Pinang dan Selangor, limpahan pembangunan bolehlah dialirkan ke negeri Kedah dan Kelantan dengan pengwujudan industri hiliran atau IKS untuk menyokong industri yang lebih berat dan besar di Pulau Pinang dan Selangor.

Lagipun kita tidak boleh terlalu mengharapkan kepada kerajaan Persekutuan yang semakin kesuntukan wang dan idea, serta kurang kompeten untuk merencanakan pembangunan seterusnya yang memanfaatkan rakyat. Lihatlah sahaja defisit belanjawan, kejatuhan daya saing dan amalan rasuah yang berleluasa yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Persekutuan untuk terus relevan.

Oleh kerana kerajaan Persekutuan bersikap berpilih dalam mengagihkan pembangunan, Pakatan Rakyat di 4 negeri boleh dimaafkan untuk tempoh ini jika mereka melakukan perkara serupa, misalnya meminggirkan negeri-negeri lain yang di bawah BN dalam prosedur pemilihan kontraktor untuk projek-projek, mahupun dalam pemilihan kilang-kilang pembekal.

Ini mungkin satu idea yang masih “mentah”, dan boleh diperhalusi lagi untuk penambahbaikan. Yang penting, akhirnya kita akan dapat menyampaikan mesej bahawa Pakatan Rakyat boleh membangunkan 4 negeri dengan lebih cemerlang, dan sudah bersedia untuk menjadi kerajaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Selangor telah merintis jalan dengan usaha-usaha menarik pelabur, menambahkan peluang pekerjaan dan membuka tapak-tapak industri baharu. Diharapkan langkah sedemikian dapat dicontohi Pakatan Rakyat di 3 negeri lain, supaya kempen-kempen pilihanraya selepas ini, Pakatan Rakyat juga boleh menunjukkan dan membuktikan keupayaan dalam mentadbir negeri, walau dengan kuasa dan sumber terhad.

Semoga rakyat mampu memperoleh yang terbaik dengan persaingan sihat daripada dua gabungan, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam usaha membangunkan rakyat dan negara ke mercu yang lebih cemerlang.

Teringat pula projek-projek mega yang pernah negara kita lakukan seperti Menara Petronas, mahupun Terowong SMART. Dalam projek sebegini, dua pasukan pembina diwujudkan untuk menggalakkan persaingan bagi memberikan yang terbaik untuk projek yang dibina. Benar, cabaran dihadapi dua pasukan yang bersaing itu pastinya berbeza, seperti mana yang kita pernah tonton dalam rancangan TV di Discovery atau National Geographic.

Namun, begitulah juga dengan dunia politik sistem dwi-parti ala Amerika Syarikat, di mana adat berpasukan, yang mana dipenuhi dengan ahli yang punya falsafah berbeza. Yang penting, pasukan yang berjaya pastinya yang boleh menerima perbezaan dan membicarakannya secara matang untuk hasil terbaik dinikmati oleh rakyat yang akan diutamakan dalam setiap perancangan.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: