jump to navigation

Kerana apakah kita bekerja? November 16, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
trackback

Satu kenyataan daripada seorang rakan yang penuh dengan makna, telah saya perolehi di McDonald’s sewaktu bekerja tadi. Bunyinya seperti ini, “Kau kerja rajin pun, gaji kau sama saja,” Beliau merujuk kepada saya yang dikatakan rajin bekerja, dan pulangan yang diperolehi dikatakan tidak akan setimpal dengan keringat yang dicurahkan.

Pada mulanya, saya tersinggung juga, lagipun saya tidak pernah merasakan diri sebagai rajin dalam bekerja. Ada juga perangai yang saya lakukan, namun setakat ini tiada siapa pun yang ambil peduli. Misalnya membaca surat khabar pada waktu pagi ketika pelanggan tidak ramai, membawa masuk akhbar ke ruang makan krew pada waktu rehat, memanjangkan sedikit waktu rehat untuk membaca akhbar, mengambil masa lebih sedikit untuk sembahyang fardhu, dan ada lagi yang mana tidak wajar untuk didedahkan secara menyeluruh.

Namun, selepas saya fikirkan lebih lama, saya merasakan ada sebabnya yang membuatkan rakan saya itu menyatakan sebegitu. Mungkin beliau tidak berpuas hati dengan “payroll” McDonald’s selama beliau bekerja, mungkin juga sekadar menguji ketahanan jiwa saya dengan harapan ada keadaan goyah yang akan timbul, mungkin juga satu kenyataan berseloroh setelah melihat beberapa perangai saya yang dilakukan sebelum ini.

Terserempak iklan McDonald's tahun 2007, Bufet Istimewa Ramadhan. Memang merepek betul McDonald's ketika itu.

Jadi saya ambil keputusan untuk membiarkan kenyataan beliau itu, dan bekerja seperti biasa dengan harapan ada yang akan terus terang menegur jika ada kesilapan yang saya lakukan. Memang ada, misalnya silap membancuh minuman Milo ais dan juga ketiadaan “seni” dalam menyediakan aiskrim kon Sundae yang mana pernah ditegur sebelum ini dan telah saya ambil tindakan untuk tidak mengulangi kesilapan.

Ada lagi pelbagai cerita ketidakpuasan hati dalam kalangan rakan-rakan terhadap majikan dan rakan lainnya yang pernah saya dengar, yang membuatkan saya terfikir, apakah yang dicari kita dalam bekerja ini?

Jika kita jadi polis, ada yang mengejar pangkat yang tinggi, ada yang mengejar gaji dan elaun-elaun yang pelbagai, jika yang jahat pula mahu mengejar amaun sebanyak mungkin “wang perlindungan” daripada pihak-pihak yang boleh diambil kesempatan, manakala yang materialistik pula mengejar kereta dan aset-aset baru untuk bersaing dengan rakan-rakan.

Kerja lain pun tak jauh bezanya, dan pastinya perkara-perkara sebegini menjadi motivasi yang akan membakar semangat kita dalam bekerja. Namun, sedarkah kita bahawa motivasi sebegini selalu tidak berjaya, dan akhirnya hasil yang kita dapat tidak seberapa dan dirasakan tidak pernah cukup?

Lalu kita mencuba pula pelbagai mekanisme pendapatan kedua, misalnya kerja lebih masa, MLM, skim piramid, dan pelbagai lagi produk pendapatan sampingan yang diusahakan oleh pihak-pihak yang melihat keperluannya untuk wujud.

Dalam saya merepek seorang diri ini, pasti ada yang tertanya-tanya tujuan apakah pula saya bekerja di McDonald’s. Ini jawapan saya: untuk mendapatkan makanan, yang mana telah menjadi satu komponen besar perbelanjaan. Itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Setiap bulan, saya menghabiskan lebih 50% elaun ke atas makanan, yang mana ianya berjumlah RM350, iaitu lebih kurang RM11 sehari.

McDonald’s memberikan hidangan rehat yang berbeza untuk krew yang bekerja 4 jam, 8 jam, dan rehat kali kedua bagi yang bekerja 12 jam atau lebih. Sekurang-kurangnya dapatlah diisi perut untuk satu kali waktu makan.

Untuk bekerja sehingga 12 jam, memanglah tidak logik di kala semester baru akan bermula, dan lambakan “pekerja kasual” bernilai RM5 sejam dari kalangan pelajar sekolah-sekolah yang bercuti ketika ini. Jadi 4 jam sudah mencukupi, tetapi 6 jam lebih ideal dan berbaloi jika masa terluang.

Dengan cara ini, saya memperoleh makan percuma untuk sekali waktu, daripada 3 waktu makan normal kita, seterusnya wang lebih untuk membantu kewangan kita yang tidak pernah cukup dengan gaji bulanan yang diberi. Walaupun sedikit, tidak mengapalah kerana itulah hasil usaha kita, semoga rezeki kita murah dan berkat. Bukan amaun yang kita kejar semata-mata.

Bukan berpura-pura baik, namun saya rasakan apa yang diperolehi dengan bekerja di McDonald’s sudah lebih dari memadai berbanding kedai makan yang saya pernah bekerja dahulu di Kedah dengan gaji RM13 sehari untuk kerja selama 12 jam, yang mana jumlah sama boleh saya perolehi dengan kerja 4 jam di McDonald’s.

Terfikir juga, memang merepek seorang lepasan MRSM bekerja sambilan di kilang, seterusnya kedai makan milik rakan bapa saya. Hairan juga mengapa bapa saya tidak mencarikan saya kerja yang lebih mencabar minda dan sesuai, misalnya jurutaip, mahupun kerja-kerja di pejabat.

Mungkin bapa saya ada jawapannya tersendiri yang saya harap dapat diketahui nanti. Saya pun sudah tidak kisah lagi, memandangkan ketika itu sudah lama berakhir, lebih baik bersyukur sahaja dengan nikmat dimiliki ketika ini.

Saya berharap rakan-rakan juga bersama saya, mencari semula tujuan kita melakukan kerja. Jika tujuannya tidak baik, perbaikilah ia. Jika anda berkerja hanya kerana itulah sahaja yang mampu dilakukan, cubalah pasang sebarang niat yang boleh dicapai, walau sekecil mana.

Paling penting, cubalah kita untuk jujur dan ikhlas dalam melakukannya, agar hasil yang kita dapat itu dirasakan berkatnya dan mampu digandakan lagi dengan usaha kita.

Komen-komen»

1. iqa - Mei 20, 2010

mcm mne nk apply kerja di mc D?

Firdaus Rosli - Mei 24, 2010

Pergi cawangan yang anda ingin bekerja, dan ambil borang permohonan berwarna oren.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: