jump to navigation

Rang Undang-Undang GST Dibentang. Rakyat didahulukan? Kepala lutut! November 24, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
trackback

 

Macam cukai di McDonald's pula. Beginilah bentuk resit di pasaraya negara kita di masa depan.

Laporan Malaysiakini dan The Malaysian Insider memberitahu bahawa Perdana Menteri, Najib Razak dipetik sebagai berkata bahawa Rang Undang-Undang berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir persidangan Dewan Rakyat sesi sekarang.

Bercakap dari New York, beliau memberitahu bahawa tindakan demikian bertujuan memberi peluang orang ramai memberikan pandangan dan cadangan, dan jika perlu diperhalusi lagi, kerajaan akan melakukannya.

Semasa membentangkan Bajet 2010 pada Oktober, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah tegas bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan memperakui kutipan hasil yang mencukupi sangat penting untuk menyokong perbelanjaan yang semakin tinggi selain mengurangkan hutang negara yang meningkat.

Kata beliau lagi, seluruh dunia sudah mula mempraktikkan GST, jadi tiada yang perlu dirisaukan mengenai inflasi.

Kata saya:

GST ini pasti akan menekan rakyat dari segi perbelanjaan, kerana sekarang kerajaan tiada pelaburan asing yang banyak seperti dahulu, jadi satu-satunya cara untuk meningkatkan hasil adalah dengan mempraktikkan GST dan pada masa yang sama mengekalkan kadar cukai pendapatan sedia ada.

GST ini hanya akan disukai oleh pakar-pakar ekonomi yang berjiwa kapitalis, dan tidak mempunyai nilai kemanusiaan kepada rakyat bawahan. Inikah yang dkatakan model ekonomi baru berpendapatan tinggi yang sedang dirangka oleh pasukan Idris Jala di Marriott Putrajaya?

Harga melampau untuk barangan dibekalkan kepada kerajaan. Inilah amalan biasa yang sudah sekian lama dilakukan sejak zaman DEB, untuk membantu usahawan Bumiputera katanya.

Cuba fikirkan mengapa sebenarnya kerajaan mengalami masalah kewangan? Adakah kerana banyak perbelanjaan untuk rakyat, atau ketirisan yang sangat teruk dalam pemberian projek-projek dan kontrak? Laporan Ketua Audit Negara 2009 menjelaskan dengan lanjut perbelanjaan melampau yang hanya bertumpu kepada kontraktor yang majoritinya punya kepentingan tersendiri.

Teruskanlah dasar-dasar merepek dan membebankan ini, diharapkan puak-puak penyokong BN yang masih buta dapat dicelikkan. Suatu hari pasti kerajaan persekutuan tidak dapat meneruskan budaya pemberian kontrak-kontrak sebegini rupa, gara-gara kewangan yang semakin tenat.

Ketika itu, adakah puak yang kaya raya ini akan terus menyokong? Semuanya akan hilang, lari jauh dari negara ini dan pasti akan menyebabkan akhirnya kerajaan yang ada ini tersungkur jatuh dan rakyat merempat.

Bayangkan mereka yang berada di ruang berlepas ini anak-anak kita nanti. Sanggupkah kita melihat keadaan begini? Ini akan jadi satu realiti jika tiada tindakan berani diambil dari sekarang.

Satu lagi laporan menakutkan: The Malaysian Insider – Malaysia’s next export: Maids? (Eksport seterusnya Malaysia: Pembantu Rumah?)

Ketua Penyelidikan di Corston-Smith Asset Management, Lim Tze Cheng memberitahu masa depan gelap yang akan menimpa Malaysia dalam jangka masa 20 tahun, di kala hasil petroleum kehabisan, dan Malaysia semakin tenggelam dari segi daya saing ekonomi.

Tenaga kerja tempatan berpotensi termasuk profesional berbangsa Melayu juga turut meninggalkan negara ini dengan jumlah yang semakin meningkat, kerana peluang yang hanya terhad kepada kelompok yang punya kaitan politik dan hubungan kekeluargaan dengan pegawai atasan syarikat swasta dan juga agensi kerajaan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan juga memberitahu bahawa Malaysia kini sudah menjadi pengeksport tenaga kerja, dengan 785,000 rakyat Malaysia kebanyakannya profesional kini bekerja di luar negara dan hanya ada 38,000 ekspatriat bekerja di Malaysia berbanding sejumlah 70,000 hingga 80,000 di zaman emas ekonomi negara pada tahun 1990-an.

Dikhuatiri, graduan Malaysia yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan wanita akan menjadi pembantu rumah di negara-negara maju, juga di negara-negara jiran yang mempunyai pendapatan perkapita rendah, namun kos hidup yang jauh lebih munasabah daripada negara ini.

Harus juga diingat bahawa ekonomi Malaysia adalah setanding dengan Korea Selatan pada tahun 1970-an, dan kini Korea Selatan sudah jauh meningkat maju di kala Malaysia terperangkap dalam kelompok pendapatan kelas pertengahan.

Jelas sekali dasar-dasar lama kerajaan harus dikaji semula, selain budaya perbelanjaan yang perlu diperbetulkan, yang mana perkara tersebut adalah hampir mustahil. Mungkin juga saya, anda dan rakan-rakan lain sekarang sedang memerhati peluang bekerja di luar negara.

Ya, saya sedang mempertimbang untuk bekerja di luar Malaysia selepas tamat pengajian. Diharap kerajaan Najib sempat merangka “model ekonomi baru” yang dimaksudkan, pertumbuhan ekonomi negara kembali meyakinkan, dan kerajaan membuang dasar-dasar yang merugikan rakyat secara keseluruhan.

Who will be left behind? Siapa yang akan tertinggal? Doakanlah supaya Malaysia terselamat.

Waktu yang saya nantikan itu, adalah pada tahun 2012, tahun di mana saya dan rakan-rakan sebaya akan menamatkan pengajian. Yang berada di negara maju, saya yakin mereka tidak akan pulang, gara-gara seronok hidup di luar negara dan peluang kerja lebih meyakinkan. Kita lihat sahaja, adakah dunia yang akan kiamat seperti dalam filem 2012, ataupun ekonomi Malaysia yang akan menghadapi zaman “kiamat”-nya?

Marilah kita sama-sama nantikan waktu tersebut.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: