jump to navigation

Pengalaman bersama P1 W1MAX. Disember 31, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
5 comments

Sebenarnya sudah lama saya mengenali sebuah syarikat bernama P1, iaitu sejak dari saya belajar di Sunway University College lagi, iaitu pada tahun 2007. Ketika itu mereka terkenal dengan perkhidmatan Hotspot yang pantas dengan kadar serendah RM20 sahaja sebulan, di tempat-tempat yang mereka panggil P1 “Hot Zone”.

Apabila mereka memperkenalkan W1MAX pada tahun ini, saya terus tertarik dan teringin untuk mencuba. Di kiosk-kiosk promosi yang mereka sediakan, kelajuan muat turun dan muat naik mereka bolehlah dikatakan memuaskan. Tambahan pula ciri mudah alih yang mereka miliki sangat menarik para pengguna.

29 Disember, hari Selasa, saya terus mencuba perkhidmatan W1MAX P1 pakej Plus bernilai RM99 sebulan dari kiosk promosi Sunway Pyramid. Kerana tertarik dengan iklan “Potong!” mereka, saya pun membayar deposit RM100 dan menerima modem percuma daripada P1.

Setiba di Sri Ros, saya terus mencuba perkhidmatan mereka. Malang sekali kerana kelajuan muat turun yang mereka berikan hanyalah 200 hingga 300kbps (kilobyte per saat) berbanding yang diiklankan 1.2Mbps. Saya menguji kelajuan muat turun bagi P1W1MAX 1.2Mbps dan TM Streamyx 1Mbps di laman web Speedometer milik P1.

Green Packet sebuah syarikat senaraian Mesdaq di Bursa Malaysia Securities.

Kecewa dengan P1, saya membatalkan hasrat untuk memotong talian TM Streamyx dan terus ke Packet Hub di menara Green Packet, Jalan Templer di Petaling Jaya tengahari 30 Disember. Ramai yang berada di sana untuk pelbagai urusan seperti pembayaran bil, khidmat pelanggan dan pemotongan perkhidmatan.

Apa yang menarik dengan P1 P@ddock ini, tempat menunggunya selesa, ada ditayangkan filem-filem pendek 15Malaysia melalui beberapa TV Plasma yang disediakan, selain beberapa PC yang disediakan untuk mencuba perkhidmatan internet P1 melalui pakej-pakej berbeza seperti pakej Lite, Plus, Pro, dan W1GGY.

Paling saya suka, minuman percuma. Terdapat minuman panas seperti kopi pelbagai jenis daripada Nescafe’ dan juga “air kosong” daripada penapis air yang juga disediakan di sudut tepi ruang menunggu. 3 cawan kopi Mocha yang saya minum sementara menunggu giliran yang agak lambat.

Akhirnya giliran saya tiba, dan pegawai khidmat pelanggan melayani permintaan saya dengan pantas. Cek pemulangan RM100 dikeluarkan kepada saya secara terus apabila transaksi selesai. Keluar dari Green Packet dengan penuh sayu, saya terus mencari cawangan CIMB Bank untuk deposit cek, akhirnya singgah di McDonald’s Plaza Tol Sunway LDP untuk menikmati Filet-O-Fish untuk mengisi perut.

Di bawah, disenaraikan ranking saya untuk perkhidmatan Internet beserta ulasan untuk setiap satu penyedia perkhidmatan.

1) DiGi Broadband:

Kelajuan stabil, liputan luas. Di kawasan 3G, kelajuan teramat bagus mengatasi yang diiklankan. Di kawasan lain, ada EDGE yang lebih memuaskan berbanding Celcom HSDPA dan Maxis HSDPA. Laju di semua kawasan, lebih afdal untuk digunakan di tempat yang selalu berlaku kecurian kabel telefon (misalnya Yan, Kedah; Batu Gajah, Perak; dan Alor Gajah, Melaka). Khidmat pelanggan, bagus.

2) TM Streamyx:

Kelajuan tinggi, namun kurang stabil kerana kehilangan isyarat yang kerap kali berlaku semasa hujan. Tidak mudah alih, namun yuran bulanan murah setanding mutu perkhidmatan. Mudah terdedah kepada kecurian kabel yang boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan sehingga sebulan. Khidmat pelanggan, teruk.

3) P1 W1MAX:

Kelajuan stabil, namun tak cukup pantas untuk pengguna internet yang tegar seperti saya. Keupayaan mudah alih memang menyeronokkan, namun saiz modem DV 230 terlalu besar untuk diangkut ke merata-rata tempat. Khidmat pelanggan cemerlang, tahniah. Punya ruang amat besar yang harus dimanfaatkan untuk peningkatan kualiti. Inilah masa depan Internet Malaysia jika kena caranya.

4) Maxis Broadband:

Mengecewakan dengan had muat turun yang sedikit, namun sudah mula menggunakan EDGE untuk meluaskan rangkaian perkhidmatan walaupun tidak mampu menyediakannya di seluruh negara seperti DiGi. Setakat ini tidak ada rakan yang meninggalkan Maxis Broadband untuk bertukar ke Celcom Broadband, yang ada hanyalah yang bertukar ke DiGi, Streamyx mahupun W1MAX.

5) Celcom Broadband:

Paling teruk dari segala segi; muat turun lembap, khidmat pelanggan hancur, promoter yang kuat menipu dan mengganggu pelanggan di sana sini. Digalakkan untuk satu sahaja jenis pengguna: yang punya liputan Celcom sahaja di tempat mereka (misalnya Kg Kuala Ruman, Jeniang, Kedah).

Saya amat berminat untuk mengetahui komen anda tentang penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di negara kita. Lebih berharap untuk respon memberangsangkan dari mana-mana penyedia perkhidmatan.

Yang penting saya tidak mahu sebarang promosi yang cuba “mengikat” pelanggan dengan kontrak tanpa tempoh percubaan seperti diamalkan Celcom Broadband, Maxis Broadband serta DiGi Broadband.

DiGi Broadband turut “mengikat” pelanggan, namun setakat ini tiada aduan yang saya terima tentang kualiti perkhidmatan mereka. Streamyx pula turut mencuba dengan “Super Upgrade Deals” yang cuba memperdaya pelanggan dengan kadar sama perkhidmatan untuk 4 bulan pertama, dan kadar diskaun untuk 20 bulan seterusnya, tetapi tempoh kontrak pula dipanjangkan kepada 24 bulan. Saya tidak berminat, harap Streamyx lebih menumpukan kepada peningkatan kualiti daripada persaingan harga.

Sebagai kesimpulan, P1 masih punya peluang untuk memperbaiki mutu perkhidmatan mereka memandangkan saya tidak langsung terpengaruh dengan tawaran yang cuba “mengikat” saya daripada menukarkan perkhidmatan kepada yang lain.

Akhirnya, saya berharap P1 akan memperoleh kepercayaan semula daripada saya dan pelanggan-pelanggan lain yang turut mengembalikan modem mereka.

Inilah harapan kami apabila cuba "membebaskan diri daripada monopoli TM". Dunia baru, penemuan baru. Apakah harapan akan terlaksana? Semoga P1 memahami isi hati penggunanya.

Setiap kali kemalangan, ada saja cadangan “bijak”. Sampai bila? Disember 28, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
3 comments

Kemalangan bas ekspres berlaku lagi, kali ini 10 terkorban pada kemalangan bas Sani Express dari Klang ke Kangar pada 26 Disember lalu. Bas tersebut dalam keadaan baru dan baik, dan tidak dipandu dengan laju, manakala selekoh tidaklah merbahaya.

Punca kemalangan tersebut: Pemandu terlelap semasa memandu.

Dari sini sahaja, kita sudah tahu apakah yang lemah dalam pengurusan syarikat-syarikat bas ekspres, iaitu penggiliran pemandu, yang mana setiap bas ekspres perjalanan jauh mempunyai 2 orang pemandu yang akan memandu bergilir-gilir untuk mengelakkan kepenatan.

Sebenarnya peraturan sebegini telah meletakkan bas ekspres sebagai pengangkutan yang jauh lebih selamat daripada kereta yang hanya dipandu berseorangan untuk perjalanan sama.

Macam biasa, ada sahaja cadangan “bijaksana” daripada politikus dan “tikus-tikus” lain yang merasa diri berkelayakan dan berkebolehan, namun jelas sekali cadangan itu berdasarkan akal fikiran singkat.

Dr. Zambry Abdul Kadir, seorang pemegang doktor falsafah (PhD) yang mengakui dirinya sebagai Menteri Besar Perak telah memberikan satu cadangan yang boleh dikira munasabah dengan kelulusan yang beliau miliki, dan kelayakan sebagai seorang “Menteri Besar”.

“Haramkan perjalanan bas ekspres waktu malam,” kata beliau yang juga ADUN Pangkor.

“Bijak” benar wakil-wakil rakyat BN-UMNO ini kan? Ini baru Menteri Besar, belum lagi Ahli Parlimen, ADUN, Ketua Bahagian, Ketua Cawangan yang mungkin lebih “bijak” lagi!

Mungkin juga mereka terlalu kaya raya dengan wang rakyat, sehinggakan tidak biasa menaiki bas ekspres. Sebagai makluman, di bawah ini disenaraikan manfaat perjalanan malam bas ekspres untuk pengguna (baca rakyat biasa) dan juga pengusaha bas ekspres sendiri.

1) Masa perjalanan lebih singkat.

Kesesakan begini jarang berlaku di waktu malam.

- Hal ini kerana jalan lebih lengang di waktu malam.

2) Perjalanan lebih selesa, jarang diganggu kesesakan lalu lintas.

- Amat selesa dan gelap, penumpang boleh tidur dalam bas dengan senang lenang. (Minta pemandu jangan tidur ya!)

3) Mudah untuk merancang perjalanan serta aktiviti.

- Misalnya bagi pelajar yang tamat kelas waktu petang, ataupun pekerja yang bermesyuarat. Perjalanan malam tidak mengganggu aktiviti harian para pengguna.

4) Tol lebih murah.

- Kebanyakan lebuhraya memberikan diskaun tol untuk perjalanan waktu malam.

5) Syif pemandu boleh dipelbagaikan.

- Ada syif untuk perjalanan siang, ada syif untuk perjalanan malam. Pemandu tidak akan bosan.

6) Kekerapan perjalanan boleh dipertingkatkan untuk setiap laluan.

- Lebih banyak syif, jalan lebih lengang, pemandu yang boleh diperolehi dengan lebih mudah.

7) Menggalakkan pengembara menggunakan bas untuk perjalanan.

- Perjalanan boleh dilakukan waktu siang atau malam, kurang kecenderungan untuk menggunakan kenderaan sendiri.

Bisnes rancak di waktu malam.

8 ) Merancakkan perniagaan di hentian rehat lebuhraya yang perlu dibuka 24 jam.

- Siapa peniaga di hentian rehat lebuhraya. Bukankah orang Melayu juga??

9) Pendapatan lebih buat pemandu teksi di hentian bas.

- Tambang teksi pada waktu malam adalah 2 kali ganda hari biasa. Sekali lagi tanya, siapakah pemandu teksi? Bukankah majoritinya orang kita?

10) Suasana lebih romantik untuk pulang ke kampung halaman. =)

- Sekadar tambahan dari saya. Namun romantik itu harus ;-P

Pesan untuk Dr. Zambry: Cermin diri dan muka, serta mentaliti. Layakkah jadi Menteri Besar?

Dek bawah bas Transnasional 2 tingkat, sempit. Sepatutnya hanya 3 kerusi sebaris seperti bas 1 tingkat yang biasa.

Tabik saya untuk MIROS – Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia kerana menjalankan kajian kesesuaian bas dua tingkat, memandangkan kebanyakannya digunakan semata-mata untuk memenuhkan penumpang dalam bas.

Transnasional 2 tingkat di Hentian Kajang. Pasti menyesal lepas naik.

Syarikat yang dikenalpasti melakukan demikian untuk laluan sektor Utara Semenanjung: Transnasional, Durian Burung. Mereka memenuhkan bas 2 tingkat dengan penumpang sehingga 70 orang satu perjalanan, yang mana pada saya bahaya dan tempat duduknya langsung tidak selesa.

Promo percuma untuk Ekspres Pancaran Matahari. Nak tiket percuma boleh? ;-)

Syarikat yang mempunyai bas 2 tingkat, namun selesa untuk penumpang: Pancaran Matahari, Sani Express. Mereka memberikan tempat duduk yang luas dan lebar untuk keselesaan penumpang, tahniah diucapkan. InsyaAllah pulang ke Kedah nanti, saya akan menaiki Pancaran Matahari, walaupun terpaksa ke Puduraya semata-mata untuk membeli tiket.

Semoga kita lebih banyak memberikan cadangan bernas jika ada insiden lain berlaku selepas ini, bukan setakat cadangan untuk memalukan martabat diri sendiri, parti diwakili serta negeri. Lebih baik berdiam diri daripada bercakap yang merepek lagi sia-sia.

(Kalau kemalangan berlaku di Terengganu, wakil rakyat mereka akan kata ianya “rahmat” buat negeri, macam bangunan-bangunan yang runtuh sebelum ini. Kenapa? Mungkin dapat bas baru agaknya.)

Kenapa perlu bersaing sama satu syarikat? Disember 26, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Tahun lalu syarikat Telekom Malaysia Berhad telah mengasingkan entitinya kepada dua bahagian, yang mana satu bahagian ditetapkan untuk menjaga segmen talian tetap, manakala satu lagi bahagian menjaga segmen mudah alih, iaitu  TM International (kini Axiata) yang memegang saham dalam syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih di 10 buah negara Asia.

Lagi-lagi penjenamaan semula. Untuk apa? Seolah tiada guna jika perkhidmatan di takuk lama dan fikiran hanya menurut hukum kapitalisme.

Pengasingan tersebut melibatkan penawaran saham berasingan untuk unit TMI dan juga TM di dalam pasaran saham Malaysia, itu dari sudut komuniti bisnes. Pada sudut masyarakat, pengasingan ini juga bermaksud tiadanya lagi kaitan rapat antara talian tetap TM dan juga perkhidmatan mudah alih Celcom yang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengasingan tersebut adalah bertujuan untuk mempertingkatkan daya saing Celcom dalam segmen mudah alih untuk bersaing dengan syarikat lain yang semakin mara ke hadapan. Ketika itu Celcom masih belum punya hala tuju jelas dalam penawaran produknya.

Celcom melalui Xpax menaja konsert di sana sini dan pelbagai filem di pawagam. Namun, malangnya mungkin mereka tidak memandang yang tempatan, semuanya antarabangsa belaka.

Misalnya untuk prabayar, kita pernah mendengar nama seperti XCeed, XCel dan XPlore untuk segmen pengguna prabayar yang berbeza, yang mana jelas sekali gagal dan akhirnya Xpax sekarang amat berjaya dengan menjadi penaja konsert yang melalaikan di sana sini.

Dalam hal ini, kita tidak harus menyalahkan Celcom, kerana ketika itu mereka masih lagi segar dengan penggabungan yang rumit bersama TMTouch akibat daripada kegagalan pengurusan di bawah tokoh korporat Melayu, Tajuddin Ramli yang dipenuhi hutang dan ketidakcekapan perkhidmatan yang amat merimaskan, akhirnya terpaksa diambilalih oleh Telekom Malaysia pada harga asal bersama dengan hutang menimbun.

Okey, itu masa lalu. Menginjak pula ke masa terkemudian, kita telah mula diperkenalkan dengan Streamyx, jalur lebar pertama Malaysia (juga antara yang pertama di ASEAN), dan masih cuba mengekalkan takhtanya di tempat pertama sekarang. Ketika itu monopoli pasaran amat ketara memihak kepada Telekom Malaysia, sehinggakan ramai yang cemburu dan juga memberi pelbagai aduan kepada mereka atas perkhidmatan yang memang jelas sekali mengecewakan pada masa itu.

Di kala pengasingan perkhidmatan TM berjalan, munculnya penyedia-penyedia perkhidmatan internet mudah alih. Bermula dengan Maxis Broadband, Celcom agak terlambat dengan memperkenalkan Celcom Broadband, namun cepat mengejar Maxis dengan menawarkan liputan seluruh negara dengan keupayaan HSDPA, 3G, EDGE dan GPRS di kala Maxis begitu lambat memperluaskan liputan jalur lebarnya.

Kini, muncul pula P1 dengan perkhidmatan W1MAX, dan paling lewat sekali DiGi Broadband, selain kafe dan restoran yang kini semakin banyak menyediakan perkhidmatan Wi-Fi di premis-premis mereka. Kemunculan kemudahan-kemudahan ini menjadikan Streamyx agak terpinggir dari arus perdana Internet di Malaysia gara-gara satu kelemahan: tidak mudah alih.

Salah satu tempat yang menyediakan Wi-Fi. Terbaru, McDonald's Bangi DT. Pasti makin ramai akan me'lepak'.

Pengguna Streamyx terpaksa mencari tempat-tempat yang memiliki Wi-Fi jika keluar untuk melakukan tugas, mahupun menjalankan aktiviti sosial melalui Internet, yang mana ini amat merimaskan staf dan pemilik di premis-premis yang menyediakan kemudahan sedemikian. Memang ada “Streamyx Zone”, namun amat terhad kepada restoran-restoran tertentu sahaja.

Lantas kita terfikir, apakah gunanya pengasingan antara Celcom dengan TM?

Saya terfikir sedemikian, kerana jika pihak TM betul-betul bijak, mereka boleh memanfaatkan kedua-dua syarikat  yang diasingkan itu sekaligus untuk mendapat lebih keuntungan dan menggembirakan pengguna!

Bagaimanakah caranya?

Dengan menawarkan keupayaan jalur lebar mudah alih Celcom kepada pengguna Streamyx ketika di luar rumah, dan memanfaatkan infrastruktur talian tetap yang stabil kepada pengguna Streamyx di dalam keselesaan rumah mereka pada masa yang sama. Bukankah itu satu idea menarik?

Ianya bukan sesuatu yang mustahil, malah pengguna pasti menggemarinya dan akan setia bersama TM dan Streamyx, pada masa yang sama meningkatkan populariti Celcom Broadband sendiri. Seharusnya ini boleh dijadikan sebagai satu pilihan kepada pengguna yang mempunyai akaun Streamyx. Pelajar di asrama, itu lain ceritanya pula.

Menarik juga jika modem ini ditawarkan kepada pelanggan Streamyx yang mahu menggunakan Internet di luar rumah menggunakan sambungan Celcom Broadband, pada harga lebih menarik. Pasti ramai akan lebih gembira. =)

Mungkin ada pertikaian, bagaimana pula untuk mereka yang berkongsi rumah sewa? Jawapan saya: kita sediakan pilihan mobile broadband ini kepada pemegang akaun Streamyx sahaja, untuk kegunaan di luar kediaman mereka, dengan satu caj tambahan yang pasti pengguna tidak kisah membayarnya, mungkin tambahan RM20-30 sebulan untuk Broadband Basic 384kbps, tambahan RM40-50 sebulan untuk Broadband Advanced 3.6 Mbps, di mana satu kad SIM (dan lebih afdal lagi modem percuma) akan diberi kepada setiap pelanggan yang mengambil bahagian.

Dari segi pembayaran, sudah pasti lebih terjamin kerana pengguna yang terlibat dapat dicari dengan mudah berdasarkan alamat talian tetap mereka. Mungkin TM risau akan penyalahgunaan modem broadband mudah alih percuma oleh pengguna selain daripada pemilik nombor akaun. Jawapan saya: tidak mengapalah asalkan ARPU meningkat dan indeks kepuasan pengguna meningkat ke tahap tertinggi. ARPU adalah singkatan kepada perolehan purata per pelanggan, average revenue per user.

Masih belum terlambat jika ada pihak-pihak berkepentingan dalam TM yang ingin mengimplementasikan idea ini, malah dialu-alukan untuk manfaat bersama pengguna-peniaga, lantas meningkatkan reputasi negara Malaysia dari segi kemudahan Internet, dan memperluaskan liputan Internet di negara kita yang sedang mengejar Wawasan 2020. (10 tahun sahaja lagi, silalah berubah segera!!)

Nasiblah cik adik manis, gambar anda yang saya temui. Gelagat orang-orang seperti anda amat merimaskan, terutama yang penipu. Ada ke patut seorang daripada mereka ini berkata, di Baling ada liputan HSDPA 3.5G Celcom?? Menipu sungguh!

Sedih dan rimas juga di PIKOM PC Fair baru-baru ini, dengan sengitnya TMNet dan Celcom bersaing sesama sendiri untuk memancing pelanggan yang lalu lalang (sehingga semua pelanggan jadi rimas, termasuk saya!), di kala mereka boleh sahaja bersinergi demi manfaat pengguna kebanyakan. Tengok P1 W1MAX, DiGi dan Maxis ketika itu, selamba sahaja, dan lebih menumpukan kepada usaha memberikan rangkaian terbaik, bukan mengejar jumlah pelanggan untuk jadi Numero Uno di Malaysia.

Diharap TM berubahlah segera ke arah kebaikan.

Bantu rakan senegara, atau tingkatkan penjenamaan? Disember 23, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
1 comment so far

Baca tajuk. Begitulah yang masing-masing kita fikirkan mengenai Petronas, sebuah syarikat pengeluar minyak yang kini berskala global apabila dibicarakan soal penajaan untuk Formula 1 musim 2010.

Sebuah pasukan baru sahaja diwujudkan iaitu Lotus F1 yang dimiliki oleh Tony Fernandes, usahawan penerbangan yang memiliki AirAsia. Tony dipetik sebagai berkata bahawa beliau amat seronok jika Petronas, sebuah syarikat petroleum milik kerajaan Malaysia sudi memberikan penajaan kepada pasukan yang baru ingin bertapak itu.

Namun beberapa hari lalu, Petronas telah bersetuju menjadi penaja kepada pasukan Mercedes Grand Prix, nama baru kepada Brawn GP, pasukan juara F1 2009. Tajaan bernilai AS$43 juta akan diberi Petronas kepada Mercedes GP untuk tahun 2010. Lantas respon daripada orang-orang penting dalam Lotus F1 jelas mencerminkan kekecewaan mereka ke atas keputusan Petronas tersebut.

Salah seorangnya Alex Yoong, bekas pelumba F1 Minardi dan A1 Malaysia. Beliau meluahkan rasa malu terhadap keputusan Petronas untuk menaja Mercedes daripada pasukan yang baru diterajuinya sebagai Pengarah Pembangunan Pemandu iaitu Lotus F1Malaysia.

Tambah Alex lagi, seharusnya Petronas memilih Lotus F1Malaysia kerana apa yang dilakukan pasukan Lotus telah mencipta satu sejarah baru buat industri automotif negara.

Pada saya, Petronas tidak harus dibebankan lagi dengan tanggungjawab untuk menaja sebuah pasukan F1 baru dari Malaysia, memandangkan pasukan Lotus F1Malaysia sudah pun memperoleh penajaan daripada pelbagai syarikat berkaitan kerajaan yang turut memiliki kedudukan kewangan yang baik, itu sudah pun mencukupi.

Nama Petronas terpampang besar pada badan kereta F1 sebuah pasukan juara dunia.

Petronas dalam hal lain, adalah sebuah syarikat global yang memang setaraf dengan syarikat gergasi lain di dunia, yang mana memerlukan usaha gigih untuk pengiklanan produk mereka. Petronas sudah menyatakan bahawa mereka kini menguasai 2% daripada pasaran minyak pelincir di dunia, dan berharap agar penajaan kepada Mercedes GP akan membantu usaha mereka untuk menguasai pasaran, memandangkan nama Petronas juga akan turut diserapkan ke dalam pasukan tersebut, menjadikan nama pasukan itu sekarang Mercedes Petronas GP.

Selain itu, iklan Petronas juga akan diletakkan dengan saiz yang besar di badan kereta sebuah pasukan juara dunia, dan akan mendapat liputan kamera yang lebih kerap, kerana selalu mendahului perlumbaan. Dua perkara ini penting untuk impak iklan lebih berkesan. Bukankah itu lebih baik untuk Malaysia, di mana ada dua pasukan yang membawa nama negara Malaysia dalam sukan Formula 1.

Kepada pasukan Lotus F1Malaysia, lakukanlah yang terbaik di musim 2010 ini, supaya pasukan anda dapat memperoleh lebih banyak peluang penajaan. Jangan jadi terlalu manja.

Senarai permintaan untuk saya pulang ke Kedah. Disember 13, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
add a comment

Untuk menyelesaikan masalah antara saya dan bapa saya (termasuk sekeluarga), saya haruslah pulang ke Kedah, memandangkan sudah 3 bulan saya tidak pulang ke sana. Untuk pengetahuan, saya amat merindui Kedah kerana walaupun ianya sebuah negeri yang agak panas cuacanya, saya punya ramai kenalan dan rakan-rakan yang tinggal di merata ceruk di serata negeri tersebut, mahupun punya kampung halaman di negeri Kedah, misalnya seorang rakan yang punya keluarga di Kota Sarang Semut berdekatan Alor Setar.

Bagi memastikan kepulangan saya ke Kedah tidak lagi dilanda kekecewaan, saya haruslah menjelaskan dengan teperinci apakah yang saya mahukan daripada kepulangan saya, agar dapat diketahui dan diambil tindakan sewajarnya.

Untuk itu, saya akan menyenaraikan “wish-list” saya, sebagai tanda kerinduan yang teramat untuk pulang, dan pada masa sama untuk menghindari kekecewaan daripada berulang.

1) Kebenaran memandu kereta Toyota Vios.

Memandangkan sudah 3 bulan saya membiarkan bapa saya memandu kereta baru beliau, sudah tentu kereta itu sekarang tidak lagi terlalu baru untuk dikatakan sebagai “merbahaya untuk dipandu”. Kereta tersebut sudah lulus semua ujian dalam segala keadaan pemanduan oleh bapa saya.

Oleh kerana kereta itu sudah “diklasifikasikan selamat”, saya mahu diberi peluang dan kebenaran untuk memandu kereta tersebut sepanjang kepulangan saya dalam zon tiga negeri Utara iaitu: Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Hal ini kerana saya ingin sekali untuk menjenguk rakan-rakan yang sudah sekian lama terpisah, ada yang sudah tiga tahun lamanya. Saya juga teringin membawa adik-beradik ke Queensbay di Pulau Pinang.

Tentang minyak, tidak perlu khuatir kerana saya akan membayarnya menggunakan gaji saya dari McDonald’s dan akan menyerahkan kunci kereta dalam keadaan tangki penuh. =)

2) Set TV yang tidak lagi mengalami kerosakan.

Televisyen Philips 21 inci yang baru dibeli pada tahun 2005 lalu nampaknya sudah kerap mengalami kerosakan apabila ianya selalu tepadam dengan sendiri dan mengambil masa untuk memaparkan semula imej dan suara. Keadaan ini sangat merugikan kerana TV tersebut disambungkan dengan dekoder Astro, di mana bayaran hampir RM80 sebulan dikenakan untuk langganan sejumlah hampir 50 saluran TV.

Jika TV tersebut “tidak lagi dapat diselamatkan”, tidak mengapa. Harap dapat diusahakan dalam jangka masa panjang untuk pembelian sebuah TV Plasma yang menyokong siaran Definisi Tinggi (HD). Ini kerana Astro sudah memulakan perkhidmatan B.Yond iaitu siaran televisyen dalam format HD dengan caj tambahan RM20 sebulan, dengan pemberian percuma dekoder B.Yond, piring satelit dan kad pintar dan pengecualian yuran pemasangan.

Antara saluran yang ditawarkan dalam format HD antaranya National Geographic (553), History (555), Supersport (811) bermula 18 Disember, dan ESPN (812) bermula Januari. Ini bermakna, penonton Malaysia buat pertama kalinya akan mendapat siaran Piala Dunia 2010 Afrika Selatan menerusi format HD. Amat menarik.

3) Internet berkelajuan lebih tinggi. (Ini untuk jangka panjang, buat masa sekarang Celcom Broadband memadai.)

Semua perkhidmatan jalur lebar mudah alih teramat mengecewakan di Yan, dengan Celcom dan Maxis Broadband amat perlahan dengan EDGE, manakala kelajuan untuk DiGi Broadband tidak diketahui yang mana saya akan mencuba modem milik Husna (yang didaftarkan atas nama saya=P) sebagai eksperimen di Yan nanti.

Jika semua perkhidmatan broadband tidak menepati piawaian saya, saya akan meminta ayah saya untuk menutup akaun Celcom Broadband, dan beralih kepada Streamyx yang lebih stabil dan jimat, selain dapat memberikan jiran-jiran kami perkhidmatan WiFi percuma ketika saya dan adik di tingkatan 5, Faizal tiada di rumah.

4) Ganti rugi kehilangan pendapatan. (Ini hanya untuk kepulangan kali pertama ini sahaja.)

Memandangkan ianya belum pasti bahawa saya akan dapat menggembirakan diri dengan kepulangan ke Kedah, saya tidak mahu mengambil risiko dengan mengorbankan pendapatan RM4.50 sejam (RM3.00 gaji asas dan RM1.50 elaun, kadar gaji TERBARU) dari McDonald’s semata-mata untuk bercuti ke Kedah.

Jadi saya berharap agar dapat diberi RM7.50 untuk setiap hari penuh saya di Kedah nanti. Ini bermakna jika jumlah 4 hari penuh, dan setengah hari lagi kerana akan pulang ke KL, saya harus diberi RM7.50 untuk setiap hari, jumlahnya RM30 untuk keseluruhan 4 hari. Ini bertujuan untuk membolehkan saya mengembalikannya dalam bentuk tangki penuh kereta, mahupun belanja makan adik-adik dan ibu bapa, yang mana nilainya pasti jauh lebih tinggi dari RM30.

5) Sofa baru. (Ini juga untuk dilaksanakan untuk jangka masa panjang, bukan sekarang, tahun hadapan pun tidak mengapa.)

Memandangkan sofa sedia ada sudah nazak keadaannya, diharap agar dapat ditukar baru supaya lebih selesa jiran, rakan-rakan dan saudara-mara yang melawat untuk duduk sambil minum secawan kopi/teh/Milo. Jika ini tidak dilakukan, alangkah malunya jika tercuri dengar ayat ini dari jiran/saudara/rakan;

“Kereta boleh beli baru, sofa dah macam nak patah, tak mahu tukar!”

Alangkah hancur luluh hati kita jika mendengar ayat sedemikian, mana mahu letakkan muka? Menyorok sahaja dalam kereta=P.

Jadi, diharapkan semua lima senarai keinginan (wish-list) saya ini dapat diambil tindakan sewajarnya, supaya kita semua mendapat manfaat dan keistimewaan sebagai ahli keluarga yang murah dengan rezeki ini. Inilah tanggungjawab kita dalam membina keluarga, agar semua mendapat nikmat dan berkat.

Tak sabar untuk ketemu mereka Jumaat ini, akan saya bawa berjalan-jalan jika dibenarkan memandu.

Tarikh saya dijangka pulang: Selepas Krismas 2009.

Mari kita sama-sama bersedih. Disember 12, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
1 comment so far
Sedondon warna merah jambu, pasangan mempelai Teh Affifah dan Mohd Ariff.

Sedondon warna merah jambu, pasangan mempelai Teh Affifah (atas) dan Mohd Ariff (bawah). (Gambar BH Online)

Bayangkan perasaan anda jika hanya dapat menjadi isteri/suami kepada seseorang, hanya selama 3 jam sebelum pasangan meninggal dunia.

Begitulah yang berlaku kepada Teh Affifah Shahirah Abdul Hamid, 23, seorang penuntut universiti, apabila suami yang baru sah diijabkabulkan pada jam 10 pagi di Taman Berlian, Alor Setar, Mohd Ariff Abdul Kadir, 23, meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar,  dalam perjalanaan pulang ke rumah di Beseri, jam 1.05 tengahari semalam 11 Disember.

Kemalangan menyebabkan keempat-empat penumpang terkorban. Jelas sekali mereka dari sebuah keluarga yang cukup bersederhana, di kala orang lain lebih selesa dengan Mercedes-Benz yang disewa semata-mata untuk majlis pernikahan dan perkahwinan. (Gambar BH Online)

Lebih malang lagi, ibu bapa Mohd Ariff, Abdul Kadir Awang dan Apsah Othman bersama rakan Ariff, Mohd Farhan Musa turut meninggal dunia dalam pelanggaran antara kereta yang mereka naiki dengan sebuah bas persiaran dari Klang, Selangor. Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Abdul Kadir terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas persiaran tersebut.

Ariff adalah seorang lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari United Kingdom yang bakal memulakan tugas sebagai pensyarah di UiTM Arau, manakala Teh Affifah pula masih belajar di sebuah universiti di Australia. Mereka berkenalan semenjak di bangku sekolah lagi.

Majlis khatam Al-Quran yang sepatutnya berlangsung semalam, 11 Disember, di rumah Teh Affifah nampaknya bertukar menjadi sebuah majlis kenduri tahlil arwah untuk keempat-empat mangsa kemalangan. Jawatankuasa Surau Taman Berlian terpaksa mengambil alih pengurusan majlis kerana seluruh ahli keluarga Teh Affifah berada di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

Manakala majlis kenduri perkahwinan bernilai RM12,000 dengan 1,500 jemputan yang sepatutnya diadakan di Homestay G Glamour di Anak Bukit telahpun sedia dengan segala persiapan termasuk pelamin dan bilik pengantin oleh pihak pengantin perempuan, bersama 8 daripada 9 dulang hantaran dari pihak lelaki yang siap tersedia dengan kemas untuk majlis yang sepatutnya diadakan, hari ini 12 Disember 2009.

Malang tidak berbau, kepulangan mereka berdua ke Malaysia rupa-rupanya untuk satu perpisahan yang kekal.

Tabahkan dirimu, kuatkan semangatmu. Takziah dari Kelapa Muda, khas untuk Teh Affifah Shahirah. (Gambar BH Online)

Mari bersama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada keempat-empat mangsa kemalangan, dan juga doa dari kita semua agar Teh Affifah tabah menghadapi dugaan yang amat dahsyat ini dan tetap gigih meneruskan pembelajaran di Australia tanpa insan tercinta.

Kemerosotan jualan akhbar, mengapakah berlaku? Disember 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
2 comments

Audit Bureau of Circulations (ABC) mengeluarkan data terbaru jualan akhbar di Malaysia antara 1 Julai 2008 hingga 30 Jun 2009 bagi akhbar-akhbar utama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Hasil kajian menunjukkan penurunan jualan untuk semua akhbar utama, kecuali Kosmo! dan Harian Metro.

Laporan berikut menjelaskan lagi jualan yang terus meningkat bagi akhbar Kosmo! dan Harian Metro adalah disebabkan oleh kuasa beli pembaca akhbar Bahasa Melayu yang masih tinggi.

Berikut merupakan ranking jualan akhbar utama dan perubahan edaran berbanding tahun sebelumnya:-

AKHBAR BAHASA MELAYU

1) Harian Metro (naik 4%)

2) Berita Harian (turun 5%)

3) Utusan Malaysia (turun 8%)

4) Kosmo! (naik 12%)

AKHBAR BAHASA INGGERIS

1) The Star (turun 3%)

2) The Sun (naik 6%)

3) New Straits Times (turun 12%)

Pada pandangan saya, trend penurunan jualan akhbar tertentu adalah disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang melanda seluruh rakyat Malaysia, yang mana menyebabkan pembaca memilih akhbar paling murah harganya. Pembaca Bahasa Melayu akan cenderung untuk membaca Kosmo! dan Metro berbanding Utusan mahupun Berita Harian, manakala pembaca Bahasa Inggeris akan cenderung memilih akhbar percuma The Sun daripada The Star atau NST.

Iklan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan Internet, P1W1MAX yang semakin dikritik akhir-akhir ini.

Tidak keterlaluan juga dikatakan bahawa populariti Internet yang semakin meluas, turut mempengaruhi jualan akhbar bercetak, oleh kerana kewujudan media alternatif dan keupayaan akses kepada laman-laman web akhbar utama sedia ada, yang akhirnya mencatatkan keuntungan hasil pengiklanan.

Malaysiakini sebagai contoh, mengenakan yuran bulanan kepada pembaca seksyen Bahasa Inggerisnya, di kala masih mengekalkan seksyen Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil secara percuma. Mungkin kita perlu satu badan bebas pula yang mengkaji trend pembacaan portal-portal berita dalam talian untuk mengenalpasti laman-laman berita yang popular.

Ada juga yang berkata, akhbar bercetak begitu cenderung memberikan pandangan menyebelahi sebelah pihak, iaitu menyebelahi kerajaan persekutuan yang mengawal mereka melalui Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, justeru bagi mereka yang mahu mendengar pandangan pihak sebelah lagi, mereka akan menggunakan kemudahan Internet untuk mengaksesnya, sama ada di tempat kerja mahupun rumah, atau tempat-tempat tumpuan seperti Starbucks, McDonald’s mahupun kafe Old Town.

Estidotmy, sisipan khas dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam akhbar Utusan Malaysia. Ini adalah antara sumber pendapatan Kumpulan Utusan.

Justeru, untuk memastikan akhbar-akhbar terus hidup, pihak-pihak berkaitan haruslah kreatif dan tidak bergantung kepada pembaca dan kerajaan semata-mata. Industri akhbar harus lebih kreatif dalam usaha memperoleh pulangan, misalnya menggalakkan pengiklanan secara dalam talian dan bercetak, selain memastikan kandungan lebih lengkap serta menarik di kedua-dua medium bercetak dan juga dalam talian, agar pembaca terus setia dalam menjadikan akhbar sebagai pilihan mereka berbanding portal-portal berita.

Usaha ini termasuklah publisiti kesedaran alam sekitar dengan mengeluarkan akhbar daripada kertas yang dikitar semula. Namun tidak pula dapat dipastikan, adakah dengan menggunakan kertas kitar semula, kos harga kertas dapat dijimatkan? Diharapkan jika masih mahal, industri percetakan pula harus lebih inovatif dalam memastikan pengurangan pembaziran sumber dapat berlaku pada kos yang boleh ditampung penerbit dan juga pembaca.

Yo!, sisipan khas Kementerian Belia dan Sukan di akhbar Utusan Malaysia. Nampaknya banyak pendapatan Utusan yang disumbang oleh kerajaan.

Kerajaan telah memainkan peranan dengan “terlebih cemerlang” sebenarnya, dalam usaha memastikan kemandirian akhbar-akhbar utama negara, dengan menjadi pengiklan terbesar Malaysia, mengatasi syarikat-syarikat pengeluar rokok suatu ketika dahulu yang kini diharamkan untuk mengiklan, dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang bersaing sesama sendiri bagi merebut pelanggan, di kala kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk pelbagai kempen perkhidmatan dan kempen kesedaran rakyat dalam bentuk pelbagai sisipan khas, terutama di dalam akhbar Utusan Malaysia.

Jika kerajaan kita punya kesanggupan dan keberanian, bolehlah juga dipinda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak agar lebih banyak ruang interaksi dapat diwujudkan agar kerajaan dapat memahami kehendak dan keperluan rakyat secara keseluruhan, tanpa batasan dan halangan untuk memberikan kritikan.

Semoga industri akhbar kita terus hidup, dan dapat menampung hidup para pekerjanya yang rata-rata dihimpit kesusahan, seperti pemandu lori, pekerja kilang percetakan, mahupun pemilik gerai-gerai jualan di bahu-bahu jalan. Jika akhbar mengalami kepupusan, pasti hidup mereka tambah merana.

Sedikit pendapat mengenai Biro Tatanegara. Disember 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
add a comment

Sebuah sayap penerangan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Biro Tatanegara atau ringkasnya BTN menjadi perhatian sepanjang minggu, oleh kerana pendedahan daripada ahli-ahli politik gabungan Pakatan Rakyat yang pernah menghadiri kursus anjuran biro tersebut yang dikatakan sebagai bersifat perkauman.

Jika Pakatan Rakyat punya niat untuk mewujudkan perbezaan pendapat antara tokoh-tokoh BN dan UMNO, nampaknya mereka agak berjaya. Menteri di JPM, Nazri Aziz kini dalam pertelagahan dengan bekas bos beliau, Dr. Mahathir Mohamad serta Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Masalan. Nazri mempertahankan keperluan untuk perubahan kepada modul kursus BTN agar lebih menepati semangat 1Malaysia, yang mana ramai daripada kita yang masih tidak mengerti apakah itu 1Malaysia.

Dr. Mahathir dan Ahmad Masalan, bersama Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempertahankan BTN daripada sebarang perubahan, kerana beranggapan kursus itu penting untuk memupuk semangat perpaduan antara kaum. Apakah itu benar?

Menurut rakan-rakan saya di UiTM, para penerima biasiswa kerajaan, termasuk yang berpendirian pro-UMNO, mereka mengakui bahawa kursus BTN menerapkan semangat ketuanan Melayu dan menganggap kaum lain sebagai “pendatang” di negara ini, dalam kursus-kursus yang dianjurkan.

Okey, ini pula pandangan saya tentang BTN.

Saya lebih suka jika kursus-kursus BTN tidak diwajibkan sebagai syarat kepada pelajar UiTM, pelajar penerima biasiswa, dan kakitangan kerajaan untuk kenaikan pangkat. Lebih baik jadikannya kursus yang boleh dihadiri secara sukarela oleh sesiapa yang berminat, tanpa sebarang ancaman dikenakan kepada para peserta yang hadir.

Tentang modul kursus BTN, mungkin tidak perlu diubah, biarkan sahaja seperti biasa agar semua dapat merasai, mengetahui dan menilainya secara sendiri. Saya yakin, dengan sokongan lebih 70% masyarakat Bagan Pinang misalnya kepada BN, pasti ramai yang berminat untuk mendengar ceramah BTN, dan menyanyikan lagu Warisan:

“Anak kecil main api, terbakar hatinya yang sepi.”

“Air mata darah bercampur keringat, bumi dipijak milik orang,”

Bumi yang kita pijak, bukan milik siapa-siapa, ianya pinjaman dari Allah S.W.T. Seharusnya kita memikirkan semula, apakah peranan kita dalam memakmurkan bumi ini dan setiap ahlinya. Itu yang paling utama daripada memisahkan bumi ini mengikut garis perkauman sebagaimana dilakukan oleh Israel kepada warga Gaza, dan juga rejim Jerman Timur yang membina Tembok Berlin.

BTN kini membina satu tembok yang lebih merbahaya, kerana tidak kelihatan secara zahir, tetapi jelas sekali memisahkan sesama kaum dengan perasaan curiga sesama kita. Namun, apakah salahnya jika ada audiens yang sudi mendengar propaganda sebegini? Biarkan sahaja, yang penting jangan dipaksa orang untuk mendengar, dan dihalang daripada memberi sebarang pertanyaan. Pastikan kebebasan bersuara itu dihormati.

Biarkan BTN bebas, dan rakyat juga bebas sama ada mahu mendengar atau tidak. Paksaan akan membawa padah dan malapetaka.

KTMB, teruskan perbaiki mutu perkhidmatan. Disember 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

Bagi mereka yang kerap menaiki KTM Komuter, pasti akan menyedari iklan yang diletakkan oleh pihak pengurusan mereka di stesen-stesen yang terlibat dengan perkhidmatan tren setiap 15 minit yang telah dimulakan. Saya sendiri belum mencuba, namun iklan sedemikian membayangkan aspirasi tinggi KTM Berhad untuk menyediakan perkhidmatan keretapi Komuter yang lebih menepati masa sejajar keperluan rakyat.

Tetapi bukan cerita Komuter yang saya mahu lontarkan di sini. Tulisan saya lebih bertumpu kepada perkhidmatan tren Shuttle KL-Ipoh dan Kajang-Ipoh yang sudah sekian lama wujud, dan mendapat perhatian kerana tambang yang berpatutan dan ketepatan masa yang lebih baik berbanding Komuter dan juga bas ekspres, selain menyediakan perkhidmatan di kawasan yang tidak mempunyai bas ekspres ke Kuala Lumpur, misalnya pekan-pekan di Perak seperti Batu Gajah dan Kampar.

Kelas Superior KTMB

Pada permulaan perkhidmatan, tambang RM10 sehala ditawarkan untuk perjalanan 3 jam dari KL Sentral ke Ipoh untuk kelas ekonomi, manakala tambang RM18 ditawarkan untuk kelas Superior bagi perjalanan serupa.

Sejak menggunakan perkhidmatan ini, saya melihat beberapa perubahan yang dilakukan oleh KTMB ke atas perkhidmatan ini, ada antaranya yang bagus, ada juga yang mungkin kurang bagus pada pandangan saya dan anda.

1) Kenaikan tambang sejak Ramadhan lalu.

Tambang kelas ekonomi dinaikkan kepada RM12 sehala, dan kelas Superior dinaikkan kepada RM21 sehala, kenaikan antara RM2 hingga RM3 yang boleh dikatakan munasabah untuk tujuan pembiayaan kos. Namun perubahan yang seterusnya pasti menyakitkan hati.

2) Kekurangan tempat duduk untuk kelas ekonomi.

Sama ada jumlah penumpang yang semakin meningkat, ataupun jumlah koc kelas ekonomi yang dikurangkan pihak KTMB, saya merasakan keadaannya makin sukar untuk saya memperoleh tempat duduk kelas ekonomi setiap kali menaiki tren Shuttle. Apabila dilihat, kadangkala hanya satu koc digunakan untuk kelas ekonomi, berbanding koc selebihnya (antara 3 hingga 4 buah) yang menyediakan tempat duduk Superior yang memerlukan saya mengeluarkan lebih RM9 dari poket, namun tempat duduk empuk lagi selesa.

Nampaknya KTMB juga mungkin ingin mencuba strategi AirAsia yang mengenakan harga tiket hampir percuma kepada beberapa penumpang yang menempah awal, seterusnya kadar harga menegak kepada penumpang yang menempah lewat. Bezanya, hanya ada dua jenis kadar tambang di tren Shuttle KTMB

3) Keadaan tidak selesa di kelas ekonomi.

Tempat duduk kelas ekonomi. Apakah pendapat anda tentang keadaannya?

Tidak pasti pula, mungkinkah saya terlalu terbiasa dengan kelas Superior? Namun sukar diterima jika melihat pintu kaca kedap bunyi yang tidak dapat ditutup gara-gara kerosakan, di mana ini menyebabkan bunyi yang kuat dari luar mengganggu penumpang yang tidak memiliki sistem audio peribadi seperti Sony Ericsson G705 =).

Selain itu, keadaan pintu yang tidak dapat ditutup juga menyebabkan pengudaraan tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya. Sistem penyaman udara dalam koc tidak dapat memastikan penumpang merasa sejuk, malah kepanasan menimbulkan ketidakselesaan kepada penumpang yang tidak disediakan tempat duduk empuk dan berusaha menjimatkan kos perjalanan dengan memilih koc kelas ekonomi.

4) Sambungan beberapa tren ke Kajang.

Memandangkan saya salah seorang penghuni bandar Kajang, pastinya saya merasa gembira dengan sambungan ini, namun malangnya ketidaksesuaian masa selalunya memerlukan saya menaiki tren dari KL Sentral, yang mana tiada masalah bagi saya kerana KL Sentral mempunyai kawasan meletak motosikal yang banyak dan tersusun, seterusnya dijaga dengan rapi oleh pasukan polis bantuan Semasa Sentral.

Sambungan Kajang ini kelihatan berguna apabila saya perlu meninggalkan motosikal di Sri Ros untuk pulang ke Kedah untuk cuti panjang, yang saya tidak rasa ingin lakukan dalam masa terdekat. Lagipun saya punya banyak komitmen, serta kekurangan dana untuk perjalanan yang jauh, yang mana perlu menaiki bas ekspres menghala Alor Setar yang mana tambangnya kini RM45 dari Hentian Kajang.

Paling penting, sambungan Kajang ini membuatkan Batu Gajah terasa amat dekat kerana ianya perjalanan yang tidak memerlukan pertukaran kenderaan yang kerap, seterusnya tidak dipengaruhi keadaan kesesakan trafik lebuhraya setiap kali musim perayaan.

Diharap keadaan yang tidak memuaskan di koc kelas ekonomi kebelakangan ini, dapatlah diperbaiki, agar seia dan sekata dengan tulisan di bahagian atas tiket: 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Jangan benarkan rakyat menjadi meluat dengan slogan tersebut.

Forte, simbol kematangan Kia Motors. Lebih sesuai untuk bapa saya. Disember 2, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Minggu lalu menyaksikan dua model kereta dilancarkan oleh dua syarikat pengeluar “kereta nasional”. Hakikatnya kedua-dua syarikat ini tidaklah sebegitu layak untuk mendapat gelaran sedemikian. Ya, saya akui model-model keluaran mereka sangatlah bagus mutunya.

Perodua dimiliki oleh Daihatsu yang seterusnya dikuasai oleh induknya Toyota Motor Corporation dari Jepun yang kian menghadapi kesan daripada deflasi di negara matahari terbit itu. Manakala Naza, syarikat pemegang Permit Import (AP) paling banyak dengan dasar “Bumiputera Diutamakan” atau DEB sejak dari mula kewujudannya yang kini berkolaborasi dengan pelbagai syarikat pengeluar kereta asing, antaranya Peugeot dari Perancis dan paling ketara Kia dari Korea Selatan untuk pemasangan tempatan. Kia semakin mengorak langkah dalam industri automotif dunia dengan penawaran model-model yang semakin menarik, sejajar penggabungan dengan Hyundai dari negara yang sama.

Minggu lalu telah disiarkan ulasan mengenai Perodua Alza yang mempunyai 7 kerusi untuk 5 penumpang dewasa dan 2 penumpang kanak-kanak yang mendapat sambutan hangat sehingga mencecah 3000 tempahan. Minggu ini pula, saya paparkan tentang model terbaru Forte dari Naza. Jika tidak berkenan dengan logo Naza, dipersilakan untuk menukarnya dengan logo Kia selepas membeli agar punya kesan impresif yang lebih mendalam kepada yang melihatnya nanti.

Pelancaran yang amat bergaya, termasuk model di sebelah kereta juga.

Forte telah dilancarkan minggu lalu di kompleks beli-belah mewah Pavilion Kuala Lumpur, yang mana saya sendiri hanya mampu menikmati KFC di ceruk tingkat ruang makan mereka, selain membeli donat J.Co dan hanya mampu mengagumi seni bina surau yang baru sahaja siap kerja ubah suai.

Satu permulaan bagus, pelancaran gaya mewah bagi sebuah kereta berharga mampu-milik, namun diyakini berkualiti setaraf Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.

Terdapat tiga varian yang boleh dipilih, semua bertransmisi automatik, harga DI ATAS JALAN, pendaftaran persendirian:-

1.6 EX – RM75,800

1.6 SX – RM81,800

2.0 SX – RM93,800

Benar-benar menarik. Harga versi 1.6 EX menghampiri Toyota Vios 1.5 J, manakala versi 2.0 SX jauh lebih rendah harganya berbanding Honda Civic. Ya, saya perlu bandingkan kereta ini dengan kereta seperti Honda Civic kerana ianya terletak di segmen-C, sebaris dengan kereta-kereta tersebut.

Saya pernah meletakkan harga untuk kereta-kereta popular dengan enjin 1.5 dan 1.6 liter dalam tulisan berkaitan Perodua Alza. Jadi letakkan sendiri kedudukan Forte 1.6 EX mahupun 1.6 SX dan bandingkan dengan pesaing lainnya, di samping gambar-gambar untuk bantuan.

Nampaknya saya haruslah membandingkan harga Forte 2.0 SX dengan model 1.8/2.0 liter lain yang popular:-

KIA FORTE 2.0 SX – RM93,800

Mitsubishi Lancer 2.0 GT – RM123,980

Hyundai Avante 2.0 – RM91,208

Hyundai i30 2.0 – RM112,800

Kia Optima 2.0 EX – RM102,000

Toyota Corolla Altis 1.8 E – RM109,900

Honda Civic 2.0S – RM129,980

Peugeot 407 Classic – RM128,888

Ford Focus 2.0 – RM111,888

Ini merupakan aksesori yang akan diperolehi dengan Forte yang dibeli mengikut versi berlainan.

1.6 EX dilengkapi tayar 15″ standard.

1) Sistem brek anti-kunci (Anti-Lock Braking System, ABS)

2) Brek cakera belakang (Rear disc brake)

3) Dua beg udara (Dual Airbags)

4) Tempat rehat kepala aktif (Active Headrest)

5) Lampu kabus hadapan (Front Fog Lamps)

6) Radio/CD/MP3 yang boleh disambung dengan iPod menggunakan USB

7) Sistem kemasukan tanpa kunci (Keyless Entry System)

8) Tingkap kuasa (Power Windows)

9) Cermin Elektronik Kromik (ECM)

10) Penyaman Udara

11) Sensor Undur

Untuk versi 1.6 SX, terdapat pelbagai lagi aksesori tambahan selain 11 di atas, tayar 17″ aloi.

12) Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), merangkumi pembahagian daya-brek elektronik (EBD), kawalan brek semasa membelok (CBC), sistem bantuan brek (BAS), sistem kawalan “traction” (TCS).

13) Cermin penapis UV

14) Stereng kulit

15) Stereng teleskopik

16) Sistem Penyaman Udara Automatik Sepenuhnya (FATC)

17) Sistem Bantuan Parking Belakang

18) Butang hidup enjin dan sistem kunci pintar

Untuk versi 2.0 SX pula, tambahan aksesori yang diberikan selain 18 di atas:-

19) Beg Udara sebelah tepi dan tirai (Side and Curtain Airbags)

20) Tempat duduk kulit

21) Stereng Kuasa Panduan Motor (Motor Driven Power Steering, MDPS)

Stereng dengan logo Kia. Nampaknya logo jenama Naza bertujuan mengurangkan duti import, memang bijak strategi Naza ini.

Begitu banyak kelengkapan menarik pada harga yang amat kompetitif. Sudah 300 tempahan diperoleh, diharapkan akan terus bertambah dan menjadi inspirasi kepada pengeluar kereta nasional Malaysia lainnya untuk menghasilkan kereta yang memahami jiwa penggunanya.

Kepada yang telah menempah dan memiliki Vios, saya rasa anda agak kerugian juga. Lagipun terserempak dengan sebuah Forte di Seksyen 7 Bangi, sungguh menawan hati. Diharapkan Naza sudah mempertingkatkan kualiti agar model terbaru ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap mutu kereta keluaran anak-anak jati negeri Kedah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.