jump to navigation

Kenapa perlu bersaing sama satu syarikat? Disember 26, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
trackback

Tahun lalu syarikat Telekom Malaysia Berhad telah mengasingkan entitinya kepada dua bahagian, yang mana satu bahagian ditetapkan untuk menjaga segmen talian tetap, manakala satu lagi bahagian menjaga segmen mudah alih, iaitu  TM International (kini Axiata) yang memegang saham dalam syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih di 10 buah negara Asia.

Lagi-lagi penjenamaan semula. Untuk apa? Seolah tiada guna jika perkhidmatan di takuk lama dan fikiran hanya menurut hukum kapitalisme.

Pengasingan tersebut melibatkan penawaran saham berasingan untuk unit TMI dan juga TM di dalam pasaran saham Malaysia, itu dari sudut komuniti bisnes. Pada sudut masyarakat, pengasingan ini juga bermaksud tiadanya lagi kaitan rapat antara talian tetap TM dan juga perkhidmatan mudah alih Celcom yang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengasingan tersebut adalah bertujuan untuk mempertingkatkan daya saing Celcom dalam segmen mudah alih untuk bersaing dengan syarikat lain yang semakin mara ke hadapan. Ketika itu Celcom masih belum punya hala tuju jelas dalam penawaran produknya.

Celcom melalui Xpax menaja konsert di sana sini dan pelbagai filem di pawagam. Namun, malangnya mungkin mereka tidak memandang yang tempatan, semuanya antarabangsa belaka.

Misalnya untuk prabayar, kita pernah mendengar nama seperti XCeed, XCel dan XPlore untuk segmen pengguna prabayar yang berbeza, yang mana jelas sekali gagal dan akhirnya Xpax sekarang amat berjaya dengan menjadi penaja konsert yang melalaikan di sana sini.

Dalam hal ini, kita tidak harus menyalahkan Celcom, kerana ketika itu mereka masih lagi segar dengan penggabungan yang rumit bersama TMTouch akibat daripada kegagalan pengurusan di bawah tokoh korporat Melayu, Tajuddin Ramli yang dipenuhi hutang dan ketidakcekapan perkhidmatan yang amat merimaskan, akhirnya terpaksa diambilalih oleh Telekom Malaysia pada harga asal bersama dengan hutang menimbun.

Okey, itu masa lalu. Menginjak pula ke masa terkemudian, kita telah mula diperkenalkan dengan Streamyx, jalur lebar pertama Malaysia (juga antara yang pertama di ASEAN), dan masih cuba mengekalkan takhtanya di tempat pertama sekarang. Ketika itu monopoli pasaran amat ketara memihak kepada Telekom Malaysia, sehinggakan ramai yang cemburu dan juga memberi pelbagai aduan kepada mereka atas perkhidmatan yang memang jelas sekali mengecewakan pada masa itu.

Di kala pengasingan perkhidmatan TM berjalan, munculnya penyedia-penyedia perkhidmatan internet mudah alih. Bermula dengan Maxis Broadband, Celcom agak terlambat dengan memperkenalkan Celcom Broadband, namun cepat mengejar Maxis dengan menawarkan liputan seluruh negara dengan keupayaan HSDPA, 3G, EDGE dan GPRS di kala Maxis begitu lambat memperluaskan liputan jalur lebarnya.

Kini, muncul pula P1 dengan perkhidmatan W1MAX, dan paling lewat sekali DiGi Broadband, selain kafe dan restoran yang kini semakin banyak menyediakan perkhidmatan Wi-Fi di premis-premis mereka. Kemunculan kemudahan-kemudahan ini menjadikan Streamyx agak terpinggir dari arus perdana Internet di Malaysia gara-gara satu kelemahan: tidak mudah alih.

Salah satu tempat yang menyediakan Wi-Fi. Terbaru, McDonald's Bangi DT. Pasti makin ramai akan me'lepak'.

Pengguna Streamyx terpaksa mencari tempat-tempat yang memiliki Wi-Fi jika keluar untuk melakukan tugas, mahupun menjalankan aktiviti sosial melalui Internet, yang mana ini amat merimaskan staf dan pemilik di premis-premis yang menyediakan kemudahan sedemikian. Memang ada “Streamyx Zone”, namun amat terhad kepada restoran-restoran tertentu sahaja.

Lantas kita terfikir, apakah gunanya pengasingan antara Celcom dengan TM?

Saya terfikir sedemikian, kerana jika pihak TM betul-betul bijak, mereka boleh memanfaatkan kedua-dua syarikat  yang diasingkan itu sekaligus untuk mendapat lebih keuntungan dan menggembirakan pengguna!

Bagaimanakah caranya?

Dengan menawarkan keupayaan jalur lebar mudah alih Celcom kepada pengguna Streamyx ketika di luar rumah, dan memanfaatkan infrastruktur talian tetap yang stabil kepada pengguna Streamyx di dalam keselesaan rumah mereka pada masa yang sama. Bukankah itu satu idea menarik?

Ianya bukan sesuatu yang mustahil, malah pengguna pasti menggemarinya dan akan setia bersama TM dan Streamyx, pada masa yang sama meningkatkan populariti Celcom Broadband sendiri. Seharusnya ini boleh dijadikan sebagai satu pilihan kepada pengguna yang mempunyai akaun Streamyx. Pelajar di asrama, itu lain ceritanya pula.

Menarik juga jika modem ini ditawarkan kepada pelanggan Streamyx yang mahu menggunakan Internet di luar rumah menggunakan sambungan Celcom Broadband, pada harga lebih menarik. Pasti ramai akan lebih gembira. =)

Mungkin ada pertikaian, bagaimana pula untuk mereka yang berkongsi rumah sewa? Jawapan saya: kita sediakan pilihan mobile broadband ini kepada pemegang akaun Streamyx sahaja, untuk kegunaan di luar kediaman mereka, dengan satu caj tambahan yang pasti pengguna tidak kisah membayarnya, mungkin tambahan RM20-30 sebulan untuk Broadband Basic 384kbps, tambahan RM40-50 sebulan untuk Broadband Advanced 3.6 Mbps, di mana satu kad SIM (dan lebih afdal lagi modem percuma) akan diberi kepada setiap pelanggan yang mengambil bahagian.

Dari segi pembayaran, sudah pasti lebih terjamin kerana pengguna yang terlibat dapat dicari dengan mudah berdasarkan alamat talian tetap mereka. Mungkin TM risau akan penyalahgunaan modem broadband mudah alih percuma oleh pengguna selain daripada pemilik nombor akaun. Jawapan saya: tidak mengapalah asalkan ARPU meningkat dan indeks kepuasan pengguna meningkat ke tahap tertinggi. ARPU adalah singkatan kepada perolehan purata per pelanggan, average revenue per user.

Masih belum terlambat jika ada pihak-pihak berkepentingan dalam TM yang ingin mengimplementasikan idea ini, malah dialu-alukan untuk manfaat bersama pengguna-peniaga, lantas meningkatkan reputasi negara Malaysia dari segi kemudahan Internet, dan memperluaskan liputan Internet di negara kita yang sedang mengejar Wawasan 2020. (10 tahun sahaja lagi, silalah berubah segera!!)

Nasiblah cik adik manis, gambar anda yang saya temui. Gelagat orang-orang seperti anda amat merimaskan, terutama yang penipu. Ada ke patut seorang daripada mereka ini berkata, di Baling ada liputan HSDPA 3.5G Celcom?? Menipu sungguh!

Sedih dan rimas juga di PIKOM PC Fair baru-baru ini, dengan sengitnya TMNet dan Celcom bersaing sesama sendiri untuk memancing pelanggan yang lalu lalang (sehingga semua pelanggan jadi rimas, termasuk saya!), di kala mereka boleh sahaja bersinergi demi manfaat pengguna kebanyakan. Tengok P1 W1MAX, DiGi dan Maxis ketika itu, selamba sahaja, dan lebih menumpukan kepada usaha memberikan rangkaian terbaik, bukan mengejar jumlah pelanggan untuk jadi Numero Uno di Malaysia.

Diharap TM berubahlah segera ke arah kebaikan.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: