jump to navigation

Jika berterusan begini, kita bakal hadapi krisis! Januari 27, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
trackback

Lihat peta di sebelah. Ini adalah senarai rumah-rumah ibadat yang diserang dengan sebarang cara, sama ada menggunakan “molotov cocktail”, mahupun dengan cara serangan lain yang berbeza-beza termasuk dibakar dengan sengaja oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Rentetan daripada isu perkataan “Allah”, sebahagian kita hilang pedoman dan arah tuju sehingga sanggup melakukan perbuatan yang bukan setakat memalukan nama agama masing-masing, malah menjejaskan imej Malaysia di mata masyarakat dunia.

Pasukan polis kita yang cekap dalam menyiram dan menembak gas pemedih mata dalam perhimpunan-perhimpunan yang aman dan menyekat jalan-jalan raya, nampaknya agak “lumpuh” sehingga sebanyak 17 rumah ibadat telah menjadi mangsa serangan bermula awal tahun ini, selain tindakan sambil lewa membiarkan perhimpunan yang dicemari provokasi seperti peristiwa memijak kepala lembu tahun lalu.

Pengabaian yang disengajakan daripada pasukan polis ini lantas menyemarakkan lagi rasa amarah segelintir yang sanggup bertindak agresif sehingga ke tahap menyerang rumah-rumah ibadat, yang mana setiap agama mengharamkan tindakan sebegini rupa. Kalimah “Allah”, Tuhan Yang Maha Esa yang cuba dijunjung, nyata tidak wujud dalam jiwa insan-insan durjana ini, tidak kira dari agama mana pun mereka berasal.

Mari kita soroti apa yang berlaku di Ambon, Indonesia pada tahun 1999 lalu. Satu pertikaman lidah antara seorang penumpang bas beragama Islam dengan pemandu bas beragama Kristian telah mencetuskan satu konflik hebat, sehingga 100,000 warga menjadi pelarian, selain 40,000 terbunuh dalam konflik yang berpanjangan hingga 2002.

Pasti kita tidak mahu perkara sebegitu berlaku di negara ini kan? Kunci untuk memastikan kita terus aman, adalah toleransi. Bukan bermakna kita tunduk pada kehendak orang lain sehingga menggadaikan agama sendiri, tetapi lebih banyak berdialog dan mencapai kompromi, tidak kiralah secara terbuka atau tertutup. Di sinilah peranan boleh dimainkan oleh pakar-pakar akademik, sejarah, selain tokoh-tokoh agama yang berkaitan dengan isu kalimah “Allah” ini.

Panduan hidup, atau sekadar mahu skor A1 dalam SPM?

Pengharapan kepada tokoh-tokoh politik pastinya akan sia-sia. Di kala 1Malaysia dilaungkan, nampaknya ada set peraturan berbeza penggunaan kalimah “Allah” antara negeri beraja dan negeri tidak beraja. Pergi ke Sabah dan sesiapa pun boleh menggunakan nama Allah untuk merujuk kepada Tuhan Yang Esa, tiba-tiba turun ke KLIA dan kalimah itu akhirnya eksklusif untuk orang Islam sahaja. Ingat ini McDonald’s ke, mahu set yang berbeza-beza untuk makan?? Medium atau Large? Kita hidup bernegara, bukan macam restoran makanan segera.

Saya ada pendirian sendiri. Ianya merujuk kepada aspek sejarah dan juga rujukan kepada masyarakat di negara lain. Kalau kita belek semula salasilah keluarga Nabi Muhammad S.A.W, Muhammad bin Abdullah adalah nabi terakhir bagi umat Islam. Abdullah bin Abdul Mutalib, itu nama bapa nabi kita, yang mana nama itu wujud sebelum agama Islam itu wujud lagi. Nabi Muhammad pun mula menyebarkan Islam pada umur 40, itu pun secara sembunyi sebelum terang-terangan di peringkat seterusnya.

Abdullah عبدالله Servant of Allah, slave of Allah; name of Prophet Muhammad’s Father.

(Rujukan dari muslimbabynames.net) Abdullah bermaksud “Hamba Allah”.

Yang mereka terjerit-jerit “kalimah Allah eksklusif untuk orang Islam”, ada mereka rujuk sirah nabi tidak? Saya tidak menghina, malah mengajak mereka semua sama-sama merujuk sejarah Islam dan sirah nabi yang jelas sekali menunjukkan bahawa kalimah Allah itu sudah wujud sebelum agama Islam wujud lagi, dan ianya merujuk kepada Tuhan Yang Esa yang disembah oleh masyarakat Arab ketika itu.

Jika pemimpin masyarakat Arab ketika itu sedaya upaya cuba menghalang pengamalan agama Islam, apakah kita juga akan melakukan serupa kepada masyarakat bukan Islam yang sebahagian besar daripada mereka merujuk Tuhan yang Maha Esa dengan nama Allah juga? Cuba lihat di Sabah dan Sarawak, dan telanlah hakikat itu sendiri.

Mungkin ada pula yang akan membalas, bahawa mubaligh Kristian di sana memang sengaja menggunakan nama tersebut untuk mengelirukan orang Islam yang sekian lama ada di pulau Borneo di bawah Kesultanan Brunei. Namun apa yang telah berlaku, itu sudah berlaku. Telan hakikat, dan benarkan hak mereka di sana, termasuk seluruh Malaysia mengamalkan agama masing-masing dengan cara masing-masing.

Lihat pula apakah yang dilakukan kita dalam menjaga akidah kita, apakah telah cukup atau sekadar sambil lewa. Pihak yang berwajib, dan memegang amanah harus menjalankan amanah, malah melakukan dengan lebih baik setiap kali. Bukannya dengan menghalang penganut agama lain pula, yang mana itu akan menimbulkan pula permusuhan dan isu-isu lain yang berlanjutan.

Kita tidak perlukan publisiti negatif dalam usaha meningkatkan perpaduan rakyat tanpa mengira bangsa dan seterusnya merealisasikan wawasan negara, yang mana kita kelihatan semakin terpesong daripada arah itu.

Komen-komen»

1. WILSON SELING JALONG - September 27, 2011

Saya secara peribadi sangat setuju dengan pandangan saudara Firdaus Rosli berkenaan penggunaan kalimah ALLAH itu. Bagi saya saudara inilah yang penganut agama yang sejati, bukan extremis seperti orang lain yang sanggup membakar gereja. Dari cerita-cerita yang saya pernah dengar ada di antara pembakar gereja itu akhirnya menjadi Kristian apabila roh kudus menyatakan kuasanya. Kalimah ALLAH itu memang telah lama digunakan orang Arab sebelum Islam. Melihat keadaan kita berebut-rebut kalimah ALLAH sang IBLIS pun ketawa besar.

Firdaus Rosli - September 30, 2011

Mungkin kerana kurangnya keyakinan terhadap kekuatan akidah diri, menyebabkan ramai yang takut. Mujurlah isu ini berjaya dalam mendekatkan jurang antara penganut Islam dan bukan Islam. Nampaknya saya perlu bersedia dengan label liberal selepas ini dengan apa yang saya telah tuliskan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: