jump to navigation

The Book of Eli, filem yang bagus sempena Maulidur Rasul! Februari 27, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
trackback

Jumaat 26 Februari, saya melarikan diri daripada kerja McDonald’s untuk bersama buah hati menyambut ulang tahun kami. Mungkin dating bukanlah idea yang bagus untuk cuti Maulidur Rasul kan?

Bangun awal pagi, saya mengambil Husna di UiTM, seterusnya menghala ke Puchong untuk memasang cermin gelap untuk Savvy buah hati kedua saya. Singgah di McDonald’s Alam Megah untuk menikmati Breakfast Special versi baru, namun tawaran tersebut tidak sah untuk cuti umum. Nasib baik, ada 2 kupon Sausage McMuffin with Egg yang boleh ditebus, di”curi” dari Bangi Drive-Thru. Belanja sarapan pagi hanya RM2.50 untuk 2 orang, bukan selalu ada tawaran sedemikian hebat.

Tiba di Puchong, kedai Tint Master belum dibuka lagi. Jadi Husna pun membuka notanya, lalu saya pun menjadi pensyarahnya. =)

Naza Forte, Leaves You Speechless, Anda Kelu Berkata-Kata.

10.30 pagi, barulah Tint Master dibuka. Namun sudah ada sebuah Naza Forte dan Honda City yang datang dahulu. Akibatnya terpaksalah menunggu sehingga jam 12.45 tengahari untuk cermin gelap siap dipasang. Hanya RM260 dibelanja untuk pasang cermin gelap yang amat selesa itu. Dapat lagi kupon diskaun RM400 untuk pemasangan bagi kereta kedua.

Siapa yang rasa mahu pasang Tint Master, hantarkanlah komen anda di bawah ini supaya boleh saya hubungi. Kalau mood bagus, saya beri percuma kepada anda. Kalau rasa pokai sedikit, saya mungkin akan minta saguhati kecil. Kupon itu memang berbaloi, kerana anda hanya perlu keluarkan RM150 untuk pasang Tint Master. Saya yang dapat kupon itu pun keluarkan sampai RM260. Tak adil kan?

Gambar diambil dari blog syahadatulhaq.blogspot.com. Pada saya tiada masalah dengan masjid berhampiran pusat beli-belah, namun tidaklah sesuai jika terdapatnya hiburan tanpa batas seperti setiap malam di Sunway Pyramid.

Terus meluru ke Sunway Pyramid, kerana mahu solat Jumaat di Masjid Al-Husna di seberang jalan. Nasib baik sempat, namun saya tiba-tiba tukar perancangan. Keluar dengan Husna untuk beli tudung dan selendang di Masjid Jamek, malamnya tonton filem The Book of Eli dari Denzel Washington. Husna pening kepala dengan saya yang selalu buat perancangan macam koboi. Pedulikanlah McDonald’s, saya agak letih jika bekerja tanpa diberi cuti mingguan.

Kami menonton filem The Book of Eli di GSC 1Utama, tayangan jam 9.30 malam. Masih gaya koboi, saya tidak gemar membaca penilaian terhadap filem sebelum menontonnya dengan mata kepala sendiri. Memang itu cara yang lebih seronok, terutamanya jika filem tersebut benar-benar menarik. Jika tak menarik, padan dengan muka sendirilah jawabnya.

Nikmatilah sementara masih ada, dengan penuh bersederhana.

Cerita bermula dengan zaman selepas satu bencana besar melanda dunia, di mana manusia tidak punya pilihan untuk makanan seperti di McDonald’s. Jika ada kucing, dipanah dan akhirnya dipanggang. Jika ada burung di udara, cubalah nasib untuk memanahnya, dan jadikanlah hidangan makan malam. Sudah timbul kembali golongan kanibal yang makan daging manusia sehingga satu badan jadi menggeletar seperti Nenek Martha.

Eli meneruskan perjalanan ke arah barat, tanpa diketahui tujuannya. Saya jangkakan beliau mungkin mencari sumber air, mahupun satu komuniti yang lebih berperikemanusiaan untuk hidup bersama. Sudah ramai yang beliau bunuh dengan parang, sudah banyak mayat yang pakaiannya telah beliau curi, sehingga ketemu sebuah pekan yang ditadbir seorang pemimpin bernama Carnegie.

Singgah di sebuah bar, beliau menukarkan barang-barang yang dicuri daripada mayat, demi memperoleh bekalan air. Seorang bajingan jalan raya mengganggu beliau, dan akhirnya dibunuh. Sehingga seluruh pelanggan bar tersebut dibunuh beliau di depan mata Carnegie yang mentadbir dari pejabat di atas bar tersebut. Carnegie berhasrat menguasai ilmu-ilmu yang masih tinggal selepas bencana guruh besar, dengan cara merampas sebanyak boleh buku-buku yang ada.

Tertarik dengan personaliti Eli, Carnegie cuba menarik beliau untuk menyertai pasukannya. Solara, seorang gadis sunti yang cantik telah digunakan untuk menggoda beliau, namun gagal kerana Eli seorang lelaki alim yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan atas segala nikmat yang diperoleh. Pada paginya, Solara turut mencuba membaca doa sebelum makan, gaya orang Kristian bersama ibunya yang buta bernama Claudia. Lantas Carnegie naik berang dengan tindakan tersebut, terus mencari Eli demi mendapatkan buku yang berharga ketika itu, namun cuba dimusnahkan kerana dikatakan sebagai punca peperangan yang menyebabkan kemusnahan, iaitu King James’ Bible.

Dalam pencarian kitab Bible tersebut, Carnegie telah kehilangan ramai anggota pasukannya dalam pertempuran di rumah George dan Martha yang  menumpangkan Eli dan Solara dalam perjalanan ke arah barat. Solara juga telah berjaya mensabotaj konvoi Carnegie yang kembali ke pusat pentadbirannya, seterusnya merampas salah sebuah kereta konvoi. Carnegie meneruskan perjalanan dan tiba hanya dengan  sebuah kereta, berbanding tiga sebelumnya. Beliau memanggil jurutera untuk cuba membuka Bible yang dikunci itu, dan kecewa apabila kitab tersebut rupa-rupanya versi Braille, iaitu untuk orang buta.

Carnegie meminta Claudia untuk menterjemah kitab tersebut, namun sudah 30 tahun bencana berlalu, dan beliau sudah tidak mampu lagi membaca. Claudia akhirnya meninggalkan Carnegie keseorangan di bar yang sudah diserbu masyarakat yang sudah menjadi anarki. Eli dan Solara tiba di Golden Gate Bridge yang tidak dapat dilalui dengan kereta, terus berjalan kaki ke arah Alcatraz. Solara mengambil alih sampan yang tidak mampu didayung Eli yang terlalu kepenatan dan semakin nazak akibat ditembak di kaki oleh Carnegie.

Mereka tiba di Alcatraz, dan akhirnya terkejut dengan usaha Lombardi, kurator muzium dalam usaha mengumpul warisan untuk menghidupkan semula ilmu dalam kalangan umat manusia. Oleh kerana Bible asal Eli dirampas oleh Carnegie, Eli membaca setiap rangkap Bible, yang memang beliau hafal dalam tempoh 30 tahun selepas bencana dengan disalin oleh Lombardi. Terserlah di mata Eli, bahawa rupanya beliau seorang lelaki buta, yang berjalan ke barat, dan melawan setiap pengganas jalanan dengan mata yang tertutup.

Salinan King James’ Bible berjaya dicetak sebelum kematian Eli, dan akhirnya berada bersama-sama Al-Quran kitab umat Islam dan Torah kitab umat Yahudi, selain kitab agama lain-lain yang sudah ditemui pasca bencana.

Mila Kunis, memegang watak Solara dalam The Book of Eli. Menguasai carta 100 wanita terseksi dunia oleh majalah FHM dan Maxim. Saya cair, anda cair?

Jika ada rakan-rakan yang sudah menonton filem ini, janganlah marah jika saya katakan filem Book of Eli ini bagus untuk Maulidur Rasul. Cuba bukakan hati, dan lihat bagaimana semangat Eli dalam memelihara kepercayaan agamanya iaitu agama Kristian. Fikirkan, adakah anda mampu menahan godaan wanita secantik Solara, di kala tiada lagi wanita secantik itu yang masih hidup di dunia? Saya pun tidak pasti dengan kemampuan diri saya.

Dengan matanya yang buta, beliau berjaya menghadapi setiap cabaran dalam mempertahankan agama Kristian menerusi kitab yang bukan sahaja dibawa merata-rata, malah difahal dan diamalkan dalam hidup seharian. Fikirkan apakah yang sanggup kita lakukan demi mempertahankan agama Islam tercinta, daripada dipermainkan, mahupun daripada dimusnahkan oleh golongan anti-kitab mahupun anti-agama, selain golongan anti-Islam.

Sempena Maulidur Rasul ini, kita bukan hanya perlu berarak dan menyatakan bahawa itulah yang kita harus lakukan sempena Maulidur Rasul, tanpa sedikit pun menghayati mesej perjuangan Rasulullah S.A.W dalam menjadikan Islam itu teladan seluruh umat manusia, satu cara hidup yang aman dan progresif.

Cintai dan junjungi sunnah Rasul kita, bukan hanya menyambut hari lahir baginda.

Namun sedih juga apabila golongan yang mempertahankan perbuatan cliche seperti perarakan Maulidur Rasul, pada masa yang sama ikut suka hati membuang dan menolak ajaran yang dibawa oleh Rasulullah yang kononnya mereka cinta. Hukum Allah ditolak mereka, katanya mengehadkan kemajuan umat, dan tidak selaras dengan kehendak zaman. Peraturan yang kejam seperti ISA dipertahankan, pindaan hanya satu pembohongan, dan pemansuhan hanyalah mimpi indah yang tahanannya mampu nikmati pada setiap malam di kem tahanan Kamunting. Buang masa sahaja golongan penipu ini berarak semata-mata kerana tradisi.

Seperti biasa, filem yang dilakonkan Denzel Washington pasti akan membuatkan kita berfikir bebas, lebih daripada menerapkan satu gaya pemikiran untuk kita anuti. Jadi setiap kita bebas menterjemah maksud filem yang ditonton ini, dan yang saya perolehi daripada menonton filem The Book of Eli ini, saya telah tafsirkan sebaiknya mengikut pemikiran saya. Harap lebih ramai dapat tonton, demi pengajaran dan kesedaran, bukan hanya keseronokan bersama kekasih hati bercengkerama di dalam dewan panggung.

Komen-komen»

1. comeltembam - Februari 28, 2010

you are confused man !

Ambillah Islam itu keseluruhannya, bukannya sikit sini sikit sana ikut senang je.

Bukankah orang Islam sekarang dok sibuk boikoit Israel, tapi anda promote McD. Israel masih membunuh orang Islam Palestine , tapi orang Melayu masih ke McD.

Firdaus Rosli - Mac 2, 2010

Saya mengambil contoh McD kerana ianya makanan segera paling popular di dunia, termasuk di Malaysia. Lagipun mengikut pemerhatian saya, McD menawarkan jenis makanan yang paling pelbagai antara restoran makanan segera sedia ada.

Tiadanya masalah pada saya jika mahu makan McD, memandangkan ianya merupakan Majikan Terbaik Malaysia 2009, yang mana ramai belia kita memperoleh manfaat dengan kewujudannya dengan memperoleh pekerjaan, selain persekitaran yang ceria untuk mengulangkaji pelajaran.

promise land - Mac 15, 2010

Salam Saudara/Saudari..

Ini adalah pandangan saudara Rosli..dia ketengahkan apa yang difahami…penerimaan xsama untuk semua orang..mungkin saudara/ri kalau tonton, fahamnya lain,betul tak?

maafkan saya jika ada kesalahan..cuma ingin beri pendapat sahaja…

2. promise land - Mac 15, 2010

bagus saudara….cara anda adaptasikan filem ini….saya rasa teringin nak tonton filem ni bila baca blog anda ini…teruskan mengkaji cerita2 ini…bagi saya xsalah anda memberi pandangan kerana setiap insan punya persepsi sendiri…

3. promise land - Mac 15, 2010

teruskan kaji filem2 macam ni….jarang nak dapat pandangan macam anda saudara…saya tertarik dengan komentar anda ini..sama2 kita menimba ilmu..terima kasih saudara rosli..

Promise Land..

p/s: From Paris With Love dah tengok?

4. promise land - Mac 15, 2010

saudara firdaus..saya minta maaf banyak2.atas kesilapan penulisan saya dalam ruangan komen ini..maafkan saya…saya xnampak nama saudara..maafkan saya…saya asyik layan tulisan tuan sehingga lupa nama tuan, saya ingtkan nama saudara rosli…maafkan saya saudara firdaus atas kesilapan saya..saya tidak sengajaa..maafkan saya saudar firdaus..

p/s- xperasan nama tuan firdaus(asyik layan sinopsis cita ni)lupa abih..maaf ya saudara..

Firdaus Rosli - Mac 16, 2010

=)

Tak mengapa, kalau ke luar negeri pun pegawai imigresen akan panggil saya Encik Rosli.

Tertarik untuk tonton filem ini ke? Memang bagus, tapi pastikan tidur secukupnya kerana filem ini benar-benar mencabar pemikiran.

Selamat menonton!

5. MohidinRosman - Mac 27, 2010

Layan la cita lu…

6. Hamba Allah - Oktober 7, 2010

Aslm, saya tertarik dengan ungkapan ini “Jika ada rakan-rakan yang sudah menonton filem ini, janganlah marah jika saya katakan filem Book of Eli ini bagus untuk Maulidur Rasul”. Saya rasa kamu perlu perhalusi dahulu penyataan di atas dan jangan memberikan pandangan jika “tidak mampu”. Dalam filem tersebut, dapat dilihat, Kitab Injil itu diceritakan dan dinyatakan sendiri oleh Eli, salinannya telah musnah sama sekali selepas bencana. Penghujung filem, dapat dilihat, Al-Quran masih lagi utuh. Sesungguhnya Al-Quran akan terpelihara sehingga hari Kiamat. Eli dalam filem ini buta sebelah matanya. Siapakah yang buta sebelah mata? Dajjal? Kamu tahukah dari mana asal usulnya nama Eli yang diabadikan dalam filem ini? Ungkapan kamu “Book of Eli ini bagus untuk Maulidur Rasul” tidak patut dilafazkan. Muhasabah diri kamu dan teguhkan iman. Aslm.

Firdaus Rosli - Oktober 7, 2010

Terima kasih atas pesanan. Dalam usaha untuk menyedarkan yang tidak tahu, sewajarnya perhubungan antara yang ingin tahu dengan orang berilmu dipermudahkan.

Saya kecewa apabila saudara tidak sudi untuk menulis alamat e-mel yang tepat dalam ruangan komen. Ini hanyalah interpretasi saya ke atas filem ini, memandangkan dunia masih belum berakhir selepas bencana yang teruk dalam filem tersebut, pastinya bermaksud perisiwa bencana itu bukanlah kiamat.

Jika diberi peluang, saya ingin menghubungi saudara bagi mendapat pengetahuan lebih banyak tentang dakwaan saudara dalam komen.

7. AL_FAQIR ILALLAH - Januari 25, 2011

Assalamu’alaikum sdr..
trima kasih atas usaha dakwah saudara..smg usaha dkwah sdr dcc ALLAH SWT ini benr & mndpt redhaNYA.

cuma apa yg kt prlu fkrkn brsama, erm… bukan ke cara anda berdakwah adalah seperti “niat x menghalalkan cara?”.

1)keluar dgn permpuan yg bukan mahram = haram
2)mkn d McD = (bersekongkol menyumbang dana kpd yahudi utk menghancurkn Islam.)
3)masuk panggung+tgok wayang = mafhum kata2 as syahid imam Hassan Al-banna “bukan akhlak seorang islam” + haram(menonton prkara haram)

saya jg kecewa dgn susunan gambar, yang mana nama Nabi SAW diletakkan d bwh gambar seorang prmpuan seksi lg kafir malah kenyataan saudara seolah2 mengagongkannya dan ianya menggambarkan seolah2 satu penghinaan pula kpd Nabi SAW! ASTGHFIRULLAH HAL’AZIM…
Inikah tanda cinta kt kpd Nabi SAW apatah lagi d hari kelahiran-NYA SAW!

kt muhasabah jg, adakah dkwah yang kita cuba sampaikan ini memdekatkan kt dgn nabi SAW @ menjadi asbab kita tidak dapat bersamanya d Syurga.. WAL’IYADZUBILLAHIMINDHALIK..


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: