jump to navigation

Harga minyak kekal, belum tentu satu berita baik. Mac 5, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
trackback

Satu pengumuman telah dilakukan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ismail Sabri Yaakob, bahawa harga minyak akan dikekalkan pada paras sekarang, buat masa ini. Cadangan sistem subsidi bertingkat telah dibatalkan atas sebab rakyat Malaysia masih belum bersedia dengan perkara sedemikian.

Beliau berkata lagi, kerajaan sebenarnya telah bersedia menyediakan infrastruktur sepatutnya untuk meneruskan sistem tersebut, namun para pengusaha stesen minyak juga tidak bersedia untuk mengorbankan sedikit perbelanjaan bagi menampung kos pemasangan alat pembaca MyKad yang dikatakan bakal digunakan bagi meluluskan pembelian minyak bersubsidi.

Pada pandangan saya, perkara ini belum boleh membuatkan kita menarik nafas lega. Kerajaan kini terperangkap dalam belenggu defisit belanjawan, dan sudah muncul pelbagai petanda kekurangan dana kerajaan bagi menampung keperluan kakitangan serta rakyat kebanyakan.

Kelapa Muda punya satu cadangan untuk difikirkan kita segenap rakyat: iaitu berubah menjadi sebuah bangsa Malaysia bebas subsidi.

Mari kita fikirkan apakah yang telah kita lalui sebagai rakyat Malaysia:-

Internet yang perlahan pada kadar yang mahal, gara-gara monopoli oleh TM dan penyedia lainnya yang dimiliki kroni-kroni besar.

Jika cukai eksais kereta tidak melampau, mungkin saya punya lebih banyak pilihan untuk kereta baharu kan?

Kereta yang sederhana pada harga mahal, selepas cukai yang tinggi.

Kadar tol yang meningkat setiap 3 tahun, oleh kerana perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Petrol standard, RON 97 pada harga premium kerana tidak sanggup menggunakan RON95 yang kuat mengetuk enjin kereta sehingga rosak.

Kenaikan harga barangan yang menjadi suatu rutin kepada kita, oleh kerana kelemahan kawalan oleh kerajaan.

Pelbagai kerenah birokrasi oleh agensi-agensi kerajaan, ada kalanya sehingga memaksa sesetengah golongan mengamalkan rasuah.

Stesen janakuasa milik salah sebuah IPP, Malakoff milik Syed Mokhtar AlBukhary.

Untuk menutup segala kelemahan ini, Kerajaan kita berceritalah tentang pelbagai subsidi yang dikeluarkan oleh mereka, yang mana sebenarnya kebanyakannya memanfaatkan syarikat swasta berbanding rakyat kebanyakan. Paling ketara, subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP).

Sebenarnya, subsidi ini adalah suatu jenis “dadah” yang mengkhayalkan sebilangan rakyat yang terus menyokong kerajaan sedia ada, dan pada masa yang sama membutakan sebahagian besar rakyat bahawa itulah tugas sebuah kerajaan yang wajib memberi subsidi itu dan ini kepada seluruh rakyat.

Kita perlulah berbalik kepada asas kewujudan sebuah kerajaan, iaitu memberi perlindungan asas kepada rakyat. Yakni keselamatan negara dan sifat amanah kepada rakyat. Adakah dua perkara ini dititikberatkan oleh kerajaan kita sekarang?

Polisi mudah masuk tanpa visa, untuk tujuan pelancongan telah menjadikan Malaysia hub pekerja asing haram, dan juga hub pelajar asing yang akhirnya turut memasuki pasaran kerja dengan pas pelajar. Dari situ, terdapatnya ancaman keselamatan yang amat jelas, dan terang sekali bahawa perkara ini tidak dapat lagi dikawal oleh kerajaan kita sekarang. Akibatnya, berleluasalah masalah jenayah yang ketara, dan pengabaian kepada masyarakat tempatan dari segi peluang kerja apabila tuntutan gaji minima RM900 sebulan tidak mampu diperolehi, dan peluang lebih banyak diberi kepada warga asing.

Amanah kepada rakyat? Hal ini tidak asing lagi, betapa wang rakyat dibazirkan sewenang-wenangnya dalam kebanyakan projek dan program. Daripada semuda-muda hingga setua-tua rakyat, penyokong Pakatan mahupun Barisan, semuanya serba tahu tentang penyelewengan yang berlaku dalam organisasi kerajaan, yang tidak dapat ditutup lagi.

Adakah tugas asas sebuah kerajaan telah ditangani? Jawapannya jelas sekali TIDAK!

Jadi kita perlu kembali kepada asas, iaitu menuntut kerajaan melakukan tugas asasnya, iaitu untuk memelihara kepentingan rakyat Malaysia pemegang MyKad mengatasi kepentingan yang lain-lain. Jika ini dipenuhi dengan sebaiknya, saya yakin sekali kita tidak perlu dan terdesak untuk subsidi yang peratusnya amat kecil kita perolehi dengan pendapatan besar yang kerajaan kita perolehi.

Bersama-sama, kita berubah menjadi suatu bangsa bebas subsidi, agar kerajaan mana pun yang akan tertegak nanti tidak akan menganggap kita ketagih dengan “bantuan” berbentuk sedemikian, kerana apa yang kita tagih daripada kerajaan hanyalah untuk memelihara kepentingan kita sebagai rakyat negara ini dengan penuh amanah dan tanggungjawab, tak lebih daripada itu.

Sementara itu, kita pasrah sahajalah dengan apa yang akan berlaku di masa-masa mendatang, oleh kerana inilah yang telah warga kita pilih pada pilihanraya 2 tahun dahulu. Di kala hampir semua orang membenci akan Perdana Menteri terdahulu, beliau masih boleh bertahan selama 1 tahun selepas pilihanraya tersebut, oleh kerana masih ramai yang menaruh keyakinan.

Harus saya ulang, pakej rangsangan ekonomi Malaysia adalah antara yang terbesar di dunia dari segi peratus berbanding KDNK.

Keyakinan yang sama pastinya tidak akan diperolehi lagi, gara-gara krisis ekonomi dunia, yang telah menyerlahkan kepincangan sistem kita, yang terus terjejas sehingga tahap pertumbuhan ekonomi negatif, (-1.7% untuk keseluruhan 2009) walaupun dirangsang dengan pakej rangsangan ekonomi antara yang terbesar di dunia.

Jika mahu berubah, janganlah tunggu pilihanraya ke-13. Mulakannya sekarang, dan cuba bebaskan diri daripada setiap subsidi, sejenis dadah merbahaya yang melalaikan kita daripada kelemahan pentadbiran sedia ada. Kita sudah menghadapi segala macam dugaan hidup sebagai rakyat Malaysia, termasuklah Internet yang perlahan yang terpaksa dihadapi sebelum dapat membaca tulisan ini.

Tidak mungkin kehilangan dadah subsidi dapat menjejaskan hidup kita, terapkan keyakinan tersebut dalam jiwa kita semua.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: