jump to navigation

Tabik kepada Ku Li, Kuli Rakyat Yang Sejati! Mac 13, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
trackback

Sejak kerajaan Kelantan pimpinan PAS mempersoalkan isu royalti minyak, salah seorang yang giat memperjuangkan

Ketika membantah pindaan perlembagaan 1993 oleh pentadbiran Mahathir.

hak tersebut ialah seorang yang tidak asing lagi dalam politik Malaysia, malah begitu hampir dengan kerusi Perdana Menteri suatu ketika. Namun akhirnya beliau dipinggirkan dalam parti yang beliau cinta, terpaksa menubuhkan Semangat 46 untuk mengembalikan parti tersebut kepada asal usulnya.

Satu demi satu tokoh pengasas Semangat 46 pergi ke rahmatullah, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Nasib parti beliau dalam pilihanraya 1990 dan 1995 amat malang sekali, sehingga akhirnya diterima semula memasuki UMNO Baru pada 1996. Sekian lama di dalam bidang politik, beliau pernah menjawat jawatan dalam pelbagai agensi kerajaan dan juga sebagai menteri kabinet.

Beliau adalah antara peneraju Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang mewujudkan Petronas, syarikat yang kini berada pada tahap global. Akta tersebut juga bertujuan membela negeri-negeri pengeluar petroleum supaya dapat memperoleh hasil royalti, dalam semangat Persekutuan yang dibina sejak merdeka.

Selama umur saya hampir 20 tahun, tidak pernah saya terdengar sedikit pun cerita kurang enak tentang tokoh ini. Nama beliau harum di mata rakyat, bukan semata-mata atas kedudukan sebagai kerabat diraja, malah juga atas perjuangan beliau dalam memastikan negara kita kembali ke asas penubuhannya, parti UMNO untuk kembali ke landasan perjuangannya selepas kedua-duanya terpesong jauh dalam kesesatan.

Biar terpinggir, beliau masih setia. Kerana beliau mengetahui bahawa parti itulah asas kepada perjuangan membina negara dan bangsa Malaysia keseluruhannya, bukan hanya untuk kepentingan sempit suatu kaum sahaja, malangnya sudah diperalatkan sewenang-wenangnya dengan dijadikan medium perkauman dan medan untuk mengumpul kekayaan peribadi.

Berapa batu nautika yang dimahukan? Terengganu pun boleh dapat walau kawasan minyak lebih jauh ke laut.

Tergamak sebilangan pimpinan partinya, mengecam beliau gara-gara muncul dalam acara-acara ceramah menuntut royalti minyak Kelantan, mempertikaikan kesetiaan beliau kepada UMNO, sedangkan pemimpin-pemimpin sedemikian entah lebih teruk mengkhianati kaum dan partinya, dengan gelagat korup dan nepotisme. Walaupun nasib beliau malang dengan berada sebumbung dengan golongan sebegini, beliau tidak mengeluh mahupun patah semangat, malah masih terus punya harapan.

Minggu-minggu kebelakangan, ramai tokoh Pakatan Rakyat cuba meraih perhatian Tengku Razaleigh Hamzah, agar berada bersama mereka menentang BN, memandangkan kumpulan mereka yang semakin mengecil akibat melompat parti dan tidak tahan dengan godaan duniawi. Spekulasi juga kian kedengaran, bahawa beliau mahu meninggalkan UMNO sekali lagi.

Hari ini 13 Mac, beliau muncul dengan menyatakan, “Saya tetap bersama UMNO”.

Saya tabik beliau atas pendirian ini. Kepada yang kerap membaca tulisan saya, jangan salah sangka. Saya tidak pun melompat ke parti UMNO. Apa kata saya jelaskan mengapa Tengku Razaleigh Hamzah perlu untuk terus bersama dengan UMNO, parti yang telah beliau perjuangkan sekian lama.

1) Suara beliau yang kian terhad dapat didengari.

Memandangkan beliau sebahagian daripada UMNO, pastinya pimpinan sekarang akan kerap bertemu beliau demi memastikan kesetiaan beliau terjaga, selain untuk mendapatkan pandangannya dalam isu-isu semasa seperti royalti minyak Kelantan, malah juga isu pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Dalam keadaan seperti sekarang, UMNO pastinya mahu untuk memiliki moral setinggi boleh dengan mengelakkan konflik daripada tercetus.

2) Untuk memastikan Pakatan Rakyat terus melakukan proses pembersihan dan perpaduan.

Harus diakui, Pakatan Rakyat masih belum cukup utuh bila memperlihatkan semakin ramai yang keluar parti tiba-tiba dengan alasan yang direka-reka. Namun apabila terdapatnya keberanian besar untuk mengeluarkan dalang perpecahan seperti Zulkifli Noordin, saya harus berkata bahawa Pakatan Rakyat serius dalam melaksanakan agenda perubahan tanpa sebarang dolak dalih atau tolak ansur.

Selain itu, gabungan yang masih muda ini perlu diperkukuhkan hubungan antara komponennya. Sebilangan pemimpin DAP dan PAS, serta PKR belum cukup sebulu sesama mereka. Itu belum termasuk lagi krisis-krisis kecil di peringkat dalaman setiap parti komponen, seperti yang dihadapi Khalid Ibrahim di PKR Cabang Kuala Selangor, yang mana dengan mudahnya boleh dimanipulasi oleh UMNO. Kita tidak boleh mempersalahkan UMNO jika mereka mengambil peluang yang terhidang di depan mata.

Kasihanilah Ku Li yang semakin berusia, kerana beliau sudah pasti tidak mahu menyertai Pakatan Rakyat jika pemimpinnya masih bercakaran sesama sendiri. Beliau sudah terlalu berusia untuk memikul beban sebagai orang tengah antara pelbagai kumpulan bertelagah. Malah, cuba yakinkan Ku Li lagi, supaya suatu hari nanti, beliau akhirnya bersama kita di Pakatan Rakyat.

3) Supaya beliau dapat memperbetulkan UMNO ke asalnya.

Pastinya perkara ini berkemungkinan besar tidak akan berlaku. Namun, apabila Ku Li terus melakukan seperti sekarang, mendedahkan kepincangan dalam UMNO dan kerajaan, sudah pasti rakyat yang bijaksana akan menolak pentadbiran sedemikian rupa. Penolakan rakyat yang seterusnya, akan memberi tamparan hebat kepada UMNO supaya sedar diri mereka bahawa mereka juga Kuli Rakyat, bukan Tuan kepada rakyat. Mereka fikir Ku Li saja yang jadi Kuli?

4) Perjuangan Ku Li memang berasaskan kepada bangsa Melayu, berbanding Pakatan Rakyat yang kelihatan lebih universal.

Tiada masalah menjadi universal, dan tiada juga masalah untuk memperjuangkan bangsa yang memang telah meneroka negara ini. Melihatkan kepada Pakatan Rakyat, mereka tiada batasan perkauman dalam perjuangan, dan sudah sepakat bahawa yang memimpin negara datang daripada kalangan orang Islam, tak mengira kaum.

Pada masa yang sama, Tengku Razaleigh datang daripada kalangan kerabat diraja, yang memang sekian lama berkuasa di negara ini, terutamanya negeri Kelantan. Walaupun perjuangan Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan kuasa institusi diraja, beliau masih belum meyakininya, dan pasti kita tidak boleh menyalahkan beliau untuk keadaan sedemikian.

Akhir kata, tidak perlulah kita bersikap seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang tak habis-habis menarik tokoh itu dan ini untuk menyertai mereka, seperti yang diceritakan Mufti Perak Ustaz Harussani Zakaria, yang kecewa PAS bersama DAP membentuk kerajaan negeri Perak, yang akhirnya digulingkan jua, seolah-olah tidak mengetahui bahawa PAS pernah dipermainkan oleh UMNO pada masa dahulu. PKR juga, jika tiada perubahan ke arah kebaikan, berpotensi untuk berkubur, senasib dengan Semangat 46 yang akhirnya kembali bersama UMNO.

Kita buktikan keupayaan untuk memimpin dan merobah negara ini, nescaya kemudian satu demi satu insan hebat dan berbakat akan menyertai kita untuk meneruskan usaha murni ini. Semoga usaha kita diredhai, dan niat wakil-wakil rakyat kita tidak terpesong dengan godaan duniawi.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: