jump to navigation

Mereka yang mengeji tidak akan membuka hati, jauh sekali memberi undi. Biarkan saja mereka. April 3, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
trackback

Ada satu pemerhatian yang telah saya lakukan kepada rakan-rakan dan saudara-mara, mengenai keadaan politik semasa di negara kita.

Jelas sekali, ramai yang sudah kian jemu dan kecewa dengan keadaan yang dianggap semakin buruk, dan taraf hidup yang tidak juga meningkat, walaupun sudah melaksanakan tanggungjawab menjayakan perubahan pada 8 Mac 2008, iaitu dua tahun yang lalu.

Sebilangan penyokong UMNO kini kelihatan kecewa dengan gagasan 1Malaysia, yang dikatakan menutup peluang mereka untuk meneruskan perniagaan dengan seribu satu keistimewaan, dan kerisauan tentang tuntutan daripada komuniti bukan Melayu yang kelihatan seolah-olah sukar untuk ditolak oleh kerajaan sekarang.

Hee Yit Foong sahaja yang bermasam muka dalam gambar ini.

Manakala di pihak Pakatan Rakyat, ada juga yang kecewa dengan rentetan kehilangan wakil-wakil rakyat mereka yang menyeberang ke Barisan Nasional, mahupun menjadi “Wakil Bebas Mesra Barisan Nasional”. Pemimpin utama PR cuba mententeramkan keadaan dengan kenyataan bahawa mereka yang melompat itu, terdiri daripada golongan yang tidak berpuas hati gara-gara tidak memperoleh pangkat dan kedudukan serta peluang perniagaan. Pastinya sukar untuk melaksanakan program untuk rakyat jika tiada kedudukan sedemikian yang boleh dimanfaatkan bagi memperoleh dana bagi menjayakan program-program sedemikian.

Namun, persepsi masyarakat Melayu kini positif kepada sebuah parti, iaitu Parti Islam SeMalaysia. Kesetiaan wakil-wakil rakyat mereka dikagumi, kesederhanaan pemimpin-pemimpinnya juga disanjungi. Model pentadbiran di dua negeri, Kelantan dan Kedah dianggap sebagai berjaya, menyukarkan penembusan pengaruh BN yang dianggap penuh bermasalah serta tidak berjaya walaupun sudah 51 tahun mentadbir Kedah sebelum ini, namun akhirnya meninggalkan hutang bernilai melebihi RM2 bilion untuk ditanggung oleh pentadbiran PAS Kedah sekarang.

Walaupun begitu, PAS dicela oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana penglibatannya dalam Pakatan Rakyat, di mana setiap, partinya terpaksa berkompromi. DAP perlu menerima pentadbiran negara oleh orang Melayu dan Islam, manakala PAS pula perlu menerima pentadbiran sedemikian rupa yang masih dikatakan sekular.

Kompromi sedemikian mengecewakan penyokong setia, selain juga menjadi modal bagi mereka yang langsung tidak pernah mengundi PAS walaupun pada zaman mereka berseorangan membawa bendera perjuangan Islam di negara Malaysia ini. Walaupun berlaku pelbagai peristiwa mengejutkan, seperti tragedi Memali yang mengorbankan tokoh PAS, pada asasnya ketika itu orang Melayu Islam masih tidak dapat melihat, jauh sekali mahu mengundi PAS yang terang-terangan menjadikan Islam sebagai perjuangan tanpa perlu berkompromi dengan sesiapa pun.

Bermula zaman Dr. Mahathir memerintah negara, semakin terpinggir para ulamak dalam pemerintahan negara, semakin jauh peranan Islam dalam kalangan masyarakat negara ini. Sekolah agama rakyat ditutup satu persatu gara-gara ketiadaan bantuan, selain peminggiran menerusi kurikulum bahasa Inggeris dalam subjek sains dan matematik. Beliaulah yang mengajar sebilangan golongan muda kita untuk menghina dan mencerca golongan agama, menjadikan ulamak dipandang sebelah mata sahaja.

PAS disamakan dengan Taliban di Afghanistan dalam usaha menakut-nakutkan komuniti bukan Islam, sistem pentadbiran Islam dikatakan tidak progresif serta menghalang kemajuan negara dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Dengan kedudukan ulamak serta Islam yang masih dipandang serong oleh sebilangan orang Islam dan bukan Islam Malaysia, jelas sekali PAS perlu untuk menyertai satu kumpulan besar bagi membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran, selain menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran dalam usaha memahami keperluan rakyat.

Yang mengecewakan, adalah sikap sebilangan wakil PAS dalam majlis-majlis tempatan yang masih bersikap umpama pembangkang walaupun dalam negeri yang diperintah mereka. Tindakan mempertikaikan keputusan-keputusan pentadbiran terdahulu, menyebabkan setiap mesyuarat yang hanya dijalankan pada masa singkat tidak berjaya dalam memuktamadkan keputusan-keputusan penting dan bermanfaat untuk masyarakat setempat.

Dengan sikap sebegini, nampaknya hajat PAS bagi membina sebuah negara Islam yang sebenar mungkin masih jauh lagi, gara-gara pandangan serong daripada masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Seharusnya para wakil-wakil PAS dalam pentadbiran perlulah bersikap lebih progresif, serta memberi komitmen sebaiknya bagi meningkatkan imej parti di mata masyarakat.

Tentang penglibatan dalam Pakatan Rakyat, biarkanlah yang tidak mengerti terus mengkritik membuta tuli, walaupun sekali tak pernah memberi undi walau apa pun platform sokongan yang diambil. Ahli-ahli akan tetap mengerti, dan memahami betapa banyak manfaat yang diperolehi dengan penglibatan dalam Pakatan Rakyat, kerana buat pertama kalinya, PAS boleh bermimpi untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara Malaysia, di kala kemungkinan tersebut kelihatan tidak logik beberapa tahun yang lalu.

Komen-komen»

1. Shamsul Bahrin - April 24, 2010

Tulisan yang baik… teruskan


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: