jump to navigation

Carrefour harus kekal di Malaysia. Julai 18, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
trackback

Laporan Reuters, Business Times dan Malaysiakini telah memetik berita Reuters yang menyatakan bahawa Carrefour, sebuah rangkaian pasaraya besar dari Perancis merancang untuk menutup operasi di stor-stornya di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Setakat ini, pihak Carrefour masih belum memberikan kenyataan rasmi sama ada akan terus kekal di tiga negara Asia Tenggara tersebut mahupun menutup operasi. Carrefour mempunyai rangkaian 23 pasaraya besar di Malaysia, 2 di Singapura dan 40 di Thailand.

Masih berdiri teguh di tengah Pusat Bandar Subang Jaya yang makin sesak dengan bangunan ultra-moden.

Pada pandangan saya, saya sebenarnya mempunyai hubungan simbolik tersendiri dengan pasaraya Carrefour. Saya sekeluarga merupakan antara pengunjung pertama di stor pertamanya yang dibuka di Subang Jaya pada tahun 1994, dan menjadi pelanggan setia sejak daripada itu.

Kami seisi keluarga gemar mengunjungi stor Carrefour kerana kemudahan letak kereta berbumbung yang mudah diperolehi, surau yang besar serta tandas yang selesa. Perkara itu ditambah lagi dengan harga barangan yang berpatutan serta pilihan produk yang banyak mengikut jenama dan saiz. Keadaan sebegini sukar untuk ditemui di kebanyakan pasaraya besar yang lain, yang dilihat kurang selesa berbanding Carrefour.

Yang pertama di Seberang Jaya, kini ditandingi oleh pasaraya baru seperti AEON Seberang Prai City dan juga Tesco Extra di seberang lebuhraya.

Namun, keluarga saya kini tidak lagi mengunjungi Carrefour, kerana tiada lagi stor mereka yang berdekatan dengan tempat tinggal kami di Yan, Kedah. Cawangan terhampir pun hanya di Seberang Jaya, 1 jam perjalanan dari Yan. Di Sungai Petani, kini sudah ada 2 pasaraya besar Tesco, sebuah Giant serta sebuah pasaraya Econsave (adakah ini juga pasaraya besar?).

Apa yang saya ingin sampaikan, adalah hasrat saya untuk melihat Carrefour bukan sahaja terus wujud, malah berkembang lebih pesat bagi mengimbangi persaingan antara pasaraya-pasaraya besar yang lain.

Berikut merupakan lokasi-lokasi pasaraya Carrefour di Malaysia:-

Wilayah Persekutuan:- Jalan Peel Cheras, Kepong, Mid Valley, Wangsa Maju, Alamanda Putrajaya.

Selangor:- Ampdang, Jalan Kapar Klang, Sri Petaling, Subang Jaya, Tropicana City, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Rimau, Kota Damansara.

Johor:- Batu Pahat, Johor Bahru, Sutera Utama JB.

Tempat lain:- Melaka, Kuantan, Rahang (Seremban), Seberang Jaya.

Nampaknya taburan yang tidak begitu sekata, kerana tiadanya cawangan di negeri seperti Kedah, Perak , Terengganu dan Kelantan. Saya yakin di situ masih ada ruang untuk pertumbuhan, namun dikekang oleh halangan birokrasi serta bantahan daripada para peniaga kecil.

Para peniaga kecil, sebenarnya terjejas sedikit sebanyak daripada kewujudan lebih 100 pasaraya besar di seluruh negara. Namun, pada kebanyakan waktu, kedai-kedai runcit yang selalu menjadi pilihan untuk pembelian lebih pantas kerana jaraknya yang dekat dengan kawasan perumahan.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, pasaraya besar adalah tempat terbaik untuk membeli perkakasan rumah, elektrik, serta pelbagai lagi produk bersaiz besar dengan pilihan dan kebolehdapatan stok yang lebih baik berbanding kedai-kedai kecil.

Jadi, hakikatnya kedai-kedai runcit biasa tidak begitu terjejas dengan persaingan daripada pasaraya besar, memandangkan mereka boleh menaikkan harga jualan dan masih punya pelanggan setia daripada kelompok penduduk yang tidak sanggup bersusah payah ke pasaraya besar semata-mata untuk memperoleh satu produk sahaja.

Sewajarnya, kewujudan pasaraya besar perlulah digalakkan memandangkan kecenderungan mereka untuk mengambil pekerja tempatan. Bandingkan pula dengan kedai-kedai kecil yang cuba menjimatkan kos, dengan kebanyakan mereka mengambil pekerja-pekerja asing.

Dengan pengalaman yang diperoleh anak-anak muda kita daripada pasaraya-pasaraya besar, semestinya ada dalam kalangan mereka yang akan menggunakannya sebagai panduan bagi membuka perniagaan sendiri berdasarkan daya saing dan hubungan yang ada, bukan semata-mata mengharapkan kuota dan polisi kerajaan.

Satu lagi trend yang kita lihat, membuatkan kita membayangkan monopoli oleh sebuah pasaraya besar yang berasal dari United Kingdom. Mereka malah memiliki 2 stor di sebilangan bandar-bandar, seperti Sungai Petani, Pulau Pinang, dan Melaka.

Salah sebuah pengendali pasaraya besar di Malaysia. Tesco mempunyai dua stor di Seksyen 13 Shah Alam dengan jarak hanya 1km sesama sendiri.

Mereka juga memiliki 3 stor di Ipoh dan Shah Alam, serta 4 stor di Johor Bahru.

Benar, mereka dapat melakukan sedemikian menerusi pengambilalihan daripada sebuah pengendali pasaraya besar yang menutup operasi pada tahun 2006, yang memiliki stor di Pulau Pinang, Ipoh dan Shah Alam serta beberapa lokasi lain.

Namun, kita sewajarnya perlu meneliti bagaimana syarikat tersebut dengan mudahnya boleh membuka sedemikian banyak stor di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sama. Diharapkan mereka tidak menggunakan pengaruh politik atau taktik yang tidak wajar bagi meloloskan diri daripada syarat-syarat yang ditetapkan.

Adakah tidak wujud permohonan oleh rangkaian lain untuk membuka cawangan di kawasan tersebut?

Bagaimana pula dengan polisi “sebuah pasaraya besar bagi 300,000 penduduk”? Masihkah ianya terpakai?

Mujurlah ada sinar baru bakal terbit dengan pengenalan Akta Persaingan di Malaysia yang bakal diwartakan menjelang tahun 2011, yang membolehkan persaingan sihat antara pemain-pemain industri. Antara industri yang bakal memperoleh manfaat, pastinya industri peruncitan yang merangkumi pasaraya-pasaraya besar juga.

Jika berlandaskan model di United Kingdom, akta yang hampir serupa telah menghalang satu pihak daripada menguasai 25 peratus pasaran. Mungkin implementasi di Malaysia akan menjadi sedikit berlainan, namun pasti mencukupi bagi menarik pelabur asing dan meningkatkan pelaburan tempatan.

Bila wujudnya persaingan, pastinya harga akan dapat direndahkan. Pasti perkara ini baik buat kita sebagai pengguna.

Diharapkan impian saya untuk melihat sebuah stor Carrefour di Kedah akan menjadi kenyataan. Bila agaknya ya?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: