jump to navigation

Ulasan: Keretapi ETS terbaru dari KTMB. Ogos 21, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
trackback

Memandangkan kereta saya sudah kemalangan pada Ahad, 15 Ogos 2010 lalu, saya terpaksa bergantung seketika kepada perkhidmatan pengangkutan awam. Pastinya perkhidmatan kegemaran saya adalah rel, yang dapat memastikan penumpang tiba lebih cepat ke destinasi berbanding bas henti-henti.

Malam Isnin 16 Ogos, saya ke Batu Gajah untuk berehat selepas mengalami kejutan daripada kemalangan tersebut. Seperti yang ramai warga Perak (saya bukan warga Perak ya!) ketahui, KTMB sudah sekian lama menyediakan perkhidmatan keretapi shuttle antara KL Sentral dan Ipoh, yang berhenti di beberapa stesen utama sepanjang laluan tersebut.

Kini, terdapatnya pilihan baharu bermula dari 12 Ogos lalu, iaitu keretapi ETS.

ETS merupakan kependekan kepada Electric Train Service (Dalam BM: Perkhidmatan Keretapi Elektrik). Infrastruktur untuk keretapi elektrik sudah lama disediakan, iaitu sejak awal tahun 2009 lagi.

Namun, tren ETS ini sebenarnya sesuatu yang baru untuk rangkaian keretapi antarabandar Malaysia. Jadi, persediaan secukupnya diperlukan untuk memastikan operasi lancar dan selesa. Kini, terdapat 5 perjalanan ulang alik yang disediakan menerusi ETS.

4 perjalanan pergi-balik antara KL Sentral dan Ipoh, manakala satu perjalanan ke Seremban. Di masa akan datang, KTMB merancang untuk menambah lagi 3 perjalanan pergi-balik menggunakan ETS.

Keadaan ini bermakna terdapatnya sekurang-kurangnya 12 perjalanan antara Ipoh dan Kuala Lumpur. Alangkah bertuahnya warga negeri Perak kerana memperoleh perkhidmatan keretapi sebegini kerap.

Antara perkara yang ingin saya ulas mengenai ETS:-

1) Tambang RM30 KL-Ipoh.

Benar, tambangnya sama dengan perjalanan menaiki bas, dan perjalanannya jauh lebih cepat dan selamat berbanding menggunakan bas ekspres.

Namun, pengurusan ETS haruslah menyedari satu perkara, bahawa kesetiaan pengguna kepada perkhidmatan KTMB walaupun seperlahan atau selambat mana pun keretapi tiba, tetap berterusan dan kekal.

Mengapakah ramai masih setia? Jawapannya: Tambang Murah!

Bayangkan perjalanan dari Gurun, Kedah ke KL Sentral yang hanya berharga RM21 sehala, amat murah berbanding bas ekspres yang berharga RM45 bagi perjalanan sama. Pengguna tetap setia walaupun naik pada 8 malam dan tiba 8 pagi keesokan harinya.

Dengan tambang ETS sehingga RM30, pengguna akan terus setia dengan keretapi Ekspres Senandung yang perlahan itu, mahupun Keretapi Shuttle yang tiba lambat sedikit.

Diharapkan pihak pengurusan ETS KTMB dapat menyemak semula tambang, dan menjadikannya setara dengan kelas Superior agar ETS dapat menjadi pilihan utama, dan terus kompetitif berbanding bas ekspres.

2) Kelajuan tren tidak seperti dijangka.

Laman web ETS KTMB menunjukkan bahawa kelajuan tren adalah 140 km/j. Saya tidak pasti adakah ini kelajuan purata, namun itu adalah andaian yang ramai pengguna akan berikan, satu manifestasi keyakinan kepada tren ETS.

Saya dapat berkesempatan melihat bahagian kokpit (?) pemandu, dan dapat melihat tren hanya dapat bergerak antara 120km/j hingga 145 km/j, dan nampaknya kelajuan purata 140km/j pastinya sukar dicapai. Namun kemudiannya, pemandu menutup ruang tingkap kokpitnya yang terbuka untuk saya lihat pada awalnya.

Mungkin oleh kerana perkhidmatan ini masih baharu, jadi menyebabkan pemandu tidak cukup yakin untuk memandu dengan kelajuan menghampiri maksimum, iaitu 160 km/j.

Diharapkan kelajuan tren dapat dipertingkatkan, agar sasaran perjalanan Ipoh-KL kurang dari 2 jam dapat dicapai, lantas menambahkan keyakinan ramai kepada ETS.

3) Tren Ipoh-Seremban tidak berhenti di Kajang.

Seperti yang ramai sedia maklum, Kajang merupakan sebuah bandar yang hampir dengan Bangi, yang menempatkan pelbagai institusi pendidikan dan penyelidikan. Sewajarnya tren Ipoh-Seremban boleh berhenti seketika di Kajang, memandangkan saiz stesen yang agak besar.

Mungkin pihak pengurusan ETS tidak mahu penumpang tanpa tiket menaiki tren mereka, seperti mana yang berlaku kepada perkhidmatan shuttle Kajang-Ipoh sebelum ini. Jika begitulah sebabnya, kita terima sahaja.

Lagipun tidak mengapa, kerana perkhidmatan KTM Komuter kian cekap sejak kebelakangan ini. Tahniah kita ucapkan.

4) Perkhidmatan nilai tambah.

Dalam bahasa Inggeris, ianya dipanggil “Value-Added Service”. Jika ETS berhasrat mengekalkan struktur tambang sedia ada, bagi saya tidak mengapa jika perkhidmatan nilai tambah ini disediakan dalam setiap tren mereka:-

  • Akses Internet Wi-Fi: Idea ini sebenarnya pernah diutarakan setahun sebelum pengenalan ETS. Ini merupakan idea yang sangat bagus untuk dijadikan kenyataan, memandangkan kebosanan penumpang dapat dikurangkan apabila mereka boleh berhubung menerusi facebook, mahupun dapat menonton siaran video YouTube.
  • Kemudahan tempahan mudah: Dengan kewujudan perbankan dalam talian, wajar untuk tiket ETS untuk lebih mudah dibeli menerusi internet, dengan tiket boleh dicetak sendiri seperti yang dilakukan para pelanggan AirAsia.
  • Tempat menunggu lebih selesa: Seperti tren ERL ke KLIA yang menyediakan ruangan menunggu khas dan selesa untuk para penumpangnya, KTMB juga boleh menyediakan yang serupa, khas buat para penumpang ETS yang membayar tambang lebih untuk perjalanan mereka.

Sekadar sedikit ulasan dan cadangan daripada pelanggan yang punya impian untuk perkhidmatan keretapi lebih cekap dan selesa di masa akan datang.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: