jump to navigation

Pemilihan PKR: Kenapa terlalu huru-hara? Oktober 6, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
trackback

Sebenarnya sudah lama saya tidak mengemas kini blog, apatah lagi menulis soal politik. Maafkan saya atas perkara tersebut, memandangkan saya sukar untuk menemui masa senggang untuk menulis.

Selain itu juga, ketiadaan isu yang boleh dikupas dengan mendalam menyukarkan saya untuk menulis sepanjang tempoh “berdiam diri” sebelum ini. Semuanya berkisarkan perkauman sempit, selain pemahaman yang mengecewakan oleh sesetengah orang Islam terhadap agama masing-masing dan melebihkan bangsa semata-mata.

Namun, suatu peristiwa menarik sedang berlaku sekarang iaitu pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti yang pernah menguasai kerusi Pembangkang terbanyak di Parlimen, selain menerajui pentadbiran negeri Selangor, kini dipandang amat penting dan liputan terhadap pemilihannya cukup meluas di media arus perdana.

Sungguh tidak kita sangka, sebuah parti yang disangka tenggelam selepas pembebasan tokohnya, Anwar Ibrahim dari penjara, mampu terus bertahan dan menarik keahlian rakyat berbilang kaum.

Tahun ini, suatu perubahan baru sedang dilakukan oleh PKR dalam pemilihannya, iaitu semua ahli diberikan peluang memilih, bukan hanya di peringkat cabang, malah Majlis Pimpinan Pusat (MPP), iaitu teraju-teraju utama parti.

Pemilihan peringkat cabang yang dibuat secara berperingkat, menyaksikan beberapa krisis timbul:-

1) Sabotaj terhadap proses pengundian.

Perkara ini berlaku di beberapa cabang, dan menimbulkan kerisauan budaya politik “gedebe” yang boleh meresap masuk ke PKR. Terdapatnya beberapa pemimpin yang menjadi mangsa kaki pukul yang didakwa upahan pemimpin tertentu.

Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya, kerana jika mengharapkan Polis pastinya mereka tidak mahu ambil hirau dengan PKR, parti yang kerap mengkritik kelemahan polis. Sebarang kebergantungan kepada polis, pastinya tanda tunduk kepada kuasa dan penghormatan kepada imej polis yang pastinya bukan sebaik mana.

2) Kekalahan Ahli-ahli Parlimen dan DUN di pemilihan peringkat Cabang.

R. Sivarasa dan Kamarul Bahrin Abbas merupakan antara Ahli Parlimen yang tewas di Cabang sendiri iaitu masing-masing di Subang dan Port Dickson.

Wakil rakyat yang tidak bermaruah, pasti akan hilang ditelan zaman, tiada yang sanggup memilih mereka lagi.

Apakah tandanya perkara ini? Tandanya ialah bahawa rakyat, secara khususnya ahli-ahli PKR mahu akan wakil rakyat yang berfungsi dan berperanan dalam menjalankan tugas-tugasnya, bukannya hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri di dalam Dewan.

Juga, rakyat tidak mahu kelibat “lalang” menjadi calon pilihanraya di masa akan datang. Pastinya ahli PKR sedar mengenai perkara ini, dan mahu memperbaiki semula imej parti yang tercemar rentetan beberapa wakil rakyatnya yang berpaling tadah, dan menjadi punca kejatuhan kerajaan PR di Perak tahun lalu.

Namun, kerisauan juga boleh ditimbulkan dengan kenyataan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa) bahawa 35% daripada ahlinya merupakan anggota PKR. Boleh jadi, keputusan mengejutkan ini dipengaruhi oleh mereka yang pastinya tidak mahu calon-calon bukan Melayu memenangi jawatan di Cabang yang ditandingi.

3) Kempen berlebihan oleh calon-calon.

Di Kajang (pemerhatian saya), calon-calon mempromosikan diri sama seperti calon pilihanraya umum pula. Mungkin mereka perlu lebih kreatif tanpa perlu menggunakan peruntukan yang besar, kerana semua maklum PKR bukanlah kaya, dan tidak akan dibiarkan kaya kecuali menerusi sumbangan terus kepada parti.

Mujurlah tiada laporan politik wang yang diterima, memandangkan amat sukar untuk menyogok semua ahli daripada memberi undi, jumlahnya terlalu ramai. Waspada masih perlu, jangan dibiarkan budaya dari BN menular masuk ke PKR dan sekutu PR lainnya.

Tentang persoalan “huru-hara”, saya percaya PKR punya masa depan yang cerah. Sukar untuk mengubah sikap “orang-orang gasar” yang sudah biasa dengan cara politik yang ganas, menjadi lebih tertib ketika di parti lain.

Bukan mustahil ya, tapi sukar. Diharapkan perkara sedemikian dapat diatasi, demi mengelakkan parti yang masih muda ini daripada tercemar dengan budaya-budaya tidak sihat.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: