jump to navigation

Bantahan Menara Warisan. Apakah kesudahannya? November 4, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , ,
trackback

Sejak belanjawan 2011 diumumkan, respon yang bercampur-baur diperoleh dari rakyat jelata.

Para pembeli-belah tegar, gembira kerana duti import dikecualikan untuk pelbagai produk. Kakitangan kerajaan masih belum berpuas hati kerana tidak memperoleh bonus sebulan gaji.

 

Honda Insight

 

Ahli jawatankuasa JKKK Persekutuan pula gembira sampai ke telinga, begitu juga dengan para guru agama. Peminat kereta hybrid kini gembira dengan harga Civic Hybrid yang hanya mahal sedikit dari Honda City, dan harga Prius yang kini setaraf harga Camry. Saya juga menantikan Honda Insight, yang pastinya mampu ditawarkan pada harga lebih rendah, mungkin bawah RM100,000.

 

 

Setiap kali pilihanraya kecil, pasti akan dibuka satu pusat Permata baru. Agaknya berapa banyak yang akan dibina dengan RM111 juta?

 

Paling gembira, isteri Perdana Menteri yang memperoleh peruntukan RM111 juta untuk dikelolakan bagi program Permata beliau. Mungkin peruntukan sebesar itu sebenarnya cukup untuk membiayai lebih separuh daripada tadika di Malaysia, itu memerlukan kajian lebih lanjut.

Malangnya, di sebalik pelbagai kegembiraan, semuanya terjejas apabila Perdana Menteri mengumumkan pembinaan sebuah menara 100-tingkat di kawasan bersebelahan Stadium Merdeka, dengan menggunakan peruntukan dari PNB, pengurus dana untuk pelbagai amanah saham di Malaysia.

 

Gambaran Menara Warisan.

 

Ada yang tersalah tafsir dengan pengumuman tersebut, dengan beranggapan bahawa kerajaan akan menggunakan dananya untuk membiayai pembinaan tersebut di kala ekonomi negara masih bergelut untuk pemulihan yang konsisten dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu.

Sebenarnya, pihak yang akan membiayai pembinaan menara ini adalah Permodalan Nasional Berhad, dengan menggunakan dana yang diperoleh, hasil keuntungan daripada pelaburannya dalam pelbagai industri.

PNB juga, turut melabur dalam pembangunan infrastruktur antaranya lebuhraya. Prolintas milik mereka, merupakan pengendali Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH) serta Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

Pandangan saya, sebenarnya pihak PNB perlu menimbang semula keputusan pelaburan ke atas Menara Warisan tersebut, yang saya tahu sudah dirancang sekian lama.

Antara kemungkinan yang perlu dipertimbangkan, adalah seperti kejatuhan harga ruang pejabat, yang disebabkan oleh terlebih penawaran. Antara ruang pejabat yang sedang dan bakal dibina di kawasan Kuala Lumpur adalah Bangsar South di Pantai Dalam, pembangunan di Jalan Duta oleh Kumpulan Naza, dan juga daerah kewangan Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development.

Tidakkah tambahan penawaran ini akan menyebabkan kerugian kepada para pemaju hartanah yang lain? Diharapkan PNB tidak memikirkan kepentingan sendiri semata-mata.

Selain itu, peningkatan harga bahan mentah boleh berulang kembali, lantas menaikkan kos pembinaan jauh mengatasi jumlah RM5 bilion yang disasarkan. Ini bakal menjejaskan kedudukan PNB sebagai syarikat pelaburan yang stabil jika tidak dibendung. Kos penyelenggaraan bangunan juga haruslah diletakkan dalam pertimbangan. 100 tingkat memerlukan kos yang mahal untuk diselenggara.

Kedua, pembangunan di kawasan berhampiran Bukit Bintang dan Puduraya tersebut akan menambahkan kesesakan sedia ada. Pembangunan semula Puduraya tidak akan dapat mencapai matlamatnya dengan pembinaan Menara Warisan.

Pada saya, mungkin tindakan yang lebih bijak yang boleh dilakukan PNB adalah dengan mengambil alih projek Plaza Rakyat yang sekian lama terbengkalai. Kegagalan projek tersebut sehingga kini, memberikan imej buruk kepada ibu negara Kuala Lumpur.

Selain itu, memandangkan terdapatnya masalah lalulintas yang masih melanda bandar-bandar utama, peranan Prolintas boleh diperluaskan untuk membina lebih banyak lebuhraya di kawasan Lembah Klang.

Sebagai contoh, lebuhraya antara Kajang, Bangi, Putrajaya dan Dengkil. Empat kawasan ini kerap kali bergantung kepada jalan lama yang tidak diselenggara dengan baik, serta dipenuhi selekoh tajam dan merbahaya. Memandangkan Putrajaya telah menjadi pusat pentadbiran persekutuan, inilah masanya untuk pembangunannya diperluaskan kepada bandar-bandar berhampiran.

Satu lagi lokasi yang sesuai dibina lebuhraya adalah antara bandar Klang, Banting dan Dengkil. Kawasan ini semakin bertambah jumlah penduduknya, malangnya kualiti jalan masih di takuk lama dan belum melalui proses naik taraf.

Jika kedua-dua cadangan lebuhraya ini direalisasikan, pastinya rakyat dapat menikmati perjalanan lebih selesa, selain PNB dapat memperoleh hasil keuntungannya.

Sesungguhnya, RM5 bilion dapat menggembirakan banyak hati yang lara. Ini sekadar sebahagian cadangan, untuk saya sesuaikan dengan konteks pelaburan PNB, yang berteraskan keuntungan bagi para pendeposit mereka.

Kepada yang berminat untuk membantah pembinaan Menara Warisan, anda boleh menjenguk halaman Facebook: 1M Malaysians Reject 100-storey Mega Tower.

Klik “Like” jika anda turut sama tidak mahu PNB melakukan kesilapan pelaburan dalam Menara Warisan. Kini jumlah ahli telah menghampiri 230,000 dan diharapkan akan terus meningkat, selagi PNB serta kerajaan yang membuat keputusan pelaburannya terus berdegil dan mengabaikan kehendak dan keperluan rakyat.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: