jump to navigation

KL International Motor Show, tak cukup “international” lagilah! Disember 12, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
trackback

5 Disember, saya berkesempatan mengunjungi Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS ’10). Pada hari tersebut, sebenarnya ada beberapa acara lagi yang berlangsung. MAHA Antarabangsa 2010 juga berakhir pada hari sama, selain ada perhimpunan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menuntut hak air untuk rakyat di Masjid Negara.

Perjalanan dihiasi dengan tindakan PDRM yang “kacau daun”. Saya ke Banting untuk mengambil teman untuk dibawa bersama, jadi ianya merupakan satu perjalanan amat jauh, iaitu dari Kajang ke Banting, seterusnya ke Bukit Jalil untuk meletak kenderaan dan seterusnya menaiki LRT ke PWTC.

Rumit bunyinya bukan? Kerumitan itu ditambah lagi dengan sekatan jalan raya oleh PDRM. Sekatan pertama, di Sungai Ramal Dalam. Hanya 1 lorong dibuka. Sekatan kedua, di Jalan Banting-Dengkil, menuju ke Dengkil. Sekatan ketiga, di Sijangkang, Jalan Banting-Klang. Sekatan keempat, Lebuhraya KESAS, berhampiran Bukit Rimau.

Sekatan oleh PDRM ini telah berjaya mengganggu urusan ramai warga Lembah Klang yang mahu menghadiri tiga acara utama ini. Tahniah diucapkan kepada mereka, kerana berjaya menimbulkan kebencian rakyat yang mula berputik kembali cintanya kepada kerajaan.

Jadi, ketibaan agak lewat ke PWTC, iaitu lebih kurang jam 12.30 tengahari, namun sudah ramai yang beratur di kaunter-kaunter tiket dan pintu masuk. Difahamkan KLIMS kali ini mencatatkan rekod kehadiran tertinggi. Namun, apakah kehadiran ini menunjukkan standard pameran yang kian meningkat?

Bezza, masa hadapan Perodua.

Para pengunjung menyeberang jejambat merentasi sungai, dan disambut dengan Perodua Bezza, mungkin percubaan mereka bagi menembusi pasaran dikuasai Proton.

Lambat lagi ke bateri nak penuh ni?

Seterusnya ruang pameran terbesar yang dikuasai Proton, yang menampilkan pelbagai inovasi terbaharu seperti kereta mesra alam dan model-model masa hadapan.

Dewan seterusnya, dihiasi oleh Chery yang kenderaannya dilihat masih belum mencapai standard. Manakala Nissan punya banyak model berpotensi, tetapi tidak berjaya diketengahkan oleh pengedarnya di Malaysia, Edaran Tan Chong.

PDRM di mana jua. Selain sekatan jalan, juga kaunter saman.

Terdapat juga model-model pikap dari Isuzu, selain kaunter saman PDRM. Mungkin diskaun saman dari mereka ada kena-mengena dengan pameran ini. Chevrolet membawakan model Camaro dari filem Transformers, juga kereta vintaj milik almarhum Tunku Abdul Rahman dan model global mereka Cruze yang mencatatkan jualan memberangsangkan.

Kembali ke bangunan utama PWTC, dewan pameran dikuasai kumpulan Naza. Terdapat model Kia baharu, Sorento. Model paling menarik hati, Kia Koup. Terdapat juga kereta-kereta mewah Naza World.

Rupa depan cantik, ciri-ciri lengkap. Cuma pintu yang sedikit rapuh. Tak percaya, lihat sendiri di bilik pameran.

Satu-satunya jenama Eropah yang ditampilkan adalah Peugeot, yang juga diedarkan oleh kumpulan Naza. Saya terkejut apabila membuka pintu 207 yang nipis seakan-akan Perodua Viva, yang saya akan ulas dalam tulisan berikutnya. Model Pug lain, tidak menghampakan.

Tingkat berikutnya, dihiasi oleh jenama Hyundai dan Mitsubishi. Pajero V6 memang mengagumkan, terus mengekalkan prestij yang menjadi trademark kepada model Pajero sejak dahulu lagi.

Dewan Merdeka, merupakan tempat kepada tiga pemain utama pameran ini, Honda, Lexus dan Toyota. Masing-masing menonjolkan model-model hibrid terbaharu. Paling mencuri perhatian, Honda Insight, kereta hibrid termurah, dengan tanda harga RM98,000.

Cantik kan?

Jika ditanya siapakah yang paling cantik pada pameran kali ini? Jawapannya ialah Julie Woon, yang menyampaikan persembahan bagi kenderaan mobiliti masa hadapan Honda.

Mengapa saya menyimpulkan pameran ini sebagai tidak cukup “international”?

Sebab pertama, ke manakah perginya pengeluar-pengeluar Jerman? Pastinya kita ingin melihat kenderaan-kenderaan terbaharu dari Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen, Porsche dan Audi.

Mereka pastinya mempunyai pelbagai inovasi baru yang boleh dipaparkan, selain pasaran kereta mewah Malaysia yang kian berkembang pesat. Ketidakhadiran mereka boleh kita persoalkan dalam satu pameran yang sebesar ini.

Sebab kedua, mengapakah tumpuan hanya kepada kereta? Pemain segmen kenderaan berat amatlah sedikit, iaitu seperti Isuzu dan Weststar. Sewajarnya inovasi dalam kenderaan berat boleh juga ditunjukkan seperti model-model terbaru lori dan bas.

Sebab ketiga pameran ini tidak dapat melepasi piawaian saya, adalah kerana kekurangan model-model yang bertaraf antarabangsa. Wajah-wajah model yang mengambil bahagian kelihatan keletihan dan tidak bermaya, yang mana turut memberikan gambaran imej negara kita yang tidak bermaya dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Nampaknya, anda sekalian mungkin sudah muak mendengar kritikan saya.

Kini masanya untuk cadangan membina.

Pertama, venue lebih besar dan mudah dilawati mampu menarik lebih ramai pengunjung. Misalnya Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) jika digunakan sepenuhnya boleh menampung jumlah peserta yang lebih ramai.

Masalah pengangkutan wajar diatasi bagi membolehkannya menjadi satu kejayaan lebih gemilang. Putrajaya menawarkan tempat letak kenderaan yang banyak, mungkin bas pengantara perlu disediakan dengan kuantiti besar bagi mengangkut pelawat pameran. Selain itu, pelbagai acara permotoran boleh diadakan di kawasan-kawasan berhampiran seperti di Boulevard Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Kedua, penggalakan lebih banyak peserta automotif bagi mengambil bahagian. Jika cadangan pertama menjadi kenyataan, ruang pameran yang luas boleh dijadikan sebagai daya penarik kepada para peserta bagi menggunakan ruang yang ada semaksimanya dengan kreativiti masing-masing.

Ketiga, penyertaan agensi modeling dalam pameran edisi seterusnya. Agensi di Malaysia boleh menawarkan model-model terbaik mereka selain pengeluar antarabangsa yang boleh membawa model mereka sendiri sebagai penyambut tetamu di kawasan pameran masing-masing. Dengan ini, terserlahlah imej negara yang lebih segar dan bersemangat dalam menjayakan pameran permotoran yang mampu menjadi antara yang terbesar di dunia.

Penganjuran edisi 2010 membuktikan industri permotoran mempunyai penyokong yang amat ramai di negara kita, walau berapa mahal pun yuran masuk yang dikenakan.

Pastinya Malaysia layak untuk mengharapkan penganjuran yang lebih baik dan cemerlang di edisi seterusnya, tahun 2012.

 

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: