jump to navigation

Kisah dari mereka di Bersih 2.0 Ogos 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , ,
trackback

Setelah melihat revolusi di Timur Tengah, kita melihat negara-negara yang melaluinya menghadapi kesukaran untuk bangkit dan mengubah sistem pentadbiran yang dicemari penyelewengan. Rakyat Mesir turun semula ke Tahrir untuk membantah pentadbiran tentera, Bashar Assad masih berkuasa di Syria, Ali Abdullah Saleh terselamat dari tembakan, dan tentera Saudi menceroboh Bahrain.

Justeru untuk kita melakukan perkara serupa di negara kita, hasilnya pasti tidak jauh berbeza. Kita memerlukan perubahan, tetapi dengan “acuan sendiri”, ungkapan yang kerap dicanangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir. Jangan silap, saya bukannya mahu bersetuju dengan acuan Mahathir yang menaungi Perkasa, berjalan-jalan di Taman Botani Perdana pada Sabtu 9 Julai.

Agaknya dalam keadaan ini, tak ada kekecohan akan berlaku di pandangan kerajaan.

Acuan yang dimaksudkan adalah himpunan aman yang mengumpulkan mereka yang berbilang kaum dengan satu matlamat: mengubah sistem pilihanraya. Rata-ratanya melihat, sistem pilihanraya yang adil mampu menjadi penyelesaian kepada masalah berbangkit seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang sedang berleluasa. Kecualilah mereka yang sanggup berlaku zalim atas nama “mempertahankan bangsa”.

Turunlah mereka dari seluruh negara, bagi berhimpun dengan aman di stadium seperti yang dijanjikan. Stadium pilihan, Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan, stadium yang tidak digunakan pun untuk acara utama, kecuali konsert dari artis kurang berbakat Justin Bieber. Inilah satu-satunya stadium yang diketahui lokasinya oleh orang tua dan orang muda. Stadium Shah Alam tentunya hanya dikenali peminat tegar bola sepak Selangor sahaja.

Malang, begitu malang. Matlamat untuk memeriahkan semula stadium, dan membuktikan penyokong perubahan sistem pilihanraya lebih ramai dari peminat Bieber cuba digagalkan dengan bersungguh-sungguh oleh PDRM. Sekatan jalan dibuat dari segenap pintu masuk utama, demi mencari dan menghalang mereka yang berbaju kuning daripada memasukinya.

Namun ada baiknya juga sekatan sebegini dibuat selalu, kerana menurut pemerhatian, pengusaha rumah urut Bukit Bintang cukup gelisah kerana ketiadaan pelanggan, sehingga saksi yang memakai baju-T “Kembara Dakwah 2009” dengan jata Persekutuan turut ditarik bagi mendapatkan khidmat urut zahir dan batin.

Selepas subuh, langkah bermula. Monorel dinaiki, dengan harapan pintu Stadium Merdeka bersedia dibuka bagi menyambut para peserta dengan aman. Malangnya, di hadapan stesen Maharajalela, hampir 40 trak polis sudah terkumpul, menantikan penumpang untuk dibawa ke pusat tahanan. Perjalanan diteruskan ke KL Sentral, dan bertemu mereka yang memberanikan diri ke Masjid Negara.

Berehat di masjid, malangnya dihalau oleh polis yang memasuki perkarangan ruang solat, termasuk polis wanita tidak bertudung kepala. Mereka menyambung langkah, ke stesen keretapi lama Kuala Lumpur, juga satu lagi lokasi yang dilupakan ramai. Juga turut dilupakan oleh para anggota FRU yang bertugas, jalan dari stesen tersebut ke Dayabumi. Mereka berjalan dan disambut oleh para FRU yang bersedia menembak bila diarahkan dari arah Pasar Seni. Langkah dilencongkan ke tepi Dayabumi terus ke Dataran Merdeka.

Tiba di Dataran, serangan gas pemedih mata menyambut mereka. Ramai berundur ke bangunan HSBC. Bermula dari itu, jumlah peserta yang sedikit tiba-tiba menjadi ramai, dan bersama-sama bergerak ke Hentian Puduraya, lebih tepat lagi dataran berhadapan Menara Maybank. Segenap ruang dipenuhi mereka dari Petaling Street, Masjid Jamek dan Jalan Pudu. Para peserta memberanikan diri menukar kepada baju kuning. Peserta dari Sabah dan Sarawak disambut mesra, terima kasih juga diucapkan kepada Maybank, yang turut menggunakan warna kuning.

Kemudian, perkara yang lebih ganas berlaku. Serangan gas pemedih mata dan meriam air mengejutkan semua, yang cuba memanjat ke lobi Menara Maybank, juga di bahagian belakangnya. Polis mengejar dan menahan kesemua mereka yang bertahan di sana. Masuk waktu Zohor, semua berhenti untuk menunaikan solat di sebarang tempat yang ada. Hujan turun, dan pada masa sama polis bertindak lebih ganas, mengejar semua orang yang berhimpun tanpa ada jalan keluar. Saya sempat berlindung di hotel AnCasa untuk menunaikan solat.

Para peserta belum berputus asa. Berkumpul semula di Jalan Petaling, kemudian beramai-ramai ke KLCC sambil cuba melarikan diri dari serangan Polis yang berada berhadapan Pasar Seni dan Masjid Jamek. Polis tertinggal satu lagi jalan: Dang Wangi yang berjaya dilalui dengan selamat oleh para peserta. Akhirnya tiba di KLCC, yang menjadi lokasi akhir sebelum mereka semua bersurai.

Di sinilah para peserta paling ramai, iaitu sejumlah hampir 50,000 memenuhi persimpangan Jalan Ampang. Ucapan perpisahan disampaikan oleh beberapa pemimpin parti pembangkang, dan malangnya Polis masih belum berputus asa cuba menyerang para peserta sekali lagi, namun tiada lagi gas pemedih mata yang dilontarkan.

Sebuah himpunan yang asalnya hanya akan dijalankan di stadium, telah pun berubah kepada skala lebih besar, melibatkan seluruh tempat penting di Kuala Lumpur. Inilah perhimpunan “gaya Malaysia”, iaitu rakyat berbilang kaum secara aman menyampaikan bantahan ke atas ketidakadilan, dan bersurai selepas perhimpunan selesai. Susahkah untuk beri kebenaran?

Paling mengecewakan, adalah tindakan Polis, yang tertakluk di bawah arahan Menteri Dalam Negeri. Seolah-olah perhimpunan ini tidak mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, yang sebenarnya bertitah agar kerajaan dan Bersih mengadakan perbincangan dan membenarkan himpunan di stadium.

Pastinya ini kesilapan besar strategi oleh kerajaan, yang cuba menghalang rakyat dari bersuara, kerajaan yang masih beranggapan bahawa merekalah yang terbaik dan paling bijak. Rakyat kini sudah tidak lagi takut dengan ugutan dan ancaman dari kerajaan, juga penghinaan besar ke atas rakyat sendiri yang hanya mahu bersuara.

Kepada mereka di pihak kerajaan, teruskan lagi mempergunakan golongan ibu bapa bagi menakutkan anak-anak daripada mengambil berat soal negara. Biarkanlah mereka jika mahu berhibur di gig dan konsert yang halal, biarkanlah keluar lewat malam secara halal, namun HARAM jika turun ke perhimpunan aman.

Entah apa nak jadi dengan dunia sekarang kan?

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: