jump to navigation

Hari Tanpa Kereta, berkesankah? September 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
trackback

Kepada rakan-rakan pembaca yang memandu kereta, sejauh manakah anda boleh hidup tanpa kereta?

Persoalan ini juga saya tujukan kepada diri sendiri, memandangkan sudah hampir 2 tahun saya memandu kereta. Boleh dikatakan saya tidak mampu hidup tanpa si “kura-kura comel” Proton Savvy. Perkara tersebut terbukti pada Ramadhan tahun 2010 lepas, di mana saya tidak dapat memandu gara-gara kereta terlibat kemalangan.

Biarlah saya berterus terang, saya bekerja di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Persiaran Institusi Bandar Baru Bangi. Untuk ke sana, tiada sebarang bas yang disediakan, hatta dari stesen KTM Serdang, mahupun dari pekan Kajang. Para pelajar yang ke sini untuk praktikal (kebanyakannya perempuan, comel-comel belaka), juga memandu kereta, malah ada yang lebih mewah lagi dari saya yang bekerja.

Rupa-rupanya bukan hanya saya, malah lebih ramai lagi pemandu yang bersama-sama bersesak di lebuhraya Kajang SILK, kebanyakannya ke Putrajaya, yang juga tiada bas hubungan terus dari Kajang.

Di manakah silapnya?

Apakah kerana tiada koordinasi antara PBT dan Prasarana yang mengendalikan bas-bas RapidKL? RapidKL mula beroperasi pada 2006, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika itu di bawah tadbiran Barisan Nasional, yang mana mereka daripada pihak pentadbir yang sama. Untuk bekerjasama sekarang tentunya lebih payah kerana kini MPKj dibawah Pakatan Rakyat.

Adakah kerana penumpuan terlalu mendalam kepada industri kereta nasional? Jika dilihat harga kereta di Malaysia, ianya sudah tidak menarik lagi.

2008, diperkenalkan Proton Saga BLM dengan harga bermula dari RM33,500.

2009, harga dinaikkan sebanyak RM3000, kepada RM36,500.

2010, diperkenalkan pula Saga FL, juga berlaku kenaikan harga ke atas varian asas yang kini hampir mencecah RM40,000 sebuah.

Jika mengikut contoh ini, harga kereta nasional juga meningkat, sewajarnya mengurangkan permintaan terhadap kereta nasional.

Namun, pada 2011, Proton Saga muncul kembali sebagai kereta paling laris jualannya di Malaysia, di sebalik kenaikan harga dan “facelift” yang dilakukan bagi menaikkan harga.

Berbalik kepada Hari Tanpa Kereta, apakah ianya berbaloi untuk diraikan serta dimeriahkan jika pusat pentadbiran negara di Putrajaya sendiri tiada pengangkutan awam ke bandar berdekatan?

Kebanyakan bas hampir tiada penumpang, kerana ramai yang memandu sendiri.

Apakah gunanya Nadi Putra jika hanya berpusing-pusing di Putrajaya dengan kekurangan penumpang? Sewajarnya dipertimbangkan laluan baru, walaupun dari luar kawasan Putrajaya.

Salah satu usaha kerajaan adalah dengan memulakan pembinaan Mass Rapid Transit atau MRT, seperti di Singapura. Projek ini merupakan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah, yang rata-ratanya meragui keberkesanannya.

Adakah dengan kehadiran projek ini, rakyat dapat dipujuk bagi meninggalkan kereta di ruangan letak kereta yang sudah tentunya kurang selamat dengan ancaman kecurian?

Adakah dengan adanya MRT, penggunanya dapat tiba lebih cepat dari destinasi berbanding memandu sendiri?

Adakah dengan adanya MRT, belanja perjalanan dapat dikurangkan dengan drastik bagi mengurangkan beban kewangan?

Tidak dinafikan, peningkatan rangkaian pengangkutan awam memang diperlukan, kerana kawasan Lembah Kelang semakin sempit, dan dipadatkan dengan banyaknya kenderaan persendirian. Tetapi dengan besarnya belanja yang dikeluarkan, projek tersebut haruslah dipastikan berbaloi dan memenuhi keperluan seramai mungkin warga.

Sementara menunggu MRT siap, entah berapa tahun lagi, tumpuan harus diberikan kepada rangkaian bas. Pembelian 150 buah bas baru oleh RapidKL, pastinya dapat meningkatkan kekerapan bas di laluan sedia ada, dan mengurangkan risiko kelewatan akibat kerosakan bas. Tetapi, pengwujudan laluan baru juga perlu diperluaskan dengan lebih agresif, terutamanya di kawasan Persiaran Institusi Bangi, yang benar-benar memerlukan pengangkutan awam.

Semoga Hari Tanpa Kereta di tahun mendatang dapat kita sambut dan meriahkan dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien di masa depan.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: