jump to navigation

Kisah balik kampung 2011 untuk panduan para pemandu. Ogos 25, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
add a comment

Pemandangan biasa pada musim perayaan.

Bermula Jumaat 26 Ogos, jalan-jalan raya utama akan menjadi lebih sesak daripada biasa dengan kebanyakan pengguna ingin menuju ke kampung halaman masing-masing untuk seminggu perayaan. Pihak PLUS Expressways memberitahu pemberita bahawa jumlah kenderaan melalui lebuhraya-nya pada musim perayaan kali ini akan meningkat kepada 1.4 juta kenderaan, peningkatan 30% dari kebiasaan.

Antara lain-lain persiapan dibuat oleh PLUS adalah:-

Subjek Informasi
Rebat Tol Pengguna lebuhraya yang membayar secara elektronik (Touch N’Go & SmartTAG) akan menikmati rebat tol seperti berikut:-

1)    20% rebat pada 25 & 26 Ogos

2)    10% rebat pada 30 & 31 Ogos

3)    20% rebat pada 1 & 2 September

Kaunter Tol Lebih 1,000 kaunter tol akan dibuka bagi mempercepatkan transaksi pembayaran tol
Staf Tambahan Lebih kurang 3,000 staf akan ditempatkan di plaza tol
PLUSRonda 159 pasukan PLUSRonda akan ditugaskan meronda lebuhraya 24-jam sehari
Pusat Pemantauan Trafik/ Traffic Monitoring Centre (TMC) Beroperasi 24-jam sehari, pusat ini memantau lebuhraya dan memudahkan bantuan menerusi PLUSLine 1-800-88-0000 dan telefon kecemasan
Kemaskini Maklumat Trafik Maklumat trafik terkini diberikan menerusi:-

1)    PLUSLine Bebas Tol 1800 88 0000

2)    Khidmat Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik

3)    Papan Mesej Elektronik

4)    Stesen-stesen radio utama

Pasukan Tindakan Kecemasan 430 anggota Polis, Jabatan Bomba, JPAM, Ambulans St John dan anggota Bulan Sabit Merah akan ditempatkan di 12 lokasi strategik 24-jam sehari
Pegawai RELA 500 pegawai RELA akan ditempatkan di plaza tol, kawasan rehat & rawat dan hentian sebelah
Laluan aliran kontra Aliran kontra akan diaktifkan bagi membantu melancarkan trafik antara kawasan Nilai-Seremban, Juru-Bukit Tambun dan Bidor-Slim River.
Kerja-kerja pembinaan Akan dihentikan untuk sementara antara 25 Ogos hingga 6 September
Penutupan lorong tambah nilai Semua Lorong Tambah Nilai akan ditutup bermula 26 Ogos hingga 4 September bagi memudahkan aliran trafik di plaza tol.

Walau bagaimanapun, pengguna masih boleh menambah nilai kad elektronik mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan yang dibuka setiap hari 7:30 pagi hingga 8:30 malam.

Kaunter tambah nilai “Reload & Go” Kaunter Reload ‘n Go akan dibuka di 70 stesen minyak sepanjang lebuhraya PLUS antara 9:00 pagi hingga 9:00 malam dari 22 Ogos hingga 11 September.

Khidmat tersebut juga akan disediakan pada 27-28 Ogos dan 3-4 September di R&R terpilih bagi membolehkan pengguna menambah nilai kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go

(Maklumat tambahan dari Kelapa Muda: Pelanggan CIMB Bank boleh mendapat tambah nilai tanpa caj transaksi di semua ATM CIMB Bank.)

PLUS juga menyediakan jadual waktu perjalanan dengan tujuan mengawal aliran trafik daripada mengalami kesesakan teruk.

 Ringkasan bagi jadual tersebut seperti di bawah:-

 27/28/29 Ogos 2011 (Sabtu/Ahad/Isnin)

Dari Lembah Klang

 

(Ke Utara)

Kedah

Perlis

Pulau Pinang

Sebelum 12:00 tengahari
Kuala Kangsar

Changkat Jering

Taiping

Antara 12:00 tengahari – 3:00 petang
Ipoh

Simpang Pulai

Gopeng

Antara 3:00 petang – 6:00 petang
Tapah

Bidor

Slim River

Tanjong Malim

Selepas 6:00 petang
Dari Lembah Klang

 

(Ke Selatan)

Skudai

Johor Bahru

Senai

Kulai

Sebelum 10:00 pagi
Ayer Hitam

Yong Peng

Tangkak

Antara 10:00 pagi – 1:00 petang
Melaka Antara 1:00 petang – 3:00 petang
Tampin

Alor Gajah

Antara 3:00 petang – 6:00 petang
Senawang

Port Dickson

Seremban

Selepas 6:00 petang
Bebas Bebas
  • Sebelum 9:00 pagi
  • Selepas 10:00 malam
Dari Singapura ke Johor Bahru

 

(menerusi Tambak Johor atau Linkedua)

Setiap jam ganjil

(Contoh:

11 pagi,

5 petang,

9 malam)

Kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil

(Odd Numbers)

Setiap jam genap (Contoh:

8 pagi,

4 petang,

10 malam)

Kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor genap

(Even Numbers)

1/2/3/4 September 2011 (Khamis/Jumaat/Sabtu/Ahad)

Dari Utara & Selatan

 

Ke Lembah Klang

Kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil

(Odd Numbers)

  • 9 pagi
  • 11 pagi

(waktu ganjil sebelum 12 tengahari)

Kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor genap

(Even Numbers)

  • 8 pagi
  • 10 pagi

(waktu genap sebelum 12 tengahari)

Semua kenderaan
  • Sebelum 8:00 pagi
  • Selepas 6:00 petang
Kedah

Perlis

Pulau Pinang

Kuala Kangsar

Ipoh

Antara 1:00 petang – 3:00 petang
Cgkt  Jering

Taiping

Kuala Kangsar

Ipoh

Antara 4:00 petang – 6:00 petang
Ipoh

Simpang Pulai

Gopeng

Tapah

Bidor

Slim River

Tanjung Malim

Antara 4:00 petang – 6:00 petang
Melaka Senawang

Port Dickson

Seremban

Antara 4:00 petang – 5:00 petang
Tampin

Alor Gajah

Senawang

Port Dickson

Seremban

Antara 5:00 petang – 6:00 petang

 Semoga maklumat ini dapat memanfaatkan kita bersama, semoga semua pembaca Kelapa Muda selamat sampai ke destinasi dituju.

Kisah dari mereka di Bersih 2.0 Ogos 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , ,
add a comment

Setelah melihat revolusi di Timur Tengah, kita melihat negara-negara yang melaluinya menghadapi kesukaran untuk bangkit dan mengubah sistem pentadbiran yang dicemari penyelewengan. Rakyat Mesir turun semula ke Tahrir untuk membantah pentadbiran tentera, Bashar Assad masih berkuasa di Syria, Ali Abdullah Saleh terselamat dari tembakan, dan tentera Saudi menceroboh Bahrain.

Justeru untuk kita melakukan perkara serupa di negara kita, hasilnya pasti tidak jauh berbeza. Kita memerlukan perubahan, tetapi dengan “acuan sendiri”, ungkapan yang kerap dicanangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir. Jangan silap, saya bukannya mahu bersetuju dengan acuan Mahathir yang menaungi Perkasa, berjalan-jalan di Taman Botani Perdana pada Sabtu 9 Julai.

Agaknya dalam keadaan ini, tak ada kekecohan akan berlaku di pandangan kerajaan.

Acuan yang dimaksudkan adalah himpunan aman yang mengumpulkan mereka yang berbilang kaum dengan satu matlamat: mengubah sistem pilihanraya. Rata-ratanya melihat, sistem pilihanraya yang adil mampu menjadi penyelesaian kepada masalah berbangkit seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang sedang berleluasa. Kecualilah mereka yang sanggup berlaku zalim atas nama “mempertahankan bangsa”.

Turunlah mereka dari seluruh negara, bagi berhimpun dengan aman di stadium seperti yang dijanjikan. Stadium pilihan, Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan, stadium yang tidak digunakan pun untuk acara utama, kecuali konsert dari artis kurang berbakat Justin Bieber. Inilah satu-satunya stadium yang diketahui lokasinya oleh orang tua dan orang muda. Stadium Shah Alam tentunya hanya dikenali peminat tegar bola sepak Selangor sahaja.

Malang, begitu malang. Matlamat untuk memeriahkan semula stadium, dan membuktikan penyokong perubahan sistem pilihanraya lebih ramai dari peminat Bieber cuba digagalkan dengan bersungguh-sungguh oleh PDRM. Sekatan jalan dibuat dari segenap pintu masuk utama, demi mencari dan menghalang mereka yang berbaju kuning daripada memasukinya.

Namun ada baiknya juga sekatan sebegini dibuat selalu, kerana menurut pemerhatian, pengusaha rumah urut Bukit Bintang cukup gelisah kerana ketiadaan pelanggan, sehingga saksi yang memakai baju-T “Kembara Dakwah 2009” dengan jata Persekutuan turut ditarik bagi mendapatkan khidmat urut zahir dan batin.

Selepas subuh, langkah bermula. Monorel dinaiki, dengan harapan pintu Stadium Merdeka bersedia dibuka bagi menyambut para peserta dengan aman. Malangnya, di hadapan stesen Maharajalela, hampir 40 trak polis sudah terkumpul, menantikan penumpang untuk dibawa ke pusat tahanan. Perjalanan diteruskan ke KL Sentral, dan bertemu mereka yang memberanikan diri ke Masjid Negara.

Berehat di masjid, malangnya dihalau oleh polis yang memasuki perkarangan ruang solat, termasuk polis wanita tidak bertudung kepala. Mereka menyambung langkah, ke stesen keretapi lama Kuala Lumpur, juga satu lagi lokasi yang dilupakan ramai. Juga turut dilupakan oleh para anggota FRU yang bertugas, jalan dari stesen tersebut ke Dayabumi. Mereka berjalan dan disambut oleh para FRU yang bersedia menembak bila diarahkan dari arah Pasar Seni. Langkah dilencongkan ke tepi Dayabumi terus ke Dataran Merdeka.

Tiba di Dataran, serangan gas pemedih mata menyambut mereka. Ramai berundur ke bangunan HSBC. Bermula dari itu, jumlah peserta yang sedikit tiba-tiba menjadi ramai, dan bersama-sama bergerak ke Hentian Puduraya, lebih tepat lagi dataran berhadapan Menara Maybank. Segenap ruang dipenuhi mereka dari Petaling Street, Masjid Jamek dan Jalan Pudu. Para peserta memberanikan diri menukar kepada baju kuning. Peserta dari Sabah dan Sarawak disambut mesra, terima kasih juga diucapkan kepada Maybank, yang turut menggunakan warna kuning.

Kemudian, perkara yang lebih ganas berlaku. Serangan gas pemedih mata dan meriam air mengejutkan semua, yang cuba memanjat ke lobi Menara Maybank, juga di bahagian belakangnya. Polis mengejar dan menahan kesemua mereka yang bertahan di sana. Masuk waktu Zohor, semua berhenti untuk menunaikan solat di sebarang tempat yang ada. Hujan turun, dan pada masa sama polis bertindak lebih ganas, mengejar semua orang yang berhimpun tanpa ada jalan keluar. Saya sempat berlindung di hotel AnCasa untuk menunaikan solat.

Para peserta belum berputus asa. Berkumpul semula di Jalan Petaling, kemudian beramai-ramai ke KLCC sambil cuba melarikan diri dari serangan Polis yang berada berhadapan Pasar Seni dan Masjid Jamek. Polis tertinggal satu lagi jalan: Dang Wangi yang berjaya dilalui dengan selamat oleh para peserta. Akhirnya tiba di KLCC, yang menjadi lokasi akhir sebelum mereka semua bersurai.

Di sinilah para peserta paling ramai, iaitu sejumlah hampir 50,000 memenuhi persimpangan Jalan Ampang. Ucapan perpisahan disampaikan oleh beberapa pemimpin parti pembangkang, dan malangnya Polis masih belum berputus asa cuba menyerang para peserta sekali lagi, namun tiada lagi gas pemedih mata yang dilontarkan.

Sebuah himpunan yang asalnya hanya akan dijalankan di stadium, telah pun berubah kepada skala lebih besar, melibatkan seluruh tempat penting di Kuala Lumpur. Inilah perhimpunan “gaya Malaysia”, iaitu rakyat berbilang kaum secara aman menyampaikan bantahan ke atas ketidakadilan, dan bersurai selepas perhimpunan selesai. Susahkah untuk beri kebenaran?

Paling mengecewakan, adalah tindakan Polis, yang tertakluk di bawah arahan Menteri Dalam Negeri. Seolah-olah perhimpunan ini tidak mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, yang sebenarnya bertitah agar kerajaan dan Bersih mengadakan perbincangan dan membenarkan himpunan di stadium.

Pastinya ini kesilapan besar strategi oleh kerajaan, yang cuba menghalang rakyat dari bersuara, kerajaan yang masih beranggapan bahawa merekalah yang terbaik dan paling bijak. Rakyat kini sudah tidak lagi takut dengan ugutan dan ancaman dari kerajaan, juga penghinaan besar ke atas rakyat sendiri yang hanya mahu bersuara.

Kepada mereka di pihak kerajaan, teruskan lagi mempergunakan golongan ibu bapa bagi menakutkan anak-anak daripada mengambil berat soal negara. Biarkanlah mereka jika mahu berhibur di gig dan konsert yang halal, biarkanlah keluar lewat malam secara halal, namun HARAM jika turun ke perhimpunan aman.

Entah apa nak jadi dengan dunia sekarang kan?

Bonus! Syukur kepada Allah, terima kasih Kerajaan. Ogos 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Seperti yang diketahui ramai, 1.27 juta kakitangan kerajaan akan dan telah menerima imbuhan dari kerajaan sejumlah setengah bulan gaji pokok, dengan minimum akan diterima setiap kakitangan adalah RM500. Sebagai kakitangan taraf permulaan, saya bakal menerima jumlah minimum tersebut kerana gaji pokok saya yang rendah, namun jumlah elaun yang munasabah dan memuaskan.

Rumah siap, pahat berbunyi. Kakitangan sokongan memberikan keluhan bonus yang sedikit berbanding pekerja atasan mereka yang pastinya memperoleh jauh lebih banyak. Jika difikirkan, kos asas untuk menyambut hari raya adalah hampir sama bagi mereka yang telah berkeluarga, iaitu merangkumi kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

Namun, untuk memberikan seadilnya berdasarkan saiz keluarga dan jumlah jarak perjalanan, pastinya memerlukan kajian dan sifir yang cukup rumit , namun bagi mereka yang berkeluarga, RM500 adalah satu cumlah cukup sedikit, iaitu di “celah gigi” sahaja.

Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan bonus berdasarkan unit ahli keluarga, misalnya seorang memperoleh RM250. Sebuah keluarga dengan 5 ahli keluarga, taraf kaya atau sederhana akan memperoleh RM1250 tidak kira berapa ramai pun yang bekerja dengan kerajaan.

Untuk membolehkan perkara tersebut berlaku, kerajaan wajar melakukan kemas kini berkala bagi keahlian keluarga kakitangan, dan memastikan tiada permohonan bonus bertindih dibuat bagi seorang ahli keluarga menerusi sistem pangkalan data JPN, yang kini digunapakai oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi menghapuskan nama pemilih meninggal dunia, selepas ianya menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia pada 2008.

Pendapat kebanyakan anggota masyarakat di Facebook menunjukkan kesedaran mereka yang cukup rendah berkenaan hak pekerja. Pernyataan utama mereka, “golongan anti-kerajaan tidak patut bekerja dengan kerajaan”.

Berdasarkan kenyataan sedemikian, fikirkan berapa ramai orang Melayu yang perlu berhenti kerja daripada perusahaan milik misalnya, Amerika Syarikat, kerana mereka anti-Amerika dan anti-Israel? Tiada yang bersuara, kerana tahu hak pekerja untuk menyokong dan membantah siapa yang mereka suka, pada masa sama boleh bekerja di bawah sesiapapun yang memberikannya kerja.

Tiba-tiba kesedaran sedemikian hilang apabila melibatkan kerajaan. Rasa kasih sayang sesetengah golongan kita kepada kerajaan cukup menebal. Adakah kerana terhutang budi dengan pejuang kemerdekaan dan pemimpin terdahulu yang berjasa? Perasaan tersebut memang digalakkan, namun mereka yang berjuang itu rata-ratanya telah uzur dan ada yang meninggal dunia.

Jika ada yang berterima kasih dan menghargai perjuangan, Dato’ Onn Jaafar misalnya, yang mengutamakan demokrasi dan perhubungan kaum yang lebih erat, bagaimana mereka pada masa sama boleh menerima apabila cucunya Hishammuddin melakukan acara mencium “Keris Panca Warisan” yang dilihat sebagai satu amaran kepada kaum lain di negara tercinta ini?

Mungkin ada yang tak mengerti, tetapi “point”nya di sini, mereka yang berada dalam kerajaan yang berjasa ketika dahulu, tidak lagi berada dalam kerajaan sekarang. Dan ini adalah hakikat, kerajaan sekarang dipenuhi dengan pelbagai kontroversi dan dilema masalah. Ada yang sanggup menafikan perkara tersebut? Silakan.

Justeru, untuk berterima kasih kepada kerajaan atas jasanya terdahulu, amat digalakkan. Pada masa sama, masalah yang membelenggu sekarang usah diabaikan dan wajar diperbetulkan. Untuk bersyukur, hanya Allah berhak menerima syukur hamba-Nya, dan sesama manusia hanya berhak memberi dan menerima ucapan terima kasih atas jasa yang diberi dan diterima.

Paling penting, jika ianya melibatkan undi dalam pilihanraya yang demokratik, jawapan jelas tanpa ragu, “UNDI ADALAH RAHSIA. Ianya HAK RAKYAT, bukan HAK KERAJAAN!”

Perkahwinan campur, apakah bangsa bagi anak mereka? Jun 14, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
5 comments

Isu ruangan “bangsa” atau “kaum” dalam sistem pendaftaran negara sedang dipersoalkan dengan hebat kebelakangan ini. Perdebatan bermula apabila ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh ingin mendaftarkan kelahiran anaknya.

Hannah Yeoh bersama suami, tak ingat pula namanya.

Kerana perkahwinannya dengan seorang lelaki berbangsa India, anak yang dilahirkan tidak jelas butiran bangsanya. Jika ditulis “Cina”, bapanya seorang India. Jika ditulis “India” bagaimana pula dengan ibunya? Lalu Hannah memutuskan untuk menulis “Bangsa Malaysia” pada bahagian bangsa pada borang pendaftaran.

Difahamkan, selepas ditolak, beliau memilih ruangan “Lain-Lain”, namun juga ditolak kerana bangsa anak haruslah dipilih daripada salah satu ibu atau bapa. Untuk memastikan urusan pendaftaran anak bagi kesihatan dan pendidikan tidak terganggu, Hannah terpaksa menulis di bahagian bangsa anaknya sebagai “Cina”.

Kian banyak perkahwinan campur yang diadakan dalam kelompok masyarakat kita. Jadi, perkara ini akan menjadi isu yang akan dibincangkan lebih kerap, dan mungkin boleh menjadi topik utama “Debat Perpaduan” yang diadakan antara institusi pengajian tinggi.

Saya mencadangkan agar ruangan bangsa dikekalkan dalam sistem pendaftaran negara, namun kelonggaran wajar diberi bagi pemilihan bangsa, iaitu dibenarkan untuk dua bangsa gabunganantara ibu dan bapa.

Drama ini bakal berakhir minggu ini juga. Sekejap masa berlalu.

Ambil contoh seorang pelakon yang kian menjadi kegemaran saya, Siti Saleha a.k.a Nora Elena. Artikel hiburan merujuk beliau sebagai seorang aktres Melayu – Inggeris, dan perkara itu tidak menjadi masalah kerana kebiasaannya para artis kita suka menggabungkan pelbagai bangsa asal dalam keturunannya.

Dalam drama yang beliau lakonkan, beliau berkahwin dengan seorang Cina bernama Seth Tan. Satu lagi perkahwinan campuran. Namun bagi tujuan pendaftaran, lebih munasabah jika kita menerima dua bangsa utama yang ada dalam keturunan ibu dan bapa anak tersebut.

Hormatilah mereka, usah layan mereka hanya sebagai "Lain-Lain". Merekalah penduduk asal tanah yang kita diami ini.

Kita dalam usaha mencapai perpaduan nasional, justeru wajar kita memahami perbezaan kita masing-masing dengan mengakui bangsa dan keturunan kita yang berbeza-beza. Merujuk kepada matlamat ini, sewajarnya kolum “Lain-Lain” juga dihapuskan daripada sistem pendaftaran kita.

Nama-nama kaum mereka wajar kita angkat, agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

Wujudkan pengkalan data dan direktori bangsa-bangsa yang ada di Malaysia yang boleh dikemas kini setiap bulan.

Kewujudan pelbagai bangsa di negara kita wajar kita hargai dan bangga, perbezaan inilah yang membentuk identiti kita, asal usul kita. Ianya tidak seharusnya dipadamkan daripada ingatan anak-anak kita hanya semata-mata kerana “penyatuan bangsa” menjadi bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia tetap menjadi sesuatu yang relevan, namun perbezaan kita semua haruslah diterima dan dihormati. Walau apa pun bangsa kita, kita tetap sama sebagai umat manusia.

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian adalah orang yang paling bertaqwa di sisi Allah. “

Surah al-Hujurat ayat 13.

Satu-satunya cara untuk peroleh diskaun tol PLUS. Jun 13, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Sesak kerana jalan raya, atau kerana bayar tol? Nak bayar pun sesak, entah apa nak jadi.

Ramai yang mengeluh mengenai kadar tol yang mahal di lebuhraya negara kita. Satu perjalanan yang singkat pun boleh dikenakan tol, ada kalanya murah, selalunya mahal.

Itu baru masalah tol, masalah seterusnya adalah barisan panjang untuk para pengguna membayar tol tersebut. Biasanya perkara ini berlaku di lebuhraya yang mengamalkan tol tertutup (Plus E1, E2 dan E6)kerana kadar tol berbeza mengikut lokasi masuk dan keluar.

Sentuh kad untuk tambah nilai. Percuma bagi para pemegang kad ATM CIMB Bank & Islamic.

Satu cadangan untuk anda yang kerap menggunakan lebuhraya, terutamanya yang di bawah kendalian Plus Berhad. Lancarkan perjalanan dengan kad PlusMiles Touch N’ Go, tanpa perlu beratur panjang dan mengeluarkan tunai. Tambah nilai boleh dilakukan menerusi ATM CIMB Bank tanpa caj perkhidmatan.

Kepada yang tak faham apa yang ditulis dalam iklan ini, sila beritahu di ruangan komen.

Kad PlusMiles mereka kini datang dengan lebih nilai, kerana kali ini jumlah penggunaan bulanan yang melayakkan rebat diturunkan kepada RM100 (berbanding RM200 terdahulu), tanpa mengira kekerapan penggunaan anda.

Dengan syarat, penggunaan di lebuhraya-lebuhraya Plus Berhad sahaja yang diambil kira, iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Elite, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Linkedua (Malaysia-Singapura). Penggunaan kad PlusMiles di lebuhraya lain dibenarkan, cuma ianya tidak dikira untuk rebat 5% tersebut.

Ini bermakna, perjalanan yang jarang dilakukan, tetapi pada jarak yang jauh, jika dikumpulkan secara bulanan sudah tentunya melepasi minima RM100 tersebut. Rebat yang ada tidaklah sebanyak mana pun, hanya 5% tetapi memadai berbanding tiada langsung.

Ini sebenarnya sebagai tambahan kepada program rebat tol 20% kerajaan. Program kerajaan pula berbeza, kerana ianya berdasarkan kepada kekerapan penggunaan, iaitu minima 80 penggunaan sebulan, yang sudah tentunya tidak dapat diperolehi langsung jika pengguna tinggal dan bekerja jauh dari kawasan lebuhraya.

Sekurang-kurangnya, dalam keadaan ekonomi yang rumit sekarang, masih ada ruang bagi mereka yang mahu berjimat dan bertahan. Sedikit bantuan sebegini, memang kita hargai.

Lagipun kita hanya ada sedikit masa sahaja lagi sebelum Pilihanraya Umum ke-13. Diharapkan para pembaca dapat membuat pilihan bijak, iaitu mengundi untuk mereka yang mahu membantu kita rakyat jelata, dengan perancangan yang telah tersedia seperti di bawah.

Mahu diskaun ciput 20%, atau percuma? Pilihan di tangan anda.

Undilah untuk lebuhraya yang percuma, dan kebebasan rakyat daripada belenggu tol yang mencengkam kehidupan, baik di bandar atau luar bandar.

Katakan kepada mereka, “Diskaun 20% hanya gula-gula, kami mahu percuma!”

Belasungkawa untuk Allahyarham Othman Hamid. Jun 12, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , ,
1 comment so far

Bersama sedekahkan Al-Fatihah dan doa untuk beliau.

Hari ini (4 Mei 2011) saya dikejutkan dengan khabar berita dari adik saya yang disampaikan menerusi Facebook, bahawa bekas pengetua sekolah saya, iaitu SMK Dulang, Yan, Kedah telah pun meninggal dunia Rabu, 20 April 2011 jam 12.30 tengahari berpunca dari serangan jantung.

Othman Hamid pernah menjawat jawatan sebagai Pengetua SMK Dulang dari awal kewujudannya sehingga Januari lalu, kemudiannya ditukarkan ke SMK Batu 8, Sik.

Beliau turut bergiat aktif dalam kesatuan-kesatuan sekerja, antaranya sebagai pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP) negeri Kedah seesi 2008/2011.

Juga menjawat jawatan dalam Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebagai Pengerusi bagi negeri Kedah, serta turut mempengerusikan Majlis Bersama Kebangsaan Pengurusan dan Profesional dalam persatuan tersebut.

Sekolah yang beliau berjaya bangunkan dari peringkat awal.

Saya mengenali beliau sebagai seorang pengetua yang tegas dan komited dalam menjalankan tugas, serta mampu untuk berada dalam kalangan guru-guru ternama dari sekolah lain walaupun hanya mengetuai sebuah sekolah yang masih baru dan terletak di luar bandar.

Ciri-ciri sedemikian sewajarnya boleh membawa beliau pergi jauh dalam bidang politik yang mana beliau turut terlibat dengan aktif, namun hasrat saya untuk melihat perkara sedemikian berlaku tidak menjadi kenyataan.

Semoga roh beliau dirahmati dan diletakkan dalam kalangan orang-orang beriman, Insya Allah.

(Tulisan ini tidak dapat disiarkan lebih awal kerana masalah sistem WordPress.)

Situasi politik 2 bulan kebelakangan. Makin haru! Jun 12, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Pertama sekali, maaf saya pinta kepada para pembaca atas ketiadaan artikel baharu pada 2 bulan kebelakangan. Terlalu banyak yang berlaku sepanjang tempoh tersebut, pelbagai perubahan yang berlaku ke atas diri saya.

Saya mahu bermula dari tarikh 15 April 2011, iaitu hari Sarawak mengundi untuk kerusi-kerusi Dewan Negeri. Umum mengetahui bahawa BN menang besar, menguasai 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan. Pada masa sama, Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen.

Jika dikira jumlah undi, pastinya BN lebih bahaya kedudukannya di masa hadapan.

Jangkaan pada pilihanraya umum ke-13 nanti, PR mampu memperoleh minimum 7 kerusi Parlimen jika melakukan kiraan secara nisbah berbanding keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang terbaru.Ini sudah tentu satu kelebihan besar berbanding hanya 1 kerusi parlimen sekarang iaitu di Bandar Kuching.

Mereka ini yang dikatakan telah menghancurkan "kepimpinan ulama" dalam Pas. Saya nampak semuanya tetap warak belaka, tak gitu?

Soal politik juga, Pas juga telah melakukan rombakan kepimpinan dengan memilih Timbalan dan Naib Presiden daripada kalangan profesional yang setia dengan parti serta mesra dengan rakan gabungan PR. Tindakan tersebut dilihat BN sebagai kejatuhan ulama’ dalam hierarki kepimpinan Pas.

Justeru kewujudan sayap untuk ulama’ dalam UMNO wajar dialu-alukan, agar masyarakat dapat melihat sejauh mana mereka mampu memastikan UMNO berada di landasan yang betul mengikut agama Islam.

Merekalah bakal anggota - Dewan Ulama' UMNO.

Jika perkara tersebut berjaya, sudah tentu lebih mudah untuk kita menjadi negara Islam yang sejati seperti diperjuangkan sebuah pertubuhan, iaitu Hizbut Tahrir Malaysia. Ini kerana, walau seteruk mana pun parti UMNO itu, pengaruh mereka tetap besar dengan memiliki 78 kerusi parlimen daripada 222 kerusi sedia ada. Masih satu kuasa besar.

Kalau AS boleh cipta Avatar, setakat video apa susah? Malangnya Dato' T tak berjaya dapatkan khidmat James Cameron. Sebab itu videonya sangat gagal!

Dalam tempoh ini juga, fitnah tersebar di merata-rata dengan kewujudan video yang menyerupai seorang pemimpin politik pembangkang Malaysia. Video tersebut dipertikaikan ramai dari segi keaslian, cara rakaman, juga cara yang digunakan bagi perakam memerangkap “pemimpin” yang dimaksudkan.

Dato' T mungkin tak mengetahui nombor talian JAIS: 1800 88 2424. Agaknya mungkin mereka hanya tahu nombor Domino's Pizza, sebab itu terlupa cari JAIS.

Pendapat ramai mengatakan, jika benar mereka mengetahui pemimpin pembangkang tersebut mengadakan hubungan luar nikah, perlu kita secepatnya menelefon Jabatan Agama bagi mengelakkan perbuatan zina itu berlaku, bukannya merakamkannya dan diadakan tontonan bagi media sahaja. Biar pemimpin itu ditangkap dan dituduh atas kesalahan zina dan dihukum sebaiknya.

Begitulah politik kita 2 bulan kebelakangan yang makin diwarnai dengan fitnah dan permusuhan. Kita sebagai rakyat boleh menunjukkan kebijaksanaan dengan menolak politik sedemikian, menerima politik yang matang dan berpaksikan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Analisis kemungkinan keputusan P’raya Sarawak 2011. April 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Sengaja imej pertama sebegini, bagi menarik mereka yang masih bersama BN.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa “Gelombang Biru” sedang melanda negeri Sarawak menjelang pilihanraya 16 April 2011.

Kita tidak pasti adakah ianya biru gelap – BN – masa depan terus gelap, atau biru cerah – PKR, PAS, DAP. Kenyataannya itu boleh membawa pelbagai makna.

“Gelombang Biru” yang dimaksudkan mungkin lebih sesuai dirujuk kepada gangguan terhadap laman-laman web parti pembangkang dan media alternatif. Yang sudah menjadi mangsa, Radio Free Sarawak, HarakahDaily, MalaysiaKini.

Kemunculan di TV3 selepas sekian lama berjauhan dari Malaysia.

Kemunculan di TV3 selepas sekian lama berjauhan dari Malaysia.

Gelombang yang dimaksudkan juga, boleh merujuk kepada pengalihan isu yang tiba-tiba dilakukan oleh media paling mesra-BN, TV3. Temubual yang sudah 2 bulan diperam bersama blogger Raja Petra tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi. Namun, hikmah sebalik peristiwa, isu pembunuhan Altantuya menjadi perhatian semula selepas cuba dikuburkan kerajaan.

Selain itu, gelombang itu juga boleh merujuk kepada sentimen anti-semenanjung yang cuba dinyalakan oleh jentera Taib Mahmud, tanpa menyedari bahawa dia adalah pemimpin yang turut kepada semua arahan dari pemimpin UMNO/BN dari Semenanjung.

Rakyat Sarawak ditakutkan dengan kehadiran pemimpin pembangkang semenanjung yang kononnya mahu mempergunakan rakyat Sarawak. Mungkin rakan-rakan warga Sarawak yang berada di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Selangor, wajar memberitahu bahawa mereka tidak pernah dipergunakan oleh pemimpin mereka, dan sudah tentu di Sarawak begitu juga jika mereka berkuasa dan tiba-tiba menang pada 16 April.

Barangan keluaran Tupperware memang berkualiti tinggi. Alah berebut, menang memakai.

Permainan sentimen kenegerian sebegini sebenarnya merbahaya untuk jangka panjang dari aspek perpaduan Malaysia. Entah ke mana 1Malaysia itu dicampak, mungkin jawapannya ada pada botol-botol Tupperware yang direbutkan oleh orang-orang yang daif di sana.

Mujurlah, cara berpolitik orang Sarawak yang tidak begitu menerima kehadiran staf-staf Persekutuan, mahupun ahli politik kerajaan/petugas BN dari Semenanjung, mampu memastikan pengundian esok selamat daripada ancaman mereka yang tidak berhak, namun mahu juga mengundi bagi memenangkan kerajaan sedia ada.

Kita boleh menjangkakan pengundian esok selamat daripada unsur-unsur penipuan, kerana ianya pastinya mudah untuk dikesan, dengan penerangan meluas mengenai cara-cara mengelakkan pengesanan undi atau penipuan undi menerusi video-video yang dimuat naik di YouTube.

Harus kita ingat, dalam pilihanraya yang telus, sebenarnya cukup payah untuk BN mengekalkan kemenangan yang sudah lama diperolehi menerusi pelbagai helah sebelum ini.

Seluruh Malaysia teruja untuk menantikan keputusan pilihanraya negeri Sarawak Sabtu, 16 April 2011. Namun rujukan mudah untuk peristiwa yang bakal berlaku selepas pilihanraya ini:-

Jika menang lebih besar, Taib bakal menjadi orang paling berkuasa di Malaysia biarpun hanya Ketua Menteri sebuah negeri.

1) Jika BN menang lebih besar, 63 kerusi ke atas

Pilihanraya umum akan dipanggil selepas Aidilfitri, harga petrol “terpaksa” dinaikkan kepada RM2/liter, pendakwaan liwat Anwar Ibrahim diteruskan dengan keadaan Pakatan Rakyat dalam tekanan paling teruk dalam pembentukannya. Taib Mahmud dijulang wira, pemimpin Sarawak sepanjang hayat.

2) Jika BN menang 48-62 kerusi

Pilihanraya umum tetap dipanggil tahun ini, keputusan lebih berwaspada dalam isu harga minyak. Taib Mahmud bertahan 1 penggal lagi.

3) Jika BN menang 36-47 kerusi (gagal majoriti 2/3)

Pilihanraya umum dipanggil lebih lewat (mungkin 2012/2013) bagi memulihkan semula reputasi BN, harga minyak dikekalkan, PR kekal bermotivasi bagi menghadapi saingan dari BN. Tokoh BN lain bakal dilantik Ketua Menteri.

Oh tidak, melayanglah lagi wang rakyat jika SNAP menang di banyak kerusi.

4) Jika BN menang juga, tetapi tanpa majoriti mudah

Keadaan ini hanya akan berlaku jika ada sambutan seimbang terhadap BN, SNAP, serta Pakatan Rakyat. SNAP bakal bergabung dengan BN pada harga bidaan tertinggi dalam sejarah, dengan kompromi memastikan tokoh SNAP dilantik Ketua Menteri. Kepimpinan BN bakal kusut menghadapi tuntutan parti komponen.

5) Jika Pakatan Rakyat menang??? Perkara ini tidak lagi mustahil.

BN akan cuba melewatkan pilihanraya umum ke-13, dengan Pakatan Rakyat memberikan lebih tekanan bagi mempercepatkan proses pilihanraya umum. Selcat Sarawak bakal ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan dana rakyat. Dana Khas Sarawak bakal ditubuhkan pada Belanjawan 2012, bagi memperbaiki infrastruktur di Sarawak bagi meraih semula hati rakyat.

Begitu indah jika perkara ke-5 itu yang menjadi kenyataan.

Kita serahkan kepada rakyat Sarawak untuk memilih kemungkinan mana yang disukai mereka. Kita doakan supaya mereka diberikan petunjuk ke arah kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.

Penglibatan dalam F1, siapa kata tak bagus? April 8, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Blog berita automotif terkenal Paul Tan melaporkan mengenai petrol terbaru daripada Petronas, yang turut dipaparkan dalam pelbagai iklan tatkala demam F1 melanda Malaysia.

Petrol tersebut akan menggunakan nama Primax 95 Xtra, yang dikatakan dapat memberikan keseimbangan antara prestasi enjin dan penjimatan minyak. Keseimbangan tersebut sedikit sebanyak merupakan hasil daripada kerjasama dan perkongsian teknologi menerusi sukan F1.

Perkembangan ini sudah tentunya berita baik untuk rakyat Malaysia yang kebanyakannya cenderung mengejar masa dengan memandu pada kelajuan tinggi, pada masa yang sama kesempitan wang untuk membayar harga bahan api.

Menjelang GP Malaysia Ahad ini, kita diperkenalkan kepada 3 pasukan F1 yang mengiktiraf Malaysia sebagai antara rumah mereka. Mereka beranggapan sedemikian kerana menerima penajaan dan penglibatan syarikat gergasi negara kita.

Lotus Renault GP menerima penajaan secara tidak langsung dari Proton yang memiliki Group Lotus UK. Manakala Team Lotus menerima tajaan dari Tune Group dan Kumpulan Naza.

Masih hebat memandu jentera F1.

Manakala Mercedes-Benz bergabung dengan syarikat minyak kebangsaan, Petronas membentuk Mercedes GP Petronas yang turut dianggotai oleh bekas juara, Michael Schumacher sebagai pelumba utama.

Penglibatan syarikat Malaysia dalam F1 terus membuahkan hasil apabila Proton, pengeluar kereta nasional mula menunjukkan potensi bagi menjadi pengeluar berstatus global menerusi kerjasama dengan gabungan Renault-Nissan yang terbukti berjaya di peringkat antarabangsa.

 

Maaf, tawaran sudah tamat. Saya juga tak sempat beli tiket murah ini. Harap tahun depan ada lagi.

Pengurusan Sepang F1 Circuit pula harus diberikan pujian ke atas penawaran harga tiket yang cukup berpatutan, iaitu RM30 untuk tempat duduk bukit (hillstand) bagi pembelian awal.

Difahamkan harga sedemikian adalah yang terendah di dunia bagi siri perlumbaan F1. Tiket untuk kawasan duduk yang sama masih boleh diperoleh pada harga RM60 sehingga hari perlumbaan.

Menarik lihat jentera F1 bergelut dalam hujan bukan?

Akhir sekali, harapan semua adalah supaya sistem saliran di Litar F1 Sepang dapat berfungsi dengan baik supaya perlumbaan dapat diteruskan walaupun hujan melanda.

Pada pandangan Kelapa Muda, kejadian sedemikian pastinya akan menjadi lebih menarik di kaca TV jika perlumbaan tidak terganggu.

 

 

Pilihanraya Sarawak: Biarkan rakyat memilih. April 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
2 comments

Pertandingan sengit di Sarawak.

Penamaan calon Pilihanraya Negeri Sarawak sudah terlaksana semalam. Nampaknya akan ada pertandingan tiga penjuru di merata tempat, dengan Pakatan Rakyat tidak sebulu dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dari segi pembahagian kerusi, manakala wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula oleh parti ada pula yang bertanding sebagai calon bebas.

Ketua Menteri Sarawak selama 30 tahun.

Ada yang mengatakan perkembangan ini tidak sihat, kerana terlalu banyak pertandingan akan memberikan kelebihan kepada BN yang diketuai Ketua Menteri sekarang, Taib Mahmud.

Saya melihat kecenderungan untuk sesetengah pihak yang tidak begitu berpengaruh di peringkat nasional untuk cuba mendapatkan populariti sementara, mungkin juga ganjaran daripada pihak tertentu dengan cara memecahkan undi.

Apabila undi dipecahkan, sudah tentulah kelebihan menyebelahi BN, yang nampaknya berkemungkinan besar akan terus berkuasa dengan majoriti 2/3 di Sarawak, menjadikannya kekal dengan reputasi “deposit tetap” bagi Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, penamaan calon telah selesai. Kini, parti bertanding akan mencuba meraih perhatian rakyat seluruhnya menerusi saluran-saluran yang ada. Sekali lagi, kelebihan kepada BN yang menguasai media serta talian komunikasi, lebih-lebih lagi terhadap masyarakat pedalaman.

Namun, kelebihan kepada BN bukan bermakna kemenangan itu sesuatu yang pasti. Misalnya jika benar-benar Ketua Menteri sekarang yang tidak disukai, sudah tentunya parti yang diwakilinya akan terpalit sama dengan persepsi buruk tersebut.

Rakyat Sarawak, undilah sesiapa sahaja yang anda berkenan. Ini hak anda, 16 April 2011, hadirkanlah diri anda.

Sebenarnya kita sendiri pun tidak akan dapat menjangka apa yang ada dalam fikiran rakan-rakan di Sarawak, kerana kita di semenanjung sudah tentu punya pandangan dan cara pemikiran yang berbeza.

Biarkanlah sesiapa pun bebas bertanding. Jika benar sesebuah parti itu sudah mendapat sokongan kuat, sudah tentu pengundi akan memilihnya, dan kemenangan untuknya. Parti-parti dalam Pakatan Rakyat sewajarnya berusaha segigih mungkin untuk mencapai tahap itu.

Kami para penulis blog akan cuba menggunakan peluang dan ruang terhad ini untuk membantu.