jump to navigation

Belanjawan 2012: Pandangan yang diperoleh. Oktober 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Sudah seminggu Belanjawan 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri, kini masa cukup sesuai bagi rakyat membincangkannya bagi mengamalkan kebebasan bersuara masing-masing.

Sudah tentu, pandangan masing-masing bercampur-baur mengenai langkah-langkah yang diambil, dan kaedah bagi melaksanakan matlamat-matlamat yang digariskan dalam belanjawan ini.

Apakah ini yang akan berlaku di tahun 2020?

1) Umur persaraan 60 tahun, kerajaan dan swasta.

Perkara ini dibincangkan dengan cukup meluas dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Pelajar universiti dan kakitangan bawahan: Membantah, kurang kekosongan jawatan baharu, dan perubahan kepimpinan atasan sukar untuk dilakukan kerana umur persaraan dilambatkan.

Kerajaan: Mengoptimumkan perkhidmatan setiap kakitangan ke umur semaksima boleh.

Kelapa Muda: Bantah, kerana profesional yang bersara dari kerajaan masih boleh berkhidmat secara kontrak di organisasi lain jika khidmat masih diperlukan. Serahkanlah jawatan tersebut kepada mereka yang lebih muda dan mempunyai idea baru.

2) Peningkatan had pinjaman perumahan Skim Rumah PertamaKu kepada RM400,000.

Mampukah dibayar?

Pemaju perumahan: Sokong, kerana mampu meningkatkan kemampuan generasi muda untuk membeli rumah.

Kerajaan: Sokong, generasi muda wajar memiliki rumah sendiri.

Kelapa Muda: Bantah, kerana pastinya tidak ramai yang berkemampuan membayar pinjaman sebanyak itu, dan langkah ini tidak pun bertujuan menyelesaikan masalah harga hartanah yang meningkat mendadak.

“Rumah itu hak asasi rakyat, bukan sumber keuntungan.”

3) Pemberian baucar buku dan wang bantuan kepada pelajar sekolah dan Universiti, bantuan keluarga RM500.

Rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi: Terima kasih kerajaan kerana prihatin.

Kerajaan: Bantuan ini tanda keprihatinan kami.

Kelapa Muda: Takkan tiap-tiap tahun bantuan ini mahu diberikan? Masalah peningkatan kos tidak ditangani sebaiknya dengan langkah yang lebih menyeluruh dari sekadar menaburkan wang. Itu Kelapa Muda sendiri pun boleh lakukan.

4) Bonus setengah bulan gaji untuk kakitangan kerajaan di akhir tahun.

Kakitangan kerajaan: Terima kasih, bonus berpatutan.

Kakitangan swasta: Barang akan naik, tapi kami tiada bonus.

Kelapa Muda: Kalau untuk bos besar syarikat, bonus berbulan-bulan gaji diberi. Bagaimana dengan kakitangan yang berhempas pulas bekerja? Majikan swasta wajar bertimbang rasa, dan kerajaan perlu pastikan ketidakadilan ini ditangani.

Lebih banyak hibrid mewah akan dibawa masuk bagi memanfaatkan pengecualian cukai.

5) Pengecualian cukai diteruskan bagi kenderaan hibrid.

Pemain industri automotif: Langkah kerajaan mesra alam.

Kerajaan: Inilah bukti kami menjaga alam sekitar.

Kelapa Muda: Orang kaya akan bergembira kerana boleh tunjuk “mesra alam” tanpa bayar cukai, menyesakkan lagi jalan raya. Kenapa tidak diperkasakan pengangkutan awam demi mesra alam?

6) Pengecualian cukai untuk teksi baru individu, cukai jalan percuma bagi teksi individu.

Pemandu teksi: Terima kasih, tapi adakah permohonan permit teksi individu akan dipermudahkan?

Kelapa Muda: Ini langkah tanda kerisauan terhadap Ketua Pembangkang yang sudah mendekati pemandu teksi, sedangkan syarikat pemegang permit teksi dikuasai elit-elit parti pemerintah.

Belanjawan untuk pilihanraya.

Belanjawan bernilai RM232 bilion, sedangkan hasil kerajaan RM180 bilion.

Sumber lebih RM40 bilion lagi tidak dinyatakan.

Mari kita bayangkan dari mana kerajaan akan memperoleh dana:-

  • KWSP: Sumber popular untuk kerajaan meminjam. Dana pencen Top 10 Dunia. Sumbangan majikan ditingkatkan kepada 13% berdasarkan belanjawan 2012
  • Pinjaman asing: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir anti-IMF dan anti-Bank Dunia. Apakah kita akan jadi seperti Amerika yang akan minta bantuan China untuk membeli matawang dan bon kerajaan?
  • GST: Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kini perlahan-lahan dilaksanakan, kes paling jelas ketika pembekal telekomunikasi mahu mengenakan 6% kepada pelanggan prabayar.
  • Petronas: Sumbangan kepada kerajaan dihadkan kepada RM26 bilion setahun, tetapi dengan pasukan pengurusan yang begitu pro-Kerajaan, mungkin semuanya boleh diubah “demi negara”.
  • Bank Negara Malaysia: Boleh menentukan hala tuju matawang Ringgit, dan juga mempunyai kuasa untuk mencetak wang tunai. Persoalannya bolehkah institusi ini dimanipulasi?

Terus terang Kelapa Muda nyatakan, belanjawan kali ini tiada rasa tanggungjawab terhadap memperkukuhkan kewangan kerajaan dan rakyat dalam menghadapi pelbagai lagi krisis yang bukan lagi datang 10 tahun sekali, tetapi kini setiap tahun.

Kebanyakannya tertumpu kepada pengagihan wang ke sana dan ke sini, tanpa usaha kukuh bagi meningkatkan kecekapan kerajaan menggunakan sumber kewangan yang kian terhad.

Perodua Alza, tak sesuai untuk sumbat 7 penumpang! November 24, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
7 comments

Sebenarnya gambar-gambar Toyota Passo Sette/Daihatsu Boon Luminas yang telah kita lihat sebelum ini boleh menggambarkan bagaimana rupa MPV terbaru dari Perodua yang baru sahaja dilancarkan.

Ianya mempunyai 7 kerusi yang hanya boleh memuatkan 5 penumpang dewasa dan 2 penumpang kanak-kanak. Jadi, kepada sesiapa yang berkeluarga besar, Proton menawarkan varian terbaru Exora B-Line untuk membantu anda mengangkut ahli-ahli keluarga dengan selesa. Jika tidak mahu akan kereta nasional, terdapat pelbagai pilihan MPV bukan nasional yang boleh dipilih seperti Nissan Grand Livina, Hyundai Starex, Toyota Avanza mahupun Toyota Innova, selain dari model Naza Citra dan Rondo.

Pada saya, Perodua Alza menumpukan kepada segmen keluarga kecil dan juga eksekutif muda yang rata-ratanya mahu akan satu versi Perodua MyVi yang mempunyai ruang bagasi lebih luas. Nah, Perodua Alza adalah jawapannya, dan harga bermula dari RM55,490 yang mana mahal sedikit sahaja daripada Perodua MyVi SE.

Rupa bentuk Perodua Alza juga hampir menyerupai Honda Jazz, kecuali bahagian belakang yang sedikit panjang. Kapasiti enjin Perodua Alza dan Honda Jazz adalah sama, iaitu 1.5 liter. Mari kita lihat gambar-gambar selanjutnya.

De-ja-vu! Bukankah ini rupa bentuk papan pemuka Toyota Vios? Gambar hak milik Paul Tan.

Terlalu pendek dan kecil enjinnya untuk digelar sebuah MPV. Ada semacam dengan Honda Jazz? Gambar ihsan Paul Tan.
Penggunaan teknik “salin dan tampal” memang berguna. Ambil saja bentuk belakang dari model Perodua Viva! Terima kasih Paul Tan untuk gambar.

Tidak mengapa, memandangkan hasil kerja copy and paste yang memanfaatkan pengguna harus dimaafkan! Tambahan pula sekarang zaman perkongsian platform kereta. Oleh kerana itu kita lihat persamaan banyak antara kereta, lebih-lebih lagi apabila terdapatnya gabungan antara syarikat pengeluar kereta sedia ada.

Persamaan rupa bentuk Perodua Alza dengan model lain yang boleh diperoleh di Malaysia:-

Papan pemuka dari Toyota Vios.
Rupa bentuk menghampiri Honda Jazz.
Bahagian belakang diambil dari Perodua Viva.

Perbandingan harga antara Perodua Alza dengan kereta-kereta lain:-

(transmisi automatik, warna metalik dan model standard serta enjin antara 1.5 hingga 1.6 liter)

PERODUA ALZA – RM58,990

Proton Exora M-Line – RM69,988

Proton Persona M-Line – RM52,800

Toyota Vios J – RM73,525

Honda Jazz S – RM104,800

Toyota Avanza G – RM69,900

Toyota Rush G – RM88,888

Honda City S – RM82,272

Perodua Nautica – RM89,900

Suzuki Swift – RM71,366

Hyundai Accent – RM73,364

Suzuki SX4 Sedan – RM88,298

Kia Spectra5 – RM73,000

Kelihatan seperti perbandingan yang tidak adil, namun pada saya oleh kerana kekeliruan fungsi Perodua Alza sama ada sebuah sedan mahupun MPV memberi kelebihan kepadanya untuk bersaing dengan semua model jenis MPV dan sedan.

3,500 tempahan sudah diperoleh sebelum hari pelancaran 23 November dan akan terus meningkat selepas pelancaran, dan nampaknya para pembeli terpaksa menunggu lama, satu situasi yang lumrah bagi pemilik kereta di Malaysia. Yang bagusnya dengan situasi ini, menggambarkan bahawa ekonomi Malaysia sedang kembali melonjak memandangkan ramai yang punya kemampuan untuk membeli kereta baru.

Antara model yang mendapat sambutan pada tahun ini adalah Proton Exora dan Toyota Vios, selain model sedia ada yang masih laris iaitu Proton Persona dan Saga, Perodua MyVi dan Viva.

Bergaya, Praktikal, Versatil. Semua dalam satu kereta, Perodua Alza. Lebih "desirable" dari Toyota Vios.

Pasti model terbaru Perodua ini akan memberikan impak lebih besar kepada pasaran, seterusnya merancakkan persaingan harga antara pengeluar kereta yang terasa bahang daripada permintaan tinggi terhadap Alza.

Proton telah bertindak dengan memperkenalkan Exora B-Line dengan harga serendah RM57,998, dan selepas ini pasti lebih banyak manfaat yang dijangkakan dapat diperolehi para pembeli kereta hasil tawaran yang semakin menarik.

Jadi kepada yang sudah membeli kereta baru sebelum ini, tidak perlu menyesal, melopong sahajalah melihat Perodua Alza berlegar-legar di jalan raya dengan megahnya oleh pemilik-pemilik pelbagai peringkat usia yang selama ini sabar menantinya.

Pesanan juga untuk diri saya sendiri: jangan telalu ghairah mahu beli kereta, tunggu saja bila dapat kerja tetap yang lebih lumayan gajinya, dan dapatkan sebuah Perodua Alza, Advanced Version lagi, di kala tiada lagi tempoh menunggu dan stok tersedia tahun 2012 nanti.

(Jangan risau, tahun itu tidak akan kiamat lagi ya! Filem 2012 dari Sony Pictures hanya bertujuan mengaut untung semata-mata.)

Sekalung tahniah kepada Perodua kerana memahami keperluan pengguna untuk kereta berkualiti setaraf Toyota pada harga kereta nasional. Kekalkan nilai ini untuk terus berjaya.