jump to navigation

Salam Aidil Fitri. Ogos 18, 2012

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , ,
add a comment

Selepas setahun yang dipenuhi pelbagai tugasan kerja dan projek, kini masanya untuk kita semua meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, dan kembali kepada aktiviti masa lapang yang sudah lama tidak dilakukan.

Kelapa Muda mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Semoga para pembaca diberkati dan dikurniakan keselamatan, kesihatan sepanjang perayaan ini.

Mulai hari ini, Kelapa Muda akan kembali dengan tulisan-tulisan blog (yang mungkin membosankan), untuk melengkapkan sambutan Aidil Fitri kita.

Malaysia IT Fair, pameran masih berlangsung. Juga cerita komputer riba baru. September 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
add a comment

Saya pernah mengeluh mengenai saiz skrin dan papan kekunci yang kecil pada HP Mini 210, yang saya peroleh menerusi kontrak TM Streamyx. Keadaannya yang sempit memberikan kesukaran untuk saya menaip bagi tujuan kerja dan penulisan blog. Manakala RAM yang dibekalkan untuk netbook yang saya peroleh pada April 2010, hanyalah jenis lama DDR2, yang kini kurang digunakan berbanding DDR3 yang lebih mudah diperoleh dengan murah di pasaran.

Pengajaran besar saya peroleh dari situ, iaitu untuk cuba memperoleh yang paling terkini di pasaran, agar gajet dan rangkaian yang dimiliki kekal relevan untuk jangka masa panjang. Kontrak TM Streamyx juga bakal berakhir tahun hadapan, menyediakan saya dengan pelbagai kemungkinan, antaranya untuk menggunakan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi yang akan melebarkan sayapnya ke apartmen tempat tinggal saya juga.

Okey, keadaan tersebut membuka mata saya mengenai pameran IT yang diadakan selepas Aidilfitri, iaitu 2-4 September lalu di Pusat Pameran Mid Valley Exhibition Centre. Saya memang mensasarkan untuk membeli sebuah notebook (lebih besar dari netbook) bagi meningkatkan kekerapan penulisan blog, juga untuk menggalakkan aktiviti muat turun lagu dan filem dari Internet. (Teladan yang tidak patut dicontohi kanak-kanak)

Sumbangan pekerja kepada KWSP kini dinaikkan semula kepada 11%.

Untunglah, perbelanjaan Aidilfitri saya sederhana, iaitu menepati jumlah bonus Aidilfitri dari kerajaan 1Malaysia berjumlah RM445.00 (RM500 – RM55 sumbangan KWSP bagi membiayai perbelanjaan kerajaan di masa hadapan) Lebihan wang seperti biasa disimpan bagi masa hadapan.

Lebih baik saya langkau cerita Aidilfitri saya, kerana bagi seorang lelaki 21 tahun yang sudah bekerja, sudah kurangnya nikmat berbanding zaman kanak-kanak riang.

Terus ke cerita Malaysia IT Fair, setelah meneliti pilihan komputer riba yang sesuai, saya pun telah memutuskan jenama yang akan saya pilih.

Acer, tolak ke tepi kerana kerosakan yang kerap berlaku, serta sokongan pelanggan yang kurang mesra.

HP, juga saya tolak ke tepi kerana pengalaman dengan HP Mini 210 yang nampaknya tidak menepati spesifikasi terkini (ketika saya memperolehnya secara percuma, saya tidak arif mengenai spesifikasi komputer).

Pilihan saya adalah ASUS, kerana reka bentuk yang mesra pengguna dan tahan lasak, berdasarkan pengalaman menggunakan komputer riba jenama sama milik sepupu, seorang guru yang bertugas di Sabah. Saya memasang angan-angan untuk memperoleh sebuah.

Pada hari bertuah tersebut, 4 September 2011, saya akhirnya memperoleh komputer riba yang saya idam-idamkan.

Spesifikasi juga telah saya letakkan bersama gambar.

Tentang harga, saya telah membeli komputer riba ini pada harga yang sedikit murah berbanding yang dinyatakan dalam Panduan Produk ASUS ini.

Klik untuk muat turun Panduan Produk ASUS/ ASUS Product Guide September-October 2011

Di samping harga yang sedikit murah, saya juga memperoleh beberapa hadiah percuma (yang saya yakini nilainya murah sahaja) antaranya:-

  • Pad penyejuk (cooling pad)
  • Hub USB 4-port
  • Fon kepala (headphone)
  • Tetikus Optikal
  • Pembersih Skrin
  • Pelindung papan kekunci
  • Backpack
  • Pad tetikus

Antara yang mungkin menjadi perhatian bagi pembaca:-

Windows 7 Home Premium (64-bit)

Pemproses Quad-Core Generasi Kedua Intel i7-2630QM (Maklumat tambahan: pemproses ini dibangunkan di Israel. Terasa bersalah menggunakannya walaupun pantas.)

Grafik AMD Radeon HD 6730M dengan 2GB DDR3 VRAM

 

Sekadar berkongsi maklumat terkini mengenai teknologi terbaru komputer riba. Mungkin tidak ramai lagi yang ambil kisah mengenai komputer riba sejak hadirnya pelbagai komputer tablet seperti iPad 2. Bagi mereka yang banyak meluangkan masa di rumah mahupun di pejabat, komputer riba masih lagi peralatan terbaik untuk menjalankan kerja masing-masing.

Begitulah kisahnya mengenai pemasaran selepas hari raya Aidilfitri, yang saya sangkakan tidak akan dihadiri ramai pengunjung. Rupa-rupanya para pelajar yang bakal memasuki kampus semula, telah beramai-ramai mengambil kesempatan untuk membeli peralatan IT terbaru, mungkin menggunakan duit raya yang diperoleh sebelumnya.

Kepada yang belum ke Malaysia IT Fair, sebenarnya pameran tersebut masih berlangsung. Klik gambar di bawah untuk ke laman web rasmi pameran.

Rentetan Kemalangan : Peluang Perniagaan. Ogos 27, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Bukan setakat orang biasa, Mitsubishi Evolution PDRM pun kemalangan juga tau! (P/S: Sport Rim macam Proton Savvy.)

Pernahkah anda terlibat dalam kemalangan jalan raya? Jika tidak, mungkin sedikit pengalaman boleh mendedahkan kepada anda, kepincangan sistem di negara kita yang mana membolehkan ramai pihak memperoleh untung daripada tragedi kemalangan jalan raya.

Lupakan soal keselamatan jalan raya, kerana tiada sesiapapun yang mengambil berat selain organisasi berkaitan, dek kerana manfaat yang boleh diperoleh daripada setiap kemalangan yang berlaku.

1) Polis.

Mereka merupakan tempat untuk para mangsa mahupun dipanggil sebagai pengguna jalan raya melaporkan kemalangan, agar tuntutan insurans dapat dilakukan. Namun, tahukah anda, bahawa laporan kemalangan jalan raya bahawa laporan polis hanya boleh dibuat di balai terpilih sahaja?

Sebenarnya PDRM mempunyai sistem laporan kemalangan jalan raya, yang memerlukan mangsa hanya membuat laporan di balai polis yang dilengkapi dengan sistem itu sahaja. Malangnya, senarai balai polis yang mempunyai kemudahan tersebut tidak disediakan dalam laman web rasmi PDRM, www.rmp.gov.my

Keadaan ini menyebabkan mangsa kemalangan terpaksa mencari sendiri balai polis yang menerima laporan kemalangan jalan raya, dan ini sebenarnya memberikan peluang lain buat pengendali trak tunda.

Sedang menunggu masa untuk melunaskan saman PDRM akibat kemalangan baru-baru ini.

Tidak lupa juga, walau apa pun sebab mahupun keadaan luaran yang menjadi punca kemalangan, dalam kebanyakan kes, pemandu juga yang akan dikenakan saman tanpa kompromi. RM300, sila sediakannya sebelum dihukum oleh mahkamah.

2) Pengendali trak tunda.

Sebilangan mereka akan bersiap sedia di lokasi yang dijangka kerap berlaku kemalangan, untuk “memberikan bantuan” apabila diperlukan. Bantuan yang dimaksudkan, pastinya memerlukan bayaran, dan bayaran haruslah dilunaskan untuk setiap perjalanan yang dilakukan menerusi trak tunda, antaranya dari lokasi kemalangan/kerosakan ke balai polis, seterusnya daripada balai polis ke bengkel panel insurans.

Untuk pengetahuan juga, pengendali-pengendali trak tunda ini juga akan bersiap sedia di balai-balai polis, dan kelibat mereka sukar dibezakan dengan polis yang bertugas. Malah, ramai daripada mereka berbual-bual dan rapat dengan anggota-anggota polis yang menjalankan tugas walaupun arahan jelas terpampang supaya pengendali bengkel/trak tunda tidak memasuki kawasan pentadbiran polis.

Proton i-Care, are they really care? Mengarut sahaja perkara ini, Proton tetap begitu, dulu, kini, selamanya.

Kepada pemandu Proton, patahkan sahaja kad Daring Club anda kerana ianya tidak pun memberikan bantuan kerosakan mahupun kemalangan seperti diiklankan. Lagipun semua servisnya dikenakan bayaran, yang memang mahal untuk satu kerja baik pulih kecil.

Sekali lagi saya ulang, patahkan sahaja kad Daring Club anda. Ianya tidak berguna.

3) Adjuster insurans.

Tanggungjawab mereka adalah untuk menyediakan anggaran kos baik pulih kenderaan yang memohon tuntutan insurans, jadi pastinya mereka perlu bekerja dengan pantas agar proses menjadi lebih lancar untuk membolehkan kenderaan yang dituntut insurans siap segera.

4) Bengkel panel insurans.

Bantuan Ikhlas? Alhamdulillah jika percuma untuk pelanggan Takaful Ikhlas.

Mereka juga bertanggungjawab melakukan kerja-kerja baik pulih agar kenderaan kembali seperti sedia kala. Juga harus bekerja dengan cepat, memandangkan pasti banyak tuntutan insurans yang dibuat rentetan banyaknya kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita.

Biasanya ada juga bengkel panel insurans yang menyediakan khidmat trak tunda, dan ianya pastinya dengan bayaran yang biasanya akan diminta daripada tuntutan insurans.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dengan kewujudan kelompok-kelompok ini yang semakin ramai, siapakah lagi yang akan ambil berat soal keselamatan jalan raya??

Jalan raya lebih selamat

= Kurang kemalangan

= Kurangnya pendapatan mereka yang berkaitan.

Kurangnya kemalangan, bermaksud kurangnya perolehan saman daripada polis.

Pada tahun 2009, terdapat 397,194 kemalangan di Malaysia, menurut maklumat JKJR. Hampir 400 ribu kemalangan.

Anggap sahaja semua kemalangan akan ada saman,

400, 000 X RM300 setiap saman = RM120 juta diperoleh PDRM dari saman kemalangan sahaja.

Seterusnya, statistik PDRM juga menunjukkan 4,318,651 saman telah dikeluarkan pada 2009.

Anggap sahaja semuanya bernilai RM200 setiap satu, dengan 50% daripadanya dibayar.

2,000,000 X RM200 setiap saman = RM400 juta jumlah saman keseluruhan, kerana saman kemalangan juga sebahagian daripada jumlah lebih 4 juta saman itu.

Jika kemalangan dapat dikurangkan, bayangkan kehilangan pendapatan saman PDRM. Pastinya mereka rugi bukan?

Ya, semuanya dengan duit saman kita.

Tak lupa juga, syarikat MyEG pun tidak akan mampu membuat iklan pada setiap perlawanan bola di ESPN dengan wang saman kita.

Okey, seterusnya bandingkan jumlah kemalangan yang hampir 400,000 dengan jumlah adjuster insurans, operator trak tunda dan bengkel panel insurans di Malaysia. Pastinya semua dapat memperoleh keuntungan besar.

Memandangkan anda sekalian sudah tahu fakta ini, adakah anda terfikir bahawa mereka memperoleh keuntungan daripada tragedi yang melanda kita semua??

Ya, dan itu tidak salah di sisi undang-undang dan perlembagaan.

Salahkan diri kita sendiri jika terlibat kemalangan, kerana ianya adalah tanggungjawab kita untuk menjaga keselamatan jalan raya.

Mahu harap Polis? Polis hanya kutip saman.

Plus pandai kutip Pulus, sampai berbilion-bilion dari tol kita.

Mahu harap konsesi lebuhraya seperti Plus atau Besraya? Mereka hanya tahu PULUS, duit tol yang kita bayar. Jalan selamat atau tidak, peduli apa mereka??

Mahu harap kerajaan? Kerajaan BN mahupun PR pastinya mahu menjaga institusi dan syarikat GLC mereka.

Polis, Plus, dan Pulus, memang saling berkaitan.

Ini bukanlah kerja kerajaan, Polis, mahupun konsesi lebuhraya untuk selamatkan nyawa kita di jalan raya. Ianya adalah tanggungjawab mutlak kita semua, para pengguna jalan raya.

Jadi, mari kita semua, berusaha sebaiknya untuk elakkan kemalangan di jalan raya.

Agar nyawa kita terjaga, keluarga kita bahagia, dan selamat daripada anasir-anasir yang mahu kaut untung daripada tragedi menimpa kita.

Selamat memandu, Selamat Hari Raya.

Ramadhan menjengah lagi. Ogos 3, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
add a comment

Ini adalah minggu terakhir untuk kita menikmati hidup yang penuh makanan dan minuman, sebelum minggu hadapan kita berpuasa selama sebulan.

Harus dijadikan peringatan, bahawa dalam bulan Ramadhan nanti juga, banyak perkara lain yang kita tidak boleh lakukan selain daripada menahan lapar dan dahaga. Mulut kita harus dijaga daripada bercakap kasar, walaupun kita berhak berbuat demikian. Nafsu juga harus ditahan, paling penting mata kita.

Sejauh mana kita semua bakal mengikuti pesanan ini, belum dapat dikenalpasti, kerana kita belum lagi berdepan lawan terbesar, iaitu nafsu sendiri yang bakal mengganggu kita pada bulan tersebut sementara syaitan-syaitan dikurung.

Bulan Ramadhan yang lalu agak menarik, dengan saya membantu dalam menyediakan hidangan iftar kepada rakan-rakan pelajar dan staf di KLIUC.

Bayangkan kesesakan di Drive-Thru waktu berbuka puasa dan sahur sehingga ke pintu masuk ini.

Pasti bulan ini tidak jauh bezanya, cuma saya dibayar, dan bakal berhadapan dengan deretan pelanggan yang bakal berduyun-duyun mengunjungi McDonald’s Bangi DT untuk berbuka puasa dan sahur.

Lebih teruk lagi pada waktu sahur, di mana berdasarkan pengalaman rakan-rakan “orang lama”, menu biasa diteruskan sehingga tamat waktu sahur, dan sarapan pagi hanya bermula jam 6 pagi.

Waktu sahur bakal menjadi amat kelam-kabut, kerana di ketika itulah jumlah krew berada pada tahap terendah, dan stamina setiap krew berada pada tahap paling lemah.

Diharapkan rakan-rakan dapat bertahan, dan mengingatkan diri tentang pahala besar yang diperoleh dengan menyediakan hidangan berbuka dan sahur kepada orang-orang yang berpuasa. Pesan itu juga sesuai untuk diri saya sendiri.

Satu-satunya PM yang pernah mengimamkan solat berjemaah sebesar ini. Idea bagus untuk PM Najib mungkin?

Jika ada ruang dan peluang, saya akan ke surau/masjid terdekat untuk menunaikan solat sunat terawih yang hanya 11 rakaat (termasuk witir).

Hari Raya? Jangan risau, kerana saya merupakan antara krew-krew yang memperoleh cuti memandangkan kampung halaman yang jauh di Kedah sana.

Cuma soal pakaian, saya belum membeli walau sepasang baju Melayu lagi khas untuk tahun ini. Hasrat hati untuk menggunakan semula pakaian daripada sambutan terdahulu yang masih elok dan cantik, dapat sedikit berjimat.

Tiket bas? Tidak perlu kerana saya punya senjata terbaik untuk pulang ke kampung dengan mudah dan murah, iaitu Proton Savvy. Jadi, saya boleh merancang perjalanan sesuka hati saya.

Satu lagi yang baru untuk Hari Raya kali ini, merupakan satu “tanggungjawab” baru untuk menyumbangkan duit raya kepada anak-anak saudara dan sepupu yang masih kanak-kanak. Saya harus memperuntukkan wang untuk tujuan tersebut.

Jumlah keseluruhan belanjawan anggaran:-

Masih setia dengan RON 97.

1) Minyak petrol (V-Power 97)- RM150 pergi-balik, ditanggung bersama rakan yang bakal menumpang kereta. Pulangan tidak dapat dipastikan. Termasuk perjalanan sekeliling Kedah dan Pulau Pinang untuk beraya.

2) Tol lebuhraya Plus a.k.a Pulus – RM100 pergi-balik, perjalanan tengah malam untuk rebat 20%, dan menggunakan Touch n’Go untuk rebat tol bulanan dari peruntukan subsidi kerajaan.

3) Duit raya – RM100, insya-Allah mencukupi kerana sepupu yang tidak ramai dan peruntukan RM1 sekepala. Cukup baik sebagai permulaan, kerana ianya bakal menjadi lebih tinggi di zaman saya sebagai jurutera nanti.

4) Baju raya – RM 0, menggunakan koleksi tahun-tahun lepas dengan butang dan samping yang sama.

Jumlah Keseluruhan: RM 350. Cukup jimat untuk sebuah hari raya yang sempurna =).

Diharapkan bulan Ramadhan kita cukup berbaloi agar kita selayaknya memperoleh gembira dan bahagia di Aidilfitri yang bakal menjadi sambutan kemenangan kita bersama.