jump to navigation

Belanjawan 2012: Pandangan yang diperoleh. Oktober 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Sudah seminggu Belanjawan 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri, kini masa cukup sesuai bagi rakyat membincangkannya bagi mengamalkan kebebasan bersuara masing-masing.

Sudah tentu, pandangan masing-masing bercampur-baur mengenai langkah-langkah yang diambil, dan kaedah bagi melaksanakan matlamat-matlamat yang digariskan dalam belanjawan ini.

Apakah ini yang akan berlaku di tahun 2020?

1) Umur persaraan 60 tahun, kerajaan dan swasta.

Perkara ini dibincangkan dengan cukup meluas dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Pelajar universiti dan kakitangan bawahan: Membantah, kurang kekosongan jawatan baharu, dan perubahan kepimpinan atasan sukar untuk dilakukan kerana umur persaraan dilambatkan.

Kerajaan: Mengoptimumkan perkhidmatan setiap kakitangan ke umur semaksima boleh.

Kelapa Muda: Bantah, kerana profesional yang bersara dari kerajaan masih boleh berkhidmat secara kontrak di organisasi lain jika khidmat masih diperlukan. Serahkanlah jawatan tersebut kepada mereka yang lebih muda dan mempunyai idea baru.

2) Peningkatan had pinjaman perumahan Skim Rumah PertamaKu kepada RM400,000.

Mampukah dibayar?

Pemaju perumahan: Sokong, kerana mampu meningkatkan kemampuan generasi muda untuk membeli rumah.

Kerajaan: Sokong, generasi muda wajar memiliki rumah sendiri.

Kelapa Muda: Bantah, kerana pastinya tidak ramai yang berkemampuan membayar pinjaman sebanyak itu, dan langkah ini tidak pun bertujuan menyelesaikan masalah harga hartanah yang meningkat mendadak.

“Rumah itu hak asasi rakyat, bukan sumber keuntungan.”

3) Pemberian baucar buku dan wang bantuan kepada pelajar sekolah dan Universiti, bantuan keluarga RM500.

Rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi: Terima kasih kerajaan kerana prihatin.

Kerajaan: Bantuan ini tanda keprihatinan kami.

Kelapa Muda: Takkan tiap-tiap tahun bantuan ini mahu diberikan? Masalah peningkatan kos tidak ditangani sebaiknya dengan langkah yang lebih menyeluruh dari sekadar menaburkan wang. Itu Kelapa Muda sendiri pun boleh lakukan.

4) Bonus setengah bulan gaji untuk kakitangan kerajaan di akhir tahun.

Kakitangan kerajaan: Terima kasih, bonus berpatutan.

Kakitangan swasta: Barang akan naik, tapi kami tiada bonus.

Kelapa Muda: Kalau untuk bos besar syarikat, bonus berbulan-bulan gaji diberi. Bagaimana dengan kakitangan yang berhempas pulas bekerja? Majikan swasta wajar bertimbang rasa, dan kerajaan perlu pastikan ketidakadilan ini ditangani.

Lebih banyak hibrid mewah akan dibawa masuk bagi memanfaatkan pengecualian cukai.

5) Pengecualian cukai diteruskan bagi kenderaan hibrid.

Pemain industri automotif: Langkah kerajaan mesra alam.

Kerajaan: Inilah bukti kami menjaga alam sekitar.

Kelapa Muda: Orang kaya akan bergembira kerana boleh tunjuk “mesra alam” tanpa bayar cukai, menyesakkan lagi jalan raya. Kenapa tidak diperkasakan pengangkutan awam demi mesra alam?

6) Pengecualian cukai untuk teksi baru individu, cukai jalan percuma bagi teksi individu.

Pemandu teksi: Terima kasih, tapi adakah permohonan permit teksi individu akan dipermudahkan?

Kelapa Muda: Ini langkah tanda kerisauan terhadap Ketua Pembangkang yang sudah mendekati pemandu teksi, sedangkan syarikat pemegang permit teksi dikuasai elit-elit parti pemerintah.

Belanjawan untuk pilihanraya.

Belanjawan bernilai RM232 bilion, sedangkan hasil kerajaan RM180 bilion.

Sumber lebih RM40 bilion lagi tidak dinyatakan.

Mari kita bayangkan dari mana kerajaan akan memperoleh dana:-

  • KWSP: Sumber popular untuk kerajaan meminjam. Dana pencen Top 10 Dunia. Sumbangan majikan ditingkatkan kepada 13% berdasarkan belanjawan 2012
  • Pinjaman asing: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir anti-IMF dan anti-Bank Dunia. Apakah kita akan jadi seperti Amerika yang akan minta bantuan China untuk membeli matawang dan bon kerajaan?
  • GST: Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kini perlahan-lahan dilaksanakan, kes paling jelas ketika pembekal telekomunikasi mahu mengenakan 6% kepada pelanggan prabayar.
  • Petronas: Sumbangan kepada kerajaan dihadkan kepada RM26 bilion setahun, tetapi dengan pasukan pengurusan yang begitu pro-Kerajaan, mungkin semuanya boleh diubah “demi negara”.
  • Bank Negara Malaysia: Boleh menentukan hala tuju matawang Ringgit, dan juga mempunyai kuasa untuk mencetak wang tunai. Persoalannya bolehkah institusi ini dimanipulasi?

Terus terang Kelapa Muda nyatakan, belanjawan kali ini tiada rasa tanggungjawab terhadap memperkukuhkan kewangan kerajaan dan rakyat dalam menghadapi pelbagai lagi krisis yang bukan lagi datang 10 tahun sekali, tetapi kini setiap tahun.

Kebanyakannya tertumpu kepada pengagihan wang ke sana dan ke sini, tanpa usaha kukuh bagi meningkatkan kecekapan kerajaan menggunakan sumber kewangan yang kian terhad.

Belanjawan (bajet) 2011, apa yang menarik? Oktober 15, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Perdana Menteri, Najib Razak dijadualkan mengumumkan Belanjawan Malaysia (Bajet) untuk tahun 2011. Pembentangan bermula jam 4 petang, Jumaat 15 Oktober 2010.

Saya akan mengemaskini perkara-perkara menarik yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi blog ini.

  • Cukai untuk barangan-barangan kegemaran pelancong dikecualikan sebanyak 5-30%
  • Cukai perkhidmatan kerajaan dinaikkan dari 5% ke 6%
  • Cukai perkhidmatan akan dikenakan untuk perkhidmatan televisyen berbayar Astro
  • Cukai eksais untuk kereta hibrid dikecualikan.
  • Sistem keretapi MRT bakal dibina dengan kos RM40 bilion.
  • Beberapa lebuhraya baru akan dibina di kawasan Lembah Klang.
  • Program-program Permata baru akan dimulakan, dengan peruntukan RM111 juta.
  • Pengenalan tabung pencen untuk kakitangan swasta.
  • Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menetapkan gaji minima yang sesuai kepada pekerja.
  • Projek-projek baru: Warisan Merdeka di kawasan Stadium Negara dan Stadium Merdeka dengan bangunan tertinggi di Malaysia setinggi 100 tingkat, pembangunan tanah Lembaga Getah di Sungai Buloh, serta Daerah Kewangan Kuala Lumpur (KLIFD).
  • RM365 juta untuk pembangunan sukan.
  • RM1.2 bilion untuk kebajikan masyarakat.
  • Pelepasan cukai untuk perbelanjaan kepada ibu bapa yang berusia.
  • Skim Rumah Pertama menerusi Cagamas, untuk pembelian rumah bernilai bawah RM220,000, dengan jaminan kerajaan untuk pendahuluan 10%, menjadikan pembiayaan untuk golongan berpendapatan bawah RM3000 sebulan kepada 100%.
  • RM150 juta untuk pengecualian bil elektrik bawah RM20 bagi isi rumah sebulan.
  • RM500 juta untuk projek infrastruktur awam, bagi membantu kontraktor kelas bawah.
  • Tambahan elaun untuk imam, guru agama, dan ahli JKKK Persekutuan.
  • Pengecualian cukai jualan untuk semua jenis telefon bimbit dan peralatan jalur lebar Internet.
  • Kadar tol empat lebuhraya PLUS tidak akan dinaikkan secara 5 tahun (bakal disubsidi oleh kerajaan).
  • Penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, klinik 1Malaysia akan diperbanyakkan.
  • RM1.9 bil untuk penjagaan alam sekitar.
  • Permohonan taraf penduduk tetap dipermudahkan, dibuka kepada yang bermastautin 5 tahun di Malaysia.
  • Bantuan khas kakitangan awam sebanyak RM500, penyambungan kontrak bagi Pegawai Khidmat Singkat.

Belanjawan kali ini meningkat sebanyak 2.8% daripada belanjawan bagi tahun 2010. Defisit belanjawan terus berkurangan, iaitu dari 5.6% pada 2010 kepada 5.4% bagi belanjawan 2011.

Pembentangan bertema “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”, tamat pada jam 5.45 petang, dan dijangka menjadi landasan kepada kerajaan untuk meraih populariti dalam kalangan rakyat untuk pilihanraya yang dijangka pada tahun hadapan.