jump to navigation

Belanjawan 2012: Pandangan yang diperoleh. Oktober 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Sudah seminggu Belanjawan 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri, kini masa cukup sesuai bagi rakyat membincangkannya bagi mengamalkan kebebasan bersuara masing-masing.

Sudah tentu, pandangan masing-masing bercampur-baur mengenai langkah-langkah yang diambil, dan kaedah bagi melaksanakan matlamat-matlamat yang digariskan dalam belanjawan ini.

Apakah ini yang akan berlaku di tahun 2020?

1) Umur persaraan 60 tahun, kerajaan dan swasta.

Perkara ini dibincangkan dengan cukup meluas dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Pelajar universiti dan kakitangan bawahan: Membantah, kurang kekosongan jawatan baharu, dan perubahan kepimpinan atasan sukar untuk dilakukan kerana umur persaraan dilambatkan.

Kerajaan: Mengoptimumkan perkhidmatan setiap kakitangan ke umur semaksima boleh.

Kelapa Muda: Bantah, kerana profesional yang bersara dari kerajaan masih boleh berkhidmat secara kontrak di organisasi lain jika khidmat masih diperlukan. Serahkanlah jawatan tersebut kepada mereka yang lebih muda dan mempunyai idea baru.

2) Peningkatan had pinjaman perumahan Skim Rumah PertamaKu kepada RM400,000.

Mampukah dibayar?

Pemaju perumahan: Sokong, kerana mampu meningkatkan kemampuan generasi muda untuk membeli rumah.

Kerajaan: Sokong, generasi muda wajar memiliki rumah sendiri.

Kelapa Muda: Bantah, kerana pastinya tidak ramai yang berkemampuan membayar pinjaman sebanyak itu, dan langkah ini tidak pun bertujuan menyelesaikan masalah harga hartanah yang meningkat mendadak.

“Rumah itu hak asasi rakyat, bukan sumber keuntungan.”

3) Pemberian baucar buku dan wang bantuan kepada pelajar sekolah dan Universiti, bantuan keluarga RM500.

Rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi: Terima kasih kerajaan kerana prihatin.

Kerajaan: Bantuan ini tanda keprihatinan kami.

Kelapa Muda: Takkan tiap-tiap tahun bantuan ini mahu diberikan? Masalah peningkatan kos tidak ditangani sebaiknya dengan langkah yang lebih menyeluruh dari sekadar menaburkan wang. Itu Kelapa Muda sendiri pun boleh lakukan.

4) Bonus setengah bulan gaji untuk kakitangan kerajaan di akhir tahun.

Kakitangan kerajaan: Terima kasih, bonus berpatutan.

Kakitangan swasta: Barang akan naik, tapi kami tiada bonus.

Kelapa Muda: Kalau untuk bos besar syarikat, bonus berbulan-bulan gaji diberi. Bagaimana dengan kakitangan yang berhempas pulas bekerja? Majikan swasta wajar bertimbang rasa, dan kerajaan perlu pastikan ketidakadilan ini ditangani.

Lebih banyak hibrid mewah akan dibawa masuk bagi memanfaatkan pengecualian cukai.

5) Pengecualian cukai diteruskan bagi kenderaan hibrid.

Pemain industri automotif: Langkah kerajaan mesra alam.

Kerajaan: Inilah bukti kami menjaga alam sekitar.

Kelapa Muda: Orang kaya akan bergembira kerana boleh tunjuk “mesra alam” tanpa bayar cukai, menyesakkan lagi jalan raya. Kenapa tidak diperkasakan pengangkutan awam demi mesra alam?

6) Pengecualian cukai untuk teksi baru individu, cukai jalan percuma bagi teksi individu.

Pemandu teksi: Terima kasih, tapi adakah permohonan permit teksi individu akan dipermudahkan?

Kelapa Muda: Ini langkah tanda kerisauan terhadap Ketua Pembangkang yang sudah mendekati pemandu teksi, sedangkan syarikat pemegang permit teksi dikuasai elit-elit parti pemerintah.

Belanjawan untuk pilihanraya.

Belanjawan bernilai RM232 bilion, sedangkan hasil kerajaan RM180 bilion.

Sumber lebih RM40 bilion lagi tidak dinyatakan.

Mari kita bayangkan dari mana kerajaan akan memperoleh dana:-

  • KWSP: Sumber popular untuk kerajaan meminjam. Dana pencen Top 10 Dunia. Sumbangan majikan ditingkatkan kepada 13% berdasarkan belanjawan 2012
  • Pinjaman asing: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir anti-IMF dan anti-Bank Dunia. Apakah kita akan jadi seperti Amerika yang akan minta bantuan China untuk membeli matawang dan bon kerajaan?
  • GST: Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kini perlahan-lahan dilaksanakan, kes paling jelas ketika pembekal telekomunikasi mahu mengenakan 6% kepada pelanggan prabayar.
  • Petronas: Sumbangan kepada kerajaan dihadkan kepada RM26 bilion setahun, tetapi dengan pasukan pengurusan yang begitu pro-Kerajaan, mungkin semuanya boleh diubah “demi negara”.
  • Bank Negara Malaysia: Boleh menentukan hala tuju matawang Ringgit, dan juga mempunyai kuasa untuk mencetak wang tunai. Persoalannya bolehkah institusi ini dimanipulasi?

Terus terang Kelapa Muda nyatakan, belanjawan kali ini tiada rasa tanggungjawab terhadap memperkukuhkan kewangan kerajaan dan rakyat dalam menghadapi pelbagai lagi krisis yang bukan lagi datang 10 tahun sekali, tetapi kini setiap tahun.

Kebanyakannya tertumpu kepada pengagihan wang ke sana dan ke sini, tanpa usaha kukuh bagi meningkatkan kecekapan kerajaan menggunakan sumber kewangan yang kian terhad.

Bonus! Syukur kepada Allah, terima kasih Kerajaan. Ogos 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Seperti yang diketahui ramai, 1.27 juta kakitangan kerajaan akan dan telah menerima imbuhan dari kerajaan sejumlah setengah bulan gaji pokok, dengan minimum akan diterima setiap kakitangan adalah RM500. Sebagai kakitangan taraf permulaan, saya bakal menerima jumlah minimum tersebut kerana gaji pokok saya yang rendah, namun jumlah elaun yang munasabah dan memuaskan.

Rumah siap, pahat berbunyi. Kakitangan sokongan memberikan keluhan bonus yang sedikit berbanding pekerja atasan mereka yang pastinya memperoleh jauh lebih banyak. Jika difikirkan, kos asas untuk menyambut hari raya adalah hampir sama bagi mereka yang telah berkeluarga, iaitu merangkumi kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

Namun, untuk memberikan seadilnya berdasarkan saiz keluarga dan jumlah jarak perjalanan, pastinya memerlukan kajian dan sifir yang cukup rumit , namun bagi mereka yang berkeluarga, RM500 adalah satu cumlah cukup sedikit, iaitu di “celah gigi” sahaja.

Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan bonus berdasarkan unit ahli keluarga, misalnya seorang memperoleh RM250. Sebuah keluarga dengan 5 ahli keluarga, taraf kaya atau sederhana akan memperoleh RM1250 tidak kira berapa ramai pun yang bekerja dengan kerajaan.

Untuk membolehkan perkara tersebut berlaku, kerajaan wajar melakukan kemas kini berkala bagi keahlian keluarga kakitangan, dan memastikan tiada permohonan bonus bertindih dibuat bagi seorang ahli keluarga menerusi sistem pangkalan data JPN, yang kini digunapakai oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi menghapuskan nama pemilih meninggal dunia, selepas ianya menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia pada 2008.

Pendapat kebanyakan anggota masyarakat di Facebook menunjukkan kesedaran mereka yang cukup rendah berkenaan hak pekerja. Pernyataan utama mereka, “golongan anti-kerajaan tidak patut bekerja dengan kerajaan”.

Berdasarkan kenyataan sedemikian, fikirkan berapa ramai orang Melayu yang perlu berhenti kerja daripada perusahaan milik misalnya, Amerika Syarikat, kerana mereka anti-Amerika dan anti-Israel? Tiada yang bersuara, kerana tahu hak pekerja untuk menyokong dan membantah siapa yang mereka suka, pada masa sama boleh bekerja di bawah sesiapapun yang memberikannya kerja.

Tiba-tiba kesedaran sedemikian hilang apabila melibatkan kerajaan. Rasa kasih sayang sesetengah golongan kita kepada kerajaan cukup menebal. Adakah kerana terhutang budi dengan pejuang kemerdekaan dan pemimpin terdahulu yang berjasa? Perasaan tersebut memang digalakkan, namun mereka yang berjuang itu rata-ratanya telah uzur dan ada yang meninggal dunia.

Jika ada yang berterima kasih dan menghargai perjuangan, Dato’ Onn Jaafar misalnya, yang mengutamakan demokrasi dan perhubungan kaum yang lebih erat, bagaimana mereka pada masa sama boleh menerima apabila cucunya Hishammuddin melakukan acara mencium “Keris Panca Warisan” yang dilihat sebagai satu amaran kepada kaum lain di negara tercinta ini?

Mungkin ada yang tak mengerti, tetapi “point”nya di sini, mereka yang berada dalam kerajaan yang berjasa ketika dahulu, tidak lagi berada dalam kerajaan sekarang. Dan ini adalah hakikat, kerajaan sekarang dipenuhi dengan pelbagai kontroversi dan dilema masalah. Ada yang sanggup menafikan perkara tersebut? Silakan.

Justeru, untuk berterima kasih kepada kerajaan atas jasanya terdahulu, amat digalakkan. Pada masa sama, masalah yang membelenggu sekarang usah diabaikan dan wajar diperbetulkan. Untuk bersyukur, hanya Allah berhak menerima syukur hamba-Nya, dan sesama manusia hanya berhak memberi dan menerima ucapan terima kasih atas jasa yang diberi dan diterima.

Paling penting, jika ianya melibatkan undi dalam pilihanraya yang demokratik, jawapan jelas tanpa ragu, “UNDI ADALAH RAHSIA. Ianya HAK RAKYAT, bukan HAK KERAJAAN!”