jump to navigation

Belanjawan 2012: Pandangan yang diperoleh. Oktober 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Sudah seminggu Belanjawan 2012 dibentangkan oleh Perdana Menteri, kini masa cukup sesuai bagi rakyat membincangkannya bagi mengamalkan kebebasan bersuara masing-masing.

Sudah tentu, pandangan masing-masing bercampur-baur mengenai langkah-langkah yang diambil, dan kaedah bagi melaksanakan matlamat-matlamat yang digariskan dalam belanjawan ini.

Apakah ini yang akan berlaku di tahun 2020?

1) Umur persaraan 60 tahun, kerajaan dan swasta.

Perkara ini dibincangkan dengan cukup meluas dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Pelajar universiti dan kakitangan bawahan: Membantah, kurang kekosongan jawatan baharu, dan perubahan kepimpinan atasan sukar untuk dilakukan kerana umur persaraan dilambatkan.

Kerajaan: Mengoptimumkan perkhidmatan setiap kakitangan ke umur semaksima boleh.

Kelapa Muda: Bantah, kerana profesional yang bersara dari kerajaan masih boleh berkhidmat secara kontrak di organisasi lain jika khidmat masih diperlukan. Serahkanlah jawatan tersebut kepada mereka yang lebih muda dan mempunyai idea baru.

2) Peningkatan had pinjaman perumahan Skim Rumah PertamaKu kepada RM400,000.

Mampukah dibayar?

Pemaju perumahan: Sokong, kerana mampu meningkatkan kemampuan generasi muda untuk membeli rumah.

Kerajaan: Sokong, generasi muda wajar memiliki rumah sendiri.

Kelapa Muda: Bantah, kerana pastinya tidak ramai yang berkemampuan membayar pinjaman sebanyak itu, dan langkah ini tidak pun bertujuan menyelesaikan masalah harga hartanah yang meningkat mendadak.

“Rumah itu hak asasi rakyat, bukan sumber keuntungan.”

3) Pemberian baucar buku dan wang bantuan kepada pelajar sekolah dan Universiti, bantuan keluarga RM500.

Rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi: Terima kasih kerajaan kerana prihatin.

Kerajaan: Bantuan ini tanda keprihatinan kami.

Kelapa Muda: Takkan tiap-tiap tahun bantuan ini mahu diberikan? Masalah peningkatan kos tidak ditangani sebaiknya dengan langkah yang lebih menyeluruh dari sekadar menaburkan wang. Itu Kelapa Muda sendiri pun boleh lakukan.

4) Bonus setengah bulan gaji untuk kakitangan kerajaan di akhir tahun.

Kakitangan kerajaan: Terima kasih, bonus berpatutan.

Kakitangan swasta: Barang akan naik, tapi kami tiada bonus.

Kelapa Muda: Kalau untuk bos besar syarikat, bonus berbulan-bulan gaji diberi. Bagaimana dengan kakitangan yang berhempas pulas bekerja? Majikan swasta wajar bertimbang rasa, dan kerajaan perlu pastikan ketidakadilan ini ditangani.

Lebih banyak hibrid mewah akan dibawa masuk bagi memanfaatkan pengecualian cukai.

5) Pengecualian cukai diteruskan bagi kenderaan hibrid.

Pemain industri automotif: Langkah kerajaan mesra alam.

Kerajaan: Inilah bukti kami menjaga alam sekitar.

Kelapa Muda: Orang kaya akan bergembira kerana boleh tunjuk “mesra alam” tanpa bayar cukai, menyesakkan lagi jalan raya. Kenapa tidak diperkasakan pengangkutan awam demi mesra alam?

6) Pengecualian cukai untuk teksi baru individu, cukai jalan percuma bagi teksi individu.

Pemandu teksi: Terima kasih, tapi adakah permohonan permit teksi individu akan dipermudahkan?

Kelapa Muda: Ini langkah tanda kerisauan terhadap Ketua Pembangkang yang sudah mendekati pemandu teksi, sedangkan syarikat pemegang permit teksi dikuasai elit-elit parti pemerintah.

Belanjawan untuk pilihanraya.

Belanjawan bernilai RM232 bilion, sedangkan hasil kerajaan RM180 bilion.

Sumber lebih RM40 bilion lagi tidak dinyatakan.

Mari kita bayangkan dari mana kerajaan akan memperoleh dana:-

  • KWSP: Sumber popular untuk kerajaan meminjam. Dana pencen Top 10 Dunia. Sumbangan majikan ditingkatkan kepada 13% berdasarkan belanjawan 2012
  • Pinjaman asing: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir anti-IMF dan anti-Bank Dunia. Apakah kita akan jadi seperti Amerika yang akan minta bantuan China untuk membeli matawang dan bon kerajaan?
  • GST: Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kini perlahan-lahan dilaksanakan, kes paling jelas ketika pembekal telekomunikasi mahu mengenakan 6% kepada pelanggan prabayar.
  • Petronas: Sumbangan kepada kerajaan dihadkan kepada RM26 bilion setahun, tetapi dengan pasukan pengurusan yang begitu pro-Kerajaan, mungkin semuanya boleh diubah “demi negara”.
  • Bank Negara Malaysia: Boleh menentukan hala tuju matawang Ringgit, dan juga mempunyai kuasa untuk mencetak wang tunai. Persoalannya bolehkah institusi ini dimanipulasi?

Terus terang Kelapa Muda nyatakan, belanjawan kali ini tiada rasa tanggungjawab terhadap memperkukuhkan kewangan kerajaan dan rakyat dalam menghadapi pelbagai lagi krisis yang bukan lagi datang 10 tahun sekali, tetapi kini setiap tahun.

Kebanyakannya tertumpu kepada pengagihan wang ke sana dan ke sini, tanpa usaha kukuh bagi meningkatkan kecekapan kerajaan menggunakan sumber kewangan yang kian terhad.

Akhirnya, Krismas yang gembira. Disember 26, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Sepanjang minggu ini, ramai pengembara yang ingin menyambut Krismas dan tahun baru di tempat kegemaran, telah terkandas di lapangan-lapangan terbang yang terpaksa membatalkan banyak penerbangan.

Di England, salji lebat memberikan masalah kepada pengangkutan lain juga, malah menyebabkan beberapa perlawanan Liga Perdana terpaksa ditunda ke tarikh lain.

Bencana salji juga telah menyebabkan masyarakat kurang membeli-belah, selain daripada keadaan ekonomi yang kian tidak menentu kerana usaha-usaha penjimatan perbelanjaan oleh kebanyakan kerajaan.

Namun, sebelum 25 Disember, banyak berita gembira telah membantu ramai orang bagi menyambut Krismas bersama keluarga. Pastinya Krismas tahun hadapan akan dilanda pelbagai dugaan lain, dengan situasi dunia yang tidak menentu.

Bagi yang menyambutnya, Merry Christmas. Kepada yang lain, marilah kita raikan kesudahan yang gembira untuk satu tahun yang cukup banyak menduga kita semua.

Jika tumpuan diterhadkan kepada kita rakyat Malaysia, pelbagai dugaan yang diterima seperti kenaikan harga bahanapi dan keperluan utama, ketidaktentuan cuaca serta beberapa kemalangan ngeri yang menakutkan para pengguna pengangkutan awam.

Tahun hadapan, belum tentu kita berpeluang menyambutnya lagi. Selain itu, yang menanti kita tahun hadapan antaranya adalah penswastaan pengeluaran saman menerusi sistem AES, pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan GST, kenaikan berterusan harga bahanapi dan keperluan utama (Program Transformasi Ekonomi – ETP, selain pelbagai kejutan iklim.

Pastikan juga matlamat kita untuk tahun ini tercapai, dan sediakan satu sasaran baru untuk tahun hadapan.

Biar apa pun akan terjadi dengan dunia ini, jangan biarkan semangat kita digugat dari mencapai matlamat.

Greece di ambang muflis. Apa kaitan dengan kita? Februari 14, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
4 comments

Kos menyelenggara warisan sejarah yang mahal, turut menyumbang kepada defisit Greece.

Zon Eropah kini dalam keadaan berjaga-jaga memantau keadaan ekonomi Greece, sebuah negara kecil dengan jumlah hutang yang tinggi, defisit belanjawan yang tinggi serta kadar pertumbuhan ekonomi yang negatif.

Kegawatan ekonomi 2009 telah menyebabkan banyak negara menyediakan pakej rangsangan ekonomi untuk memacu semula ekonomi masing-masing ke arah pertumbuhan. Dalam usaha membiayai pakej-pakej sedemikian, kerajaan negara-negara terlibat akan berbelanja lebih daripada pendapatan, menjerumuskan negara ke kancah defisit belanjawan yang belum tentu dapat dibayar pada masa singkat.

Masihkah Malaysia mahu anjurkan acara sukan utama? Hutang SUKOM 1998 pun tertunggak.

Greece, sebuah negara yang berbelanja sakan untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2004 Athens. Sejumlah €12 bilion (+-RM55 bilion) telah dibelanjakan untuk acara tersebut, mengatasi jangkaan perbelanjaan €10 bilion. Jumlah penduduk ialah lebih kurang 11 juta orang, yang mana jumlah sedemikian tersangatlah besar jika dikira secara perkapita.

Selain itu, kerajaan Greece juga punya pelbagai hutang-hutang dan perbelanjaan lain yang menyebabkan defisit belanjawan berada pada tahap 7.7% sebelum krisis ekonomi 2009. Kini defisit belanjawan Greece sudah pun melepasi paras 12.7%.

Kaitan krisis Greece dengan seluruh dunia, adalah pada kebergantungan Greece kepada matawang Euro. Matawang gabungan Kesatuan Eropah (EU) itu dilihat sebagai simbol kekuatan ekonomi Zon Euro, malangnya terdapat beberapa lagi negara yang punya masalah yang serupa dengan Greece, antaranya Portugal, Sepanyol dan Itali. Jika Greece muflis, pastinya satu gelombang besar ketidaktentuan bakal tercetus kepada ekonomi dunia, memandangkan EU adalah gabungan ekonomi terbesar dunia, yang cuba dicontohi oleh negara-negara di rantau lain, selain menarik minat negara-negara seperti Ukraine dan Turki untuk turut serta.

Gelombang ketidaktentuan ini dibimbangi akan memadamkan harapan untuk satu pemulihan ekonomi yang meyakinkan untuk tahun 2010 ini.

Malaysia boleh mempelajari sesuatu daripada keadaan yang sedang melanda Greece, selain telah juga berlaku kepada Iceland dan Ireland pada 2008 sejak bermulanya kegagalan sistem perbankan negara mereka yang berkembang terlalu pesat sebelumnya.

Defisit belanjawan Malaysia berada pada tahap 11% pada permulaan tahun 2010 (bandingkan dengan Greece), KDNK 2009 pula dijangkakan negatif (Greece mencatatkan KDNK -1.2% pada 2009). Lebih malang lagi, Malaysia berada di tengah-tengah sebuah rantau yang sedang berkembang pesat yang menerajui usaha pemulihan ekonomi dunia.

Menyedari keadaan yang kian mendesak untuk Malaysia menyelesaikan masalah kewangannya, kerajaan Malaysia telah berusaha mengurangkan perbelanjaan:-

1) Pengurangan subsidi

Subsidi gula telah dikurangkan, pengagihan subsidi minyak juga telah dikurangkan dengan pengenalan gred petrol baru RON95. Harga produk petroleum kita kini adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara pengeluar minyak.

2) Pemotongan belanjawan

Perbelanjaan untuk sektor tertentu seperti pendidikan dan kesihatan dikurangkan, tiada lagi pemberian bonus serta gaji untuk kerja lebih masa kepada kakitangan kerajaan, galakan untuk mengurangkan seminar dan latihan di tempat-tempat peranginan.

3) Pengenalan cukai baharu

McDonald's antara premis pertama yang dikenakan GST, masih mampu menarik pelanggan miskin dan kaya di Malaysia, pesat berkembang dengan penambahan restoran pandu-lalu yang semakin banyak.

Dijangka pada tahun ini atau 2011, rakyat Malaysia perlu membiasakan diri dengan terma GST, iaitu cukai barangan dan perkhidmatan. Cukai sebegini sudah lama dikenakan di premis makanan segera serta restoran besar, akan dikembangkan ke seluruh negara. Menteri Kewangan Kedua menyatakan bahawa mekanisme ini akan menyebabkan kenaikan harga yang hanya sementara, dan diyakini ketelusan para peniaga dapat mengurangkan impak pengenalan cukai baru ini.

Apa kata Kelapa Muda?

Saya berkata, tiga langkah yang dilakukan di atas adalah sia-sia, kata orang putih bullshit. Berapa sangat yang dapat dijimatkan?

Mereka kaya, sangat kaya, masih mahu subsidi ke? Lihat individu nombor 7 dan 8.

Buang subsidi minyak, jimat RM 4 bilion. Subsidi kepada IPP tak terjejas, Yeoh Tiong Lay (YTL) terus bergelak sakan, AlBukhary (Malakoff) terus kaya dan beli lagi saham syarikat pengeluar makanan ruji, akhirnya Utusan  laporkan beliaulah Melayu bestari.

Hapus subsidi barangan keperluan, baru jimat RM 1 bilion.

Perkenalkan GST, tambahan cukai diperoleh hanya RM 2 bilion.

Potong belanja kesihatan, pendidikan, baru jimat entah tak sampai RM 1 bilion.

Dihitung secara kasar, penjimatan memang nampak banyak, RM 8 bilion.

Mari kita kira, KDNK Malaysia sekarang adalah AS$ 207 bilion. RM8 bilion bersamaan dengan AS$2.5 bilion, yang mana jumlah itu baru 1% daripada KDNK Malaysia. Di mana lagi mahu cari 10% daripada KDNK untuk memastikan defisit berada pada tahap selesa, iaitu kurang 4%?

Kerajaan harus melihat kepada polisi sedia ada. Nilaikan semula kontrak perbekalan kepada harga yang lebih wajar, galakkan tender yang terbuka kepada lebih ramai pembekal, bukan runding terus ala-ala kow tim saja.

Bagi wang ihsan kepada puak UMNO, akhirnya satu-persatu runtuh menyembah bumi gara-gara ketamakan mereka.

Runding terus, akhirnya runtuh terus. Macam projek Idris Jusoh di Terengganu. Sia-sia wang ihsan diberi, Kelantan pun pasti tak yakin, jika diberi wang ihsan kepada puak-puak UMNO, takut banyak yang runtuh pula nanti.

Kuasakan pelajar-pelajar kita dengan lebih banyak ilmu, bukannya kurangkan silibus semata-mata mahu mereka mengira dalam Bahasa Inggeris. Pelajar-pelajar adalah modal insan yang pasti lebih berbaloi pulangannya kepada perbelanjaan kerajaan, jika dididik sebaiknya.

Kepada yang tidak mengetahui, ini adalah sistem reproduksi lelaki.

Jadikan mereka mahir mengolah video mahupun membaiki komputer, bukannya buat tanggam di kelas Kemahiran Hidup yang akhirnya dilupakan bila masuk Menengah Atas. Berikan mereka peluang untuk mengasah minat, bukannya ditekan untuk masuk kelas Sains Tulen dan akhirnya tak faham apa-apa soal Biologi kecuali tajuk Pembiakan & Pertumbuhan.

Fahamkan mereka hak asasi rakyat, bukannya hak satu kaum semata-mata.

Kata 1 Malaysia, ucap Salam 1Malaysia, tapi belajar berasingan.

Kamu orang memang suka buat Che Det marah kan? Tak faham ke Che Det kata, "Demonstrasi bukan budaya kita"?

Yang Melayu segan terima bangsa lain di universiti, yang Cina pula tak mahu berkongsi ilmu dan soalan bocor, yang India pula mahu mengarah dan mengkritik sahaja. Bukan membezakan orang mengikut kaum, tapi memang sikap ini yang ada pada sebilangan besar kita warga Malaysia.

Betapa muhibahnya kita, seorang India mengepalai sebuah pertubuhan pelajar Melayu. Kini GPMS - Gabungan Pelajar Mamak Semenanjung.

Batu-batu penghalang ini harus kita pecahkan jika mahu sebuah Malaysia yang benar-benar bersatu, rakyat yang berdikari, dan ekonomi yang kukuh.

Juara Rakyat? Januari 11, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,
3 comments

Baru-baru ini muncul kempen daripada UMNO, dinamakan Juara Rakyat yang bertujuan mendekati rakyat dan memahami isi hati mereka. Kempen diadakan di seluruh negara dengan tema yang pelbagai, yang sebenarnya sudah bermula semenjak tahun lalu lagi. Minggu yang sudah di Bukit Sentosa, Rawang.

Pengisiannya semacam dengan program JomHeboh TV3, namun disesuaikan dengan kehendak masyarakat di mana tiadanya konsert artis-artis ternama (memandangkan pada masa yang sama majoritinya membuat persembahan mahupun dijemput ke Anugerah Juara Lagu ke-24). Sebagai ganti, diadakan konsert nasyid dan Forum Perdana Ehwal Islam. Tahniah atas perubahan tersebut.

Program yang ada cuba mengetengahkan dasar-dasar dan perancangan masa hadapan agensi-agensi kerajaan beserta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau ringkasnya GLC. Program sebegini akan diteruskan di lebih banyak negeri, terutamanya yang dikuasai Pakatan Rakyat sebagai cubaan untuk meraih semula kepercayaan.

Untuk membantu UMNO dan BN serta kerajaan untuk lebih berjaya dalam menarik hati rakyat, disenaraikan beberapa isu yang perlu diperhalusi dan diteliti agar sebarang perubahan (jika sempat dilakukan) dapat dilakukan. Sekurang-kurangnya ada juga legasi cemerlang jika berlaku perubahan kerajaan di masa hadapan. Bukan hanya sekadar kempen yang menghabiskan air liur.

1) Minyak petrol RON95: Bapa saya (yang mana seorang penyokong tegar kerajaan Barisan Nasional) telah mengakui bahawa minyak RON95 diperkenalkan kerajaan sebagai gantian kepada RON97, telah menjejaskan prestasi enjin dan penggunaan minyak turut meningkat, termasuk pada kereta baru Toyota Vios beliau, keluaran tahun 2009 dengan enjin VVT-i terbaharu. Keadaan ini juga berlaku kepada ramai rakan-rakan dan saudara-mara. Nasib baik saya tinggal di Kajang, dapat menggunakan V-Power Shell yang tidak dinaikkan harganya untuk memanjakan enjin Proton Savvy saya (keluaran Renault, D4F) , dan lebih ketara keunggulannya ke atas prestasi enjin dan penjimatan minyak.

Cadangan untuk menyelesaikan masalah bahanapi di Malaysia-

  • Kurangkan cukai jalan untuk kenderaan diesel, pada masa yang sama ubah gred diesel kepada yang lebih baik iaitu Euro 4 (50 ppm) segera tanpa perbezaan harga dengan gred sekarang Euro 2M. Diesel Euro 4M terbukti lebih mesra alam termasuklah jika dibandingkan dengan petrol.
  • Galakkan pengeluaran kenderaan standard diesel Euro 4M yang lebih mesra alam dan jimat penggunaan.
  • Standard emisi petrol di Malaysia yang kini hanya memenuhi piawaian Euro 2 juga perlulah dipertingkatkan kepada Euro 4 untuk tujuan serupa tanpa peningkatan harga tidak mengira berapa RONnya. India kini semakin cepat beranjak ke Euro 4 selepas Euro 3 beberapa tahun lalu. Kita bagaimana? Masih mahu bangga dengan NGV ke?

Mekanisme cukai GST.

2) Hentikan cadangan pengenalan GST: Mungkin pelbagai usaha yang dilakukan untuk menjelaskan rasional pengenalan GST ini, namun rakyat biasa tetap akan melihat jika ada penambahan beban hidup yang sedia ada akibat daripada pengenalan ini. Apakah mungkin nanti penyokong BN juga akan jauh hati kepada parti sendiri? Sila kambus semula “kubur”  yang sedang digali.

Cadangan untuk meningkatkan dana kerajaan:-

  • Perangi rasuah tanpa mengira magnitud. Jika kes rasuah RM2000 boleh ada soal siasat SPRM hingga 3 pagi, sudah tentu keperluan lebih mendesak untuk kes kehilangan RM100 bilion (rujuk Che Det) mahupun RM250 bilion (rujuk Badawi), termasuk juga RM500 juta (rujuk Scorpene).
  • Fikirkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kontraktor dan kroni. Tiada masalah dengan kroni jika mereka cemerlang dalam kerja dan tidak korup. Contoh terbaik ialah MISC ketika dimiliki oleh Mokhzani Mahathir sebelum krisis kewangan Asia, ketika itu cemerlang dengan pelan pengembangan serata dunia, kita memang seronok. Masih adakah seronok itu jika tiba-tiba diselamatkan dengan wang rakyat, dan dengan senang lenangnya Mokhzani lepas daripada beban hutang? (Untuk perhatian, saya amat gembira dengan kecekapan CIMB Bank, milik Nazir Razak, adik kepada PM kita.)
  • Hapuskan mark-up harga tender dan pembekalan kerajaan. Jika komputer riba berharga RM3000 di Low Yat dibeli kerajaan pada harga RM6000, bukankah itu kerugian? (Sewaktu Tingkatan Dua dulu saya menyangka kerajaan membeli produk pada harga murah selepas membaca artikel “Economy of Scale”. Rupanya ianya tidak seindah itu walau betapa banyaknya yang dibeli oleh kerajaan kita daripada para pembekal.

    Terjemahan: Facebook ialah sebuah "Utiliti Sosial" yang menghubungkan anda dengan orang sekeliling anda.

3) Bekalkan secukupnya keperluan asas berterusan kepada rakyat: Namewee pernah “mengamuk” kepada staf Tenaga Nasional yang dilihat melepak di pejabat di kala seluruh pekan Muar bergelap. Sedangkan Facebook pun sudah jadi “Utiliti Sosial”, apatah lagi bekalan elektrik yang penting untuk hidup rakyat yang selesa.

Cadangan untuk memperbaiki mutu hidup rakyat:-

  • Sediakan lebih banyak tempat letak kereta untuk kawasan perumahan, di samping pengangkutan awam yang efisien. Barulah rakyat yang susah boleh gembira naik Rapid, serta Proton dan Perodua dapat meningkatkan jualan ke tahap semaksimanya kerana lalu lintas yang lebih terkawal.
  • Tingkatkan keupayaan Internet di Malaysia dengan rangkaian HSBB (Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi) berwayar, 3G, HSDPA dan WiMAX seluruh negara dengan kadar segera untuk memberi variasi kepada rakyat dan menggalakkan persaingan sihat antara penyedia perkhidmatan Internet, bukan setakat kempen iklan provokasi yang tidak ke mana antara para ISP.
  • Tumpukan usaha membekalkan elektrik berterusan ke seluruh negara, termasuk luar bandar. 2020 tidak jauh lagi, hanya 10 tahun. (Zaman kecil dahulu, saya membayangkan sesuatu yang dahsyat, hebat dan seronok berlaku pada tahun tersebut, dengan gambaran betapa modennya zaman tersebut.)
  • Perbaiki mutu jalan raya Malaysia, terutama yang berlubang, mendap (seperti di Kampung Dulang Besar,  Yan, Kedah menghala ke rumah nenek bekas kekasih saya) dan tidak selamat. Kasihan para penunggang motosikal yang seolah-olah menanti bahaya untuk tiba.

Nampak mungkin seolah-olah saya demanding di sini, namun tiada salahnya sebagai rakyat yang menuntut hak untuk keperluan asas bukan? Jika tiga aspek ini dapat ditangani, tidak syak lagi BN akan jadi juara di hati saya.

Namun setakat ini, maaf diberikan kerana di hati saya, BN masih loser dengan keegoan yang tidak pernah surutnya.

Lagu "Pergi" memenangi AJL 24, memang menusuk jiwa. Foto mStar.

BN, UMNO. Masing-masing People’s Loser. Aizat juga juara saya, tahniah kerana menang Anugerah Juara Lagu 24.

Defisit belanjawan negara membelon, GST kaedah baru penyangak. Ogos 18, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
7 comments

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, MIER : Perubahan cukai perlu dijadualkan sekarang.

Tabung Kewangan Antarabangsa, IMF : Malaysia perlu melaksanakan cukai baru.

Nampaknya dua pihak ini punya fikiran yang sebulu. Satu berada jauh nun di USA sana, satu lagi di KL saja. Kedua-dua suka kalau kerajaan laksanakan cukai baru, iaitu yang dicadangkan Cukai Perkhidmatan Kerajaan, GST dan Cukai Nilai Tambah, VAT.

Macam berada di negara Eropah pula, ada cukai-cukai yang merimaskan hidup. Bayangkan hidup apabila cukai sebegini dikenakan. Beli Super Big Gulp dari 7-Eleven, harga dipaparkan RM2.10 tidak termasuk GST dan VAT yang berjumlah 10% daripada pembelian. Jadi harga yang perlu dibayar adalah RM2.10 + RM0.21 = RM2.30 (1 sen ditolak, jimat dan senang kira).

Bayangkan pula jumlahnya jika pembelian di pasaraya besar Carrefour, atau gedung perabot Ikea. Pasti jumlah tambahan itu lebih dahsyat kan?

Nasib baik saya bukan pelajar ekonomi, jika tidak saya juga akan dimomokkan dengan mentaliti malaun-malaun dari MIER, IMF dan Bank Dunia, yang suka memeras rakyat marhaen. Saya pelajar kejuruteraan yang diajar untuk memikirkan cara untuk memudahkan urusan dan pergerakan rakyat.

Sebelum Najib PM terus menerima cadangan dari MIER untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2010, saya harus bertindak segera untuk mengajukan cadangan saya ke blog 1Malaysia beliau. Diharapkan beliau mendengar dan membaca, walaupun saya bukanlah penyokong beliau.

Cadangan Langkah-Langkah Untuk Mengurangkan Defisit Belanjawan 2010 Dengan Prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” oleh Firdaus Rosli, Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, KLIUC

Saya datang dengan cadangan-cadangan langkah yang boleh Tuan laksanakan untuk menstabilkan keadaan kewangan negara, dan pada masa yang sama mengekalkan kebajikan rakyat, menjaga perasaan mereka agar mereka tidak ke jalanan lagi mengadakan perhimpunan membantah kerajaan Tuan.

1) Pengurangan Kos Pendidikan Tinggi

Diharap Tuan tidak salah sangka dengan tajuk cadangan pertama ini, kerana saya tidak akan mencadangkan Tuan mengurangkan pengambilan pelajar, atau membekukan sebarang geran untuk penyelidikan. Memandangkan pendidikan tinggi adalah antara komponen terbesar perbelanjaan kerajaan Tuan, saya ingin mencadangkan mekanisme untuk membantu Tuan.

UiTM adalah sebuah IPTA terbesar di negara ini, dengan pelajar 100% Bumiputera, punya cawangan di setiap negeri di Malaysia. Untuk kursus Diploma Insurans misalnya, yuran dikenakan adalah RM430 untuk satu semester. Tuan boleh bandingkan bayaran tersebut dengan jumlah kos yang terpaksa kerajaan Tuan keluarkan untuk membolehkan universiti ini menyediakan kursus tersebut.

Lawatan saya ke UiTM Shah Alam antara bulan November ke Disember 2008 memperlihatkan jumlah pelajar yang agak ramai yang berkemampuan memandu kenderaan yang berharga tinggi, pergi berlibur di kelab-kelab terkemuka di Bukit Bintang, dan juga melancong ke luar dan dalam negara bersama rakan-rakan dan buah hati.

Graduan UiTM menjadi buruan industri, tanda keunggulan taraf dunia mereka.

Graduan UiTM menjadi buruan industri, tanda keunggulan taraf dunia mereka.

Saya boleh memberi andaian bahawa mereka berasal daripada kalangan keluarga berada dan mampu menghantar anak-anak ke universiti luar negara, namun yakin dengan kualiti yang ada pada UiTM sebagai sebuah IPTA terkemuka bertaraf dunia.

Dengan kecintaan mereka yang mendalam kepada UiTM, mereka telah bersabung nyawa di jalanan Shah Alam, berhadapan dengan pasukan FRU yang “ramai”, untuk menentang cadangan Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor untuk membuka ruang 10% kemasukan UiTM kepada bukan Bumiputera. Mereka bukan setakat mencintai UiTM sebagai alma mater mereka, malah menyayangi bangsa Melayu dan menjunjung tinggi agama Islam.

Oleh kerana itu, saya mencadangkan agar Tuan menguatkuasakan untuk pelajar UiTM dengan pendapatan ibu bapa melepasi angka RM8,000 sebulan agar membayar sepenuhnya kos pengajian mereka dengan kerajaan menghentikan subsidi kos pengajian kepada kelompok ini.

Misalnya jika kos pengajian keseluruhan satu semester adalah RM3000, mereka tidak boleh lagi membayar hanya RM430, tetapi membayar jumlah keseluruhan RM3000.

Manakala bagi pelajar dengan pendapatan ibu bapa di bawah RM8,000 sebulan, subsidi kos pengajian bolehlah diteruskan seperti biasa.

Selamatkan UiTM, sumbangkan wang anda untuk bayar yuran sepenuhnya, tanpa subsidi kerajaan.

Pihak pengurusan UiTM juga boleh mengadakan Kempen “Sayangi UiTM, Pelihara Hak Melayu, Bayar Yuran Pengajian Sepenuhnya Bagi Memelihara Hak Ini”, bagi pelajar-pelajar lainnya yang pendapatan ibu bapa berada di bawah paras RM8,000 sebulan. Diharapkan dengan kempen ini, pelajar-pelajar dapat menzahirkan kecintaan kepada UiTM dan bangsa Melayu dengan berkorban dari segi kewangan untuk membantu bangsa sendiri.

Saya memilih UiTM, oleh kerana mereka adalah sebuah universiti yang ditubuhkan dengan semangat bangsa yang berkobar-kobar. Sejajar dengan Bulan Kemerdekaan, kita dapat menerapkan semangat patriotik dan cintakan bangsa dalam kalangan pelajar UiTM, dengan mendidik mereka berkorban demi bangsa, mengenangkan usaha tokoh-tokoh yang bersabung nyawa menentang pengganas komunis di hutan belantara.

Langkah ini dijangkakan dapat menjimatkan berbilion-bilion ringgit wang kerajaan, dan dizahirkan pada defisit belanjawan yang lebih rendah untuk tahun 2010.

2) Melaksanakan peraturan mengehadkan bonus kepada eksekutif syarikat-syarikat Malaysia.

Kenangan Cristiano Ronaldo di Manchester United, kelab bola sepak tajaan AIG, sebuah syarikat insurans yang diselamatkan Kerajaan Amerika Syarikat.

Kenangan Cristiano Ronaldo di Manchester United, kelab bola sepak tajaan AIG, sebuah syarikat insurans yang diselamatkan Kerajaan Amerika Syarikat.

Meneladani peraturan yang telah dilaksanakan di Amerika Syarikat oleh Presiden Barack Obama, yang mana mengehadkan pemberian bonus oleh bank-bank dan syarikat automotif yang diselamatkan oleh kerajaan Amerika kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarahnya, saya membayangkan kemungkinan untuk kerajaan Tuan melakukan perkara serupa.

Hal ini kerana banyak syarikat Malaysia yang bergantung harap kepada projek-projek kerajaan Tuan, misalnya dari RMK-9 atau Pakej Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua. Oleh kerana kebergantungan mereka yang sangat tinggi kepada kontrak-kontrak daripada kerajaan, mereka tidak jauh bezanya dengan bank-bank dan syarikat automotif Amerika yang terpaksa diselamatkan oleh kerajaan Amerika dalam Pakej Rangsangan Ekonomi mereka.

Laksanakan juga pengehadan jumlah ahli lembaga pengarah syarikat gergasi Malaysia, supaya jumlah keuntungan tidak begitu banyak dibazirkan. Misalnya Malayan Banking Berhad, Maybank yang pernah memiliki sehingga 23 Ahli Lembaga Pengarah, dan kini dikecilkan kepada 11 sahaja.

Usaha-usaha ini akan meningkatkan kemandirian syarikat-syarikat gergasi ini, agar mereka lebih berdikari dan berjaya menjunjung nama Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia. Selain itu, ahli lembaga pengarah syarikat dapat dididik untuk melaksanakan tanggungjawab sosial dengan lebih ikhlas dan cemerlang.

Diharapkan, jumlah bonus yang ingin diberi boleh diserahkan kepada kakitangan peringkat lebih rendah, yang akan membelanjakan wang bonus ini bagi menggerakkan ekonomi negara, seterusnya meningkatkan kutipan cukai kerajaan.

Kesimpulan

Dua langkah yang saya cadangkan ini bukan sahaja dapat menjaga kantung kewangan kerajaan, malah dapat menggembirakan rakyat, selain meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar UiTM yang akhirnya bakal menjadi eksekutif dalam syarikat-syarikat gergasi, agar sanggup berkorban demi bangsa dan negara.

Inilah cara kita untuk berjasa kepada negara, bukan hanya dengan menjadi polis, tentera mahupun menyertai Program Latihan Khidmat Negara, tapi pulang dengan semangat dan jiwa yang kosong. Sesiapa sahaja boleh berbuat jasa dengan cara mereka yang tersendiri, agar akhirnya kita menjadi satu masyarakat yang teguh dan utuh.