jump to navigation

Malaysia IT Fair, pameran masih berlangsung. Juga cerita komputer riba baru. September 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
add a comment

Saya pernah mengeluh mengenai saiz skrin dan papan kekunci yang kecil pada HP Mini 210, yang saya peroleh menerusi kontrak TM Streamyx. Keadaannya yang sempit memberikan kesukaran untuk saya menaip bagi tujuan kerja dan penulisan blog. Manakala RAM yang dibekalkan untuk netbook yang saya peroleh pada April 2010, hanyalah jenis lama DDR2, yang kini kurang digunakan berbanding DDR3 yang lebih mudah diperoleh dengan murah di pasaran.

Pengajaran besar saya peroleh dari situ, iaitu untuk cuba memperoleh yang paling terkini di pasaran, agar gajet dan rangkaian yang dimiliki kekal relevan untuk jangka masa panjang. Kontrak TM Streamyx juga bakal berakhir tahun hadapan, menyediakan saya dengan pelbagai kemungkinan, antaranya untuk menggunakan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi yang akan melebarkan sayapnya ke apartmen tempat tinggal saya juga.

Okey, keadaan tersebut membuka mata saya mengenai pameran IT yang diadakan selepas Aidilfitri, iaitu 2-4 September lalu di Pusat Pameran Mid Valley Exhibition Centre. Saya memang mensasarkan untuk membeli sebuah notebook (lebih besar dari netbook) bagi meningkatkan kekerapan penulisan blog, juga untuk menggalakkan aktiviti muat turun lagu dan filem dari Internet. (Teladan yang tidak patut dicontohi kanak-kanak)

Sumbangan pekerja kepada KWSP kini dinaikkan semula kepada 11%.

Untunglah, perbelanjaan Aidilfitri saya sederhana, iaitu menepati jumlah bonus Aidilfitri dari kerajaan 1Malaysia berjumlah RM445.00 (RM500 – RM55 sumbangan KWSP bagi membiayai perbelanjaan kerajaan di masa hadapan) Lebihan wang seperti biasa disimpan bagi masa hadapan.

Lebih baik saya langkau cerita Aidilfitri saya, kerana bagi seorang lelaki 21 tahun yang sudah bekerja, sudah kurangnya nikmat berbanding zaman kanak-kanak riang.

Terus ke cerita Malaysia IT Fair, setelah meneliti pilihan komputer riba yang sesuai, saya pun telah memutuskan jenama yang akan saya pilih.

Acer, tolak ke tepi kerana kerosakan yang kerap berlaku, serta sokongan pelanggan yang kurang mesra.

HP, juga saya tolak ke tepi kerana pengalaman dengan HP Mini 210 yang nampaknya tidak menepati spesifikasi terkini (ketika saya memperolehnya secara percuma, saya tidak arif mengenai spesifikasi komputer).

Pilihan saya adalah ASUS, kerana reka bentuk yang mesra pengguna dan tahan lasak, berdasarkan pengalaman menggunakan komputer riba jenama sama milik sepupu, seorang guru yang bertugas di Sabah. Saya memasang angan-angan untuk memperoleh sebuah.

Pada hari bertuah tersebut, 4 September 2011, saya akhirnya memperoleh komputer riba yang saya idam-idamkan.

Spesifikasi juga telah saya letakkan bersama gambar.

Tentang harga, saya telah membeli komputer riba ini pada harga yang sedikit murah berbanding yang dinyatakan dalam Panduan Produk ASUS ini.

Klik untuk muat turun Panduan Produk ASUS/ ASUS Product Guide September-October 2011

Di samping harga yang sedikit murah, saya juga memperoleh beberapa hadiah percuma (yang saya yakini nilainya murah sahaja) antaranya:-

  • Pad penyejuk (cooling pad)
  • Hub USB 4-port
  • Fon kepala (headphone)
  • Tetikus Optikal
  • Pembersih Skrin
  • Pelindung papan kekunci
  • Backpack
  • Pad tetikus

Antara yang mungkin menjadi perhatian bagi pembaca:-

Windows 7 Home Premium (64-bit)

Pemproses Quad-Core Generasi Kedua Intel i7-2630QM (Maklumat tambahan: pemproses ini dibangunkan di Israel. Terasa bersalah menggunakannya walaupun pantas.)

Grafik AMD Radeon HD 6730M dengan 2GB DDR3 VRAM

 

Sekadar berkongsi maklumat terkini mengenai teknologi terbaru komputer riba. Mungkin tidak ramai lagi yang ambil kisah mengenai komputer riba sejak hadirnya pelbagai komputer tablet seperti iPad 2. Bagi mereka yang banyak meluangkan masa di rumah mahupun di pejabat, komputer riba masih lagi peralatan terbaik untuk menjalankan kerja masing-masing.

Begitulah kisahnya mengenai pemasaran selepas hari raya Aidilfitri, yang saya sangkakan tidak akan dihadiri ramai pengunjung. Rupa-rupanya para pelajar yang bakal memasuki kampus semula, telah beramai-ramai mengambil kesempatan untuk membeli peralatan IT terbaru, mungkin menggunakan duit raya yang diperoleh sebelumnya.

Kepada yang belum ke Malaysia IT Fair, sebenarnya pameran tersebut masih berlangsung. Klik gambar di bawah untuk ke laman web rasmi pameran.

Bankcard, macam tak berguna sangat. April 29, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , ,
1 comment so far

Saya tadi pergi ke satu kedai komputer berhampiran Pasar Kajang, kerana melihat iklan mesin pencetak HP yang berharga RM99 sahaja, saya pun tertarik untuk membeli satu. (Masih banyak lagi stok jika anda berminat, pergilah ke kedai Actscom sebaris dengan Bank Islam cawangan Kajang). Selain itu juga, saya turut membeli sebuah tetikus yang sangat cantik, dan berharga hanya RM10.

Pergi ke kaunter pembayaran, saya minta untuk membuat pembayaran menggunakan Bankcard CIMB Bank saya. Malang sekali, juruwang memberitahu saya bahawa terdapat caj RM4 yang akan dikenakan jika saya membayar menggunakan Bankcard atau kad kredit. Oh tidak! terpaksalah saya pergi ke cawangan CIMB Bank terdekat, nasib baiklah saya tidak mengambil masa yang lama.

Kemudian saya kembali ke kedai tersebut, dan berjaya membeli mesin cetak HP ini dan pulang ke rumah dengan gembira.

Meskipun saya gembira, saya terfikir tentang perkara yang saya lalui tadi.

Mengapakah caj dikenakan ke atas penggunaan kad kredit dan Bankcard? Pada fikiran saya, Bankcard sepatutnya memudahkan urusan semua pihak, baik para peniaga atau pelanggan.

Adakah peniaga ini bertujuan semata-mata mahu mencari keuntungan melalui urus niaga elektronik? Saya tidak rasa begitu. Apa yang saya lebih fikirkan ialah mungkin terdapatnya caj yang sangat mahal dikenakan oleh MEPS kepada peniaga yang mahu membenarkan pembayaran menggunakan Bankcard.

Bayangkanlah, untuk pemindahan wang antara bank secara dalam talian pun, caj sebesar RM2 dikenakan. Bagi saya caj-caj ini sangatlah tidak patut dikenakan untuk transaksi-transaksi sebegini. Fikirkanlah tentang kemudahan pelanggan. Lagipun MEPS sudah mengaut untung banyak daripada transaksi di ATM, dan juga yang menggunakan kad kredit.

Bankcard kini digunakan oleh semua bank perdagangan, tidakkah MEPS mendapat untung daripada semua transaksi Bankcard?

Bagi saya, caj-caj membebankan ini sebenarnya membantutkan minat masyarakat kepada pembayaran secara elektronik yang sebenarnya sangat memudahkan semua. Seharusnya, pihak MEPS perlu memikirkan kaedah-kaedah untuk menggalakkan perbankan elektronik, bukan mengenakan caj-caj atas urusan ringkas. Jika ini yang dilakukan, pasti MEPS boleh membayangkan keuntungan yang lebih besar untuk jangka panjang.

Saya juga turut mengalu-alukan penjelasan, baik daripada golongan peniaga, pegawai bank, lebih baik lagi pegawai MEPS sendiri untuk menjelaskan kedudukan urusan pembayaran elektronik ini. Terima kasih.