jump to navigation

Firefly kurangkan destinasi penerbangan, langkah merugikan hasil kerjasama MAS-AirAsia. September 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

Syarikat penerbangan Firefly telah menutup beberapa penerbangan, yang menggunakan pesawat B737 yang menghubungkan KLIA ke destinasi-destinasi di Sarawak. Untuk pengetahuan, perkhidmatan Firefly ke Sarawak hanya bermula semenjak Mei lalu bagi laluan Johor Bahru – Kuching, manakala Sibu – Kuala Lumpur bermula Julai lalu dengan Firefly berjanji untuk menambahkan kekerapan penerbangan sebelum hujung tahun.

Juga akan ditutup adalah laluan Kuching – Kuala Lumpur, yang juga baru dimulakan Januari lepas. Penerbangan Firefly ke Kota Kinabalu dan Sandakan tetap diteruskan. Ramai yang mengeluh di atas penutupan penerbangan-penerbangan ke Sarawak tersebut. Difahamkan pentadbir laman Facebook Firefly telah memadamkan pelbagai komen dari pelanggan yang berang dengan penutupan laluan secara tiba-tiba dengan notis terlalu singkat.

Karikatur muka hadapan Utusan yang telah diubahsuai.

Biro Ekonomi Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), komponen utama BN Sarawak turut mengecam tindakan penutupan laluan ini kerana dibimbangi akan mengurangkan kehadiran pelancong ke Sarawak dari dua bandaraya di Semenanjung tersebut.

Ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP) Labuan, Lau Seng Kiat pula berpendapat bahawa Sabah dan Sarawak wajar mempunyai perkhidmatan penerbangan sendiri “Borneo Airways” kerana kebergantungan yang tinggi oleh kedua-dua negeri ini terhadap pengangkutan udara.

Hal ini berikutan pertukaran saham antara Malaysia Airlines dan AirAsia, yang mana langkah ini dipersalahkan sebagai punca Firefly, syarikat milik penuh Malaysia Airlines menutup perkhidmatan B737-nya dan hanya menumpukan kepada perkhidmatan turboprop di Semenanjung.

AirAsia makin berkembang, dan kerjasama dengan MAS akan meningkatkan lagi keuntungan di pihak AirAsia dari segi persaingan harga yang tidak lagi berlaku.

Bagi menyediakan penerbangan kawasan serantau, sebuah penerbangan baru dengan perkhidmatan penuh akan diwujudkan, iaitu Sapphire Air, hasil rangka kerjasama antara Malaysia Airlines – AirAsia. Sapphire akan mengambil alih semua kapal terbang jet milik Firefly dan juga dari Malaysia Airlines yang menyediakan penerbangan domestik dan serantau.

Pengenalan penerbangan baru ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan kakitangan Malaysia Airlines. Dari sejumlah 15,000 kakitangan, 80% daripada tenaga kerja Malaysia Airlines akan dipindahkan ke Sapphire, dibimbangi dengan manfaat dan syarat yang berbeza dari sedia ada.

Penglibatan beliau dalam usaha menjaga kebajikan pekerja MAS, mampu memberikan pulangan undi yang besar pada pilihanraya nanti.

Kebimbangan tersebut mendorong mereka mendapatkan kerjasama mantan Timbalan Perdana Menteri / Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, yang akan membawa isu kebajikan kakitangan Malaysia Airlines ke Parlimen yang akan bersidang. Setakat ini, Malaysia Airlines kerugian RM769 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2011.

MAS terus berada dalam kerugian, di manakah silapnya?

Kakitangan Malaysia Airlines tidak wajar menanggung kerugian akibat kesilapan di pihak pengurusan, begitu juga rakyat Malaysia sebagai pelanggan yang kecewa dengan pengwujudan kartel dalam industri penerbangan tempatan, yang bakal terus merugikan rakyat yang harus membayar lebih mahal untuk pengangkutan udara di masa hadapan.

Bonus! Syukur kepada Allah, terima kasih Kerajaan. Ogos 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Seperti yang diketahui ramai, 1.27 juta kakitangan kerajaan akan dan telah menerima imbuhan dari kerajaan sejumlah setengah bulan gaji pokok, dengan minimum akan diterima setiap kakitangan adalah RM500. Sebagai kakitangan taraf permulaan, saya bakal menerima jumlah minimum tersebut kerana gaji pokok saya yang rendah, namun jumlah elaun yang munasabah dan memuaskan.

Rumah siap, pahat berbunyi. Kakitangan sokongan memberikan keluhan bonus yang sedikit berbanding pekerja atasan mereka yang pastinya memperoleh jauh lebih banyak. Jika difikirkan, kos asas untuk menyambut hari raya adalah hampir sama bagi mereka yang telah berkeluarga, iaitu merangkumi kos perjalanan pulang ke kampung halaman.

Namun, untuk memberikan seadilnya berdasarkan saiz keluarga dan jumlah jarak perjalanan, pastinya memerlukan kajian dan sifir yang cukup rumit , namun bagi mereka yang berkeluarga, RM500 adalah satu cumlah cukup sedikit, iaitu di “celah gigi” sahaja.

Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan bonus berdasarkan unit ahli keluarga, misalnya seorang memperoleh RM250. Sebuah keluarga dengan 5 ahli keluarga, taraf kaya atau sederhana akan memperoleh RM1250 tidak kira berapa ramai pun yang bekerja dengan kerajaan.

Untuk membolehkan perkara tersebut berlaku, kerajaan wajar melakukan kemas kini berkala bagi keahlian keluarga kakitangan, dan memastikan tiada permohonan bonus bertindih dibuat bagi seorang ahli keluarga menerusi sistem pangkalan data JPN, yang kini digunapakai oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi menghapuskan nama pemilih meninggal dunia, selepas ianya menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia pada 2008.

Pendapat kebanyakan anggota masyarakat di Facebook menunjukkan kesedaran mereka yang cukup rendah berkenaan hak pekerja. Pernyataan utama mereka, “golongan anti-kerajaan tidak patut bekerja dengan kerajaan”.

Berdasarkan kenyataan sedemikian, fikirkan berapa ramai orang Melayu yang perlu berhenti kerja daripada perusahaan milik misalnya, Amerika Syarikat, kerana mereka anti-Amerika dan anti-Israel? Tiada yang bersuara, kerana tahu hak pekerja untuk menyokong dan membantah siapa yang mereka suka, pada masa sama boleh bekerja di bawah sesiapapun yang memberikannya kerja.

Tiba-tiba kesedaran sedemikian hilang apabila melibatkan kerajaan. Rasa kasih sayang sesetengah golongan kita kepada kerajaan cukup menebal. Adakah kerana terhutang budi dengan pejuang kemerdekaan dan pemimpin terdahulu yang berjasa? Perasaan tersebut memang digalakkan, namun mereka yang berjuang itu rata-ratanya telah uzur dan ada yang meninggal dunia.

Jika ada yang berterima kasih dan menghargai perjuangan, Dato’ Onn Jaafar misalnya, yang mengutamakan demokrasi dan perhubungan kaum yang lebih erat, bagaimana mereka pada masa sama boleh menerima apabila cucunya Hishammuddin melakukan acara mencium “Keris Panca Warisan” yang dilihat sebagai satu amaran kepada kaum lain di negara tercinta ini?

Mungkin ada yang tak mengerti, tetapi “point”nya di sini, mereka yang berada dalam kerajaan yang berjasa ketika dahulu, tidak lagi berada dalam kerajaan sekarang. Dan ini adalah hakikat, kerajaan sekarang dipenuhi dengan pelbagai kontroversi dan dilema masalah. Ada yang sanggup menafikan perkara tersebut? Silakan.

Justeru, untuk berterima kasih kepada kerajaan atas jasanya terdahulu, amat digalakkan. Pada masa sama, masalah yang membelenggu sekarang usah diabaikan dan wajar diperbetulkan. Untuk bersyukur, hanya Allah berhak menerima syukur hamba-Nya, dan sesama manusia hanya berhak memberi dan menerima ucapan terima kasih atas jasa yang diberi dan diterima.

Paling penting, jika ianya melibatkan undi dalam pilihanraya yang demokratik, jawapan jelas tanpa ragu, “UNDI ADALAH RAHSIA. Ianya HAK RAKYAT, bukan HAK KERAJAAN!”

Perkahwinan campur, apakah bangsa bagi anak mereka? Jun 14, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
5 comments

Isu ruangan “bangsa” atau “kaum” dalam sistem pendaftaran negara sedang dipersoalkan dengan hebat kebelakangan ini. Perdebatan bermula apabila ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh ingin mendaftarkan kelahiran anaknya.

Hannah Yeoh bersama suami, tak ingat pula namanya.

Kerana perkahwinannya dengan seorang lelaki berbangsa India, anak yang dilahirkan tidak jelas butiran bangsanya. Jika ditulis “Cina”, bapanya seorang India. Jika ditulis “India” bagaimana pula dengan ibunya? Lalu Hannah memutuskan untuk menulis “Bangsa Malaysia” pada bahagian bangsa pada borang pendaftaran.

Difahamkan, selepas ditolak, beliau memilih ruangan “Lain-Lain”, namun juga ditolak kerana bangsa anak haruslah dipilih daripada salah satu ibu atau bapa. Untuk memastikan urusan pendaftaran anak bagi kesihatan dan pendidikan tidak terganggu, Hannah terpaksa menulis di bahagian bangsa anaknya sebagai “Cina”.

Kian banyak perkahwinan campur yang diadakan dalam kelompok masyarakat kita. Jadi, perkara ini akan menjadi isu yang akan dibincangkan lebih kerap, dan mungkin boleh menjadi topik utama “Debat Perpaduan” yang diadakan antara institusi pengajian tinggi.

Saya mencadangkan agar ruangan bangsa dikekalkan dalam sistem pendaftaran negara, namun kelonggaran wajar diberi bagi pemilihan bangsa, iaitu dibenarkan untuk dua bangsa gabunganantara ibu dan bapa.

Drama ini bakal berakhir minggu ini juga. Sekejap masa berlalu.

Ambil contoh seorang pelakon yang kian menjadi kegemaran saya, Siti Saleha a.k.a Nora Elena. Artikel hiburan merujuk beliau sebagai seorang aktres Melayu – Inggeris, dan perkara itu tidak menjadi masalah kerana kebiasaannya para artis kita suka menggabungkan pelbagai bangsa asal dalam keturunannya.

Dalam drama yang beliau lakonkan, beliau berkahwin dengan seorang Cina bernama Seth Tan. Satu lagi perkahwinan campuran. Namun bagi tujuan pendaftaran, lebih munasabah jika kita menerima dua bangsa utama yang ada dalam keturunan ibu dan bapa anak tersebut.

Hormatilah mereka, usah layan mereka hanya sebagai "Lain-Lain". Merekalah penduduk asal tanah yang kita diami ini.

Kita dalam usaha mencapai perpaduan nasional, justeru wajar kita memahami perbezaan kita masing-masing dengan mengakui bangsa dan keturunan kita yang berbeza-beza. Merujuk kepada matlamat ini, sewajarnya kolum “Lain-Lain” juga dihapuskan daripada sistem pendaftaran kita.

Nama-nama kaum mereka wajar kita angkat, agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pemodenan negara.

Wujudkan pengkalan data dan direktori bangsa-bangsa yang ada di Malaysia yang boleh dikemas kini setiap bulan.

Kewujudan pelbagai bangsa di negara kita wajar kita hargai dan bangga, perbezaan inilah yang membentuk identiti kita, asal usul kita. Ianya tidak seharusnya dipadamkan daripada ingatan anak-anak kita hanya semata-mata kerana “penyatuan bangsa” menjadi bangsa Malaysia.

Bangsa Malaysia tetap menjadi sesuatu yang relevan, namun perbezaan kita semua haruslah diterima dan dihormati. Walau apa pun bangsa kita, kita tetap sama sebagai umat manusia.

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian adalah orang yang paling bertaqwa di sisi Allah. “

Surah al-Hujurat ayat 13.

Penglibatan dalam F1, siapa kata tak bagus? April 8, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

Blog berita automotif terkenal Paul Tan melaporkan mengenai petrol terbaru daripada Petronas, yang turut dipaparkan dalam pelbagai iklan tatkala demam F1 melanda Malaysia.

Petrol tersebut akan menggunakan nama Primax 95 Xtra, yang dikatakan dapat memberikan keseimbangan antara prestasi enjin dan penjimatan minyak. Keseimbangan tersebut sedikit sebanyak merupakan hasil daripada kerjasama dan perkongsian teknologi menerusi sukan F1.

Perkembangan ini sudah tentunya berita baik untuk rakyat Malaysia yang kebanyakannya cenderung mengejar masa dengan memandu pada kelajuan tinggi, pada masa yang sama kesempitan wang untuk membayar harga bahan api.

Menjelang GP Malaysia Ahad ini, kita diperkenalkan kepada 3 pasukan F1 yang mengiktiraf Malaysia sebagai antara rumah mereka. Mereka beranggapan sedemikian kerana menerima penajaan dan penglibatan syarikat gergasi negara kita.

Lotus Renault GP menerima penajaan secara tidak langsung dari Proton yang memiliki Group Lotus UK. Manakala Team Lotus menerima tajaan dari Tune Group dan Kumpulan Naza.

Masih hebat memandu jentera F1.

Manakala Mercedes-Benz bergabung dengan syarikat minyak kebangsaan, Petronas membentuk Mercedes GP Petronas yang turut dianggotai oleh bekas juara, Michael Schumacher sebagai pelumba utama.

Penglibatan syarikat Malaysia dalam F1 terus membuahkan hasil apabila Proton, pengeluar kereta nasional mula menunjukkan potensi bagi menjadi pengeluar berstatus global menerusi kerjasama dengan gabungan Renault-Nissan yang terbukti berjaya di peringkat antarabangsa.

 

Maaf, tawaran sudah tamat. Saya juga tak sempat beli tiket murah ini. Harap tahun depan ada lagi.

Pengurusan Sepang F1 Circuit pula harus diberikan pujian ke atas penawaran harga tiket yang cukup berpatutan, iaitu RM30 untuk tempat duduk bukit (hillstand) bagi pembelian awal.

Difahamkan harga sedemikian adalah yang terendah di dunia bagi siri perlumbaan F1. Tiket untuk kawasan duduk yang sama masih boleh diperoleh pada harga RM60 sehingga hari perlumbaan.

Menarik lihat jentera F1 bergelut dalam hujan bukan?

Akhir sekali, harapan semua adalah supaya sistem saliran di Litar F1 Sepang dapat berfungsi dengan baik supaya perlumbaan dapat diteruskan walaupun hujan melanda.

Pada pandangan Kelapa Muda, kejadian sedemikian pastinya akan menjadi lebih menarik di kaca TV jika perlumbaan tidak terganggu.

 

 

Revolusi Tunisia dan Mesir, kerajaan Malaysia panas punggung! Januari 27, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Game Over bagi Ben Ali, Mubarak dan.... Najib?

Di tengah-tengah kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang digerakkan oleh media sosial di Internet, kerajaan Malaysia telah mula mengugut rakyat dengan cadangan pindaan Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 (PPPA).

Pindaan PPPA yang dicadangkan adalah bertujuan bagi mengawal (rujuk mengekang)  kandungan internet seperti portal berita, laman sosial seperti Facebook dan blog, seperti Kelapa Muda yang anda sedang baca sekarang.

Hata Wahari, pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia.

Semakin ramai pengguna Facebook, Twitter dan penulis blog yang membantah cadangan pindaan PPPA ini, yang dianggap sebagai usaha bagi menutup kepincangan ketara institusi kerajaan di Malaysia yang kian dicemari dengan pelbagai kontroversi seperti kuasa Wanita Pertama yang tidak terkawal, pembunuhan dan kematian tahanan politik, rasuah yang kian berleluasa termasuk di peringkat pentadbiran daerah.

Isteri Perdana Menteri kelihatan mahu merampas kuasa institusi diraja dengan menganggap diri Wanita Pertama. Tak malu sungguh!

Menambah tekanan kepada kerajaan, tindakan tidak peri kemanusiaan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang seolah menjadi kuli kepada kerajaan Persekutuan, serta kenaikan harga barangan keperluan yang menimbulkan kemarahan ramai, yang hanya boleh diketahui menerusi media sosial dan tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

Jelas sekali, kerajaan Malaysia panas punggung!

Walaupun dicop sebagai kuku besi, kerajaan terdahulu pimpinan Dr. Mahathir Mohamad telah memberikan satu perkara yang membolehkan parti pembangkang Malaysia mendapat tempat yang tidak kurang hebatnya dalam politik Malaysia, iaitu kebebasan Internet yang diberikan dalam Senarai Jaminan Koridor Raya Multimedia.

“Bill of Guarantee No. 7: To ensure no censorship of the Internet”

“Senarai Jaminan No. 7: Untuk memastikan tiada tapisan terhadap Internet”

Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia

Selama ini, kerajaan Malaysia pimpinan Dr. Mahathir, Abdullah Badawi menghormati jaminan kebebasan internet ini, dan berjaya menjadikan Malaysia negara yang dikenali dalam industri multimedia sedunia.

Tukar Tiub, blog Hishamuddin Rais, seniman paling terpinggir Malaysia.

Kini, Malaysia mempunyai himpunan ramai penulis blog, pengguna Facebook dan Twitter yang aktif, serta portal berita yang berpengaruh. Internet menjadi medium yang amat berguna bagi rakyat Malaysia menyuarakan ekspresi diri dan menyebarkan idea secara matang dan berhemah.

Malangnya, kematangan itu cuba dikekang oleh pentadbiran sekarang pimpinan Najib Razak yang terhimpit dengan usaha mempertahankan kerajaan yang sudah bertapak hampir 54 tahun, dan pada masa yang sama cuba menonjolkan imej sebagai pemimpin yang liberal dan terbuka.

Klik gambar untuk membaca mengenai masalah keselamatan yang melanda para pengguna UniFi.

Jika mahu dikatakan pentadbiran sekarang mahu menghalang kebebasan Internet, pastinya TM tidak dibenarkan bagi meningkatkan kelajuan jalur lebarnya menerusi UniFi dan rakyat akan dibiarkan melayari Internet dengan kelajuan yang cukup memenatkan. Malah jumlah pemain industri internet di Malaysia sedang meningkat dengan pelbagai tawaran baharu.

Mungkin, keterbukaan itu kini sedang cuba dihalang oleh para panglima perang (warlords) dalam partinya yang semakin agresif dalam menyalakan semangat perkauman, serta mengekang kebebasan rakyat.

BlackBerry Playbook, tablet terbaharu. Dipetik dari klip video lagu Black Eyed Peas, Dirty Bit!

Jika aktiviti Internet di Malaysia dikekang, nampaknya kita masing-masing perlu mempertimbangkan untuk menggunakan BlackBerry yang mempunyai pelayar di luar negara yang tidak dapat dikawal kerajaan Malaysia. Terpaksa keluarkan bajet lebih.

Nasihat saya kepada para pemimpin, bersyukurlah kerana mempunyai rakyat yang matang dan berhemah.

Hargailah kami, hormatilah kebebasan kami rakyat Malaysia.

Isu SUK: Pakatan Rakyat menang dalam kalah. Januari 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

Kerajaan Selangor tidak wajar kejar majoriti 2/3, lagipun terserlah betapa tidak cerdiknya wakil-wakil BN.

Seperti diketahui, Kerajaan Negeri Selangor gagal dalam cubaannya untuk meminda perlembagaan negeri bagi memberikan kuasa dan suara kepada sultan dalam menentukan pelantikan tiga orang pegawai tertinggi negeri.

Namun, kekalahan ini sebenarnya merupakan satu kejayaan dalam membuktikan kepada rakyat, bahawa Pakatan Rakyat punya hasrat jelas ingin mengembalikan kuasa raja-raja tanpa kompromi, yang mana telah dinafikan oleh BN dengan beberapa siri pindaan perlembagaan persekutuan sebelum ini.

Kerajaan negeri Selangor, gagal memperoleh majoriti 2/3 atau 38 undi menyokong. Sebaliknya hanya 34 undi menyokong, iaitu semuanya daripada wakil Pakatan Rakyat, sementara 20 wakil BN semuanya membangkang.

BN juga telah mengadakan perhimpunan di luar kompleks kerajaan negeri, membantah pindaan perlembagaan tersebut yang didakwa bertujuan mengukuhkan kuasa Menteri Besar, sedangkan niat sebenar pindaan perlembagaan tersebut adalah untuk mengurangkan kuasa persekutuan dan eksekutif dan mengembalikannya kepada yang berhak, iaitu Sultan Selangor.

Lihatlah betapa BN mengkhianati raja-raja. Hipokrit betul BN, serta mereka yang mendokongnya habis-habisan!

Walaupun perhimpunan kelihatan disertai ramai, namun semuanya boleh dikatakan kelihatan seperti begitu dungu dan lurus bendul dalam mempertahankan kuasa Persekutuan, membela Perdana Menteri agar boleh melakukan keputusan sesuka hati tanpa perlu meminta nasihat mahupun cadangan daripada Menteri Besar negeri mahupun raja sendiri.

Menyeleweng sumber air negeri, buat bangunan letak nama sendiri. Terima kasih Rozali!

Ini dilihat sebagai kegagalan kedua kerajaan negeri Selangor dalam melakukan perancangannya, iaitu sebelum ini bagi memiliknegerikan sumber bekalan air yang telah dimonopoli oleh syarikat kroni Persekutuan, Puncak Niaga Sdn Bhd.

Walaupun dalam krisis kewangan dan terpaksa memohon bantuan dana persekutuan, nampaknya Puncak Niaga masih berusaha gigih membela penyelewengannya selama ini daripada terus terbongkar jika syarikat bekalan air dimiliknegerikan.

PERKASA, terserlah boneka UMNO! Bebas konon!

Tahniah tetap perlu dikalungkan kepada kerajaan negeri Selangor, kerana terus mengutamakan rakyat dalam setiap perancangannya walaupun mengalami kegagalan demi kegagalan.

Semoga Menteri Besar tidak tertekan untuk mengikut Perdana Menteri membubarkan dewan untuk Pilihanraya Umum ke-13, kerana mandat masih ada dan masih besar (34 kerusi), dan keupayaan masih tinggi bagi terus melaksanakan pembaharuan dan membongkar penyelewengan yang terus dibela oleh golongan tidak terpelajar seperti GAPS dan PERKASA.

 

UMNO…tak sudah-sudah dengan fitnah! Januari 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Fitnah dahsyat kepada Cikgu Mala di Facebook.

Harap bersabar ya Cikgu Mala, parti nyanyuk BN ini memang dah makin huru-hara.

Pilihanraya Kecil DUN Tenang, Johor digegarkan dengan siri fitnah dan tohmah yang dilemparkan ke atas calon PAS, Normala Sudirman. Siapa yang mulakan fitnah, sudah tentunya golongan yang tidak bermaruah daripada parti UMNO dan sekutu-sekutunya dalam BN, parti kesayangan pasukan keselamatan kita.

Calon PAS, Normala Sudirman dituduh sebagai telah melakukan zina. Nampaknya semakin terdesak, malah semakin hilang pertimbangan para blogger pemfitnah daripada UMNO ini. Fitnah ini kian tersebar di laman Facebook. Tergamak tuduh orang berzina tanpa bukti dan saksi? Makin lama, makin sesat!

Cekiklah kami lagi, semoga kalian yang menyokong pemerintah zalim ini puas hati.

Wahai para penyokong dan pembela parti UMNO, diminta anda fikir-fikirkanlah, mengapa isu-isu ini yang anda timbulkan dalam pilihanraya, mengapa tidak ditangani isu kesukaran hidup rakyat misalnya dengan gaji RM3000 sebulan yang dianggap “pendapatan tinggi”, selain pendidikan berkualiti yang sewajarnya diperoleh. Kenapa perlu sampai memburukkan peribadi lawan?

Saya kira, sudah 54 tahun memerintah, UMNO/BN sewajarnya sudah matang dalam kempen-kempennya, atau mungkin juga seperti manusia, UMNO mengalami sindrom nyanyuk, mahupun penyakit-penyakit lain golongan tua, lebih-lebih lagi dengan kesombongannya setelah sekian lama berkuasa.

Timbul juga isu keengganan Normala bersalam dengan lelaki. Wahai para pendokong UMNO, jika anda kata anda pendokong kebebasan bersuara dan berpolitik, kebebasan juga bermaksud bebas dalam mengambil pilihan melindungi diri daripada disentuh secara fizikal, adakah itu salah?

Jangan beli telefon CSL, ianya kependekan kepada Chua Soi Lek. Sekadar bergurau, kedua-dua nama tiada kaitan okey!

Tokoh yang menimbulkan isu ini, adalah Dr. Chua Soi Lek daripada MCA. Umum mengetahui apa yang berlaku terhadap Chua pada awal tahun 2008, iaitu pendedahan skandal seks beliau di sebuah hotel. Beliau dengan beraninya telah mengakui melakukan perbuatan tersebut, dan insaf atas kesalahannya.

Perdana Menteri paling "playboy" di dunia.

Skandal itu juga telah memalitkan arang kepada Barisan Nasional dalam kempen pilihanraya umum ke-12, selain merosakkan imej parti MCA, yang kalah di kebanyakan kerusi yang ditandingi. Kini, beliau mahu menegur seorang yang terbukti lebih bersih rekod moralnya? Saya minta Chua cermin diri.

Mungkin, Chua Soi Lek boleh mempertimbangkan untuk berhijrah dan menerima kerakyatan Itali, serta berkawan rapat dengan Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

Cantik bukan? Namanya pun indah, Karima El Mahroug, a.k.a Ruby Rubacuori.

Beliau punya lebih ramai perempuan berbanding PM Malaysia, yang hanya ada beberapa orang, seorang daripadanya sudah diletupkan hingga berkecai badan! Seorang lagi pula masih aktif dalam bidang nyanyian.

Jangan lupa, kirimkan salam Kelapa Muda kepada Karima El Mahroug yang cantik jelita dan masih muda remaja, salah seorang antara wanita yang dipercayai telah ditiduri Silvio Berlusconi.

 

 

Kehadiran pelajar asing Afrika. Manfaat atau mudarat? Januari 23, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

Saya mulakan dengan sebuah cerita.

Saya memiliki seorang rakan yang berfikiran cukup terbuka, yang tidak kisah bersahabat mahupun dengan orang asing, yang selalunya hanya mula dikenali menerusi laman sosial.

Semenjak dari tingkatan lima lagi, beliau sudah memiliki seorang teman lelaki daripada kalangan pelajar-pelajar asing. Lebih tepat lagi, kebanyakannya daripada negara Nigeria. Tamat hubungan dengan seorang, pastinya ada daripada rakan mereka yang lain yang kemudiannya akan cuba meraih hatinya dengan memujuk rayu bagi mengadakan hubungan cinta.

Namun jangan salah sangka, saya mengenali sahabat saya ini sejak sekian lama lagi, dan mengetahui bahawa beliau seorang wanita yang amat bersopan santun dan taat kepada ibu bapa. Bermakna, hubungannya dengan pelajar-pelajar tersebut tidak lebih daripada sekadar hubungan yang orang-orang muda kita gelarkan sebagai “couple”.

Itu adalah satu daripada sebab untuk saya terus bersahabat dengannya, kerana beliau cukup berfikiran terbuka. Saya juga menaruh minat kepadanya, namun terpaksa saya kawal diri, memandangkan beliau masih muda lagi dan mungkin belum bertemu cinta yang pasti. Semoga beliau terbuka hati suatu hari nanti.

Kami kerap kali keluar, dan membawa bersama beberapa orang rakan bagi menjadikannya bukan sebuah pertemuan pasangan bercinta. Namun, saya belum berkesempatan untuk membawa rakan-rakan lelaki saya, yang mana mereka semuanya cukup sibuk dengan pelbagai tugasan.

Baru-baru ini, beliau telah dihubungi oleh rakan dari Nigeria yang telah mengetahui beliau dan saya serta seorang berada di sebuah pusat beli belah yang berdekatan dengan kediaman mereka, yang mana kami keluar secara bertiga. Oleh kerana kami juga cuba untuk berfikiran terbuka sepertinya, kami malah membenarkan lelaki Nigeria ini membawa lagi 2 orang rakan lain yang menemankannya, untuk makan bersama kami berkongsi meja.

Selepas makan, pastinya kami bertiga ingin melawati kedai-kedai lain bagi meluangkan masa sebelum mereka diambil oleh ibu bapa, serta saya memandu terus pulang ke Kajang. Namun, 3 orang Nigeria ini terserempak dengan kami dan terus membuat keputusan mengekori kami, walaupun kami telah memberitahu bahawa kami lebih suka berjalan berasingan dari mereka.

Pak Lah, tokoh yang membuka universiti kita kepada pelajar Afrika. Terlebih diplomatik.

Kecewa dengan kedegilan mereka bertiga, serta sifat diplomatik ala-Abdullah Badawi dari rakan saya yang seorang ini, saya pun berangkat pulang, terus ke Kajang. Rakan saya ini, kerana sifat diplomatiknya cuba memujuk saya. Saya mengajaknya turun ke tingkat bawah berdekatan letak kereta untuk berbual, malangnya ibunya sudah pun tiba.

Apabila kami pulang ke rumah, sebenarnya beliau telah pun hilang sifat diplomatik yang mungkin hanya kepada rakan-rakan Nigeria-nya, dan kami bertelingkah selama lebih kurang 2 hari. Persahabatan kami nampaknya menjadi agak renggang, memandangkan saya yang tidak lagi berfikiran terbuka, dan beliau yang mula jatuh hati kepada rakan Nigeria ini, yang beliau puji kerana rupa paras yang menawan hati.

Okey, tamat cerita. Maaf jika terlalu panjang.

Kita kerap kali melihat mereka di negara kita. Kebanyakannya memasuki institusi pengajian tinggi swasta, ramai yang rata-ratanya lebih pintar daripada kita, ramai juga yang kaki meniru dalam peperiksaan dan tugasan, yang mana turut menjadi masalah kepada pensyarah jika mahu merancangkan aktiviti untuk kelas.

Kini, Malaysia mengalami masalah teruk, kekurangan pembantu rumah.

Jumlah mereka amat ramai, menjadikan kehadiran mereka sebagai kedua paling ramai selepas pendatang dari Indonesia. Namun saya lebih suka meletakkan pendatang Indonesia di kategori berbeza, kerana mereka datang untuk bekerja, rajin bekerja, memahami bahasa dan adat resam kita, serta cukup berdisiplin. Masakan orang-orang kaya kita cukup suka ambil mereka bekerja sebagai pembantu rumah?

Begitu juga dengan pendatang dari negara Asia lain, antaranya daripada Bangladesh, Vietnam, Kemboja dan Thailand, mereka semuanya hidup susah di negara masing-masing dan datang ke sini dengan tujuan hanya ingin bekerja. Kehadiran mereka membawa manfaat besar kepada negara, dengan menjadi tenaga buruh yang boleh diperolehi dengan bayaran gaji yang rendah, mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara kompetitif.

Namun, apa pula yang boleh dibuat oleh pelajar-pelajar Afrika ini?

Mereka ramai yang rajin belajar, namun bagaimana dengan mereka yang kandas, dan seterusnya tidak punya IPT untuk belajar, mereka terpaksa mencari IPT lain dan juga menampung hidup dengan bekerja.

Gambar The Star dalam artikel mengenai masalah pendatang asing mendiami Perumahan Rakyat dan melakukan kacau ganggu.

Selain itu, kehadiran mereka turut menyusahkan orang-orang yang tinggal di kawasan perumahan yang mereka tinggal, kerana cara hidup sosial mereka yang kelam-kabut, membuat bising di waktu lewat malam, merayau di tempat awam dan menimbulkan kerisauan, kerap kali mabuk dan melakukan kerosakan kepada harta awam. Saya pernah tinggal di kawasan perumahan Mentari Court, PJ dan itulah yang berlaku.

Begitu juga ketika mengunjungi restoran makanan segera. Pesanan mereka kerap kali memeningkan kepala kita, dan melambat-lambatkan proses mengambil pesanan sehingga merimaskan para pelanggan lain yang ingin juga membeli.

Nasib rakyat tempatan, Tuntut Hak, Kena Hentak!

Mahu harapkan polis ambil tindakan? Entah polis kita pun kecut perut kerana saiz badan mereka dan kekuatan yang lebih besar, dan polis kita hanya berani bertindak ke atas rakyat tempatan yang kecil-kecil saiznya dan mudah untuk diminta suap dan diugut dengan undang-undang. Adilkah?

Jadi, kehadiran mereka ke Malaysia, sebenarnya manfaat atau mudarat? Adakah mutu pendidikan tinggi semakin baik dengan adanya mereka? Saya tidak rasa begitu, memandangkan mereka membawa cara hidup di sana dalam menghadapi pembelajaran di negara kita.

Rakyat kita terpaksa akur dengan bahasa Inggeris yang mereka guna (yang selalunya tunggang langgang), dan kerap kali pelajaran tergendala kerana sikap mereka yang suka bertangguh dan memujuk rayu para pensyarah bagi meminta bermacam-macam perkara, misalnya kelas ganti yang memihak mereka.

Sudah masanya kerosakan ini diperbetulkan. Sewajarnya hanya pelajar-pelajar yang berprestasi baik dikekalkan dan dibawa masuk di negara kita, dan mutu pelajaran wajar ditingkatkan, bukan diturunkan semata-mata bagi membantu mereka melepasi peperiksaan.

Turun demo, kena pancut. Tulis di blog kena marah. Nak keluar Malaysia tak bagi, suruh bayar hutang PTPTN dulu. Tahniah-lah PDRM!

Selain itu, penguasa undang-undang negara kita sewajarnya lebih berani mengambil tindakan ke atas sikap liar sesetengah mereka, bukannya memilih bulu dan hanya ingin merosakkan aktiviti demokrasi dalam negara, termasuk perbincangan dalam laman sosial. Gaji tinggi yang mereka peroleh, bukannya untuk berpeluk tubuh melihat warga tempatan menjadi mangsa kehadiran pendatang-pendatang yang bertubuh besar dan tinggi ini.

Semoga akhirnya rakyat Malaysia tidak dianaktirikan di bumi sendiri, serta ruang cukup terbuka bagi sesiapa yang ingin datang menabur jasa. Yang mahu buat onar dan tidak mahu hormati kami, diminta supaya diambil tindakan seadilnya oleh undang-undang kita. Ada berani, PDRM?

 

Mengapakah pengangkutan awam kita tidak cekap? Januari 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

Saya terbaca tulisan seorang penulis blog yang menceritakan dilema hidupnya yang terpaksa berpindah ke sebuah bandar yang tidak lengkap pengangkutan awam-nya di Kuala Lumpur. Beliau telah memaparkan gambar skrin dari Wikipedia yang menunjukkan senarai 10 bandar paling ramai penduduk di Malaysia.

Sebenarnya kedudukan bandar paling ramai penduduk kini bukan lagi dikuasai Kuala Lumpur, tetapi Subang Jaya! Tidak menghairankan jika melihat kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warganya setiap hari, memang tersangat teruk.

Ada beberapa bandar mengalami pertambahan penduduk luar biasa, jauh di luar jangkaan. Lihat Subang Jaya.

Mari kita rujuk Subang Jaya misalnya, antara 1991-2000, terdapat pertambahan penduduk sebanyak lebih 5 kali ganda. Manakala bagi tempoh 2000-2010, pertambahan penduduk terus berganda sehingga lebih 3 kali ganda.

Kadangkala kita hairan, adakah pihak penguasa kita tidak melihat trend pertambahan penduduk luar biasa ini? Keadaan sebegini sudah kelihatan sejak tahun 1991, di mana Malaysia mula merangka Wawasan 2020 bagi menjadi negara perindustrian yang maju.

Entah berapa lagi jambatan yang perlu dibina di Subang Jaya?

Selain itu, terdapat juga petanda kenaikan harga minyak yang semakin berganda pada dekad pertama abad ke-21, dengan kesukaran mencari sumber petroleum baharu yang semakin mencengkam. Sehinggakan satu tahap, kerajaan sedia memberikan subsidi berterusan kepada harga minyak, sehingga ianya mencecah kemuncak pada 2008, iaitu sebanyak RM27 bilion semata-mata untuk subsidi harga minyak.

Dengan keadaan sebegini, sewajarnya bandar-bandar seperti Subang Jaya, Klang dan Shah Alam sepatutnya sudah memiliki sistem pengangkutan awam yang teratur dan menghubungkan seluruh bandar.

Mengapakah itu tidak berlaku? Fikirkan projek kereta nasional ilham Dr. Mahathir. Bagi menampung pertambahan kenderaan daripada program ini, banyak lebuhraya dibina.

Jumlah lebuhraya yang berganda, apakah muslihatnya?

Merata-rata kita dapat lihat lebuhraya, misalnya jika mahu keluar dari Puchong, hanya Jalan Klang Lama dan Lebuhraya Bukit Jalil yang tidak dikenakan tol.

Banyak bandar yang laluan masuknya disekat dengan pembinaan plaza tol, antaranya Bandar Mahkota Cheras yang menjadi isu suatu masa dahulu.

Dr. Mahathir, kini masih penasihat Proton.

Jika anda merupakan seorang pemuja Dr. Mahathir, fikirkanlah kembali, apakah ini berbaloi? Kita menjadi denyut nadi kepada bukan setakat industri automotif yang dibangunkannya, malah menjadi sumber pendapatan bagi pelbagai syarikat konsesi lebuhraya yang dikuasai kroni-kroni utama.

Mujurlah, penyelesaian yang kini sedang dilaksanakan dengan secepat boleh, merangkumi:-

  • Hubungan yang lebih baik bagi kawasan-kawasan padat penduduk di Subang Jaya, dengan sambungan Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang sehingga ke Puchong dan Putra Heights, yang terletak dalam kawasan majlis perbandaran Subang Jaya.
  • Laluan baru MRT antara Sungai Buloh-Kajang, turut terletak dalam kawasan-kawasan yang tidak diliputi pengangkutan rel menyeluruh seperti Damansara, Bandar Utama, Cheras, Seri Kembangan dan Kajang.

    Jika kerajaan negeri punya RM9 bilion untuk beli syarikat bekalan air, agaknya mampukah mereka untuk membina satu sistem pengangkutan awam yang cekap di Klang? Harap impian ini jadi nyata.

Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Dalam senarai 20 bandar paling padat penduduk, juga terdapat bandar seperti Klang, yang diketahui memang cukup sesak dan padat.

Johor Bahru yang kini memiliki Iskandar Malaysia, pusat pertumbuhan baru selatan. Ipoh pula, hanya boleh berbangga dengan ETS KTM yang menjadikannya antara stesen utama, namun keadaan bandar yang luas dan sesak.

Shah Alam pula, kian berkembang pesat terutamanya di kawasan Setia Alam dan Puncak Alam di sebelah utaranya, yang hanya disediakan satu laluan bas utama RapidKL, iaitu U90. Bandar Baru Bangi, hanya mempunyai bas mini, selain satu laluan RapidKL bas tempatan.

Apakah kita perlu kesesakan lalu lintas berskala Subang Jaya, baru kelam kabut mahu membina pengangkutan awam yang berkesan? Lagipun pelaburan untuk pengangkutan awam, bukanlah untuk penyelesaian masalah jangka pendek, tetapi bagi menyelesaikan masalah jangka panjang.

Pastinya ini semua hanyalah satu angan-angan, selagi wujudnya satu industri digelar sebagai industri kereta nasional. Sudah banyak wang rakyat yang dilaburkan bagi menyokongnya: dari bayaran cukai, jumlah pembelian kenderaan, kos membina lebuhraya, pembelian bahan api, selain sokongan kepada pelbagai industri sampingan automotif.

Pelancaran Proton Saga, 25 tahun lalu.

Jika dikira secara teliti, rasanya berapakah yang sudah dikeluarkan selama 25 tahun wujudnya kereta nasional Malaysia? Adakah sudah melebihi RM100 bilion? Tidak mustahil.

Masihkah kita mampu mempertahankannya, tentunya tidak lagi. Diharapkan pelan kereta global Proton akan berhasil, lantas membebaskan rakyat daripada beban pengorbanan berbilion wang ringgit mempertahankannya.

Isu Air Selangor, mungkinkah akan selesai? Disember 7, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

5 Disember 2010, sejarah baru tercipta apabila kerajaan negeri Selangor mengadakan satu perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi membantah kenaikan tarif air di Selangor.

Selangor merupakan satu-satunya negeri yang menswastakan sepenuhnya bekalan air, iaitu oleh pentadbiran Dr. Mohd Khir Toyo. Kini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mahu menaikkan tarif air sebanyak 37% mulai tahun hadapan.

Yang akan terjejas selain daripada pengguna air domestik, juga pengguna air kategori komersial, yang mana turut menggunakan air pada kuantiti yang besar. Kenaikan tarif yang banyak pastinya akan menjejaskan kos pengeluaran, lantas meningkatkan harga kepada pelanggan, di seluruh negara.

Tanggungjawab Syabas, bukan sekadar kutip duit dari bil air, juga perlu kurangkan air tanpa hasil (non-revenue water).

Syabas juga sebenarnya, menghadapi masalah kadar air tanpa hasil (non-revenue water) yang tinggi, iaitu sebanyak 32% pada 2009, di kala peratusan itu sepatutnya berada pada tahap di bawah 20% bagi membenarkan kenaikan tarif.

Kerugian daripada air tanpa hasil, bukan sahaja dari segi perolehan kerajaan negeri, malah turut membawa kepada pembaziran sumber air yang berharga. Dakwaan Syabas bahawa perintah pembekuan aset air menyebabkan usaha pengurangan air tanpa hasil terbantut, tidak dapat diterima kerana kadar penurunan peratusan air tanpa hasil amatlah mengecewakan, iaitu daripada 42% pada 2005 kepada 32% pada 2009.

Bagaimanakah kadar itu tiba-tiba mampu diturunkan lagi kepada 20% dalam hanya setahun? Tambahan pula masalah kewangan dialami Syabas menyebabkannya lebih sukar bagi mencapai misi mustahil tersebut.

Untuk maklumat tambahan juga, sebanyak RM10.7 bilion aset kerajaan negeri Selangor digunakan secara percuma oleh Syabas, terima kasih kepada pentadbiran zaman Dr. Khir Toyo. Antara aset tersebut ialah paip, jentera dan loji penapisan air yang tidak pernah dipindah milik. Kerajaan negeri Selangor sekarang punya segala hak bagi mengenakan sewa mahupun caj ke atas penggunaan semua aset ini.

Mungkinkah ada penyelesaian kepada masalah ini? Keyakinan ramai, iaitu pada akhirnya Puncak Niaga pastinya mahu atau tidak, terpaksa menjual permata utamanya iaitu Syabas kepada kerajaan negeri Selangor. Penjualan ini bertujuan bagi mempercepatkan projek bekalan air Pahang-Selangor, bagi mengelakkan krisis air lagi di masa depan.

Pastinya ini berita gembira kepada rakyat Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, bahawa satu kemenangan diperoleh rakyat ke atas para kapitalis pengaut untung tanpa batasan yang sebelum ini melakukan kerja terkutuk sebegini dengan kebenaran kerajaan negeri sebelum ini.

Kita lihatlah babak seterusnya, yang mungkin satu kesudahan yang baik bagi kita semua.