jump to navigation

Hari Tanpa Kereta, berkesankah? September 22, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Kepada rakan-rakan pembaca yang memandu kereta, sejauh manakah anda boleh hidup tanpa kereta?

Persoalan ini juga saya tujukan kepada diri sendiri, memandangkan sudah hampir 2 tahun saya memandu kereta. Boleh dikatakan saya tidak mampu hidup tanpa si “kura-kura comel” Proton Savvy. Perkara tersebut terbukti pada Ramadhan tahun 2010 lepas, di mana saya tidak dapat memandu gara-gara kereta terlibat kemalangan.

Biarlah saya berterus terang, saya bekerja di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Persiaran Institusi Bandar Baru Bangi. Untuk ke sana, tiada sebarang bas yang disediakan, hatta dari stesen KTM Serdang, mahupun dari pekan Kajang. Para pelajar yang ke sini untuk praktikal (kebanyakannya perempuan, comel-comel belaka), juga memandu kereta, malah ada yang lebih mewah lagi dari saya yang bekerja.

Rupa-rupanya bukan hanya saya, malah lebih ramai lagi pemandu yang bersama-sama bersesak di lebuhraya Kajang SILK, kebanyakannya ke Putrajaya, yang juga tiada bas hubungan terus dari Kajang.

Di manakah silapnya?

Apakah kerana tiada koordinasi antara PBT dan Prasarana yang mengendalikan bas-bas RapidKL? RapidKL mula beroperasi pada 2006, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika itu di bawah tadbiran Barisan Nasional, yang mana mereka daripada pihak pentadbir yang sama. Untuk bekerjasama sekarang tentunya lebih payah kerana kini MPKj dibawah Pakatan Rakyat.

Adakah kerana penumpuan terlalu mendalam kepada industri kereta nasional? Jika dilihat harga kereta di Malaysia, ianya sudah tidak menarik lagi.

2008, diperkenalkan Proton Saga BLM dengan harga bermula dari RM33,500.

2009, harga dinaikkan sebanyak RM3000, kepada RM36,500.

2010, diperkenalkan pula Saga FL, juga berlaku kenaikan harga ke atas varian asas yang kini hampir mencecah RM40,000 sebuah.

Jika mengikut contoh ini, harga kereta nasional juga meningkat, sewajarnya mengurangkan permintaan terhadap kereta nasional.

Namun, pada 2011, Proton Saga muncul kembali sebagai kereta paling laris jualannya di Malaysia, di sebalik kenaikan harga dan “facelift” yang dilakukan bagi menaikkan harga.

Berbalik kepada Hari Tanpa Kereta, apakah ianya berbaloi untuk diraikan serta dimeriahkan jika pusat pentadbiran negara di Putrajaya sendiri tiada pengangkutan awam ke bandar berdekatan?

Kebanyakan bas hampir tiada penumpang, kerana ramai yang memandu sendiri.

Apakah gunanya Nadi Putra jika hanya berpusing-pusing di Putrajaya dengan kekurangan penumpang? Sewajarnya dipertimbangkan laluan baru, walaupun dari luar kawasan Putrajaya.

Salah satu usaha kerajaan adalah dengan memulakan pembinaan Mass Rapid Transit atau MRT, seperti di Singapura. Projek ini merupakan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah, yang rata-ratanya meragui keberkesanannya.

Adakah dengan kehadiran projek ini, rakyat dapat dipujuk bagi meninggalkan kereta di ruangan letak kereta yang sudah tentunya kurang selamat dengan ancaman kecurian?

Adakah dengan adanya MRT, penggunanya dapat tiba lebih cepat dari destinasi berbanding memandu sendiri?

Adakah dengan adanya MRT, belanja perjalanan dapat dikurangkan dengan drastik bagi mengurangkan beban kewangan?

Tidak dinafikan, peningkatan rangkaian pengangkutan awam memang diperlukan, kerana kawasan Lembah Kelang semakin sempit, dan dipadatkan dengan banyaknya kenderaan persendirian. Tetapi dengan besarnya belanja yang dikeluarkan, projek tersebut haruslah dipastikan berbaloi dan memenuhi keperluan seramai mungkin warga.

Sementara menunggu MRT siap, entah berapa tahun lagi, tumpuan harus diberikan kepada rangkaian bas. Pembelian 150 buah bas baru oleh RapidKL, pastinya dapat meningkatkan kekerapan bas di laluan sedia ada, dan mengurangkan risiko kelewatan akibat kerosakan bas. Tetapi, pengwujudan laluan baru juga perlu diperluaskan dengan lebih agresif, terutamanya di kawasan Persiaran Institusi Bangi, yang benar-benar memerlukan pengangkutan awam.

Semoga Hari Tanpa Kereta di tahun mendatang dapat kita sambut dan meriahkan dengan menggunakan pengangkutan awam yang lebih efisien di masa depan.

Mengapakah pengangkutan awam kita tidak cekap? Januari 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

Saya terbaca tulisan seorang penulis blog yang menceritakan dilema hidupnya yang terpaksa berpindah ke sebuah bandar yang tidak lengkap pengangkutan awam-nya di Kuala Lumpur. Beliau telah memaparkan gambar skrin dari Wikipedia yang menunjukkan senarai 10 bandar paling ramai penduduk di Malaysia.

Sebenarnya kedudukan bandar paling ramai penduduk kini bukan lagi dikuasai Kuala Lumpur, tetapi Subang Jaya! Tidak menghairankan jika melihat kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warganya setiap hari, memang tersangat teruk.

Ada beberapa bandar mengalami pertambahan penduduk luar biasa, jauh di luar jangkaan. Lihat Subang Jaya.

Mari kita rujuk Subang Jaya misalnya, antara 1991-2000, terdapat pertambahan penduduk sebanyak lebih 5 kali ganda. Manakala bagi tempoh 2000-2010, pertambahan penduduk terus berganda sehingga lebih 3 kali ganda.

Kadangkala kita hairan, adakah pihak penguasa kita tidak melihat trend pertambahan penduduk luar biasa ini? Keadaan sebegini sudah kelihatan sejak tahun 1991, di mana Malaysia mula merangka Wawasan 2020 bagi menjadi negara perindustrian yang maju.

Entah berapa lagi jambatan yang perlu dibina di Subang Jaya?

Selain itu, terdapat juga petanda kenaikan harga minyak yang semakin berganda pada dekad pertama abad ke-21, dengan kesukaran mencari sumber petroleum baharu yang semakin mencengkam. Sehinggakan satu tahap, kerajaan sedia memberikan subsidi berterusan kepada harga minyak, sehingga ianya mencecah kemuncak pada 2008, iaitu sebanyak RM27 bilion semata-mata untuk subsidi harga minyak.

Dengan keadaan sebegini, sewajarnya bandar-bandar seperti Subang Jaya, Klang dan Shah Alam sepatutnya sudah memiliki sistem pengangkutan awam yang teratur dan menghubungkan seluruh bandar.

Mengapakah itu tidak berlaku? Fikirkan projek kereta nasional ilham Dr. Mahathir. Bagi menampung pertambahan kenderaan daripada program ini, banyak lebuhraya dibina.

Jumlah lebuhraya yang berganda, apakah muslihatnya?

Merata-rata kita dapat lihat lebuhraya, misalnya jika mahu keluar dari Puchong, hanya Jalan Klang Lama dan Lebuhraya Bukit Jalil yang tidak dikenakan tol.

Banyak bandar yang laluan masuknya disekat dengan pembinaan plaza tol, antaranya Bandar Mahkota Cheras yang menjadi isu suatu masa dahulu.

Dr. Mahathir, kini masih penasihat Proton.

Jika anda merupakan seorang pemuja Dr. Mahathir, fikirkanlah kembali, apakah ini berbaloi? Kita menjadi denyut nadi kepada bukan setakat industri automotif yang dibangunkannya, malah menjadi sumber pendapatan bagi pelbagai syarikat konsesi lebuhraya yang dikuasai kroni-kroni utama.

Mujurlah, penyelesaian yang kini sedang dilaksanakan dengan secepat boleh, merangkumi:-

  • Hubungan yang lebih baik bagi kawasan-kawasan padat penduduk di Subang Jaya, dengan sambungan Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang sehingga ke Puchong dan Putra Heights, yang terletak dalam kawasan majlis perbandaran Subang Jaya.
  • Laluan baru MRT antara Sungai Buloh-Kajang, turut terletak dalam kawasan-kawasan yang tidak diliputi pengangkutan rel menyeluruh seperti Damansara, Bandar Utama, Cheras, Seri Kembangan dan Kajang.

    Jika kerajaan negeri punya RM9 bilion untuk beli syarikat bekalan air, agaknya mampukah mereka untuk membina satu sistem pengangkutan awam yang cekap di Klang? Harap impian ini jadi nyata.

Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Dalam senarai 20 bandar paling padat penduduk, juga terdapat bandar seperti Klang, yang diketahui memang cukup sesak dan padat.

Johor Bahru yang kini memiliki Iskandar Malaysia, pusat pertumbuhan baru selatan. Ipoh pula, hanya boleh berbangga dengan ETS KTM yang menjadikannya antara stesen utama, namun keadaan bandar yang luas dan sesak.

Shah Alam pula, kian berkembang pesat terutamanya di kawasan Setia Alam dan Puncak Alam di sebelah utaranya, yang hanya disediakan satu laluan bas utama RapidKL, iaitu U90. Bandar Baru Bangi, hanya mempunyai bas mini, selain satu laluan RapidKL bas tempatan.

Apakah kita perlu kesesakan lalu lintas berskala Subang Jaya, baru kelam kabut mahu membina pengangkutan awam yang berkesan? Lagipun pelaburan untuk pengangkutan awam, bukanlah untuk penyelesaian masalah jangka pendek, tetapi bagi menyelesaikan masalah jangka panjang.

Pastinya ini semua hanyalah satu angan-angan, selagi wujudnya satu industri digelar sebagai industri kereta nasional. Sudah banyak wang rakyat yang dilaburkan bagi menyokongnya: dari bayaran cukai, jumlah pembelian kenderaan, kos membina lebuhraya, pembelian bahan api, selain sokongan kepada pelbagai industri sampingan automotif.

Pelancaran Proton Saga, 25 tahun lalu.

Jika dikira secara teliti, rasanya berapakah yang sudah dikeluarkan selama 25 tahun wujudnya kereta nasional Malaysia? Adakah sudah melebihi RM100 bilion? Tidak mustahil.

Masihkah kita mampu mempertahankannya, tentunya tidak lagi. Diharapkan pelan kereta global Proton akan berhasil, lantas membebaskan rakyat daripada beban pengorbanan berbilion wang ringgit mempertahankannya.

Belanjawan (bajet) 2011, apa yang menarik? Oktober 15, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Perdana Menteri, Najib Razak dijadualkan mengumumkan Belanjawan Malaysia (Bajet) untuk tahun 2011. Pembentangan bermula jam 4 petang, Jumaat 15 Oktober 2010.

Saya akan mengemaskini perkara-perkara menarik yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri menerusi blog ini.

  • Cukai untuk barangan-barangan kegemaran pelancong dikecualikan sebanyak 5-30%
  • Cukai perkhidmatan kerajaan dinaikkan dari 5% ke 6%
  • Cukai perkhidmatan akan dikenakan untuk perkhidmatan televisyen berbayar Astro
  • Cukai eksais untuk kereta hibrid dikecualikan.
  • Sistem keretapi MRT bakal dibina dengan kos RM40 bilion.
  • Beberapa lebuhraya baru akan dibina di kawasan Lembah Klang.
  • Program-program Permata baru akan dimulakan, dengan peruntukan RM111 juta.
  • Pengenalan tabung pencen untuk kakitangan swasta.
  • Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menetapkan gaji minima yang sesuai kepada pekerja.
  • Projek-projek baru: Warisan Merdeka di kawasan Stadium Negara dan Stadium Merdeka dengan bangunan tertinggi di Malaysia setinggi 100 tingkat, pembangunan tanah Lembaga Getah di Sungai Buloh, serta Daerah Kewangan Kuala Lumpur (KLIFD).
  • RM365 juta untuk pembangunan sukan.
  • RM1.2 bilion untuk kebajikan masyarakat.
  • Pelepasan cukai untuk perbelanjaan kepada ibu bapa yang berusia.
  • Skim Rumah Pertama menerusi Cagamas, untuk pembelian rumah bernilai bawah RM220,000, dengan jaminan kerajaan untuk pendahuluan 10%, menjadikan pembiayaan untuk golongan berpendapatan bawah RM3000 sebulan kepada 100%.
  • RM150 juta untuk pengecualian bil elektrik bawah RM20 bagi isi rumah sebulan.
  • RM500 juta untuk projek infrastruktur awam, bagi membantu kontraktor kelas bawah.
  • Tambahan elaun untuk imam, guru agama, dan ahli JKKK Persekutuan.
  • Pengecualian cukai jualan untuk semua jenis telefon bimbit dan peralatan jalur lebar Internet.
  • Kadar tol empat lebuhraya PLUS tidak akan dinaikkan secara 5 tahun (bakal disubsidi oleh kerajaan).
  • Penambahbaikan perkhidmatan kesihatan, klinik 1Malaysia akan diperbanyakkan.
  • RM1.9 bil untuk penjagaan alam sekitar.
  • Permohonan taraf penduduk tetap dipermudahkan, dibuka kepada yang bermastautin 5 tahun di Malaysia.
  • Bantuan khas kakitangan awam sebanyak RM500, penyambungan kontrak bagi Pegawai Khidmat Singkat.

Belanjawan kali ini meningkat sebanyak 2.8% daripada belanjawan bagi tahun 2010. Defisit belanjawan terus berkurangan, iaitu dari 5.6% pada 2010 kepada 5.4% bagi belanjawan 2011.

Pembentangan bertema “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”, tamat pada jam 5.45 petang, dan dijangka menjadi landasan kepada kerajaan untuk meraih populariti dalam kalangan rakyat untuk pilihanraya yang dijangka pada tahun hadapan.