jump to navigation

Protes FAM. Jawapan kepada pelbagai mitos tentang FAM. November 1, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
add a comment

Peringatan mesra untuk FAM.

Sabtu tanggal 29 Oktober 2011 yang lalu, berlangsung perlawanan antara Negeri Sembilan menentang Terengganu bagi merebut Piala Malaysia.

Untuk pengetahuan, Piala Malaysia yang pernah dikenali Piala HMS Malaya adalah kejohanan bola sepak tertua di rantau Asia. Ini bermakna, Tanah Melayu suatu ketika dahulu adalah pelopor bola sepak di rantau ini.

Namun Sabtu lepas, bukannya perlawanan tersebut yang menjadi perhatian utama. Isu harga tiket mendapat perhatian lebih menyeluruh daripada seluruh masyarakat pencinta sukan Malaysia.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Antara "Asia Tour" yang diadakan pada tahun ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM telah mengambil tindakan luar biasa menaikkan kadar tiket untuk perlawanan akhir tersebut kepada RM50 bagi penonton dewasa. Ini merupakan harga tertinggi bagi tiket sebuah perlawanan bola sepak kompetitif di Malaysia.

(Untuk makluman, segala perlawanan Asia Tour oleh pasukan-pasukan luar negara: MU, Chelsea, Arsenal, Liverpool tidak diiktiraf sebagai perlawanan kompetitif, tetapi perlawanan pertunjukan. Exhibition kata orang putih, sarkas kata Ultras Malaya.)

Mitos #1 terjawab: kononnya segala Asia Tour itu penting untuk negara.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Keputusan tersebut dilihat sebagai mengambil kesempatan terhadap sambutan masyarakat terhadap bola sepak Malaysia. Jika dibandingkan dahulu ketika zaman suramnya, penonton diseru untuk memeriahkan stadium, namun kini penonton yang diseru itu dibebankan pula dengan tiket yang mahal.

Para pembaca sewajarnya mengerti, bahawa kalangan penonton bola sepak di stadium terdiri daripada:- pekerja kelas pertengahan dan bawahan, pelajar universiti dan sekolah, penyokong tradisional yang tidak jemu berdoa agar bola sepak kembali ke zaman kegemilangan.

Tajaan tahunan RM30j masih belum cukup?

Apakah yang dilakukan golongan atasan, atau kita kata “elit” di negara kita? Mereka menonton perlawanan liga asing menerusi televisyen satelit, dan datang ke stadium hanya ketika pasukan liga asing itu mengadakan Asia Tour mereka.

Tidak dilupakan, para penonton bermusim ini hanya akan hadir dengan berpakaian berlogo AON, Standard Chartered, Fly Emirates, mahupun SAMSUNG mobile, trend terkini Qatar Foundation. (Tidak semua yang elit berperangai begini ya!)

Usaha meng-elitkan bola sepak kita sebenarnya bermula dari penghujung 2010, tatkala negara masih bergembira dengan kemenangan Piala AFF Suzuki. Masihkah anda ingat ketika itu FAM memperoleh penajaan RM200j dari Astro Arena? Sejak daripada itu, siaran TV1 terhad kepada perlawanan tertentu, namun tindakan tersebut sebenarnya membawa lebih ramai penonton ke stadium untuk menyaksikan sendiri pasukan mereka.

Mitos #2: kononnya FAM tidak memperoleh penajaan secukupnya juga terjawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sharbinee Allawee allowing 5 goals to be scored easily by the Singapore players. (Terjemahan bahasa Melayu: Sharbinee Allawee membenarkan 5 gol dijaringkan dengan mudah oleh pemain-pemain Singapura. Gambar hiasan, perlawanan pertama peringkat kumpulan AFF 2010: Indonesia 5-1 Malaysia)

Pastinya anda kurang pasti bukan? Usaha seterusnya untuk meng-elitkan bola sepak Malaysia, adalah pada Julai 2011. 3-Serangkai pasukan utama Liga Perdana Barclays mengadakan “perlawanan penting” dengan pasukan kebangsaan, di kala kecederaan sepatutnya dielakkan menjelang Pusingan ke-3 Kelayakan Piala Dunia menentang jiran serantau Singapura. Anda boleh lihat bagaimana penatnya para pemain negara pada pusingan tersebut.

Keputusan perlawanan Malaysia Kalah 4-0 kepada Arsenal, Kalah 6-3 kepada Liverpool, Kalah 1-0 kepada Chelsea, Kalah 5-3 kepada Singapura.

Mitos #3: kononnya perlawanan “sarkas” tersebut diadakan untuk menyediakan pasukan untuk kelayakan Piala Dunia, juga terjawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berbalik kepada kisah tiket, tindakan balas dari kedua-dua kerajaan negeri juga menarik perhatian kita.

Kerajaan Negeri Terengganu memberikan subsidi 50% harga tiket: RM25.

Kerajaan Negeri Sembilan memberikan subsidi 40% harga tiket: RM30.

"Etihad Stadium", Kuala Terengganu.

Jawapan kepada wartawan oleh kedua-dua pemimpin negeri tersebut adalah bahawa wang subsidi tersebut akan digantikan dengan wang keuntungan jualan tiket yang dibahagikan. Ini bermakna, kantung persatuan negeri tidak dapat memperoleh keuntungan sepatutnya bagi mengadakan aktiviti seperti latihan untuk mencari pelapis, bonus kepada pemain yang bermain cemerlang ke perlawanan akhir, mahupun dana untuk membeli pemain baru untuk musim akan datang.

Kita lihatlah bagaimana prestasi Negeri Sembilan di musim hadapan, Terengganu mungkin akan terus di hadapan kerana kekayaan negerinya membolehkan mereka menjadi Manchester City Malaya (minus “Stadium Etihad” mereka yang masih belum siap diperbaiki).

Mitos #4: kononnya kerajaan negeri Selangor yang memperoleh laba besar daripada harga tiket yang mahal juga terjawab. Hakikatnya FAM yang tersenyum gembira.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Untuk tiket yang mahal, kita memerlukan pasukan berada pada tahap cukup tinggi untuk bersaing di peringkat global. Sekurang-kurangnya berbaloi yang yang dikeluarkan bagi menonton setiap perlawanan.

Namun, apakah kejayaan yang telah dicapai FAM sejak zaman moden Malaysia kita? Kalau dilihat pada kedudukan pasukan sejak 1993, kedudukan tertinggi pernah dicapai adalah #79 pada 1993, #87 pada 1997, dan kemudian menjunam jatuh hingga tahap terendah #160 pada 2009, dan kini semakin tinggi kepada #138 pada Mac 2011. Masih jauh daripada kedudukan 100 terbaik dunia.

Mitos #5: kononnya FAM berjaya meningkatkan mutu pasukan Malaysia juga berjaya disangkal.

Bola sepak yang semakin maju.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Presiden FAM, Sejak 1984.

Presiden FAM sejak tahun 1984 adalah Sultan Haji Ahmad Shah. Ini bermakna, kepimpinan baginda sudah menjangkau usia 27 tahun, namun dengan keadaan sebegini, hanya kedudukan diraja baginda adalah sebab untuk baginda terus memimpin FAM.

Dengan trend dunia zaman sekarang yang semakin kompetitif, sewajarnya perubahan kepimpinan perlu dilakukan untuk melahirkan pembaharuan kepada bola sepak Malaysia.

Jika ini dianggap satu penghinaan kepada raja atau sultan, jawapan saya, raja dan sultan lebih sesuai menguasai negeri, bukannya sukan.

Tentang final Piala Malaysia dan persahabatan Malaysia-Laos hari berikutnya, tentu ramai mengeluh dengan mutu padang yang mengecewakan. Tapi kebimbangan itu tidak akan lagi berulang dengan berita ubah suai Stadium Shah Alam bernilai RM4 juta oleh Majlis Bandaraya.

Jika benar wang tiket RM50 digunakan untuk tujuan tersebut, RM50 x 80,000 penonton = tepat RM4j. Di manakah wang untuk persatuan negeri, FAM, ejen tiket, petugas keselamatan? Tentunya wang kerajaan negeri dan MBSA yang kini kian bertambah hasil pengurusan cekap, itulah yang sebenarnya digunakan untuk kerja ubah suai tersebut.

Sudah pasti, FAM juga boleh beralih pengurusan ke arah lebih cekap, bertaraf dunia, menjadi kebanggaan rakyat Malaysia di masa akan datang.

Tahniah kepada BN. Pas perlu lakukan “post-mortem”. Oktober 11, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Selepas seminggu parti bertanding, BN dan Pas berkempen untuk meraih undi masyarakat Bagan Pinang, keputusan telah dibuat oleh para pengundi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa Abdul Samad menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan memperoleh undi 8013 berbalas 2578.

Majorti diperoleh Isa:- 5435 undi.

Apakah yang akan berlaku seterusnya?

1) Dengan populartiti sedemikian besar Isa kepada UMNO Negeri Sembilan, pastinya pengaruh Menteri Besar sekarang Dato’ Seri Mohamad Hasan telah menjunam. Jika sebelum pemilihan calon Bagan Pinang, UMNO Teluk Kemang mengugut untuk memboikot pilihanraya kecil ini jika Isa tidak dicalonkan, mungkin MB sekarang akan menjadi mangsa boikot para penyokong Isa yang pasti mahukan Isa naik semula kedudukannya dalam UMNO.

Harus kita ingat, bahawa pada pemilihan Naib Presiden UMNO 2004, Isa memperolehi undi tertinggi, mengatasi Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan juga Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Isa adalah mangsa kepada percaturan UMNO ketika itu, yang menyebabkan penggantungan beliau daripada parti, walaupun rasuah turut berleluasa dalam kalangan calon-calon UMNO lain. Jika peristiwa itu tidak berlaku, kemungkinan Isa boleh menjadi TPM sekarang.

Hasan punya pelbagai sebab untuk merasa rendah diri. Bandingkan sahaja majoriti undi yang diperolehnya pada pilihanraya umum ke-12 dengan majoriti undi Isa pada pilihanraya kecil ini. Di N27 Rantau, Hasan memperoleh 7739 undi mengatasi calon PKR yang memperoleh 3956 undi. Majoriti lebih kecil, hanya sebanyak 3783 undi.

2) Post-mortem menyeluruh akan dilakukan oleh Pas untuk mengenalpasti punca kekalahan besar. Buat kali pertamanya dalam pilihanraya kecil pasca PRU-12, Pas tewas. Dan kali ini dengan majoriti yang sangat besar, yang mana memerlukan usaha luar biasa untuk memulihkan kembali reputasi yang tercalar dengan kekalahan ini.

Peratus undi diperoleh Pas hanyalah 24.3%, paling rendah dalam mana-mana pilihanraya kecil. Antara punca kekalahan Pas pada saya adalah:-

calon bukan orang tempatan Bagan Pinang

– propaganda “pengkhianat Melayu”

– sokongan kepada calon BN yang juga seorang bekas MB

kehilangan undi daripada masyarakat India, yang kelihatan kembali kepada BN

kelemahan jentera Pas sedia ada di kawasan Bagan Pinang dan negeri-negeri bukan tradisi

Demikianlah antara kelemahan yang saya lihat, yang mana setiap daripadanya perlu ditangani dengan sebaiknya untuk pilihanraya kecil yang lain, tidak kira di mana pun lokasinya.

3) Pindaan perlembagaan parti UMNO yang berusaha untuk meningkatkan jumlah yang boleh mengundi jawatan-jawatan tinggi dalam pemilihan UMNO 4 tahun lagi. Diharapkan pindaan ini dapat membantu dalam mengekang aktiviti rasuah yang menjadi duri dalam daging, dan sudah menjadi amalan tradisi dalam parti tersebut, sehinggakan dikatakan sebagai satu kesalahan “teknikal” oleh Perdana Menteri kita.

Itu adalah jangkaan tentang perkara yang akan berlaku, namun apakah pula yang telah berlaku di Bagan Pinang ini?

Satu perkara yang jelas kelihatan, adalah penerimaan masyarakat Bagan Pinang kepada politik wang. Bukan menyalahkan mereka, namun jelas terbukti bahawa politik berteraskan materialisme lebih berakar di hati masyarakat di kawasan Bagan Pinang.

Keadaan ini berlaku kerana masyarakat lebih melihat kepada jasa, bukti pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai di Port Dickson di bawah pentadbiran UMNO/BN. Pinggirkan soal projek terbengkalai, kerana memang rakyat di sana yang suka rela memutuskan untuk menjual tanah yang dimiliki kepada para pemodal industri pelancongan.

Justeru itu, satu usaha pembangunan yang gigih harus direncanakan dalam kalangan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Memang akauntabiliti menjadi keutamaan kerajaan, namun pembangunan material harus juga diberikan perhatian, misalnya usaha menarik pelabur asing untuk sektor perindustrian, bantuan untuk aktiviti pertanian dan penyediaan pekerjaan yang mencukupi.

Dengan semua ini berlaku di bawah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang stabil kewangannya, seperti di Pulau Pinang dan Selangor, limpahan pembangunan bolehlah dialirkan ke negeri Kedah dan Kelantan dengan pengwujudan industri hiliran atau IKS untuk menyokong industri yang lebih berat dan besar di Pulau Pinang dan Selangor.

Lagipun kita tidak boleh terlalu mengharapkan kepada kerajaan Persekutuan yang semakin kesuntukan wang dan idea, serta kurang kompeten untuk merencanakan pembangunan seterusnya yang memanfaatkan rakyat. Lihatlah sahaja defisit belanjawan, kejatuhan daya saing dan amalan rasuah yang berleluasa yang menjadi duri dalam daging kepada kerajaan Persekutuan untuk terus relevan.

Oleh kerana kerajaan Persekutuan bersikap berpilih dalam mengagihkan pembangunan, Pakatan Rakyat di 4 negeri boleh dimaafkan untuk tempoh ini jika mereka melakukan perkara serupa, misalnya meminggirkan negeri-negeri lain yang di bawah BN dalam prosedur pemilihan kontraktor untuk projek-projek, mahupun dalam pemilihan kilang-kilang pembekal.

Ini mungkin satu idea yang masih “mentah”, dan boleh diperhalusi lagi untuk penambahbaikan. Yang penting, akhirnya kita akan dapat menyampaikan mesej bahawa Pakatan Rakyat boleh membangunkan 4 negeri dengan lebih cemerlang, dan sudah bersedia untuk menjadi kerajaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Selangor telah merintis jalan dengan usaha-usaha menarik pelabur, menambahkan peluang pekerjaan dan membuka tapak-tapak industri baharu. Diharapkan langkah sedemikian dapat dicontohi Pakatan Rakyat di 3 negeri lain, supaya kempen-kempen pilihanraya selepas ini, Pakatan Rakyat juga boleh menunjukkan dan membuktikan keupayaan dalam mentadbir negeri, walau dengan kuasa dan sumber terhad.

Semoga rakyat mampu memperoleh yang terbaik dengan persaingan sihat daripada dua gabungan, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam usaha membangunkan rakyat dan negara ke mercu yang lebih cemerlang.

Teringat pula projek-projek mega yang pernah negara kita lakukan seperti Menara Petronas, mahupun Terowong SMART. Dalam projek sebegini, dua pasukan pembina diwujudkan untuk menggalakkan persaingan bagi memberikan yang terbaik untuk projek yang dibina. Benar, cabaran dihadapi dua pasukan yang bersaing itu pastinya berbeza, seperti mana yang kita pernah tonton dalam rancangan TV di Discovery atau National Geographic.

Namun, begitulah juga dengan dunia politik sistem dwi-parti ala Amerika Syarikat, di mana adat berpasukan, yang mana dipenuhi dengan ahli yang punya falsafah berbeza. Yang penting, pasukan yang berjaya pastinya yang boleh menerima perbezaan dan membicarakannya secara matang untuk hasil terbaik dinikmati oleh rakyat yang akan diutamakan dalam setiap perancangan.

Sambutan pencalonan, seumpama satu kemenangan pula. September 29, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Mohd Isa Abdul Samad, calon Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Dengan pengalaman 22 tahun sebagai Menteri Besar sebelum diangkat menjadi menteri Persekutuan, pasti beliau seorang calon yang sukar ditandingi untuk pilihanraya kecil ini.

Seramai 10,000 orang menghadiri majlis pengumuman calon Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil kali ini. Memang jumlah yang amat besar, yang pastinya menggerunkan Pakatan Rakyat sebagai pencabar.

Di sebalik pencalonan Isa, terdapat beberapa perkara yang harus diambil perhatian, oleh pihak-pihak yang terlibat, dari mana-mana parti yang bertanding, iaitu BN dan PAS.

1) Kekecewaan yang dirasai oleh Tun Dr. Mahathir akibat daripada pencalonan Isa haruslah dihadapi dengan berhemah. Perdana Menteri boleh mengadakan pertemuan dengan Tun untuk menjelaskan lanjut pencalonan ini, yang mana tujuannya adalah untuk memastikan UMNO Negeri Sembilan tidak berpecah-belah jika Isa tidak tercalon. Pujuk punya pujuk, pasti Tun cair punya.

2) UMNO Negeri Sembilan haruslah dipantau lebih rapi selepas ini. Memandangkan sambutan terhadap pengumuman pencalonan Isa yang memberangsangkan, pastinya Menteri Besar sekarang, Mohamad Hasan akan terasa tempiasnya, memandangkan UMNO punya sejarah perebutan jawatan peringkat negeri yang pasti merisaukan.

Lihat sahaja di Perlis, yang mana bekas Menteri Besar iaitu Shahidan Kassim tidak putus asa untuk meraih semula kedudukan dari Md Isa Sabu, dan juga di Terengganu di antara bekas Menteri Besar, Idris Jusoh cuba untuk menjatuhkan Ahmad Said yang dilantik Majlis Penasihat Pemangku Raja. Mungkinkah perkara sebegitu akan turut berlaku di Negeri Sembilan?

3) Kepimpinan UMNO pusat haruslah gigih menjelaskan kepada rakyat seluruh Malaysia justifikasi di sebalik pencalonan Mohd Isa Abdul Samad untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang ini. Beliau telah dipecat daripada jawatan Naib Presiden UMNO yang baru dimenanginya pada pemilihan UMNO tahun 2004, atas kesalahan politik wang. Rakyat kini beranggapan bahawa UMNO sebuah parti yang mendokong amalan rasuah dengan pencalonan Isa.

4) Pakatan Rakyat terutamanya PAS perlu berusaha gigih untuk memastikan UMNO ditumbangkan di kerusi ini, memandangkan calon BN kali ini mendapat sokongan menyeluruh akar umbi UMNO. Pengundi atas pagar yang kebanyakannya orang Melayu, masyarakat bukan Melayu berpotensi untuk dikuasai. Namun golongan Melayu pro-UMNO dan pengundi pos yang agak sukar dikuasai memerlukan suatu pendekatan luar biasa daripada PAS untuk memastikan undi daripada mereka.

5) Isu dalaman Pakatan Rakyat mungkin juga akan dieksploitasi oleh Barisan Nasional dengan media yang mereka kuasai, itu sudah adat yang tiada siapa dapat nafikan. Terbaru, isu pendekatan siasatan Selcat di Selangor yang dipertikaikan oleh PAS, selain daripada isu-isu berbangkit di Pulau Pinang dan Kedah, termasuk isu “pengkhianat Melayu” di Perak akan dipaparkan dengan kerap bagi menunjukkan gambaran porak-perandanya kerajaan Pakatan Rakyat bagi meraih sokongan masyarakat tanpa akses maklumat yang seimbang.

Kerajaan Barisan Nasional Negeri Sembilan kini memiliki 20 kerusi DUN, manakala Pakatan Rakyat mempunyai 15 kerusi DUN, di mana Barisan Nasional menjadi kerajaan dengan majoriti mudah. Pasti pilihanraya kecil ini akan menjadi medan bagi PAS memaparkan kesan positif jika mereka menjadi kerajaan, dan BN akan memaparkan kesan jika kerajaan mereka tumbang di pilihanraya umum seterusnya.

Selamat bertanding untuk calon BN dan PAS di Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang.