jump to navigation

Pilihanraya Umum ke-13, peluang terbaik untuk Islam. Oktober 16, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Perang poster dan "banner" cukup rancak, pilihanraya belum tahu bila.

Persoalan yang bermain di minda ramai rakyat Malaysia sekarang, iaitu bilakah Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 akan diadakan. Di merata tempat, kempen sedang giat dijalankan kedua-dua gabungan utama Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat bagi meraih hati para pengundi, seolah-olah pilihanraya akan diadakan pada esok hari.

Perkara tersebut kian menjadi kenyataan apabila pengumuman Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri, Najib Razak menyatakan pelbagai sumbangan one-off dan berbelanja sakan untuk sumbangan-sumbangan tersebut, dengan melupakan matlamat asal mengurangkan defisit belanjawan secara signifikan, iaitu di bawah 4%.

Jika perkara tersebut yang menjadi kayu pengukur tarikh pilihanraya umum ke-13, tentunya awal tahun 2012 merupakan masa sesuai untuk ianya diadakan, kerana peruntukan-peruntukan one-off yang diumumkan akan tiba kepada golongan sasaran.

Ditambah lagi dengan fakta bahawa awal tahun selalunya menjanjikan pelbagai potensi, dan keadaan ekonomi selalunya lebih tenang pada suku tahun pertama setiap tahun.

Melihatkan rekod pilihanraya umum ke-11 dan ke-12, kedua-duanya diadakan pada bulan Mac, iaitu di awal tahun. Persamaan lain adalah selang masa 4 tahun antara kedua-dua pilihanraya tersebut yang mungkin kini telah menjadi amalan biasa kebelakangan ini.

Namun, kuasa untuk membubarkan parlimen sebenarnya terletak kepada Perdana Menteri untuk meminta perkenan dari Yang Di-Pertuan Agong. Malah, untuk menghabiskan tempoh parlimen ke-12 ini sehingga tahun 2013 juga tidak menjadi satu masalah. Jika langkah sedemikian diambil, Najib boleh meraih sokongan daripada golongan atas pagar yang turun ke himpunan Bersih 9 Julai lalu bagi menuntut reformasi pilihanraya.

Jika perkara tersebut berlaku sedemikian, Najib akan mengikuti langkah kanan bapa beliau Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada 1970 sebelum memperoleh mandat besar pada pilihanraya 1974. (Di sini tempoh 4 tahun juga menjadi angka penting. Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009.)

Bagi terus mengekalkan jawatan Perdana Menteri, Najib harus memperoleh peratusan undi yang cukup tinggi.Prestasi terbaik Barisan Nasional dalam pilihanraya umum adalah seperti berikut:-

Gambar lama, ketika keakraban hubungan kedua-dua tokoh ini. Gandingan terbaik dalam sejarah politik Malaysia.

  • 1995: 65.2% undi. Gandingan pimpinan Dr. Mahathir Mohamed dan Anwar Ibrahim. (Ya, kepada yang baru kenal politik Malaysia, Anwar Ibrahim adalah Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Malaysia ketika itu.)

Faktor: Keyakinan kepada ekonomi negara yang meningkat dengan jayanya dan penerapan nilai-nilai Islam yang digiatkan.

Satu-satunya Perdana Menteri yang mempunyai nama mesra, "Pak Lah".

  • 2004: 63.9% undi. Gandingan pimpinan Abdullah Badawi dan Najib Razak. (Abdullah Badawi lebih menyerlah kerana memegang tiga jawatan utama ketika itu: Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri.)

Faktor: Peralihan kepimpinan ke arah dasar-dasar Islam Hadhari. Keyakinan ke atas reputasi bersih Perdana Menteri, Abdullah Badawi.

Razak menerima sokongan meluas masyarakat berbilang kaum, termasuk parti Islam PAS.

  • 1974: 60.7% undi: Gandingan pimpinan Razak Hussein dan Hussein Onn.

Faktor: Hubungan diplomatik dengan China mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada Perikatan yang dijenamakan semula menjadi Barisan Nasional. Satu-satunya parti Islam, PAS berada dalam Barisan Nasional dan memegang portfolio beberapa kementerian.

Kata kuncinya di sini, adalah Islam. Sekian lama rakyat Malaysia mendambakan pemerintahan beteraskan Islam, dan sesiapa yang dilihat memperjuangkan Islam akan pastinya memperoleh sokongan hebat masyarakat Melayu yang semakin menyedari kepentingan agama dalam kehidupan.

Jelas MCA tidak memahami keinginan segenap lapisan rakyat.

Manakala masyarakat Cina dan India yang mempunyai kesedaran tinggi juga akan memandang pemerintahan Islam sebagai suatu penyelesaian kepada masalah negara seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kadar jenayah yang meningkat mendadak.

Kenyataan mengenai undang-undang Islam atau Hudud oleh tokoh-tokoh utama Malaysia:-

“Undang-Undang hudud, tidak akan dilaksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.”

Perdana Menteri, Najib Razak

“Buat masa ini, secara umum, pada dasarnya, saya percaya ini boleh dilaksanakan. Dalam perkara tertentu, terdapat jaminan yang jelas mengenai pentadbiran yang adil.”

Ketua Pembangkang / mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim

“Ini adalah pendirian kita sejak dulu. Sebagai orang Islam, kita tidak boleh menolak hukum Hudud kerana ia jelas adalah hukum syarak tetapi saya percaya ia belum sampai masanya untuk dilaksanakan.”

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin

Percubaan dari 1990 semakin membuahkan kejayaan.

“Kalau tidak mahu (laksana hukum Islam) buat bumi sendiri. Selagi tumpang bumi Allah, agama rasmi adalah Islam. Kalau tidak buat udara sendiri, jangan tumpang udara Allah. Di Kelantan kita jemput semua pemimpin bukan Islam datang dan kita berdialog.”

Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat

Inilah peluangnya bagi umat Islam. Siapa kata demokrasi meminggirkan agama dan suara umat Islam? Inilah masanya untuk kita memberitahu kepada ahli-ahli politik kita bahawa negara kita telah bersedia menerima undang-undang Islam.
Semoga Allah memberkati mereka yang tulus ikhlas dalam memperjuangkan agama Islam dan memberikan kemenangan yang diidamkan sekian lama, sejak 1974 lagi kita menanti.

Hantu Bonceng dan Komunis, isu panas untuk meraih populariti. September 21, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Sepanjang satu bulan tidak menulis blog, sebenarnya saya mencari isu terbaik untuk dikupas dalam blog saya ini. Selain di sini, kadangkala saya memberikan komen di MalaysiaKini, sekarang sudah dapat gelaran “Pengulas Tertinggi” di sana.

Ceramah di Tasek Gelugor

Isu Komunis bangkit semula berikutan ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Memandangkan ceramah tersebut, hampir tarikhnya dengan kemerdekaan ke-54 negara, beliau telah membawa perhatian audiens kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tidak dihargai. Salah satu nama yang disebutkan adalah Mat Indera.

Lantas media massa arus perdana menyelak kembali buku sejarah masing-masing dan menyedari bahawa nama Mat Indera dicatatkan sebagai anggota gerila yang menyerang rumah pasung Bukit Kepong pada 1950. Keesokan harinya terpapar di media massa berita seperti “Mat Sabu sokong komunis”, yang menimbulkan amarah bekas-bekas anggota polis British ketika itu.

Kemarahan bekas-bekas polis ini, bagi tujuan memberitahu bahawa merekalah pejuang kemerdekaan, merekalah yang berperang dengan komunis, namun hakikatnya pihak yang mereka lawan itu pun mereka tidak pernah selami hati budi masing-masing, apakah mereka mahukan.

Yang polis-polis ini tahu, berjuang, berperang, dapat gaji dibayar oleh pentadbir British, dan bercita-cita mahu menobatkan diri sebagai “wira” di mata anak muda di masa hadapan. Kita tidak salahkan mereka, pada zaman itu orang Melayu memang hanya diajar mengira, menulis dan membaca, tidak perlu berfikir panjang.

Nama Mat Indera dicatatkan sebagai salah seorang Pengukir Nama Johor, dalam sebuah buku keluaran Yayasan Warisan Johor.

19 September, muncul isu baharu yang ditimbulkan oleh Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan. Pemerhatian beliau ke atas filem Hantu Bonceng mendapati satu babak melibatkan pelakon Zizan Razak sebagai Amran, yang mengucapkan kalimah syahadah kerana bermimpi diganggu hantu, namun apa yang dilihat beliau juga menyebutkan “syaitan” dek kerana takut diganggu hantu dalam tidurnya.

Kelihatan syahadah dan perkataan “syaitan” itu seperti disambungkan dalam dialog tersebut. Ustaz Nasruddin meminta agar filem tersebut dihentikan tayangannya. Untuk pengetahuan, Hantu Bonceng tidak lagi ditayangkan di pawagam, malah versi cetak rompaknya boleh diperoleh dengan mudah menerusi muat turun, dan rangkaian televisyen satelit Astro turut menawarkannya di Astro First.

Apakah yang saya sedang sampaikan? Maksud saya, jika untuk dihentikan tayangan sudah terlalu lambat. Filem tersebut difahamkan telah pun mengutip RM9 juta jualan tiket. Inilah yang berlaku apabila kepimpinan politik menjauhkan diri dari mereka yang terlibat dalam bidang seni. Sewajarnya mereka duduk semeja, jika boleh juga dengan kehadiran seorang wakil dari Astro, bagi membolehkan mereka membetulkan babak tersebut yang mana hanya ada beberapa saat yang berlaku kesilapan sedemikian.

Untuk pengetahuan, permohonan maaf telah pun dikeluarkan oleh Zizan dalam Twitter beliau.

Filem ke-100 Jackie Chan.

Benar, isu sejarah dan agama, kedua-duanya penting dan mampu mempengaruhi kehidupan rakyat jelata. Namun, dengan persefahaman yang baik antara mereka yang terlibat, sudah tentu perkara sebegini tidak menjadi terlalu diperbesarkan.

Apakah dengan memarahi Mat Sabu dan menangkap beliau untuk keterangan, ekonomi negara mampu meningkat ke arah yang lebih baik? Malah kerana hubungan baik kerajaan dengan komunis di China, mampu merapatkan kerjasama ekonomi dengan negara tersebut yang semakin kuat penguasaan ekonominya. Kata Perdana Menteri, adanya dua kumpulan komunis iaitu yang baik dan jahat.

Bakal muncul, filem baru dari Jackie Chan bertajuk 1911 yang bakal menceritakan perjuangan komunis di China bagi mendapatkan pemerintahan sendiri dengan menggulingkan kerajaan dinasti Manchu.

Kita lihat nanti, adakah akan ada protes dari mereka yang kononnya anti-komunis ini.

Situasi politik 2 bulan kebelakangan. Makin haru! Jun 12, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Pertama sekali, maaf saya pinta kepada para pembaca atas ketiadaan artikel baharu pada 2 bulan kebelakangan. Terlalu banyak yang berlaku sepanjang tempoh tersebut, pelbagai perubahan yang berlaku ke atas diri saya.

Saya mahu bermula dari tarikh 15 April 2011, iaitu hari Sarawak mengundi untuk kerusi-kerusi Dewan Negeri. Umum mengetahui bahawa BN menang besar, menguasai 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan. Pada masa sama, Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen.

Jika dikira jumlah undi, pastinya BN lebih bahaya kedudukannya di masa hadapan.

Jangkaan pada pilihanraya umum ke-13 nanti, PR mampu memperoleh minimum 7 kerusi Parlimen jika melakukan kiraan secara nisbah berbanding keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang terbaru.Ini sudah tentu satu kelebihan besar berbanding hanya 1 kerusi parlimen sekarang iaitu di Bandar Kuching.

Mereka ini yang dikatakan telah menghancurkan "kepimpinan ulama" dalam Pas. Saya nampak semuanya tetap warak belaka, tak gitu?

Soal politik juga, Pas juga telah melakukan rombakan kepimpinan dengan memilih Timbalan dan Naib Presiden daripada kalangan profesional yang setia dengan parti serta mesra dengan rakan gabungan PR. Tindakan tersebut dilihat BN sebagai kejatuhan ulama’ dalam hierarki kepimpinan Pas.

Justeru kewujudan sayap untuk ulama’ dalam UMNO wajar dialu-alukan, agar masyarakat dapat melihat sejauh mana mereka mampu memastikan UMNO berada di landasan yang betul mengikut agama Islam.

Merekalah bakal anggota - Dewan Ulama' UMNO.

Jika perkara tersebut berjaya, sudah tentu lebih mudah untuk kita menjadi negara Islam yang sejati seperti diperjuangkan sebuah pertubuhan, iaitu Hizbut Tahrir Malaysia. Ini kerana, walau seteruk mana pun parti UMNO itu, pengaruh mereka tetap besar dengan memiliki 78 kerusi parlimen daripada 222 kerusi sedia ada. Masih satu kuasa besar.

Kalau AS boleh cipta Avatar, setakat video apa susah? Malangnya Dato' T tak berjaya dapatkan khidmat James Cameron. Sebab itu videonya sangat gagal!

Dalam tempoh ini juga, fitnah tersebar di merata-rata dengan kewujudan video yang menyerupai seorang pemimpin politik pembangkang Malaysia. Video tersebut dipertikaikan ramai dari segi keaslian, cara rakaman, juga cara yang digunakan bagi perakam memerangkap “pemimpin” yang dimaksudkan.

Dato' T mungkin tak mengetahui nombor talian JAIS: 1800 88 2424. Agaknya mungkin mereka hanya tahu nombor Domino's Pizza, sebab itu terlupa cari JAIS.

Pendapat ramai mengatakan, jika benar mereka mengetahui pemimpin pembangkang tersebut mengadakan hubungan luar nikah, perlu kita secepatnya menelefon Jabatan Agama bagi mengelakkan perbuatan zina itu berlaku, bukannya merakamkannya dan diadakan tontonan bagi media sahaja. Biar pemimpin itu ditangkap dan dituduh atas kesalahan zina dan dihukum sebaiknya.

Begitulah politik kita 2 bulan kebelakangan yang makin diwarnai dengan fitnah dan permusuhan. Kita sebagai rakyat boleh menunjukkan kebijaksanaan dengan menolak politik sedemikian, menerima politik yang matang dan berpaksikan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Analisis kemungkinan keputusan P’raya Sarawak 2011. April 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Sengaja imej pertama sebegini, bagi menarik mereka yang masih bersama BN.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa “Gelombang Biru” sedang melanda negeri Sarawak menjelang pilihanraya 16 April 2011.

Kita tidak pasti adakah ianya biru gelap – BN – masa depan terus gelap, atau biru cerah – PKR, PAS, DAP. Kenyataannya itu boleh membawa pelbagai makna.

“Gelombang Biru” yang dimaksudkan mungkin lebih sesuai dirujuk kepada gangguan terhadap laman-laman web parti pembangkang dan media alternatif. Yang sudah menjadi mangsa, Radio Free Sarawak, HarakahDaily, MalaysiaKini.

Kemunculan di TV3 selepas sekian lama berjauhan dari Malaysia.

Kemunculan di TV3 selepas sekian lama berjauhan dari Malaysia.

Gelombang yang dimaksudkan juga, boleh merujuk kepada pengalihan isu yang tiba-tiba dilakukan oleh media paling mesra-BN, TV3. Temubual yang sudah 2 bulan diperam bersama blogger Raja Petra tiba-tiba dikeluarkan menjelang hari mengundi. Namun, hikmah sebalik peristiwa, isu pembunuhan Altantuya menjadi perhatian semula selepas cuba dikuburkan kerajaan.

Selain itu, gelombang itu juga boleh merujuk kepada sentimen anti-semenanjung yang cuba dinyalakan oleh jentera Taib Mahmud, tanpa menyedari bahawa dia adalah pemimpin yang turut kepada semua arahan dari pemimpin UMNO/BN dari Semenanjung.

Rakyat Sarawak ditakutkan dengan kehadiran pemimpin pembangkang semenanjung yang kononnya mahu mempergunakan rakyat Sarawak. Mungkin rakan-rakan warga Sarawak yang berada di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Selangor, wajar memberitahu bahawa mereka tidak pernah dipergunakan oleh pemimpin mereka, dan sudah tentu di Sarawak begitu juga jika mereka berkuasa dan tiba-tiba menang pada 16 April.

Barangan keluaran Tupperware memang berkualiti tinggi. Alah berebut, menang memakai.

Permainan sentimen kenegerian sebegini sebenarnya merbahaya untuk jangka panjang dari aspek perpaduan Malaysia. Entah ke mana 1Malaysia itu dicampak, mungkin jawapannya ada pada botol-botol Tupperware yang direbutkan oleh orang-orang yang daif di sana.

Mujurlah, cara berpolitik orang Sarawak yang tidak begitu menerima kehadiran staf-staf Persekutuan, mahupun ahli politik kerajaan/petugas BN dari Semenanjung, mampu memastikan pengundian esok selamat daripada ancaman mereka yang tidak berhak, namun mahu juga mengundi bagi memenangkan kerajaan sedia ada.

Kita boleh menjangkakan pengundian esok selamat daripada unsur-unsur penipuan, kerana ianya pastinya mudah untuk dikesan, dengan penerangan meluas mengenai cara-cara mengelakkan pengesanan undi atau penipuan undi menerusi video-video yang dimuat naik di YouTube.

Harus kita ingat, dalam pilihanraya yang telus, sebenarnya cukup payah untuk BN mengekalkan kemenangan yang sudah lama diperolehi menerusi pelbagai helah sebelum ini.

Seluruh Malaysia teruja untuk menantikan keputusan pilihanraya negeri Sarawak Sabtu, 16 April 2011. Namun rujukan mudah untuk peristiwa yang bakal berlaku selepas pilihanraya ini:-

Jika menang lebih besar, Taib bakal menjadi orang paling berkuasa di Malaysia biarpun hanya Ketua Menteri sebuah negeri.

1) Jika BN menang lebih besar, 63 kerusi ke atas

Pilihanraya umum akan dipanggil selepas Aidilfitri, harga petrol “terpaksa” dinaikkan kepada RM2/liter, pendakwaan liwat Anwar Ibrahim diteruskan dengan keadaan Pakatan Rakyat dalam tekanan paling teruk dalam pembentukannya. Taib Mahmud dijulang wira, pemimpin Sarawak sepanjang hayat.

2) Jika BN menang 48-62 kerusi

Pilihanraya umum tetap dipanggil tahun ini, keputusan lebih berwaspada dalam isu harga minyak. Taib Mahmud bertahan 1 penggal lagi.

3) Jika BN menang 36-47 kerusi (gagal majoriti 2/3)

Pilihanraya umum dipanggil lebih lewat (mungkin 2012/2013) bagi memulihkan semula reputasi BN, harga minyak dikekalkan, PR kekal bermotivasi bagi menghadapi saingan dari BN. Tokoh BN lain bakal dilantik Ketua Menteri.

Oh tidak, melayanglah lagi wang rakyat jika SNAP menang di banyak kerusi.

4) Jika BN menang juga, tetapi tanpa majoriti mudah

Keadaan ini hanya akan berlaku jika ada sambutan seimbang terhadap BN, SNAP, serta Pakatan Rakyat. SNAP bakal bergabung dengan BN pada harga bidaan tertinggi dalam sejarah, dengan kompromi memastikan tokoh SNAP dilantik Ketua Menteri. Kepimpinan BN bakal kusut menghadapi tuntutan parti komponen.

5) Jika Pakatan Rakyat menang??? Perkara ini tidak lagi mustahil.

BN akan cuba melewatkan pilihanraya umum ke-13, dengan Pakatan Rakyat memberikan lebih tekanan bagi mempercepatkan proses pilihanraya umum. Selcat Sarawak bakal ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan dana rakyat. Dana Khas Sarawak bakal ditubuhkan pada Belanjawan 2012, bagi memperbaiki infrastruktur di Sarawak bagi meraih semula hati rakyat.

Begitu indah jika perkara ke-5 itu yang menjadi kenyataan.

Kita serahkan kepada rakyat Sarawak untuk memilih kemungkinan mana yang disukai mereka. Kita doakan supaya mereka diberikan petunjuk ke arah kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.

UMNO…tak sudah-sudah dengan fitnah! Januari 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Fitnah dahsyat kepada Cikgu Mala di Facebook.

Harap bersabar ya Cikgu Mala, parti nyanyuk BN ini memang dah makin huru-hara.

Pilihanraya Kecil DUN Tenang, Johor digegarkan dengan siri fitnah dan tohmah yang dilemparkan ke atas calon PAS, Normala Sudirman. Siapa yang mulakan fitnah, sudah tentunya golongan yang tidak bermaruah daripada parti UMNO dan sekutu-sekutunya dalam BN, parti kesayangan pasukan keselamatan kita.

Calon PAS, Normala Sudirman dituduh sebagai telah melakukan zina. Nampaknya semakin terdesak, malah semakin hilang pertimbangan para blogger pemfitnah daripada UMNO ini. Fitnah ini kian tersebar di laman Facebook. Tergamak tuduh orang berzina tanpa bukti dan saksi? Makin lama, makin sesat!

Cekiklah kami lagi, semoga kalian yang menyokong pemerintah zalim ini puas hati.

Wahai para penyokong dan pembela parti UMNO, diminta anda fikir-fikirkanlah, mengapa isu-isu ini yang anda timbulkan dalam pilihanraya, mengapa tidak ditangani isu kesukaran hidup rakyat misalnya dengan gaji RM3000 sebulan yang dianggap “pendapatan tinggi”, selain pendidikan berkualiti yang sewajarnya diperoleh. Kenapa perlu sampai memburukkan peribadi lawan?

Saya kira, sudah 54 tahun memerintah, UMNO/BN sewajarnya sudah matang dalam kempen-kempennya, atau mungkin juga seperti manusia, UMNO mengalami sindrom nyanyuk, mahupun penyakit-penyakit lain golongan tua, lebih-lebih lagi dengan kesombongannya setelah sekian lama berkuasa.

Timbul juga isu keengganan Normala bersalam dengan lelaki. Wahai para pendokong UMNO, jika anda kata anda pendokong kebebasan bersuara dan berpolitik, kebebasan juga bermaksud bebas dalam mengambil pilihan melindungi diri daripada disentuh secara fizikal, adakah itu salah?

Jangan beli telefon CSL, ianya kependekan kepada Chua Soi Lek. Sekadar bergurau, kedua-dua nama tiada kaitan okey!

Tokoh yang menimbulkan isu ini, adalah Dr. Chua Soi Lek daripada MCA. Umum mengetahui apa yang berlaku terhadap Chua pada awal tahun 2008, iaitu pendedahan skandal seks beliau di sebuah hotel. Beliau dengan beraninya telah mengakui melakukan perbuatan tersebut, dan insaf atas kesalahannya.

Perdana Menteri paling "playboy" di dunia.

Skandal itu juga telah memalitkan arang kepada Barisan Nasional dalam kempen pilihanraya umum ke-12, selain merosakkan imej parti MCA, yang kalah di kebanyakan kerusi yang ditandingi. Kini, beliau mahu menegur seorang yang terbukti lebih bersih rekod moralnya? Saya minta Chua cermin diri.

Mungkin, Chua Soi Lek boleh mempertimbangkan untuk berhijrah dan menerima kerakyatan Itali, serta berkawan rapat dengan Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

Cantik bukan? Namanya pun indah, Karima El Mahroug, a.k.a Ruby Rubacuori.

Beliau punya lebih ramai perempuan berbanding PM Malaysia, yang hanya ada beberapa orang, seorang daripadanya sudah diletupkan hingga berkecai badan! Seorang lagi pula masih aktif dalam bidang nyanyian.

Jangan lupa, kirimkan salam Kelapa Muda kepada Karima El Mahroug yang cantik jelita dan masih muda remaja, salah seorang antara wanita yang dipercayai telah ditiduri Silvio Berlusconi.

 

 

Pilihan Raya Kecil, tak sudah-sudah! Januari 20, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Hari ini, politik negara dikejutkan lagi dengan berita kerusi-kerusi dewan negeri yang dijangkakan akan kosong kerana masalah wakil rakyat sakit tenat, meninggal dunia dan tidak berupaya menghadiri sidang dewan.

Kempen pilihanraya kecil Tenang, Johor sedang berlangsung, Speaker Dewan Negeri Selangor mengisytiharkan kekosongan kerusi Pelabuhan Klang kerana wakil rakyat uzur untuk hadir sidang dewan, manakala ADUN Merlimau, Melaka sakit tenat selepas dilanda serangan jantung.

PDRM terpaksa berbelanja besar dalam setiap pilihanraya kecil, terutama tuntutan perjalanan anggota.

13 pilihanraya kecil telah dilangsungkan selepas Pilihanraya Umum ke-12 Mac 2008. Pelbagai sebab menjadikan pilihanraya kecil terpaksa diadakan, namun punca utamanya:- wakil rakyat meninggal dunia.

Ya, kita bukannya Tuhan untuk menentukan ajal maut seseorang. Malah orang muda yang kelihatan sihat, belum tentu sebenarnya sihat dan mungkin menyembunyikan penyakit yang dihadapi. Namun dengan bantuan teknologi moden, keupayaan kesihatan manusia sekarang dapat diukur dan dikenalpasti.

Projek mi segera paling terkenal, dibina untuk pilihanraya 2008 dan SUKMA, bumbung utama runtuh pada 2009.

Pilihanraya kecil sebenarnya memang bagus bagi pembangunan ekonomi kawasan yang mengalaminya, kerana curahan projek-projek mi segera, kebanjiran petugas-petugas pilihanraya parti dan SPR, selain daripada tumpuan masyarakat yang terarah kepada permasalahan di kawasan-kawasan pilihanraya kecil.

Pilihanraya kecil juga, baik sebagai barometer untuk menentukan sokongan rakyat kepada parti-parti politik. 13 pilihanraya kecil, menyaksikan perubahan mendadak terhadap pola pengundian, ada kalanya menguntungkan kerajaan, ada kalanya pembangkang yang beroleh keuntungan.

Malangnya, manfaat daripada pilihanraya kecil, serupa dengan pakej-pakej rangsangan ekonomi di zaman gawat, hanya berkesan untuk masa singkat. Misalnya RM60 bilion rangsangan ekonomi 2009, hanya berkesan untuk jangka singkat dan lambat, cuma kelihatan pada peringkat awal 2010 sebelum perlahan di penghujungnya.

 

Rakyat Sibu mengundi dalam keadaan banjir melanda.

Begitu juga dengan pilihanraya kecil, rangsangan ekonomi juga kepada kawasan yang dipertandingkan, namun juga singkat, jauh lebih singkat kerana kesunyian yang akan dirasai sesudahnya pilihanraya kecil berlangsung.

Selain itu, yang akan menjadi mangsa juga keluarga wakil rakyat yang meninggal dunia. Kerap kali diajukan media mengenai kawasan-kawasan pilihanraya kecil, dilaporkan seolah mundur, perlu lebih bantuan, seolah wakil rakyat sebelumnya tidak berusaha pula.

Contoh terdekat, Belia 4B yang merupakan sebahagian inisiatif UMNO, beliakah Presidennya ini?

Pilihanraya kecil juga dilihat sebagai hasil kedegilan kepimpinan parti bagi memberikan peluang golongan muda memimpin di peringkat paling rendah. Kerap kali, veteran yang kian tidak berupaya tetap dilantik menjadi wakil rakyat, dengan generasi muda jarang sekali dapat merasa peluang menyokong calon muda.

 

Azahar Ibrahim, calon BN pilihanraya kecil Tenang. Bekas penolong pegawai daerah.

Mujurlah, nampaknya ada perubahan bermula pilihanraya kecil DUN Tenang ini. Kedua-dua parti PAS dan BN mempertandingkan calon muda yang berusia di bawah 40 tahun, masing-masing telah membuktikan kewibawaan di usia muda.

Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan, bukan sekadar bagi mengurangkan beban kempen pilihanraya kecil, malah bagi menyuntik semangat baru dalam politik tanah air supaya meraih perhatian golongan muda bukan sekadar untuk menyokong, tetapi menyumbang secara aktif pada pilihanraya, bukan hanya memasang poster di tiang jalan.

ADUN yang tak boleh diharap, baik oleh BN dan PR. Dilantik, tak mahu hadir sidang.

Semoga wakil-wakil rakyat muda nanti, tanpa gagal menghadiri serta berbahas dalam sidang dewan, bukannya ambil cuti sakit memanjang seperti ADUN Kota Siputeh dan Pelabuhan Klang!

P/S: Tulisan ini bukan untuk mengayat bagi jadi calon PRU-13 atau 14, Kelapa Muda masih belum berparti. Buah hati sendiri pun tak berapa berkenan jika saya jadi ahli politik sepenuh masa.

Memperkenalkan, Cikgu Mala! Januari 17, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
add a comment

PAS telah pun mengumumkan calon bagi Pilihanraya Kecil DUN Tenang, Johor bagi menghadapi pertembungan dengan Barisan Nasional yang menyandang kerusi tersebut.

Tanpa diduga, pilihan PAS kali ini cukup mengejutkan dan nampaknya cukup berani. PAS telah meletakkan seorang calon muda wanita bagi menggalas cabarannya di kerusi yang kelihatan agak sukar dimenangi ini.

 

Cikgu Mala - Normala Sudirman. Remember the name, and vote for her.

Normala Sudirman, 38 merupakan seorang bekas guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang. Beliau seorang calon tempatan yang juga berasal daripada keluarga peneroka Felcra. Telah lama bergiat aktif dalam PAS, beliau merupakan Exco Pendidikan, Dewan Muslimat PAS.

Beliau mesra digelar “Cikgu Mala” oleh masyarakat.

(Hehe…nampaknya teringat pula kepada Cikgu Syida dari Parit, Perak. Mungkin bakal calon pilihanraya seterusnya?)

Fokus strategi beliau dalam pilihanraya kecil ini, adalah bagi memperjuangkan hak golongan peneroka, berusaha membuka peluang aktiviti ekonomi lebih giat di kawasan DUN Tenang, dan juga memperjuangkan isu-isu berkenaan hak asasi kaum wanita.

Bertudung dan berbaju kurung, Haslinda Salleh, Ketua Wanita UMNO Labis. Amboi amboi amboi, bukan main tarik tu!

Dijangkakan pengumuman lebih awal daripada PAS ini akan menentukan arah pertandingan pada pilihanraya kecil DUN Tenang. BN juga dijangka terpaksa memberikan laluan kepada calon wanita, memandangkan lebih 50% pengundi di Tenang, merupakan daripada golongan wanita. Wanita UMNO telah mencadangkan Haslinda Salleh, Ketua Wanita UMNO Labis sebagai antara pilihan calon.

Nampaknya pilihanraya kecil di Tenang masih kurang isu tempatan, mungkin kerana ianya selama ini telah menjadi kawasan yang mudah dimenangi BN. Kemungkinan besar, isu nasional akan menguasai pentas-pentas ceramah.

Kos penanaman semula antara Felda, Sime Darby dan IOI. Felda mahal lebih 3 kali ganda!

Pakatan Rakyat dijangka akan menimbulkan isu penyelewengan dalam Felda, juga ekonomi rakyat yang semakin tertekan akibat siri-siri penyelarasan harga-harga barang keperluan oleh kerajaan.

RM37j untuk sebuah kempen BN yang gagal. Tenang, diharap dapat contohi Sibu!

Manakala Barisan Nasional pula pastinya dengan kaedah biasa, menggunakan isu perpaduan Melayu, menceritakan keburukan kerajaan Islam PAS kepada masyarakat bukan Islam, selain daripada projek-projek segera yang pastinya menelan jutaan ringgit kos untuk dikeluarkan.

Yes, we can help you.....to get out!

Nampaknya, masih dengan “You help me, I help you.”, dipetik dari ayat PM Najib di parlimen Sibu.

Can we help you, BN? We want to help to kick you out, ‘coz we are sick of you!

(Boleh kami tolong anda BN? Kami mahu tendang anda keluar, kerana sudah meluat dengan anda!)

Jika kerajaan ala-BN boleh tumbang di Tunisia, apatah lagi di DUN Tenang ini bukan? Mari kita berusaha dan berdoa untuk Cikgu Mala mencipta kejutan.

 

Amaran buat Pakatan Rakyat, khas dari rakyat Australia, Amerika Syarikat dan Jepun. November 7, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Benar, Pakatan Rakyat merupakan gabungan 4 parti pembangkang Malaysia. Bukan hak rakyat Jepun, Amerika mahupun Australia.

Namun, pengalaman dialami 3 negara maju ini boleh dijadikan teladan kepada sebuah pakatan yang bakal bertanding buat pertama kalinya dalam pilihanraya umum Malaysia sebagai sebuah gabungan bersama yang berkongsi satu platform yang sama.

3 negara yang saya senaraikan, merupakan negara-negara yang mengalami perubahan politik dari tempoh 2007-2009, dan dilihat sedang mengalami kesan buruk daripada perubahan tersebut, dengan tuntutan rakyat yang semakin meningkat gara-gara sikap mereka yang kian kritikal terhadap pentadbiran kerajaan.

Keadaan yang dialami mereka juga adalah kesan daripada kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan baru masing-masing yang menyangka mandat rakyat merupakan lesen kepada mereka untuk membuat sebarang keputusan yang diyakini akan diterima rakyat.

Australia: Kuasa industri perlombongan, pertukaran pemimpin tanpa restu rakyat

Kevin Rudd yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dari Disember 2007 memperoleh sokongan cukup popular dari rakyat. Parti Buruh Australia berjaya memenangi pilihanraya umum dengan usahanya untuk merapatkan hubungan antara kaum selain matlamat untuk memperbaiki kualiti alam sekitar Australia menerusi kawalan perlombongan.

Populariti Rudd terus kekal, walaupun mengalami sedikit kejatuhan. Beliau berjaya bertahan dalam krisis ekonomi global, dengan Australia berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonominya. Namun, cadangan beliau untuk cukai keuntungan industri perlombongan telah memadamkan keyakinan terhadap beliau dalam kalangan wakil rakyat Parti Buruh.

Dalam sekelip mata, Australia menerima seorang Perdana Menteri wanita yang kemudiannya membubarkan parlimen untuk pilihanraya baru. Dalam pilihanraya umum 2010, Julia Gillard tidak mampu mengekalkan sokongan yang diperoleh Kevin Rudd sebelumnya, namun masih dapat bertahan dengan sokongan ahli parlimen bebas.

Amerika Syarikat: Obama dihormati dunia, ditolak rakyat sendiri

Barack Obama merupakan seorang ikon yang begitu diraikan di seluruh dunia kerana tema perubahan yang dibawa, selain daripada matlamatnya untuk menamatkan peperangan yang dibawa oleh Presiden sebelumnya George W. Bush.

Usahanya memperoleh sokongan daripada komuniti antarabangsa, namun isu di negaranya sendiri menyaksikan parti Demokrat beliau tumpas dalam pilihanraya umum 2010.

Rakyat yang kehilangan pekerjaan tidak dapat menerima reformasi kesihatan yang berjaya dilakukan dengan kos yang amat mahal, yang sebenarnya cukup untuk membolehkan kadar pengangguran dikurangkan selepas krisis subprima yang menggegarkan dunia sebelum Obama menjadi Presiden.

Nampaknya sebarang usaha membuat keputusan oleh pentadbiran Obama selepas ini akan mengalami tentangan hebat dari Republikan yang menguasai Kongres, cenderung mengkritik setiap keputusan yang dilakukan pentadbiran Obama semenjak hari pertama.

Jepun: Letak jawatan kerana menghormati janji

Yukio Hatoyama berjaya menamatkan pentadbiran Parti Liberal Demokrat (LDP) sejak sekian lamanya pada pilihanraya umum 2009. Pelbagai perubahan polisi dilakukan, antaranya pelbagai insentif untuk rakyat selain daripada usaha memperbaiki hubungan luar.

Namun kesilapan berlaku apabila Hatoyama tidak menepati satu janji yang dibuat gara-gara keselamatan negara. Janji untuk menutup pengkalan tentera Amerika di Okinawa tidak dapat ditepati kerana kebimbangan yang meningkat terhadap keselamatan rantau Asia Timur akibat daripada tragedi kapal selam Korea Selatan yang karam, dipercayai dilakukan oleh Korea Utara.

Menyedari populariti yang pudar, Hatoyama mengikuti amalan tradisi Jepun, iaitu meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Naoto Kan.

Kesimpulan

Untuk memenangi pilihranraya umum dan menumpaskan Barisan Nasional memanglah satu kerja yang sukar, namun bagi mengekalkan populariti memerlukan usaha lebih gigih dan perlu dilakukan tanpa jemu dan dengan penuh kesabaran.

Pertukaran kuasa jika berlaku, akan melahirkan kumpulan rakyat yang lebih kritikal terhadap kerajaan, dan menyedari betapa besar kuasa dimiliki rakyat.

Dalam usaha melakukan reformasi, pihak-pihak yang perlu didengar pandangan mereka bukan sahaja rakyat biasa, malah ahli parti dan kumpulan industri haruslah diyakinkan.

Ahli partilah yang menentukan kepimpinan parti, selain pihak industri yang memberikan pekerjaan kepada rakyat dan kadang kala menyumbangkan dana bagi kempen parti politik.

Dasar-dasar yang ingin diperkenalkan haruslah diperhalusi bagi memastikan sokongan seramai mungkin pihak. Pastinya usaha ini lebih sukar dilakukan dengan keadaan ekonomi yang belum menjanjikan masa depan cerah.

Paling penting, negara ini memerlukan satu perubahan sistem yang menyeluruh. Itu sudah pasti.

Tak perlu hulur salam perpaduan kepada “parti dayus”. Ogos 8, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

Agak kasar teguran Awang Selamat terhadap PAS dan pemimpin-pemimpinnya dalam kolum di Mingguan Malaysia hari ini.

Are you Muslim first, perhaps?

Beliau merujuk PAS sebagai sebuah parti yang dayus kerana menolak kerjasama dengan parti Islam seperti UMNO. Ya, Awang merujuk UMNO sebagai parti yang bertunjangkan Islam.

Mungkin Muhyiddin Yassin tersilap apabila mengakui bahawa beliau “Malay first, Malaysian second”. Mungkin jika beliau mengubah kata itu kepada “Muslim First”, PAS akan cair hati untuk menerima “salam perpaduan” daripada UMNO.

Awang memberitahu lagi bahawa UMNO sudah pun merintis kerjasama dengan pelbagai parti dengan pelbagai latar belakang semenjak penubuhannya tahun 1948 dahulu.

Diharapkan UMNO dapat meneruskannya lagi selepas ini, tariklah lagi pertubuhan-pertubuhan lain pula untuk turut serta seperti Makkal Sakthi Malaysia, memandangkan PAS sudah tidak mampu lagi untuk ditarik perhatiannya mahupun mana-mana wakil rakyatnya. Maklumlah, “parti dayus” kata mereka.

Mufti BerEtiQa

Jangan lupa, pesanlah kepada Mufti Perak a.k.a Mufti UMNO a.k.a Mutfi Panel Etiqa Takaful a.k.a Mufti BerEtiQa supaya menghentikan usaha untuk menarik “parti dayus” PAS untuk bergabung dalam BN. Sia-sia sahaja, kerana sudahlah Perak dirampas daripada seorang Menteri Besar dari PAS, partinya pula digelar “dayus” dan bermacam-macam lagi oleh pimpinan-pimpinan BN sebelum ini.

Inilah "undang-undang Islam" oleh UMNO, diiktiraf oleh Mufti BerEtiQa, Dato' Seri Harussani Zakaria.

Tidak lupa juga, pemimpin-pemimpin dan ahli PAS yang pernah digelar “militan” dan “tali barut komunis” sebelum ini, pasti tidak akan memaafkan tindakan kerajaan BN dari dahulu lagi.

Pasti pengalaman disiksa tanpa bicara sebagai tahanan “Undang-Undang Islam” ISA di “Kota Kamunting” akan diceritakan berterus-terusan dalam setiap ceramah.

Lebih baik Dato’ Seri Harussani berusaha promosikan lagi Etiqa Takaful, tempelkanlah wajah anda di setiap iklan-iklan mereka untuk lebih royalti daripada usaha sendiri, berbanding usaha membantu BN-UMNO yang makin kering duit itu!

Mereka yang mengeji tidak akan membuka hati, jauh sekali memberi undi. Biarkan saja mereka. April 3, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
1 comment so far

Ada satu pemerhatian yang telah saya lakukan kepada rakan-rakan dan saudara-mara, mengenai keadaan politik semasa di negara kita.

Jelas sekali, ramai yang sudah kian jemu dan kecewa dengan keadaan yang dianggap semakin buruk, dan taraf hidup yang tidak juga meningkat, walaupun sudah melaksanakan tanggungjawab menjayakan perubahan pada 8 Mac 2008, iaitu dua tahun yang lalu.

Sebilangan penyokong UMNO kini kelihatan kecewa dengan gagasan 1Malaysia, yang dikatakan menutup peluang mereka untuk meneruskan perniagaan dengan seribu satu keistimewaan, dan kerisauan tentang tuntutan daripada komuniti bukan Melayu yang kelihatan seolah-olah sukar untuk ditolak oleh kerajaan sekarang.

Hee Yit Foong sahaja yang bermasam muka dalam gambar ini.

Manakala di pihak Pakatan Rakyat, ada juga yang kecewa dengan rentetan kehilangan wakil-wakil rakyat mereka yang menyeberang ke Barisan Nasional, mahupun menjadi “Wakil Bebas Mesra Barisan Nasional”. Pemimpin utama PR cuba mententeramkan keadaan dengan kenyataan bahawa mereka yang melompat itu, terdiri daripada golongan yang tidak berpuas hati gara-gara tidak memperoleh pangkat dan kedudukan serta peluang perniagaan. Pastinya sukar untuk melaksanakan program untuk rakyat jika tiada kedudukan sedemikian yang boleh dimanfaatkan bagi memperoleh dana bagi menjayakan program-program sedemikian.

Namun, persepsi masyarakat Melayu kini positif kepada sebuah parti, iaitu Parti Islam SeMalaysia. Kesetiaan wakil-wakil rakyat mereka dikagumi, kesederhanaan pemimpin-pemimpinnya juga disanjungi. Model pentadbiran di dua negeri, Kelantan dan Kedah dianggap sebagai berjaya, menyukarkan penembusan pengaruh BN yang dianggap penuh bermasalah serta tidak berjaya walaupun sudah 51 tahun mentadbir Kedah sebelum ini, namun akhirnya meninggalkan hutang bernilai melebihi RM2 bilion untuk ditanggung oleh pentadbiran PAS Kedah sekarang.

Walaupun begitu, PAS dicela oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana penglibatannya dalam Pakatan Rakyat, di mana setiap, partinya terpaksa berkompromi. DAP perlu menerima pentadbiran negara oleh orang Melayu dan Islam, manakala PAS pula perlu menerima pentadbiran sedemikian rupa yang masih dikatakan sekular.

Kompromi sedemikian mengecewakan penyokong setia, selain juga menjadi modal bagi mereka yang langsung tidak pernah mengundi PAS walaupun pada zaman mereka berseorangan membawa bendera perjuangan Islam di negara Malaysia ini. Walaupun berlaku pelbagai peristiwa mengejutkan, seperti tragedi Memali yang mengorbankan tokoh PAS, pada asasnya ketika itu orang Melayu Islam masih tidak dapat melihat, jauh sekali mahu mengundi PAS yang terang-terangan menjadikan Islam sebagai perjuangan tanpa perlu berkompromi dengan sesiapa pun.

Bermula zaman Dr. Mahathir memerintah negara, semakin terpinggir para ulamak dalam pemerintahan negara, semakin jauh peranan Islam dalam kalangan masyarakat negara ini. Sekolah agama rakyat ditutup satu persatu gara-gara ketiadaan bantuan, selain peminggiran menerusi kurikulum bahasa Inggeris dalam subjek sains dan matematik. Beliaulah yang mengajar sebilangan golongan muda kita untuk menghina dan mencerca golongan agama, menjadikan ulamak dipandang sebelah mata sahaja.

PAS disamakan dengan Taliban di Afghanistan dalam usaha menakut-nakutkan komuniti bukan Islam, sistem pentadbiran Islam dikatakan tidak progresif serta menghalang kemajuan negara dalam usaha mencapai Wawasan 2020.

Dengan kedudukan ulamak serta Islam yang masih dipandang serong oleh sebilangan orang Islam dan bukan Islam Malaysia, jelas sekali PAS perlu untuk menyertai satu kumpulan besar bagi membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran, selain menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran dalam usaha memahami keperluan rakyat.

Yang mengecewakan, adalah sikap sebilangan wakil PAS dalam majlis-majlis tempatan yang masih bersikap umpama pembangkang walaupun dalam negeri yang diperintah mereka. Tindakan mempertikaikan keputusan-keputusan pentadbiran terdahulu, menyebabkan setiap mesyuarat yang hanya dijalankan pada masa singkat tidak berjaya dalam memuktamadkan keputusan-keputusan penting dan bermanfaat untuk masyarakat setempat.

Dengan sikap sebegini, nampaknya hajat PAS bagi membina sebuah negara Islam yang sebenar mungkin masih jauh lagi, gara-gara pandangan serong daripada masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Seharusnya para wakil-wakil PAS dalam pentadbiran perlulah bersikap lebih progresif, serta memberi komitmen sebaiknya bagi meningkatkan imej parti di mata masyarakat.

Tentang penglibatan dalam Pakatan Rakyat, biarkanlah yang tidak mengerti terus mengkritik membuta tuli, walaupun sekali tak pernah memberi undi walau apa pun platform sokongan yang diambil. Ahli-ahli akan tetap mengerti, dan memahami betapa banyak manfaat yang diperolehi dengan penglibatan dalam Pakatan Rakyat, kerana buat pertama kalinya, PAS boleh bermimpi untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara Malaysia, di kala kemungkinan tersebut kelihatan tidak logik beberapa tahun yang lalu.