jump to navigation

Piala Malaysia 2011: Perjalanan setakat ini. Oktober 15, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Piala yang menjadi kebanggaan besar pasukan yang memenanginya.

Jika anda tidak mengikuti bola sepak Malaysia, pastinya anda tidak menyedari mengenai perlawanan-perlawanan yang sedang berlangsung di negara kita sekarang.

Dengan kekurangan perlawanan melibatkan pasukan negara (kerana tersingkir dari kelayakan Piala Dunia kepada Singapura, dan keengganan pasukan-pasukan serantau untuk bermain perlawanan persahabatan), pastinya dahaga rakyat Malaysia terhadap bola sepak dapat diubati dengan kejohanan Piala Malaysia yang sedang giat dijalankan.

Melibatkan 16 pasukan (negeri dan kelab) yang dipecahkan kepada 4 kumpulan, sebanyak 6 perlawanan diadakan untuk setiap pasukan dalam setiap kumpulan. 8 pasukan telah ke suku akhir.

Menepati jangkaan adalah pasukan-pasukan utama yang layak sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan:-

  • Perak
  • Negeri Sembilan
  • Terengganu
  • T-Team Terengganu
  • Felda United
  • Kelantan

Pasukan yang hanya layak selepas perlawanan terakhir adalah seperti berikut:-

  • Sabah: dengan bergaya menewaskan Johor di perlawanan terakhir kumpulan
  • Selangor: Berjaya menewaskan Kuala Lumpur 2-1 dalam perlawanan terakhir yang cukup sengit untuk ke Suku Akhir.

Pasukan Kedah yang berada di kelompok 4 terbaik Liga Super, mengecewakan para penyokong setia dengan keputusan kurang memberangsangkan.Beberapa pemain tidak memberikan komitmen maksima, menjaringkan gol sendiri, dan masih berada dalam kesebelasan utama.

Seri 3-3 dengan Johor di tempat sendiri pastinya cukup disesali, kerana itulah punca sebenar mereka tidak dapat melepasi peringkat kumpulan. Jika masalah ini tidak ditangani, populariti Pakatan Rakyat di Kedah pasti akan terjejas teruk. Saya tidak main-main.

Untuk peringkat Suku Akhir, saya tiba-tiba buntu untuk menyokong pasukan mana.

Takkanlah Felda United, yang kelihatan disconnected dengan golongan peneroka?

Tentunya bukan Negeri Sembilan yang digepalai adik-beradik selebriti.

Dan pastinya bukan Kelantan atau Terengganu yang saya kini sedikit fasih berbahasa dialek mereka.

Terdapat satu pasukan yang senantiasa berusaha gigih bagi menggembirakan para penyokongnya. Ramadhan lalu, mereka mengadakan 2 perlawanan persahabatan PERCUMA!

Terima kasih Menteri Besar Incorporated. =)

Menang 1-0 dengan pasukan Harimau Malaya, dan tewas 1-0 kepada Kelantan. Juga tewas dengan margin yang sama kepada Singapura dalam Piala Sultan Selangor 2011.

Dengan margin kekalahan sebegitu kecil, tandanya mereka berkeupayaan untuk menewaskan mana-mana pasukan pun di bumi Malaysia ini, tetapi ada syaratnya yang boleh cuba dipenuhi bagi menjadikannya realiti.

  • Safiq Rahim, pakar sepakan percuma yang pernah menggetarkan Liverpool harus ada dalam setiap perlawanan. Elakkan kecederaan dan kad kuning yang tidak perlu.
  • Benteng pertahanan perlu reinforced bagi mengelakkan gol-gol yang tidak diperlukan seperti dalam kekalahan ke atas Singapura.
  • Stadium Shah Alam wajar dipenuhkan separuh dari kapasiti sebenar 80,000. (Kredit kepada BN Selangor yang berjaya membangunkan stadium sebesar ini tahun 90-an dahulu)

Oleh kerana ada syarat yang tidak berjaya dipenuhi daripada ketiga-tiga faktor ini, mereka agak berhempas-pulas di peringkat kumpulan bagi meneruskan cabaran di peringkat Suku Akhir.

Sentiasa menyokong pasukan, walau jatuh dan rebah. Kalian memang terbaik =). Kredit gambar UltraSel12 blogspot.

Di peringkat Suku Akhir pula, Kelapa Muda sempat menjengah ke kawasan penyokong setia Selangor yang menggelarkan diri mereka “ultraSel”, dengan tanpa menukar pakaian asal dari pejabat berwarna merah jambu. Rata-rata mereka sudah dikenali sejak Piala Sultan Selangor minggu sebelumnya.

Nyata ianya Isnin yang begitu menggembirakan, kerana kehadiran penyokong yang memenuhi syarat ketiga (1/2 dari kapasiti sebenar). Benteng pertahanan belajar daripada kesilapan, dan memberikan penderitaan kepada para pemain Perak yang cukup unggul di peringkat kumpulan terdahulu(syarat kedua dipenuhi).

Aset pasukan Selangor yang wajar dipertahankan dari dijual ke pasukan lain.

Dan pemain sensasi negara (adakah gambaran ini terlalu hiperbola?) Safiq Rahim menyumbat 2 gol, menerusi sepakan percuma. Syarat pertama juga berjaya dipenuhi bagi Misi 33 Selangor.

Suku akhir kedua yang baru sahaja tamat semalam menyaksikan Selangor menang lagi 1-0, menjadikan agregat 4-1.

Jadual perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia 2011 adalah seperti berikut:-

  • Selasa 18 Oktober 2011, Selangor vs Terengganu dan T-Team vs Negeri Sembilan
  • Sabtu 22 Oktober 2011, Terengganu vs Selangor dan Negeri Sembilan vs T-Team
Negeri Sembilan? Tidak, ini Sasapan Batu Rembau, Beranang, Selangor. Kredit Kaki Hujan.

By the way, siapa itu T-Team? Jawapan dari Wiki adalah Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu. Oh, ini mimpi ngeri jika kedua-dua Terengganu bertemu di perlawanan akhir!

Jadi kepada penyokong Selangor dan Negeri Sembilan, anda pasti tahu apa yang perlu dilakukan.

Jika kedua-dua kalian layak ke akhir, pastinya mereka dari Beranang akan bergembira, kerana boleh memilih juara yang mereka suka kerana kedudukan strategik sempadan Selangor-Negeri Sembilan. =)

Isu SUK: Pakatan Rakyat menang dalam kalah. Januari 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

Kerajaan Selangor tidak wajar kejar majoriti 2/3, lagipun terserlah betapa tidak cerdiknya wakil-wakil BN.

Seperti diketahui, Kerajaan Negeri Selangor gagal dalam cubaannya untuk meminda perlembagaan negeri bagi memberikan kuasa dan suara kepada sultan dalam menentukan pelantikan tiga orang pegawai tertinggi negeri.

Namun, kekalahan ini sebenarnya merupakan satu kejayaan dalam membuktikan kepada rakyat, bahawa Pakatan Rakyat punya hasrat jelas ingin mengembalikan kuasa raja-raja tanpa kompromi, yang mana telah dinafikan oleh BN dengan beberapa siri pindaan perlembagaan persekutuan sebelum ini.

Kerajaan negeri Selangor, gagal memperoleh majoriti 2/3 atau 38 undi menyokong. Sebaliknya hanya 34 undi menyokong, iaitu semuanya daripada wakil Pakatan Rakyat, sementara 20 wakil BN semuanya membangkang.

BN juga telah mengadakan perhimpunan di luar kompleks kerajaan negeri, membantah pindaan perlembagaan tersebut yang didakwa bertujuan mengukuhkan kuasa Menteri Besar, sedangkan niat sebenar pindaan perlembagaan tersebut adalah untuk mengurangkan kuasa persekutuan dan eksekutif dan mengembalikannya kepada yang berhak, iaitu Sultan Selangor.

Lihatlah betapa BN mengkhianati raja-raja. Hipokrit betul BN, serta mereka yang mendokongnya habis-habisan!

Walaupun perhimpunan kelihatan disertai ramai, namun semuanya boleh dikatakan kelihatan seperti begitu dungu dan lurus bendul dalam mempertahankan kuasa Persekutuan, membela Perdana Menteri agar boleh melakukan keputusan sesuka hati tanpa perlu meminta nasihat mahupun cadangan daripada Menteri Besar negeri mahupun raja sendiri.

Menyeleweng sumber air negeri, buat bangunan letak nama sendiri. Terima kasih Rozali!

Ini dilihat sebagai kegagalan kedua kerajaan negeri Selangor dalam melakukan perancangannya, iaitu sebelum ini bagi memiliknegerikan sumber bekalan air yang telah dimonopoli oleh syarikat kroni Persekutuan, Puncak Niaga Sdn Bhd.

Walaupun dalam krisis kewangan dan terpaksa memohon bantuan dana persekutuan, nampaknya Puncak Niaga masih berusaha gigih membela penyelewengannya selama ini daripada terus terbongkar jika syarikat bekalan air dimiliknegerikan.

PERKASA, terserlah boneka UMNO! Bebas konon!

Tahniah tetap perlu dikalungkan kepada kerajaan negeri Selangor, kerana terus mengutamakan rakyat dalam setiap perancangannya walaupun mengalami kegagalan demi kegagalan.

Semoga Menteri Besar tidak tertekan untuk mengikut Perdana Menteri membubarkan dewan untuk Pilihanraya Umum ke-13, kerana mandat masih ada dan masih besar (34 kerusi), dan keupayaan masih tinggi bagi terus melaksanakan pembaharuan dan membongkar penyelewengan yang terus dibela oleh golongan tidak terpelajar seperti GAPS dan PERKASA.

 

Mengapakah pengangkutan awam kita tidak cekap? Januari 7, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,
2 comments

Saya terbaca tulisan seorang penulis blog yang menceritakan dilema hidupnya yang terpaksa berpindah ke sebuah bandar yang tidak lengkap pengangkutan awam-nya di Kuala Lumpur. Beliau telah memaparkan gambar skrin dari Wikipedia yang menunjukkan senarai 10 bandar paling ramai penduduk di Malaysia.

Sebenarnya kedudukan bandar paling ramai penduduk kini bukan lagi dikuasai Kuala Lumpur, tetapi Subang Jaya! Tidak menghairankan jika melihat kepada kesesakan lalu lintas yang dihadapi warganya setiap hari, memang tersangat teruk.

Ada beberapa bandar mengalami pertambahan penduduk luar biasa, jauh di luar jangkaan. Lihat Subang Jaya.

Mari kita rujuk Subang Jaya misalnya, antara 1991-2000, terdapat pertambahan penduduk sebanyak lebih 5 kali ganda. Manakala bagi tempoh 2000-2010, pertambahan penduduk terus berganda sehingga lebih 3 kali ganda.

Kadangkala kita hairan, adakah pihak penguasa kita tidak melihat trend pertambahan penduduk luar biasa ini? Keadaan sebegini sudah kelihatan sejak tahun 1991, di mana Malaysia mula merangka Wawasan 2020 bagi menjadi negara perindustrian yang maju.

Entah berapa lagi jambatan yang perlu dibina di Subang Jaya?

Selain itu, terdapat juga petanda kenaikan harga minyak yang semakin berganda pada dekad pertama abad ke-21, dengan kesukaran mencari sumber petroleum baharu yang semakin mencengkam. Sehinggakan satu tahap, kerajaan sedia memberikan subsidi berterusan kepada harga minyak, sehingga ianya mencecah kemuncak pada 2008, iaitu sebanyak RM27 bilion semata-mata untuk subsidi harga minyak.

Dengan keadaan sebegini, sewajarnya bandar-bandar seperti Subang Jaya, Klang dan Shah Alam sepatutnya sudah memiliki sistem pengangkutan awam yang teratur dan menghubungkan seluruh bandar.

Mengapakah itu tidak berlaku? Fikirkan projek kereta nasional ilham Dr. Mahathir. Bagi menampung pertambahan kenderaan daripada program ini, banyak lebuhraya dibina.

Jumlah lebuhraya yang berganda, apakah muslihatnya?

Merata-rata kita dapat lihat lebuhraya, misalnya jika mahu keluar dari Puchong, hanya Jalan Klang Lama dan Lebuhraya Bukit Jalil yang tidak dikenakan tol.

Banyak bandar yang laluan masuknya disekat dengan pembinaan plaza tol, antaranya Bandar Mahkota Cheras yang menjadi isu suatu masa dahulu.

Dr. Mahathir, kini masih penasihat Proton.

Jika anda merupakan seorang pemuja Dr. Mahathir, fikirkanlah kembali, apakah ini berbaloi? Kita menjadi denyut nadi kepada bukan setakat industri automotif yang dibangunkannya, malah menjadi sumber pendapatan bagi pelbagai syarikat konsesi lebuhraya yang dikuasai kroni-kroni utama.

Mujurlah, penyelesaian yang kini sedang dilaksanakan dengan secepat boleh, merangkumi:-

  • Hubungan yang lebih baik bagi kawasan-kawasan padat penduduk di Subang Jaya, dengan sambungan Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang sehingga ke Puchong dan Putra Heights, yang terletak dalam kawasan majlis perbandaran Subang Jaya.
  • Laluan baru MRT antara Sungai Buloh-Kajang, turut terletak dalam kawasan-kawasan yang tidak diliputi pengangkutan rel menyeluruh seperti Damansara, Bandar Utama, Cheras, Seri Kembangan dan Kajang.

    Jika kerajaan negeri punya RM9 bilion untuk beli syarikat bekalan air, agaknya mampukah mereka untuk membina satu sistem pengangkutan awam yang cekap di Klang? Harap impian ini jadi nyata.

Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Dalam senarai 20 bandar paling padat penduduk, juga terdapat bandar seperti Klang, yang diketahui memang cukup sesak dan padat.

Johor Bahru yang kini memiliki Iskandar Malaysia, pusat pertumbuhan baru selatan. Ipoh pula, hanya boleh berbangga dengan ETS KTM yang menjadikannya antara stesen utama, namun keadaan bandar yang luas dan sesak.

Shah Alam pula, kian berkembang pesat terutamanya di kawasan Setia Alam dan Puncak Alam di sebelah utaranya, yang hanya disediakan satu laluan bas utama RapidKL, iaitu U90. Bandar Baru Bangi, hanya mempunyai bas mini, selain satu laluan RapidKL bas tempatan.

Apakah kita perlu kesesakan lalu lintas berskala Subang Jaya, baru kelam kabut mahu membina pengangkutan awam yang berkesan? Lagipun pelaburan untuk pengangkutan awam, bukanlah untuk penyelesaian masalah jangka pendek, tetapi bagi menyelesaikan masalah jangka panjang.

Pastinya ini semua hanyalah satu angan-angan, selagi wujudnya satu industri digelar sebagai industri kereta nasional. Sudah banyak wang rakyat yang dilaburkan bagi menyokongnya: dari bayaran cukai, jumlah pembelian kenderaan, kos membina lebuhraya, pembelian bahan api, selain sokongan kepada pelbagai industri sampingan automotif.

Pelancaran Proton Saga, 25 tahun lalu.

Jika dikira secara teliti, rasanya berapakah yang sudah dikeluarkan selama 25 tahun wujudnya kereta nasional Malaysia? Adakah sudah melebihi RM100 bilion? Tidak mustahil.

Masihkah kita mampu mempertahankannya, tentunya tidak lagi. Diharapkan pelan kereta global Proton akan berhasil, lantas membebaskan rakyat daripada beban pengorbanan berbilion wang ringgit mempertahankannya.

Mengapa Khusrin Munawi beriya mahu jadi SUK Selangor? Januari 4, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
1 comment so far

Seperti yang diketahui ramai, Khusrin Munawi, bekas Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor telah dilantik oleh Ketua Setiausaha Negara untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Diharapkan setiap pagi beliau dapat bangun awal, boleh Ustaz Khusrin?

Pada 3 Januari 2010, beliau telah melapor diri ke pejabat kerajaan negeri Selangor seawal jam 6.45 pagi, jauh lebih awal daripada pelajar-pelajar sekolah yang ketika itu mungkin baru bersarapan pagi di hari pertama persekolahan.

 

Walaupun tidak diterima oleh Menteri Besar Selangor, beliau tetap berkeras mahu akan jawatan tersebut biarpun menyedari, kelulusan beliau hanyalah Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pengurusan Perniagaan) dari UKM.

Saya punya seorang rakan di McDonald’s yang mungkin lebih layak, bakal tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Bio-informasi juga dari UKM. Bahasa Inggeris kami juga, jauh lebih baik daripada Khusrin. Lihat video di bawah untuk bukti, terutama minit 13:31 ke atas, yang lain cuma membebel sahaja.

Mengapakah pak cik yang tak sedar diri ini begitu bersungguh-sungguh? Sebenarnya mungkin bukan untuk memporak-perandakan kerajaan Selangor. Jawapan sebenarnya, rujuk gambar di bawah.

Gambar di atas merupakan kereta segmen-D Nissan Fuga, yang dilaporkan oleh Berita Harian, sebagai model terbaru untuk program “rebadge” oleh Proton.

 

Cuba tanya kepada Khusrin Munawi, apakah maksud "Smart Guys Get It" ini? Harapnya beliau faham.

Bunyinya seperti program Proton Inspira, namun kita tidak perlu bermimpi basah untuk merasa pengalaman menaiki kereta yang sehebat ini kerana kereta ini dilaporkan hanya terhad kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan, iaitu sebagai gantian kepada Proton Perdana eksekutif yang digunakan sehingga kini.

Laporan yang sama juga memetik sumber yang memberitahu bahawa keluaran pertama Proton baharu ini akan dikeluarkan sebanyak 150 buah, iaitu untuk pegawai-pegawai tertinggi kerajaan sahaja.

Kerajaan Persekutuan mempunyai seramai 30 menteri, 42 timbalan menteri, 78 ketua jabatan. Jumlahnya genap 150 orang.

Bagaimanakah caranya untuk Khusrin Munawi memasuki kelompok pertama pegawai kerajaan yang akan memperoleh model “rebadge” Nissan Fuga khas untuk mereka?

Untuk pengetahuan, ada seramai 38 pegawai tertinggi persekutuan yang berada dalam senarai “AHLI MESYUARAT JAWATANKUASA PERHUBUNGAN ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI”.

Ini bermakna, akan ada pegawai dalam jawatankuasa ini yang akan “bersaing” dengan ketua-ketua jabatan seramai 78 orang bagi merebut hadiah berupa sebuah “Proton Fuga”.

Antara ketua-ketua jabatan yang berpotensi digugurkan dari senarai 150 orang ini mungkin akan datang daripada jabatan-jabatan “kurang penting” seperti:-

  • Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia
  • Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
  • Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (masuk ke hutan dengan Nissan Fuga? Tak logik.)
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar
  • Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (bunyi macam sama dengan Jabatan Perhutanan)
  • Jabatan Perpustakaan Negara
  • Jabatan Muzium
  • Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal
  • Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (bagi menjaga hati Orang Asli, takkan mahu berlagak dengan Nissan Fuga pula bukan?)
  • Jabatan Perkhidmatan Pembetungan
  • Jabatan Kereta Api (dah ada kereta api, perlulah kereta lagi?)
  • Jabatan Lanskap Negara
  • Jabatan Filem Negara
  • Jabatan Kastam DiRaja (pastinya punya pilihan bagi menggunakan kereta rampasan kastam)

Mereka ini mungkin akan digugurkan bukan semata-mata kerana jabatan tersebut kurang fungsinya, mungkin juga kerana jabatan tersebut tidak sesuai dengan status kereta eksekutif kerajaan.

Jika ketua-ketua jabatan ini digugurkan daripada senarai tersebut, pastinya boleh menampung semua setiausaha kerajaan negeri lantikan persekutuan, yang mana sebenarnya diletakkan bagi menjadi ketua kepada semua kaktiangan kerajaan negeri.

Dengan Internet, semua pekung bekas perdana menteri ini bakal terdedah satu-persatu. Kita tunggu apa lagi bakal dikeluarkan WikiLeaks.

Begitulah betapa berkuasanya kerajaan Persekutuan di negara kita, dengan pindaan perlembagaan 1993 oleh bekas perdana menteri yang mungkin sebahagian pembaca sanjungi, dan juga yang saya pernah sanjungi lama dahulu.

Mungkin, bukan sahaja Khusrin yang akan gembira dengan program “rebadge” Proton ini, malah pastinya Nissan akan memperoleh lebih peluang bagi mengeluarkan lebih banyak model kenderaan bagi bersaing dengan pengeluar-pengeluar import lain yang mengeluarkan kereta “entry-level” di bawah harga RM70,000.

Sedikit kegembiraan untuk kita, harap-harapnyalah…..

Selangor haramkan pengkomersialan logo 1Malaysia. Disember 26, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Tidakkah anda jemu lagi muak melihat kempen MLM sebegini yang mengeksploitasi logo 1Malaysia?

Kecoh di media massa, kononnya kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia. Kerajaan Selangor menerima kritikan hebat kerana dikatakan tidak membantu usaha kerajaan menggalakkan perpaduan rakyat Malaysia.

Yang sebenarnya ialah, kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia bagi tujuan perniagaan atau komersial. Pertama sekali, sudah tentunya masyarakat muak melihat logo ini di mana-mana tempat. Untuk apa mengaitkan perniagaan dengan 1Malaysia, tidak lain tidak bukan bagi tujuan mengambil hati (baca: bodek) pihak kerajaan persekutuan?

Sebenarnya gagasan 1Malaysia ini sudah begitu lama wujud, iaitu dari tahun 2008, ketika Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri membuka laman webnya sendiri bagi berkomunikasi dengan rakyat.

 

“Saya bercakap dengan orang Cina, orang Melayu, masing-masing ada pendapat berbeza dan tidak boleh disatukan, saya berpendapat satu penjelasan perlu dibuat,” Dr Mahathir Mohamad

Kini, menjelang 2011, kita harus melihat kewajaran kewujudan berterusan logo 1Malaysia ini. Adakah dengannya, kita semakin bersatu-padu? Hakikatnya semakin pecah-belah masyarakat kita dengan pemahaman berbeza mereka terhadap gagasan 1Malaysia.

Hakikatnya, sudahlah gagasan ini tidak mencapai matlamatnya, menjadi alat bodek paling besar bagi golongan peniaga. Malah kad Touch n’Go juga punya logo 1Malaysia, pihak PLUS tidak menjual kad dengan rekaan lain.

Ditambah lagi dengan inspirasi daripada gagasan dan kempen-kempen lain di seluruh dunia, benar-benar menjadikan konsep 1Malaysia ini, penciplakan yang paling gagal dalam sejarah.

 

 

 

Isu Air Selangor, mungkinkah akan selesai? Disember 7, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

5 Disember 2010, sejarah baru tercipta apabila kerajaan negeri Selangor mengadakan satu perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi membantah kenaikan tarif air di Selangor.

Selangor merupakan satu-satunya negeri yang menswastakan sepenuhnya bekalan air, iaitu oleh pentadbiran Dr. Mohd Khir Toyo. Kini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mahu menaikkan tarif air sebanyak 37% mulai tahun hadapan.

Yang akan terjejas selain daripada pengguna air domestik, juga pengguna air kategori komersial, yang mana turut menggunakan air pada kuantiti yang besar. Kenaikan tarif yang banyak pastinya akan menjejaskan kos pengeluaran, lantas meningkatkan harga kepada pelanggan, di seluruh negara.

Tanggungjawab Syabas, bukan sekadar kutip duit dari bil air, juga perlu kurangkan air tanpa hasil (non-revenue water).

Syabas juga sebenarnya, menghadapi masalah kadar air tanpa hasil (non-revenue water) yang tinggi, iaitu sebanyak 32% pada 2009, di kala peratusan itu sepatutnya berada pada tahap di bawah 20% bagi membenarkan kenaikan tarif.

Kerugian daripada air tanpa hasil, bukan sahaja dari segi perolehan kerajaan negeri, malah turut membawa kepada pembaziran sumber air yang berharga. Dakwaan Syabas bahawa perintah pembekuan aset air menyebabkan usaha pengurangan air tanpa hasil terbantut, tidak dapat diterima kerana kadar penurunan peratusan air tanpa hasil amatlah mengecewakan, iaitu daripada 42% pada 2005 kepada 32% pada 2009.

Bagaimanakah kadar itu tiba-tiba mampu diturunkan lagi kepada 20% dalam hanya setahun? Tambahan pula masalah kewangan dialami Syabas menyebabkannya lebih sukar bagi mencapai misi mustahil tersebut.

Untuk maklumat tambahan juga, sebanyak RM10.7 bilion aset kerajaan negeri Selangor digunakan secara percuma oleh Syabas, terima kasih kepada pentadbiran zaman Dr. Khir Toyo. Antara aset tersebut ialah paip, jentera dan loji penapisan air yang tidak pernah dipindah milik. Kerajaan negeri Selangor sekarang punya segala hak bagi mengenakan sewa mahupun caj ke atas penggunaan semua aset ini.

Mungkinkah ada penyelesaian kepada masalah ini? Keyakinan ramai, iaitu pada akhirnya Puncak Niaga pastinya mahu atau tidak, terpaksa menjual permata utamanya iaitu Syabas kepada kerajaan negeri Selangor. Penjualan ini bertujuan bagi mempercepatkan projek bekalan air Pahang-Selangor, bagi mengelakkan krisis air lagi di masa depan.

Pastinya ini berita gembira kepada rakyat Selangor khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, bahawa satu kemenangan diperoleh rakyat ke atas para kapitalis pengaut untung tanpa batasan yang sebelum ini melakukan kerja terkutuk sebegini dengan kebenaran kerajaan negeri sebelum ini.

Kita lihatlah babak seterusnya, yang mungkin satu kesudahan yang baik bagi kita semua.

Pemilihan PKR: Kenapa terlalu huru-hara? Oktober 6, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

Sebenarnya sudah lama saya tidak mengemas kini blog, apatah lagi menulis soal politik. Maafkan saya atas perkara tersebut, memandangkan saya sukar untuk menemui masa senggang untuk menulis.

Selain itu juga, ketiadaan isu yang boleh dikupas dengan mendalam menyukarkan saya untuk menulis sepanjang tempoh “berdiam diri” sebelum ini. Semuanya berkisarkan perkauman sempit, selain pemahaman yang mengecewakan oleh sesetengah orang Islam terhadap agama masing-masing dan melebihkan bangsa semata-mata.

Namun, suatu peristiwa menarik sedang berlaku sekarang iaitu pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti yang pernah menguasai kerusi Pembangkang terbanyak di Parlimen, selain menerajui pentadbiran negeri Selangor, kini dipandang amat penting dan liputan terhadap pemilihannya cukup meluas di media arus perdana.

Sungguh tidak kita sangka, sebuah parti yang disangka tenggelam selepas pembebasan tokohnya, Anwar Ibrahim dari penjara, mampu terus bertahan dan menarik keahlian rakyat berbilang kaum.

Tahun ini, suatu perubahan baru sedang dilakukan oleh PKR dalam pemilihannya, iaitu semua ahli diberikan peluang memilih, bukan hanya di peringkat cabang, malah Majlis Pimpinan Pusat (MPP), iaitu teraju-teraju utama parti.

Pemilihan peringkat cabang yang dibuat secara berperingkat, menyaksikan beberapa krisis timbul:-

1) Sabotaj terhadap proses pengundian.

Perkara ini berlaku di beberapa cabang, dan menimbulkan kerisauan budaya politik “gedebe” yang boleh meresap masuk ke PKR. Terdapatnya beberapa pemimpin yang menjadi mangsa kaki pukul yang didakwa upahan pemimpin tertentu.

Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya, kerana jika mengharapkan Polis pastinya mereka tidak mahu ambil hirau dengan PKR, parti yang kerap mengkritik kelemahan polis. Sebarang kebergantungan kepada polis, pastinya tanda tunduk kepada kuasa dan penghormatan kepada imej polis yang pastinya bukan sebaik mana.

2) Kekalahan Ahli-ahli Parlimen dan DUN di pemilihan peringkat Cabang.

R. Sivarasa dan Kamarul Bahrin Abbas merupakan antara Ahli Parlimen yang tewas di Cabang sendiri iaitu masing-masing di Subang dan Port Dickson.

Wakil rakyat yang tidak bermaruah, pasti akan hilang ditelan zaman, tiada yang sanggup memilih mereka lagi.

Apakah tandanya perkara ini? Tandanya ialah bahawa rakyat, secara khususnya ahli-ahli PKR mahu akan wakil rakyat yang berfungsi dan berperanan dalam menjalankan tugas-tugasnya, bukannya hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri di dalam Dewan.

Juga, rakyat tidak mahu kelibat “lalang” menjadi calon pilihanraya di masa akan datang. Pastinya ahli PKR sedar mengenai perkara ini, dan mahu memperbaiki semula imej parti yang tercemar rentetan beberapa wakil rakyatnya yang berpaling tadah, dan menjadi punca kejatuhan kerajaan PR di Perak tahun lalu.

Namun, kerisauan juga boleh ditimbulkan dengan kenyataan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa) bahawa 35% daripada ahlinya merupakan anggota PKR. Boleh jadi, keputusan mengejutkan ini dipengaruhi oleh mereka yang pastinya tidak mahu calon-calon bukan Melayu memenangi jawatan di Cabang yang ditandingi.

3) Kempen berlebihan oleh calon-calon.

Di Kajang (pemerhatian saya), calon-calon mempromosikan diri sama seperti calon pilihanraya umum pula. Mungkin mereka perlu lebih kreatif tanpa perlu menggunakan peruntukan yang besar, kerana semua maklum PKR bukanlah kaya, dan tidak akan dibiarkan kaya kecuali menerusi sumbangan terus kepada parti.

Mujurlah tiada laporan politik wang yang diterima, memandangkan amat sukar untuk menyogok semua ahli daripada memberi undi, jumlahnya terlalu ramai. Waspada masih perlu, jangan dibiarkan budaya dari BN menular masuk ke PKR dan sekutu PR lainnya.

Tentang persoalan “huru-hara”, saya percaya PKR punya masa depan yang cerah. Sukar untuk mengubah sikap “orang-orang gasar” yang sudah biasa dengan cara politik yang ganas, menjadi lebih tertib ketika di parti lain.

Bukan mustahil ya, tapi sukar. Diharapkan perkara sedemikian dapat diatasi, demi mengelakkan parti yang masih muda ini daripada tercemar dengan budaya-budaya tidak sihat.

Lebuhraya SKVE, lebuhraya paling lama terbengkalai. (Jajaran Bangi-Saujana Putra kini dibuka.) Mei 6, 2010

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
40 comments

Saya kerap berulang-alik antara Kajang dengan Shah Alam, dan kadangkala melalui satu bahagian jalan yang bermula dari kompleks Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui IOI Resort dan Marriott Hotel Putrajaya, yang mana telah dinamakan sebagai “Lebuhraya SKVE” sejak tahun 2008.

Menghampiri Cyberjaya, lebuhraya ini berakhir tiba-tiba tanpa hala tuju untuk laluan terus. Di pusingan jam 9, laluan menghala ke Cyberjaya, Salak Tinggi dan KLIA.

Manakala pusingan jam 3 pula akan membawa pemandu ke lebuhraya Damansara-Puchong, yang seterusnya menghala ke Petaling Jaya dan Shah Alam.

Arah terus ke Port Klang? Kenapa jalan masih mati ya? Pelik pelik..

Jalan arah terus ke sebelah barat, ditutup untuk sebarang laluan sehingga kini. Lawatan terbaru ke tempat tersebut melihatkan garisan jalan telah pun disiapkan, dengan turapan bitumen yang masih hitam legam.

Lalu saya melakukan carian Google, dan menemui bahawa lebuhraya ini memang sebuah lebuhraya yang terbengkalai sejak sekian lama, iaitu sejak lawatan pertama saya sekeluarga ke Putrajaya pada tahun 2000.

10 tahun berlalu, hanya satu seksyen yang dibuka, iaitu antara kompleks LLM dengan depoh minyak Putrajaya. Mungkin bahagian tersebut disiapkan untuk melengkapkan jaringan jalan ke Putrajaya yang baru sahaja dibuka untuk menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Hasil carian seterusnya membawa ke laman web LLM, yang menunjukkan senarai lebuhraya yang masih dibina. Di bahagian atas sekali, Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE).

Sedikit petikan maklumat dari LLM:-

Jajaran lebuhraya ini bermula dari Persimpangan Jalan Negeri B11/B13 berhampiran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan jajaran menghala ke kawasan ‘Wetland Putrajaya’ merentasi Hutan Simpan Ayer Hitam, Hutan Simpan Kuala Langat, Kg. Tanjung Rabok, Teluk Panglima Garang, Pulau Carey dan berakhir di Jalan Lingkaran Pulau Indah yang sedang dalam pembinaan. Jajaran lebuhraya ini juga merentasi Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan cadangan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat.

Lebuhraya ini terbahagi kepada 4 seksyen iaitu :-

i.   Seksyen 1A   ; Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) – Persimpangan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP/B15) sepanjang 7.8km. Jajaran ini telah siap dibina.

Melalui kawasan pangsapuri Putra Perdana, ke arah lebuhraya ELITE. Dijadualkan siap 31 Mei ini.

ii   Seksyen 1B   ; Persimpangan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP/B15) – Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) sepanjang 11.9km.

iii   Seksyen 2 ; Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) – Persimpangan Teluk Panglima Garang sepanjang 12.6km (menyambungi cadangan Lebuhraya Pantai Barat melalui Persimpangan WCE)

iv   Seksyen 3 ; Persimpangan Teluk Panglima – persimpangan rangkaian Pulau Indah sepanjang 18.9km

Terdapat 9 buah persimpangan bertingkat di mana 4 buah persimpangan telah siap dibina iaitu Persimpangan Bertingkat UNITEN, Cyberjaya, Wetland dan LDP/B15. Manakala 5 buah persimpangan yang akan dibina ialah Persimpangan Bertingkat NSECL (atau dipanggil sebagai ELITE), WCE (Lebuhraya Pantai Barat), Panglima Garang, Pulau Carey dan Pulau Indah. 6 buah plaza tol juga akan dibina bagi lebuhraya ini.

Kemajuan Projek Berakhir Oktober 2009

Pakej km Mula Siap % Kemajuan Kerja
Dijadual Sebenar Beza
Pakej 1A

(UNITEN – B15,LDP)

7.1 Dis 2000 SIAP
Pakej 1B

(B15,LDP – NSECL)

12.6 1.2.08 31.5.10 60.31 60.34 +0.03
Seksyen 2

(NSECL Teluk Panglima – Garang)

12.4 1.7.08 31.5.11 2.76 2.85 +0.09
Seksyen 3
(Teluk Panglima Garang – Pulau Indah)
18.9 1.9.08 31.12.11 0.10 0.11 +0.01
%Kemajuan Keseluruhan 26.29 26.40 +0.11

* Kemaskini pada 27.10.09

Kemajuan kerja boleh dianggap agak perlahan, kerana keseluruhan bahagian lebuhraya hanya siap 26 peratus. Diharapkan perjalanan pembinaan dapat dipercepatkan untuk membolehkan pengguna-pengguna seperti saya dapat ke Shah Alam dan Klang dengan lebih pantas dan menjimatkan minyak kerana jarak yang lebih hampir.

Lebuhraya SKVE ini dilihat sebagai satu jaringan yang hilang (missing link) untuk jalan raya negeri Selangor. Pengguna antara Klang dengan Kajang masih terpaksa menggunakan antara pilihan lebuhraya KESAS yang kian sesak di Subang Jaya, mahupun Lebuhraya Persekutuan yang terkenal dengan kesesakannya.

Dengan pembukaan SKVE yang lebih awal, trafik antara dua bandar besar di Selangor ini dapat ditumpukan kepada satu laluan yang dekat, lantas mengurangkan aliran trafik KESAS dan Lebuhraya Persekutuan, hasilnya kesesakan yang dapat dikurangkan juga.

Saya memang tidak sabar menanti pembukaan SKVE, memandangkan saya kerap mengunjungi Shah Alam kerana adanya buah hati tersayang di sana, juga ingin bekerja di Pelabuhan Klang mungkin dalam industri kejuruteraan, dan sudah punya rumah sewa yang selesa di Kajang yang berpotensi untuk terus diduduki sehingga berumah tangga.

Kerajaan Selangor dalam diam sudah ada projek Wilayah Lembah Klang 2, untuk memajukan bahagian selatan Lembah Klang. Cuba periksa selepas Plaza Tol Putrajaya ELITE, ada jalan baru yang kelihatan sudah siap.

Mari kita tunggu pengumuman seterusnya daripada kerajaan khususnya Lembaga Lebuhraya Malaysia, dan berharap agar jalan mati di Cyberjaya itu tidak berterusan mati, dan membantu pembangunan bahagian Selatan Lembah Kelang yang bakal mempunyai Taman Sains Selangor 2, serta memberikan mobiliti antara pusat pentadbiran persekutuan di Putrajaya dengan pintu masuk laut ke Malaysia iaitu Pelabuhan Klang.

Saya akan tunggu tarikh seperti dalam jadual kemajuan projek fasa 1B: iaitu 31 Mei ini. Diharapkan ada berita gembira untuk kita semua.

(Banyak iklan kain rentang yang sudah dipasang di Bandar Baru Bangi, Kajang dan Putrajaya untuk mewar-warkan mengenai SKVE yang bakal dibuka. Rakan blogger memberitahu, tarikh pembukaan sebenar 2 Julai ini. Selamat menggunakan SKVE, selamat sampai ke destinasi)

Penahanan Dr. Asri, satu komplot pihak berkepentingan. November 5, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
1 comment so far

Dr. Asri Zainul Abidin terus mencetuskan kontroversi dengan pelbagai laporan dan kenyataan dikeluarkan oleh tokoh-tokoh agama dan juga tokoh politik Malaysia berkenaan tangkapan ke atas beliau ketika memberi ceramah di Hulu Klang pada 31 Oktober lalu.

Ada yang berkata bahawa motif tangkapan Dr. Asri adalah politik, dengan pihak BN dan PR menuduh sesama sendiri di kala sebilangan orang yang mengaku sebagai “tokoh agama” mempersoalkan pula kelayakan Dr. Asri untuk memberikan ceramah kepada sesiapa, termasuk rakan-rakan beliau sendiri.

Sebenarnya masalah ini sangatlah remeh, namun kita kecewa dengan JAIS yang bertindak keterlaluan seolah-olah disengajakan dan ada dalang di sebalik semua isu yang timbul. Antara isu yang timbul, saya cuba berikan penjelasan sebaiknya.

1) Kelayakan Dr. Asri untuk memberi ceramah

– Beliau ialah seorang bekas Mufti Perlis, yang mana dilantik oleh Majlis Agama Islam negeri yang selalunya dipengerusikan oleh raja/sultan negeri terbabit. Sewajarnya pihak MAIPs telah memahami dan meneliti kelayakan Dr. Asri sebelum melantik beliau sebagai Mufti Perlis ketika itu, dan perkara ini adalah serius, sukar untuk dikatakan berlaku kesilapan pelantikan.

Usrah para pelajar di Kelantan, disokong oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan.

– Sebenarnya, sesiapa yang punya keyakinan diri secara logiknya boleh memberi ceramah, hatta pelajar kejuruteraan sebuah universiti. Jadi bayangkan, berapa ramai yang JAIS boleh tangkap, dan berapa besar penjara ataupun bilik tahanan yang perlu JAIS bina untuk tujuan menempatkan mereka.

2) Ajaran Wahhabi

Tidak dapat dibuktikan bahawa Wahhabi itu ajaran sesat, lagipun mereka hanya diketahui sebagai orang yang mengamalkan Islam yang dipraktikkan Rasulullah S.A.W tanpa sebarang bidaah hasanah ataupun dhalalah. Dari situ, sesiapa yang bergelar Islam tidak boleh menggelarkan penganut Islam lain sebagai sesat, kecuali jika ibadat asasnya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Pada saya, Wahhabi itu langsung tiada sesatnya.

3) Peranan Hasan Ali, Exco Agama Selangor

– JAIS adalah di bawah kawalan Sultan Selangor, dan Hasan Ali hanyalah seorang Exco negeri dalam hal tersebut, dan langsung tidak memegang sebarang kuasa untuk mengawal tindakan JAIS. Nampaknya Hasan Ali sudah jadi “punching bag” yang bagus kepada pihak-pihak yang ingin melaga-lagakan Pakatan Rakyat Selangor dengan bertindak secara politik, terutama penguasa di dalam JAIS yang seumpama Polis FRU ketika mahu menahan Dr. Asri di Hulu Klang.

4) Kaitan Dr. Asri dengan PAS

– PAS pastinya mengalu-alukan kehadiran Dr. Asri jika beliau berminat untuk menyertainya, namun Dr. Asri tidak pernah membuat sebarang keputusan dan dijangka sedaya mungkin mahu mengelakkan diri daripada gerakan politik dan hanya mahu menggunakan platform agama yang kini disekat sehabisnya oleh JAIS.

Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat dikupas dengan pembacaan saya daripada semua sumber yang menceritakan perihal bekas Mufti Perlis ini. Diharapkan kita umat Islam dapat mengelakkan sikap buruk sangka dan prejudis sesama sendiri agar perpaduan terpelihara dalam satu landasan agama yang diredhai, bukan landasan yang penuh dengan penipuan dan pembohongan.

Hassan Ali tidak bersalah, hanya kaedah yang beliau tersilap. September 28, 2009

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
add a comment

Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Hassan Ali telah menegur Selcat, sebuah suruhanjaya siasatan penyelewengan kerajaan lama negeri Selangor agar tidak terlalu menekan dalam kaedah siasatan mereka, yang dikatakan sebagai menjatuhkan maruah penjawat awam.

Tiada ragu-ragu, Pakatan Rakyat tetap utuh dan kukuh. Jangan rosakkannya.

Tiada ragu-ragu, Pakatan Rakyat tetap utuh dan kukuh. Jangan rosakkannya.

Pada asasnya, tidak salah untuk menegur. Memang itu falsafah Pakatan Rakyat, yang dikatakan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua. Teguran seperti yang diberikan oleh Hassan memang dialu-alukan, kerana perkara sedemikian dapat menunjukkan semangat permuafakatan yang tinggi, di mana teguran itu tidak dianggap sebagai penghinaan kepada pihak yang ditegur.

Namun, kita juga mempersoalkan, mengapakah Hassan bertindak menggunakan media massa arus perdana untuk meluahkan pandangan tersebut? Beliau Exco negeri Selangor, pada bila-bila masa boleh ketemu atau menghubungi Menteri Besar, Exco lain atau pun pengerusi Selcat sendiri.

Tidakkah beliau sedar bahawa media massa dimiliki oleh parti lawan, sedangkan yang dimiliki oleh pihak sendiri, hanyalah Harakah, Suara Keadilan, Selangor Kini, Warta Darul Aman yang tidak tersebar meluas. Selain itu, terdapat media seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider yang tidak berpihak.

Jadi, teguran yang lembut ke atas sahabat boleh di”hiperbola”kan sebagai satu hentaman atau ancaman untuk keluar daripada gabungan, seperti komen susulan oleh Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman kemudiannya bahawa PAS tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada gabungan Pakatan Rakyat di Selangor.

Apakah yang sedang PAS Selangor lakukan? Menggali kubur sendiri, atau membuktikan pengaruh dalam Pakatan Rakyat kepada masyarakat Melayu yang segelintirnya masih ragu-ragu? Saya yakin PAS tidak bodoh sehingga mahu gali kubur sendiri. Namun, saya yakin dengan idea kedua, iaitu untuk menarik orang Melayu untuk terus meninggalkan Barisan Nasional yang semakin punah.

Namun, PAS haruslah berhati-hati dalam permainan ini, dan tidak terperangkap dengan dakyah media massa, elakkan daripada tindakan kontroversial yang boleh menimbulkan syak wasangka masyarakat berbilang bangsa. Jika mahu menegur, janganlah tambahkan dengan ancaman mahu keluar daripada Pakatan, sebaliknya tunjukkanlah kematangan dalam setiap tindakan.

Menang DAP Kedah pernah melakukan ancaman serupa, namun saya rasa PAS lebih matang dalam mengambil tindakan. Lagipun masalah di Kedah dengan DAP telah selesai dengan pertemuan Ustaz Azizan Abdul Razak dengan Lim Kit Siang. Mengapa pendekatan sebegini tidak dipraktikkan di Selangor oleh Hassan Ali?

Kita berharap agar Hassan Ali lebih bertimbang rasa dalam memberikan komen, memandangkan idea beliau untuk negeri Selangor memang bernas. Lihatlah tindakan yang pernah dilakukan beliau, antaranya inisiatif untuk melindungi umat Islam daripada arak, yang mana dilihat berjaya mengekang gejala minum arak yang tidak diambil tindakan sepanjang pentadbiran terdahulu oleh Barisan Nasional.

Diharapkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor terus teguh, dan memberikan manfaat kepada rakyat secara berterusan seperti yang berlaku sekarang. Tahniah atas kejayaan pentadbiran selama setahun, pastikan kualiti pentadbiran sentiasa diperbaiki kepada yang lebih baik dari hari ke hari.