jump to navigation

Malaysia IT Fair, pameran masih berlangsung. Juga cerita komputer riba baru. September 24, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , ,
add a comment

Saya pernah mengeluh mengenai saiz skrin dan papan kekunci yang kecil pada HP Mini 210, yang saya peroleh menerusi kontrak TM Streamyx. Keadaannya yang sempit memberikan kesukaran untuk saya menaip bagi tujuan kerja dan penulisan blog. Manakala RAM yang dibekalkan untuk netbook yang saya peroleh pada April 2010, hanyalah jenis lama DDR2, yang kini kurang digunakan berbanding DDR3 yang lebih mudah diperoleh dengan murah di pasaran.

Pengajaran besar saya peroleh dari situ, iaitu untuk cuba memperoleh yang paling terkini di pasaran, agar gajet dan rangkaian yang dimiliki kekal relevan untuk jangka masa panjang. Kontrak TM Streamyx juga bakal berakhir tahun hadapan, menyediakan saya dengan pelbagai kemungkinan, antaranya untuk menggunakan jalur lebar berkelajuan tinggi UniFi yang akan melebarkan sayapnya ke apartmen tempat tinggal saya juga.

Okey, keadaan tersebut membuka mata saya mengenai pameran IT yang diadakan selepas Aidilfitri, iaitu 2-4 September lalu di Pusat Pameran Mid Valley Exhibition Centre. Saya memang mensasarkan untuk membeli sebuah notebook (lebih besar dari netbook) bagi meningkatkan kekerapan penulisan blog, juga untuk menggalakkan aktiviti muat turun lagu dan filem dari Internet. (Teladan yang tidak patut dicontohi kanak-kanak)

Sumbangan pekerja kepada KWSP kini dinaikkan semula kepada 11%.

Untunglah, perbelanjaan Aidilfitri saya sederhana, iaitu menepati jumlah bonus Aidilfitri dari kerajaan 1Malaysia berjumlah RM445.00 (RM500 – RM55 sumbangan KWSP bagi membiayai perbelanjaan kerajaan di masa hadapan) Lebihan wang seperti biasa disimpan bagi masa hadapan.

Lebih baik saya langkau cerita Aidilfitri saya, kerana bagi seorang lelaki 21 tahun yang sudah bekerja, sudah kurangnya nikmat berbanding zaman kanak-kanak riang.

Terus ke cerita Malaysia IT Fair, setelah meneliti pilihan komputer riba yang sesuai, saya pun telah memutuskan jenama yang akan saya pilih.

Acer, tolak ke tepi kerana kerosakan yang kerap berlaku, serta sokongan pelanggan yang kurang mesra.

HP, juga saya tolak ke tepi kerana pengalaman dengan HP Mini 210 yang nampaknya tidak menepati spesifikasi terkini (ketika saya memperolehnya secara percuma, saya tidak arif mengenai spesifikasi komputer).

Pilihan saya adalah ASUS, kerana reka bentuk yang mesra pengguna dan tahan lasak, berdasarkan pengalaman menggunakan komputer riba jenama sama milik sepupu, seorang guru yang bertugas di Sabah. Saya memasang angan-angan untuk memperoleh sebuah.

Pada hari bertuah tersebut, 4 September 2011, saya akhirnya memperoleh komputer riba yang saya idam-idamkan.

Spesifikasi juga telah saya letakkan bersama gambar.

Tentang harga, saya telah membeli komputer riba ini pada harga yang sedikit murah berbanding yang dinyatakan dalam Panduan Produk ASUS ini.

Klik untuk muat turun Panduan Produk ASUS/ ASUS Product Guide September-October 2011

Di samping harga yang sedikit murah, saya juga memperoleh beberapa hadiah percuma (yang saya yakini nilainya murah sahaja) antaranya:-

  • Pad penyejuk (cooling pad)
  • Hub USB 4-port
  • Fon kepala (headphone)
  • Tetikus Optikal
  • Pembersih Skrin
  • Pelindung papan kekunci
  • Backpack
  • Pad tetikus

Antara yang mungkin menjadi perhatian bagi pembaca:-

Windows 7 Home Premium (64-bit)

Pemproses Quad-Core Generasi Kedua Intel i7-2630QM (Maklumat tambahan: pemproses ini dibangunkan di Israel. Terasa bersalah menggunakannya walaupun pantas.)

Grafik AMD Radeon HD 6730M dengan 2GB DDR3 VRAM

 

Sekadar berkongsi maklumat terkini mengenai teknologi terbaru komputer riba. Mungkin tidak ramai lagi yang ambil kisah mengenai komputer riba sejak hadirnya pelbagai komputer tablet seperti iPad 2. Bagi mereka yang banyak meluangkan masa di rumah mahupun di pejabat, komputer riba masih lagi peralatan terbaik untuk menjalankan kerja masing-masing.

Begitulah kisahnya mengenai pemasaran selepas hari raya Aidilfitri, yang saya sangkakan tidak akan dihadiri ramai pengunjung. Rupa-rupanya para pelajar yang bakal memasuki kampus semula, telah beramai-ramai mengambil kesempatan untuk membeli peralatan IT terbaru, mungkin menggunakan duit raya yang diperoleh sebelumnya.

Kepada yang belum ke Malaysia IT Fair, sebenarnya pameran tersebut masih berlangsung. Klik gambar di bawah untuk ke laman web rasmi pameran.

Revolusi Tunisia dan Mesir, kerajaan Malaysia panas punggung! Januari 27, 2011

Posted by Firdaus Rosli in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , , , ,
add a comment

Game Over bagi Ben Ali, Mubarak dan.... Najib?

Di tengah-tengah kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang digerakkan oleh media sosial di Internet, kerajaan Malaysia telah mula mengugut rakyat dengan cadangan pindaan Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 (PPPA).

Pindaan PPPA yang dicadangkan adalah bertujuan bagi mengawal (rujuk mengekang)  kandungan internet seperti portal berita, laman sosial seperti Facebook dan blog, seperti Kelapa Muda yang anda sedang baca sekarang.

Hata Wahari, pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia.

Semakin ramai pengguna Facebook, Twitter dan penulis blog yang membantah cadangan pindaan PPPA ini, yang dianggap sebagai usaha bagi menutup kepincangan ketara institusi kerajaan di Malaysia yang kian dicemari dengan pelbagai kontroversi seperti kuasa Wanita Pertama yang tidak terkawal, pembunuhan dan kematian tahanan politik, rasuah yang kian berleluasa termasuk di peringkat pentadbiran daerah.

Isteri Perdana Menteri kelihatan mahu merampas kuasa institusi diraja dengan menganggap diri Wanita Pertama. Tak malu sungguh!

Menambah tekanan kepada kerajaan, tindakan tidak peri kemanusiaan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang seolah menjadi kuli kepada kerajaan Persekutuan, serta kenaikan harga barangan keperluan yang menimbulkan kemarahan ramai, yang hanya boleh diketahui menerusi media sosial dan tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

Jelas sekali, kerajaan Malaysia panas punggung!

Walaupun dicop sebagai kuku besi, kerajaan terdahulu pimpinan Dr. Mahathir Mohamad telah memberikan satu perkara yang membolehkan parti pembangkang Malaysia mendapat tempat yang tidak kurang hebatnya dalam politik Malaysia, iaitu kebebasan Internet yang diberikan dalam Senarai Jaminan Koridor Raya Multimedia.

“Bill of Guarantee No. 7: To ensure no censorship of the Internet”

“Senarai Jaminan No. 7: Untuk memastikan tiada tapisan terhadap Internet”

Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia

Selama ini, kerajaan Malaysia pimpinan Dr. Mahathir, Abdullah Badawi menghormati jaminan kebebasan internet ini, dan berjaya menjadikan Malaysia negara yang dikenali dalam industri multimedia sedunia.

Tukar Tiub, blog Hishamuddin Rais, seniman paling terpinggir Malaysia.

Kini, Malaysia mempunyai himpunan ramai penulis blog, pengguna Facebook dan Twitter yang aktif, serta portal berita yang berpengaruh. Internet menjadi medium yang amat berguna bagi rakyat Malaysia menyuarakan ekspresi diri dan menyebarkan idea secara matang dan berhemah.

Malangnya, kematangan itu cuba dikekang oleh pentadbiran sekarang pimpinan Najib Razak yang terhimpit dengan usaha mempertahankan kerajaan yang sudah bertapak hampir 54 tahun, dan pada masa yang sama cuba menonjolkan imej sebagai pemimpin yang liberal dan terbuka.

Klik gambar untuk membaca mengenai masalah keselamatan yang melanda para pengguna UniFi.

Jika mahu dikatakan pentadbiran sekarang mahu menghalang kebebasan Internet, pastinya TM tidak dibenarkan bagi meningkatkan kelajuan jalur lebarnya menerusi UniFi dan rakyat akan dibiarkan melayari Internet dengan kelajuan yang cukup memenatkan. Malah jumlah pemain industri internet di Malaysia sedang meningkat dengan pelbagai tawaran baharu.

Mungkin, keterbukaan itu kini sedang cuba dihalang oleh para panglima perang (warlords) dalam partinya yang semakin agresif dalam menyalakan semangat perkauman, serta mengekang kebebasan rakyat.

BlackBerry Playbook, tablet terbaharu. Dipetik dari klip video lagu Black Eyed Peas, Dirty Bit!

Jika aktiviti Internet di Malaysia dikekang, nampaknya kita masing-masing perlu mempertimbangkan untuk menggunakan BlackBerry yang mempunyai pelayar di luar negara yang tidak dapat dikawal kerajaan Malaysia. Terpaksa keluarkan bajet lebih.

Nasihat saya kepada para pemimpin, bersyukurlah kerana mempunyai rakyat yang matang dan berhemah.

Hargailah kami, hormatilah kebebasan kami rakyat Malaysia.